Minggu, 27 September 2015

PANDUAN MENANAM POKOK BAWANG SUP DALAM POLIBAG



Bawang sup juga disebut daun bawang (English: green onion atau spring onion) adalah tumbuhan herba yang banyak digunakan dalam masakan. Ia bukan saja membangkitkan aroma masakan tetapi juga cukup berkhasiat kepada pemakannya. Bawang sup atau nama saintifiknya Allium fistulosum ialah  ini mudah ditanam dan sesuai dengan cuaca di negara kita.

Kaum Cina dan Korea sangat banyak menggunakan daun bawang ini dalam resepi mereka turun temurun. Dan mereka percaya bahawa daun bawang dan jenis bebawang lain berkhasiat untuk kesihatan manusia. 

Berikut cara menanam dan menuai pokok bawang sup atau daun bawang dalam polibag:

Bahan yang diperlukan:

1. Keratan batang berakar pokok daun bawang.

2. Polibag saiz ikut suka

3. Potting soil 

4. Air untuk menyiram


Cara dan panduan menanam:

1. Pastikan anda menggunakan media potting soil yang baik dan berkualiti. Masukkan media ke dalam polibag yang dilipat dua agar polibag tidak memakan banyak media di dalamnya.

2. Buat lubang do tengah kira-kira tiga inci dalam. Tanam sebatang pokok daun bawang ke dalam lubang dan timbus semula lubang dan padatkan tanah dengan menekan menggunakan jari anda ke bawah secara perlahan-lahan. Nota: kerat batang pokok daun bawang dengan setengah inci dari daun bawang yang kelihatan.

3. Siram dengan air yang banyak dan letak ditempat terkena cahaya matahari yang banyak.

Selepas seminggu keratan batang daun bawang akan mula tumbuh dengan baik. Bagi mereka yang menggunakan keratan batang yang dibeli di pasar pastikan dibiarkan ditempat teduh seminggu dua selepas dikerat daunnya barulah ditanam. Jika anda tanam secara langsung tanpa merehatkan beberapa ketika ia akan membusuk dan mati kecuali daun bawang itu ditanam secara organik aka cara kampung.

1 bulan lebih daun bawang anda sudah boleh dituai. Tidak perlu cabut memadai potong daunnya saja. Seminggu kemudian pokok daun bawang anda mula tumbuh semula. Jangan lupa bubuh baja organik 2 minggu sekali untuk pertumbuhan yang baik. Berhati-hati menggunakan baja kimia, bubuh baja kimia jauh dari pokok dan ikut aturan penggunaannya. Pokok daun bawang sangat sensitif dengan baja kimia di mana mudah membusuk dan mati jika terkena pada pangkal batangnya. Baja kimia bersifat panas sebelum terlarut dalam tanah.

Selamat bertani dan menuai hasil.

KELADI MAWAR HIDUP GALAK DI BUMI SABAH



Keladi mawar yang popular di kalangan kaum Melayu di semenanjung merupakan variati keladi yang kedua mendapat permintaan di pasaran selepas keladi cina. Ia berbeza sedikit dengan keladi cina dengan ciri-ciri batang gelap dan daun seakan-akan bulat. 


Benih keladi mawar atau sulurnya dibeli secara online dari Pn. Diana di kebunbahagiabersama.blogspot.com. Hanya 5 pokok yang berjaya tumbuh disebabkan kemarau tempoh hari dan jarang diberi perhatian. Kelmarin barulah ada sedikit masa untuk membersihkan semak samun yang tinggi mengalakan pokok kelapa. Ini menyebabkan pertumbuhan anak pokok keladi mawar sedikit terbantut.

Percayakah pembaca, selepas ditanam tanomkinotuan tidak pernah menyiramnya apatah lagi melakukan aktiviti merumput. Sebab itulah sebahagian pokok mati dan tidak mampu hidup dengan baik.

Sebab ia ditanam di ceruk rantau tanah sekangkang kera di KBR. Selalu sangat tidak dihiraukan dan lupa sehinggakan teringat tanomkinotuan dalam benak hati "Oh! Anak pokok keladi mawar." sampai begitu sekali. Syukurlah ada juga pokok yang berusaha untuk membesar. Lagi pula ia ditanam pada kawasan yang akan digenangi air ketika musim hujan. Harap keladi jenis ini tahan dengan keadaan cuaca ekstrim di tempat tanomkinotuan. 

Keladi mawar enak dibuat kerepek goreng, bubur keladi dan juga sebagai inti karipap. Bagi mereka yang hidup stail mudah macam tanomkinotuan keladi ini hanya direbus biar empuk dan dimakan bersama sambal bilis tuhau atau sambal patau. Sedap tidak terkira.


Menanam benih sayuran dari buah yang dimatangkan sangat cepat bercambah. Tanomkinotuan telah menyemai benih zucchini crockneck kuning dan zucchini hijau hanya mengambil kira-kira 3 hari percambahan. Tidak seperti benih import akan mengambil masa sefikit lama untuk bercambah. Seperti sayuran lain. Pokok zucchini juga mengadaptasi cuaca persekitaran sama dengan pokok salad. Dengan cara ini, benihnya bercambah dengan cepat.

Apabila sampai masanya kira-kira sudah mengeluarkan daun sebenar bolehlah di alihkan ke batas atau kontena besar untuk hasil lebih baik. Pokok zucchini mengambil masa dua bulan atau kurang untuk tuaian pertama. Mudah tumbuh jika cukup baja dan kelembapan. Menariknya pokok zucchini mampu bertahan dengan cuaca terik. 

Benih zucchini hijau, zucchini scallop kuning dan zucchini crockneck kuning ada dijual. 1 pek RM3.00 sahaja tidak termasuk wang kiriman pos laju. Berminat email ke tanomkinotuan@gmail.com untuk maklumat lanjut.

Sabtu, 26 September 2015

PANDUAN ALIHKAN ANAK POKOK JAGUNG KE BATAS



Ingat lagi entry mengenai panduan menanam pokok jagung pulut pandan dalam polibag tempoh hari? Kini tanomkinotuan berkongsi sekali lagi cara dan panduan mengalihkan anak pokok jagung pulut pandan dari polibag ke batas. 

Pokok jagung tersebut sudah boleh dialihkan ke batas atau pasu.

Menggunakan potting soil untuk menyemai benih sangat praktikal dan bersesuaian. Akar anak pokok jagung cepat panjang dan banyak. Jangan risau tanah potting soil yang peroi ini tidak akan terlerai apabila dikeluarkan dari polibag kerana akar anak pokok jagung telah mengikatnya sedemikian rupa.

Ada perbezaan ketara menyemai benuh jagung dalam polibag dengan disemai langsung pada batas. Selalunya anak pokok jagung yang disemai pada batas mempunyai batang kecil dan kurus sedangkan anak pokok jagung pada potting soil gemuk dan sihat.

Berikut panduan mengalihkan anak pokok jagung ke batas atau dalam pasu/polibag besar mengikut kehendak sendiri:



Batas yang disediakan harus digembur terlebih dahulu, korek sedalam satu kaki dan pecahkan ketulan tanah sehingga menjadi leraian-leraian halus, kemudian bubuh kompos, kapur pertanian dan gaul rata.

Seterusnya buat lubang sedalam 4 hingga 5 inci mengikut luas dan tinggi tanah potting soil pada anak pokok jagung.

Kemudian keluarkan anak pokok jagung dengan menterbalikkan polibag tersebut dan lurutkan atau tarik polibag itu sambil tangan kiri menahan anak pokok jagung dari terjatuh atau cedera.



Sebelum ditanam anak pokok jagung. Bubuh sekali lagi segenggam baja organik pelbagai fungsi ke dalam lubang dan tanam anak pokok jagung pada kedudukan yang betul. Timbus semula lubang tersebut dan padat-padatkan tanah. Jangan lupa untuk menyiramnya dengan air yang banyak.

Setelah 2 minggu selepas dialihkan ke batas atau pasu besar. Tabur baja disekelilingnya lalu disiram untuk membantu pertumbuhan pokok jagung dengan baik. Semoga bermanfaat dan selamat berjaya.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Rabu, 23 September 2015

POKOK HERBA BASIL ITALI MEKAR DI KBR


Tidak pupus-pupus pokok herba basil di KBR. Setiap musim ada saja benih bercambah di mana-mana. Sama juga dengan pokok herba lemon basil (selasih @ kemangi). Dua jenis pokok ini tetap tumbuh tidak kira batas. 

Cara agar pokok ini senantiasa wujud ialah matangkan sepokok dua pokok basil atau selasih dan tabur saja benihnya di mana-mana sama ada batas atau dalam pasu. Sampai tempohnya ia akan bercambah dan menjadi pokok penyeri kebun dengan aroma yang memikat. Tetapi tanomkinotuan terkilan sebab opal basil dan selasih thai dah pupus. Puas mencari kalau kalau ada anak pokok yang boleh dikutip untuk pembesaran hingga kini hampa. Terpaksalah juga tanomkinotuan mencari/membeli banihnya. 

Selalunya tanomkinotuan hanya petik pucuk daun selasih, selasih thai dan basil opal (warna ungu) dan dicuci bersih. Letak dalam mangkuk saiz besar, bubuh garam dan cili burung lalu perah dengan limau kasturi. Biarkan 5 hingga 10 minit. Siap untuk dimakan memang sedap malah berkhasiat untuk badan. 3 aroma bersatu, fuhhhhh! Sangat-sangat mengujakan.


Pokok basil itali yang tumbuh dicelah-celah pokok jagung dan kacang tanah. Hidup subur dibelai oleh nitrogen yang dibebaskan oleh akar pokok kacang tanah. Pokok jagung juga mendapat manfaat yang sama.

Menanam pokok basil itali amat mudah. Lebih-lebih lagi benih itu diambil dari induk yang tumbuh di tempat yang sama dan bukan benih dari import luar negara. Tidak bermakna tanomkinotuan kata langsung tidak tumbuh cuma agak lambat sedikit.

Untuk menyemai dalam pasu atau kontena caranya isi media ke dalam pasu. Guna potting soil khas semaian atau boleh guna apa-apa media yang ada di rumah. Tabur beberapa benih basil di atasnya dan siram dengan air. Letak pasu anda di tempat teduh tetapi masih terkena haba 60% di kawasan tersebut.

Basil mula bercambah 5 hari hingga 14 hari mengikut suhu dan kelembapan. Dan bolehlah dialihkan ke pasu lain atau batas untuk pertumbuhan sempurna selepas 2 hingga 3 minggu dalam tapak semaian.


Gambar di atas adalah pokok basil yang mengalami serangan ulat pemakan daun. Cara merawatnya ialah lihat dengan teliti sejauh mana serangan tersebut dan buang dahan, ranting pokok dan daun basil yang diserang. Jangan risau pokoknya akan bertunas semula malah lagi rimbun daunnya.



Pokok basil yang telah mengeluarkan bunga untuk benih. Tanomkinotuan biarkan bagi mendapatkan bekalan benih pokok basil.



Tanomkinotuan ada mencuba membuat resepi macaroni bakar untuk raya tahun lalu. Habis licin dua dulang macaroni rupanya orang kampung pun minat dengan makanan Barat. 

Salah satu bahan yang digunakan adalah daun basil ini untuk aroma resepi macaroni yang cukup memikat. Aroma tersebut sesuai teradun dengan aroma bahan-bahan lain seperti daging, kentang, sos frigo, juga macaroni itu sendiri. 

Walaupun macaroni tanonkinotuan terbakar sedikit ikut gambar di atas tetapi rasanya masih boleh tahan. Untuk kali ini tanomkinotuan ingin cuba membuat spagetti itali dengan mencampurkan sosnya dengan sedikit herba basil bagi menaikkan struktur aromanya. Memandangkan pokok basil banyak tumbuh di KBR apa salahnya mencuba, sedap atau tidak itu cerita lain atau boleh diperbaiki pada masa-masa akan datang. Kesilapan adalah pengajaran berguna untuk berdaya saing dan ke arah kejayaan memasak spagetti. Hahaha

Oleh yang demikian sesiapa pembaca berminat mendapatkan benih basil itali boleh emailkan ke tanomkinotuan@gmail.com. Harga 1 pek ialah RM3.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Selasa, 22 September 2015

PANDUAN MENYEMAI ZUCCHINI LANGSUNG PADA BATAS

Tanomkinotuan tunjukkan cara menyemai benih zucchini langsung pada batas dengan gambar sekali. Tanah yang terlibat adalah jenis tanah liat. Oleh itu berikut adalah panduannya:



Tanah tersebut harus digembur terlebih dahulu menggunakan alat pengembur. Lakukan pengemburan pada musim kemarau kerana tanah liat mudah dikerjakan. Jangan sesekali membuat pengemburan pada musim hujan. Tanah anda berketul-ketul apabila sudah kering. 

Bubuh kapur pertanian 2 sudu makan jika perlu. 



Untuk memperolehi tanah yang berkualiti dan sesuai untuk pokok zucchini, tambah 1 baldi tanah hitam yang digaul dengan kompos. Tanah hitam dan kompos bukan sahaja dapat membaikpulih tanah adal anda tetapi kompos dapat membekalkan zat makanan dan menyerap air dalam tempoh yang lama. Ia juga memperbaiki aliran udara dalam tanah.

Gaul hingga media sebati antara satu sama lain. 


Seterusnya buat seperti bukit dan tekan ke bawah untuk meratakan puncaknya/atasnya. 



Buat lubang di atasnya kira-kira 2 setengah inci. Bubuh baja NPK organik ke dalam dan timbus atau gaul seketika.


Kemudian buat dua lubang dipuncak batas tadi seperti dalam gambar. Masukkan sebiji benih zucchini hijau bagi setiap lubang. Timbus semula dan siram dengan air untuk melembabkan dan membantu mempercepatkan percambahan.

Benih zucchini hijau mengambil 7 hari hingga 14 hari untuk bercambah mengikut suhu dan kelembapan tanah. Selepas dua minggu dari percambahan bubuh kompos disekelilingnya tutup dengan mulsa/sungkupan. 

Pokok zucchini anda akan membesar dengan jayanya. Dan akan menghasilkan buah untuk bekalan sayur dapur anda. Apa kata anda cuba menanam pokok zucchini.

Bekalan benih zucchini hijau di KBR, 1 pek RM3.00. Maklumat lanjut email ke borosmomogun@gmail.com

Selamat bertani dan menuai hasil.

TANAMAN DI KBR YANG GALAK MEMBESAR


Hari ini tanomkinotuan ingin menceritakan beberapa tanaman sayuran yang tumbuh di KBR. Semua gambar di bawah masih membesar atau tunggu masa untuk dituai. Selalu tanonkinotuan bermanja di KBR untuk menenangkan minda sambil membelai tanaman tersebut. Pada bulan ini adalah masa menanam sayuran jenis berdaun kerana kurang sedikit serangan. Jadi tanomkinotuan sudah menanam sawi bunga jepun, sawi putih dan sawi putih taiwan manakala sawi keriting dan 1 cup plastik anak pokok sawi putih taiwan masih dalam proses membesar, tidak lama lagi mereka juga akan dialihkan ke batas.

Antara tanaman dan sayuran yang galak membesar di KBR ialah seperti berikut:



Gambar lobak putih dan salad romaine yang ditanam bersama. Kedua-duanya hidup dan galak pertumbuhan. Tanomkinotuan sebenarnya hanya mencuba menyemai benih lobak di tempat pokok salad itu tumbuh, sebab benihnya sudah lama. Tidak sangka ia masih boleh bercambah. Mahu tidak mahu biarkan sahaja. Cuma takut bersaing mendapatkan cahaya dan salah satu mengalami pertumbuhan terbantut.



Pokok tomato ceri bulat ini baru saja dipangkas daunnya dan dibubuh baja. Setakat ini pertumbuhannya elok tanpa daun kuning atau layu pucuk cuma 4 pokok tomato sudah mati disebabkan oleh reput akar. Penyakit lazim yang biasa menyerang pokok tomato.

Cara atasinya ialah tabur serbuk kulit telur pada tempat pokok mati dan siram dengan air agar tidak merebak jauh ke dalam tanah menjangkiti pokok tomato lain. 



Ini pertama kali tanomkinotuan menanam bawang sup dalam polibag. Jika sudah besar nanti akan dialihkan ke polibag yang lebih besar sedikit. Sekarang ini ia baru belajar tumbuh dengan menghasilkan daun pucuk muda.

Cara menanam daun bawang sup tidak susah. Kerat batang pokok bawang sup dan sediakan potting soil ke dalam polibag. Buat lubang ditengahnya dan tanam keratan umbisi bawang sup tersebut. Anda boleh cerai-ceraikan batangnya yang berumpun untuk mendapatkan jumlah tanaman pokok yang banyak. Siram 2 kali sehari. Ia akan membesar dengan baik.


Selepas dibaikpulih tanah dengan membuat pengemburan, membubuh baja organik tinja ayam dan kompos kelapa sawit dan ditabur kulit pisang. Barulah nampak perubahan pokok anggur tanomkinotuan yang hidup mati segan tidak mahu saja. 

Tapi kini daunnya hijau dan mula menghasilkan pucuk-pucuk muda.


Bunga kobis tanomkinotuan ditanam secara berperingkat-peringkat. Setelah menuai bunga kobis bulan lalu kini salah satu pokok kobis bunga tinggal saja menunggu untuk berbuah. 

Pokok bunga kobis ini ditanam di batas bersebelahan dengan pokok tombikai dan sebelah kanannya pula ialah pokok lobak putih dan salad.


Selepas dalam tempoh lama tanomkinotuan tidak menanam salad kini KBR diserikan lagi dengan pokok salad. Daunnya cantik dan lembut cuma jika salad ditanam di tempat bercuaca panas ada sedikit rasa pahit.



Percubaan menanam pokok epal. Setakat ini pokoknya tumbuh dengan baik. Tidak terlalu memberikan harapan terhadap tanaman ini. 


Ini pula kobis bunga hanya menunggu waktu untuk dituai. Pokok ini ditanam dalam besen besar. Sudah boleh dituai sebenarnya tapi tahan dulu biar rerambut putihnya hilang dulu atau lebih tepat apabila sudah matang sepenuhnya.



Selain menanam pokok lobak pada batas tanomkinotuan juga menanamnya dalam polibag. Tukar anginlah katakan.


Ini adalah sawi putih yang baru ditanam. Tengah berusaha untuk menyesuaikan cuaca sekeliling.



Pokok swiss chard masih boleh bertahan hingga kini dan masih membekalkan daunnya untuk dapur tanomkinotuan. Untuk pengetahuan pembaca, pokok swiss chard sangat tahan kemarau dan musim hujan. Dalam erti kata lain ia sesuai ditanam di negara kita.

Tanomkinotuan baru saja mengurus dan menjaganya. Letak gembur tanah, bubuh baja dan letak mulsa.



Pokok timun mini (five mini cucumber) meriah dengan bunganya yang banyak. Buahnya juga cukup banyak. Benihnya diambil dari buah terdahulu yang dimatangkan. 



Anak pokok sawi putih taiwan yang hanya ditabur pada batas. Sekali sekala tidak mahu skema sangat. Campak saja benih ke batas dan kini tanonkunotuan sudah alihkan sebahagian pokok ke batas lain.



Lagi pokok lobak putih ditanam dalam besen terbuang dengan menggunakan media potting soil sekam padi.



Nilah pokok tembikai yang dibuat entry yang lepas dalam tajuk "Panduan mebgalihkan anak tembikai pada batas". Sudah menjalar jauh. Tidak lama lagi lobak dan salad sudah tidak kelihatan.



Ubi keledek juga dah merimbun. Pokok keledek tidak cerewet untuk dijaga. Tanam dan siram, bila sudah mula tumbuh dan menjalar sudah tidak perlu disiram cuma sekali sekala tabur baja subur organik.



Pokok jagung dan pokok kacang tanah ditanam dalam satu batas. Kedua-dua pokok ini boleh hidup bersama. 



Timun kampung jenis albino, jenis pokok timun lambat berbuah dan memerlukan ruang yang luas untuk pokoknya menjalar dengan baik.



Satu-satunya pokok fennel yang masih ada di KBR, daunnya telah membantu menghasilkan sup ayam yang enak tempoh hari. Tanonkinotuan mencuba mematangkan bunga dan buahnya jika boleh.





Dan akhir sekali, adalah 3 jenis bunga lackspur iaitu merah muda, kuning muda dan ungu muda putih. Bunga yang sangat cantik dan beraroma ringan yang mengujakan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Minggu, 20 September 2015

CARA PEMBAJAAN POKOK TOMATO


Pokok tomato mudah di jaga dari mula menyemai hinggalah menuai hasil. Di KBR tanomkinotuan ada menanam pokok tomato variati tomato ceri bulat. Tahan lasak dan kurang serangan kecuali serangan reput akar. 4 pokok mati dengan sia-sia.

Tanomkinotuan ingin berkongsi panduan untuk membaca dan trim pokok tomato agar lebih sihat, tidak terlalu berserabut dan memudahkan pengudaraan di sekelilingnya.


Gambar pokok tomato di atas perlu ditrim daun bawahnya agar pengudaraan menjadi baik. Juga perlu dibubuh baja untuk pertumbuhan yang galak.


Gunting daun dan dahannya dari bawah. Lebih kurang 2 hingga 4 batang daun. Tunas yang keluar juga perlu dibuang. Tujuannya untuk menumpuhkan pembesaran buah yang terhasil kemudian hari.

Seterusnya alihkan mulsa/sungkupan dan korek tanah sedalam 3 inci serta kira-kira 3 inci jaraknya dari pangkal pokok.


Bubuh setengah genggam baja organik tinja kambing terproses. Baja organik ini boleh dibeli di kedai berhampiran. 


Setelah membubuh baja timbus semula lubang bersama pangkal pokok tomato tersebut. Supaya akar baharu boleh terbentuk. 


Seterusnya tutup semula dengan mulsa di sekelilingnya. Daun pokok tomato yang ditanggalkan tadi boleh diletakkan sebagai mulsa, apabila daun tersebut kering dan reput ia menjadi baja makanan di kemudian hari. Barulah disiram dengan air banyak. Cara menyiram pula ialah siram pada kawasan tanah atau batas sahaja. Jangan siram pokok tomato dari atas, tindakan tersebut tidak bagus untuk pokok tomato.

Lakukan pembajaan 2 seminggu sekali dengan diselang selikan dengan baja serbuk kulit telur dan kulit pisang. Dengan proses pembajaan ini pokok tomato anda tumbuh dengan sehat dan menarik tanpa berdaun kuning, daun mengerekot dan sebagainya.

Selain itu untuk mendapatkan pokok tomato yang sihat, buah yang cantik dan kurang penyakit, anda dinasihatkan untuk memotong tunas yang muncul di pangkal daun. Tunas yang sudah bersaiz besar dan panjang juga harus dipotong. Namun hati-hati jangan terpotong pokok/batang asli. Anda juga perlu memangkas daun yang wujud dalam gugusan bunga pokok tomato.


Tunas (sucker) yang harus dipangkas


Selepas dipangkas

Daun pada gugusan bunga

Selepas dipangkas

Ia bertujuan agar nutrient tertumpu pada bunga dan buah seterusnya menghasilkan buah bersaiz besar, cantik dan berkualiti. Jangan terfikir rasa sayang akan pemotongan tunas-tunas tersebut ini kerana bagi kebaikan pokok tomato anda.


Pokok tomato selepas dipangkas
Dan pembajaan

Pokok tomato boleh ditanam bersama pokok jagung. Kedua tanaman ini boleh hidup bersama tanpa membantutkan pertumbuhan antara keduanya. Ini dapat menjimatkan ruang untuk menanam.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PANDUAN MENYEDIAKAN BAJA KULIT PISANG

Hari ini jom belajar menyediakan baja daripada sumber alami iaitu kulit pisang. Jika anda ada membeli pisang tidak kira apa variati. Kumpul kulit pisang tersebut dan buat proses-prosesnya seperti di bawah ini.



Dapatkan kulit pisang yang dikumpulkan. Kulit pisang kaya dengan zat potasium dan magnesium.



Hiris kulit pisang senipis mungkin. Lakukan hingga habis, seterusnya susun semula hirisan pisang mengikut ukuran dan potong kecil-kecil secara serentak.



Saiz hirisan seperti dalam gambar di atas. Lebih kecil saiznya lagi baik supaya senang ditabur di dalam tanah dan cepat terkompos. 

Cara menggunakan hirisan kulit pisang sebagai baja ialah:



Pokok tomato yang ingin dibubuh baja kulit pisang. 




Alihkan mulsa berhampiran pokok tomato, korek tanah sedikit jauh dari pokoknya kira-kira 3 inci atau 5 inci. 



Bubuh hirisan kulit pisang ke dalam lubang yang dibuat.



Timbus semula dengan tanah ditepinya atau mengambil tanah di tempat lain.



Tutup kembali dengan mulsa/sungkupan di tepinya. Seterusnya siram menggunakan air yang banyak.

Kulit pisang tersebut akan mula mereput dengan kehadiran mikroorganisma pengurai. Dalam proses penguraian nutrient akan dibebaskan dan akan diserap oleh akar pokok tomato. Pokok tomato anda hidup baik dengan kehadiran zat magnesium dan potasium yang amat diperlukan oleh pokok tomato anda. 


Antara pokok tomato yang sihat dan tumbuh subur dengan dibubuh baja kulit pisang. Belailah pokok tomato anda dengan kulit pisang 2 minggu sekali. Namun begitu bukan semua pokok menyukai kulit pisang. Pokok seperti lada besar, cili hijau, pokok tomato dan bunga rose menyukai kulit pisang manakala bagi sayuran berdaun, jagung, kacang soya menyukai tinja ayam kerana tinggi kandungan nitrogen.

Tanomkinotuan ada menjual benih tomato brandywine dan benih tomato ceri bujur. 1 pek dijual RM3.00. 

Untuk maklumat lanjut email ke borosmomogun@gmail.com

Selamat bertani dan menuai hasil.