Tani

Jumat, 24 April 2015

PANDUAN MEMBUAHKAN POKOK MULBERI

Tidak lengkap sebuah laman pada sesebuah rumah jika tidak menanam sebatang dua pokok mulberi sebagai pokok hiasan atau dekorasi laman bagi membantu menceriakan laman rumah. Bagi tanomkinotuan pokok mulberi mempunyai versatile tersendiri bilamana ditanam depan rumah, sepanjang pagar atau pun di dalam pasu besar pada kedua belah pintu gerbang. Ia sangat cantik dengan daun loncong bergerigi. Bukan sahaja nampak gah dan cantik tetapi perut kenyang jika buah-buahnya sudah boleh dituai. Sesuai diberi makan kepada anak-anak kita selain daripada buah-buah tempatan dan buah import yang sudah tentunya mahal harganya. Pokok mulberi adalah jenis pokok renek berkayu lembut dan bercabang. Ia sangat rajin berbuah jika anda pandai mengolah semula pokok-pokoknya. Bagaimanakah untuk supaya pokok mulberi senantiasa menghasilkan buah?

Berikut tanomkinotuan kongsikan kepada para pembaca bagaimana untuk membuahkan pokok mulberi. Bagi mereka yang belum mempunyai pokok mulberi elok rasanya mendapatkan sepokok mulberi di nusery-nusery yang ada menjualnya. Dapatkan info cara menanam keratan batang pokok mulberi di internet yang sangat banyak sumbernya. Jika saiz pokok mulberi anda masih diperingkat pertumbuhan. Elok biarkan terlebih dahulu pokok mulberi anda membesar sebulan dua atau sehingga tingginya melebihi 1 meter. 

Daripada dahan atau batang pokok mulberi anda, potong dan tinggalkan batangnya lebih kurang 7 inci ke 10 inci atau sekurang-kurangnya mempunyai 6 hingga 9 mata tunas yakni tempat keluarnya tunas pada pangkal daun pokok mulberi anda. Bahasa mudahnya 'trim' kan dahan pokok mulberi anda. Seterusnya tanggalkan daun bersama tangkainya dengan hanya menariknya ke bawah dengan kuat (boleh abaikan jika anda tidak mahu pokok mulberi tersebut menjadi botak). Lakukan kerja ini sehingga pokok mulberi anda tidak mempunyai daun langsung. Dalam erti kata lain, pokok mulberi anda sudah botak aka gondol disebabkan pembuangan daun-daun tertinggal pada batangnya selepas melalui proses pemangkasan. Sebab mengapa tanomkinotuan gondolkan pokok mulberi tersebut ialah kerana tanomkinotuan boleh menanam sayuran di sekelilingnya. Sambil menunggu pokok mulberi bertunas dan berbuah lebat, sayuran tersebut sudah boleh dituai hasilnya. Kira 2 dalam 1 lah kiranya. Dahan-dahan pokok mulberi yang dipangkas jangan dibuang begitu sahaja, anda potong semula dahan mulberi tersebut lebih kurang 7 atau 8 inci dan tanam atau semai semula dalam polibag. Anda juga boleh menanam langsung keratan pokok mulberi tersebut pada tanah, seelok-eloknya ketika hujan supaya ia mudah bercambah.

Sekiranya perlu Bubuh baja organik di sekeliling pokok dengan 2 genggam baja untuk sepokok mulberi. Siram dengan air secukupnya (boleh juga jika anda abaikan aktiviti pembajaan). Selepas 1 minggu, kita boleh lihat tunas-tunas dari bekas pangkal daun akan mula muncul. Selepas 3 minggu pula tunas sudah kelihatan beberapa daun beserta bunga berwarna putih berbulu kasar pada pangkal daun-daun muda. Hah! sebenarnya itu adalah buah pokok mulberi yang keluar seiring dengan tunas baharu. Maka biarkan tunas-tunas ini membesar untuk mendapatkan buah yang sehat, segar dan manis. Genap 1 bulan 1 minggu, buah berbulu putih akan beransur-ansur bertukar wajah kepada warna hijau dengan bulu-bulu berwarna putih itu kian kering. Masa ini anda sudah boleh lihat bentuk buahnya yang seakan-akan mengerutu sedikit, namun buah tersebut belum boleh dituai atau dimakan. Pada tempoh 2 bulan 2 minggu pula buah tersebut sekali lagi bertukar warna kepada kemerah-merahan secara perlahan-lahan menghakis warna hijau tersebut. Maka itu, kadang-kadang kita akan dapati terdapat buah sebelahnya merah manakala sebelahnya pula hijau dan akan beransur-ansur menjadi merah terang sepenuhnya. Pada tempoh tersebut buah pokok mulberi anda masih dalam proses matang tetapi tidak boleh dimakan, Pada masa ini buah tersebut masih terasa masam.

Pada usia 1 bulan 3 minggu ke atas kita akan dapati buah sekali lagi bertukar wajah daripada warna kemerah-merahan kepada ungu gelap. Dalam masa 2 hingga 3 hari saja sebiji buah pokok mulberi sudah bertukar warna kepada ungu. Tibalah masa untuk menuai hasil buah pokok mulberi yang telah matang yakni berwarna ungu. Untuk mendapatkan buah mulberi yang manis, lemak berkrim dan segar, tunggu buah tersebut berubah sepenuhnya menjadi ungu gelap. Apabila buahnya sudah mencecah 2 bulan ke atas, buah mulberi akan kecut dan mula memburuk. Kualitinya agak kurang disebabkan sudah terlalu masak. Oleh itu setelah menjadi ungu tuailah dengan cepat. 

Anda boleh mengutip buah berwarna ungu dengan memetiknya. Sebelum dimakan elok dibasuh terlebih dahulu. Jika buahnya banyak anda boleh membuat jem mulberi dengan memasaknya pada api sederhana dan tuang sedikit air serta tambah gula atau gula perang. Masak sehingga buah mulberi hancur dan menjadi likat. Simpan jem mulberi anda dalam bekas atau botol kedap udara dan guna jika anda membakar roti keping. Sesuai dimakan ketika serapan kepada anak-anak kita.

Setelah pokok mulberi anda dituai sepenuhnya, tunggu atau biarkan pokok mulberi anda dalam masa 1 hingga 2 minggu. Seterusnya lakukan pemangkasan semula seperti yang diterangkan di atas. Pokok mulberi anda sekali lagi menghasilkan tunas baharu bersama buah-buah yang segar. Lakukan aktiviti sedemikian sehingga anda muak memakannya, senang cerita, selagi anda pangkas pokoknya selagi itulah pokok mulberi anda akan berbuah lebat. Kaedah pembuahan di atas juga sesuai kepada pokok mulberi yang ditanam dalam pasu, cumanya buah agak kecil sedikit berbanding yang ditanam di tanah. Jadi apa tunggu lagi hasilkan buah mulberi dengan melakukan pemangkasan pokok mulberi anda dia laman rumah dan nikmati hasil buahnya genap 1 bulan hingga 2 bulan kemudian.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Kamis, 16 April 2015

CARA MENYEMAI BENIH PETOLA SEGI (LUFFA)

Tanomkinotuan sangat gemar memakan buah petola (Luffa acutangula) apatah lagi jika ditanam sendiri dalam kebun secara organik. Selalunya tanomkinotuan masak sup campur isi ikan saja. Tak perlu resepi yang berat-berat sangat. Sudah cukup untuk membangkitkan selera. Keluarga tanomkinotuan menyukai makanan yang mudah dan ringkas namun begitu masih menyediakan dan menyukai makanan yang enak dan lazat. Pokok petola sangat sesuai tumbuh di negara kita dengan suhu lembab dan panas sepanjang tahun. Malah pertumbuhannya sangat galak di tempat tanah tinggi kerana ia menyukai suhu sejuk. Petola berasal dari negara India dan menyebar ke seluruh belahan dunia termasuk di negara kita. Tahukah anda bagaimana hendak menyemai benih petola?

Pokok petola ditanam melalui benihnya. Berikut tanomkinotuan jelaskan cara mudah untuk menyemai petola dari benih dalam bekas semaian yang akan dialihkan anak pokoknya ketika sudah berusia 2 hingga 3 minggu.

Bahan-bahan yang diperlukan seperti berikut;

1. Benih petola
2. cup plastik 
3. 2 cup tanah lom/hitam
4. 1 cup pasir sungai
5. 1 cup kompos/baja organik
6. air secukupnya

Cara penyediaan semaian seperti berikut:

1. Satukan tanah lom, pasir sungai dan kompos di dalam satu bekas yang bersih terlebih dahulu. gaul hingga kesemuanya bersatu.

2. Masukkan media campuran tersebut ke dalam cup plastik hingga penuh. Padat-padatkannya dengan menghentak-hentak secara perlahan-lahan agar kemampatan media tersebut terhasil atau anda boleh menekan secara perlahan untuk tujuan tersebut. Jangan terlalu padat pula.

3. Buat lubang ditengahnya sedalam 2 inci dan masukkan sebiji petola ke dalam lubang yang dibuat. 1 biji petola untuk 1 cup plastik. Timbus semula benih petola di dalam lubang dengan tanah.

4. Siram menggunakan air secukupnya. Simpan cup plastik tersebut ditempat terkena cahaya matahari dan selamat.

Benih petola akan bercambah pada hari ke-5 hingga hari ke-14 selepas di tanam. Setelah anak pokok petola anda berusia 2 hingga 3 minggu, anak pokok petolah sudah boleh dialihkan ke batas yang disediakan atau di dalam pasu bersaiz besar. Jaga pokok petola anda seperti menjaga tanaman yang lain hingga berbuah.

Tips menyemai benih petola:

1. anda boleh menggunakan tanah biasa di halaman rumah anda untuk media semaian benih petola dengan syarat bubuh kompos di dalamnya.

2. Awasi cup plastik anda dengan serangan semut yang suka membuat sarang pada media semaian anda. Alihkan cup plastik anda atau hapuskan sekawanan semut dengan menggunakan racun organik pembunuh semut.

3. Anda juga boleh menggunakan media semaian seperti 2 cup kompos, 1 cup perlite (abu vulcano) dan 1 cup vermiculite. Gaul ketiga-tiga media ini hingga sebati dan masukkan dalam cup plastik hingga penuh. Medianya ringan dan praktikal untuk semaian. Fomula media campuran ini juga sesuai untuk menanam sayuran dalam pasu besar.

4. Elak berlaku kekeringan pada media anda, spray atau siram sedikit air untuk melembabkannya.

5. Jika anak pokok petola anda berkaki panjang/terlalu tinggi (leggy) disebabkan kurang cahaya matahari ditempat terletaknya cup plastik tersebut. Dedahkan anak pokok petola kepada cahaya matahari terus selama 1 jam pada waktu pagi dan 1 jam pada waktu petang. Lakukan rutin ini sehingga anak pokok petola menjadi kuat dan kukuh.

6. Anda boleh menggunakan apa-apa bekas semaian yang sesuai seperti tupperware, cup aiskrim, kontena, kotak kecil, tin susu terbuang dan sebagainya.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Minggu, 12 April 2015

CARA DAN PANDUAN MENYEMAI BENIH ZUCCHINI

Selain menanam sayuran berdaun, timun, tembikai dan jenis cili. Apa kata tukar angin menanam buah zucchini yang terkenal di Barat sebagai tanaman komersil di sana. Pokoknya bukan jenis memanjat (bush). Buah zucchini muncul dari celah batang daunnya. Pokok zucchini mempunyai bunga jantan dan bunga betina dalam satu pokok. Pokok zucchini adalah termasuk dalam keluarga labu tetapi ia boleh di makan mentah sebagai salad. Kira di antara buah labu dan buah timun juga lah. Pokok zucchini mudah tumbuh di negara kita sama ada di atas batas atau pun di dalam pasu. Buah zucchini bukan saja enak dimakan sebagai salad tetapi sesuai dengan pelbagai resepi yang diinginkan sama ada ala Barat atau mengikut resepi budaya sendiri yang diubahsuai. 

Bahan-bahan keperluan:

1. Benih zucchini

2. Cup plastik

3. 2 cup tanah lom/hitam

4. 1 cup pasir sungai

5. 1 cup kompos/tinja binatang

6. Air secukupnya

Pertama sekali dapatkan benih zucchini terlebih dahulu. Pilihlah variati yang anda gemari, zucchini ni pun mempunyai pelbagai variati dari bentuk oval, bujur dan panjang. Jadi pilihan di tangan anda. Terlebih dahulu rendam benih zucchini anda selama 2 hingga 3 jam terlebih dahulu sebelum menyemai. Anda juga boleh menyemai terus benih zucchini tanpa merendamnya.

Campurkan tanah lom, pasir sungai dan kompos ke dalam besen terlebih dahulu dan gaul sebati. Masukkan media tersebut ke dalam bekas semaian hingga penuh. 

Buat lubang di tengah cup plastik yang telah diisi media sedalam 1 inci. Masukkan sebiji zucchini ke dalam lubang tersebut dan timbus dengan tanah. Setiap satu cup anda ditanam sebiji atau dua biji zucchini. 

Siram dengan air secukupnya. Letakkan cup anda ditempat selamat. Pastikan media semaian tidak kering, ini akan menyebabkan benih anda terjejas untuk bercambah. Spray atau siram sedikit air agar media lembab sentiasa. 

Anda boleh menggunakan apa-apa bekas terbuang seperti cup aiskrim, tupperware, kotak kecil atau sebagainya. Media semaian haruslah kaya dengan organik di mana guna nisbah 2:1:1 (tanah lom:pasir sungai:kompos). Anda juga boleh menggunakan tanah semaian yang ada jual di kedai pertanian. Benih zucchini mula bercambah dari hari ke-5 hingga hari ke-14 hari. Selepas 2 hingga 3 minggu bolehlah di alihkan ke batas atau pasu.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Sabtu, 11 April 2015

PANDUAN PERTUKARAN POLIBAG ASPARAGUS YANG LEBIH BESAR.

Sahabat tanomkinotuan telah menghantarkan email kepada tanomkinotuan tempoh hari tentang cara bagaimana supaya pokok asparagus senantiasa mengeluarkan pucuk/tombak baharu setiap masa dalam polibag, ini kerana katanya pokok asparagusnya sudah lama tidak mengeluarkan tombak-tombak baru tidak seperti dulu sampai 3 hingga 5 tombak tumbuh keluar serentak. Satu perkara yang perlu difahami bahawa pokok asparagus hidup subur dan mengeluarkan tombaknya apabila media tersebut kaya dengan organan yang cukup untuk memberikan zat makanan kepada pokok asparagus. Dengan menambah kompos di sekelilingnya 3 minggu sekali serta meletakkan mulsa habuk kayu atau rumput kering sudah memadai untuk memperbaiki kualiti tanah pada pokok asparagus. Cukup zat makanan pokok asparagus akan rajin menghasilkan tombak.

Tetapi bagi pokok asparagus yang ditanam dalam polibag, mungkin sahaja akarnya terlalu padat dalam polibag menyebabkan sukar untuk bertunas semula atau juga mungkin makanan di dalam polibag itu sudah habis. Jadi elok rasanya tukar polibag tersebut kepada saiz polibag yang besar untuk memudahkan pergerakan akar di dalam tanah. Berikut tanomkinotuan kongsikan kepada pembaca bagaimana untuk menukarkan atau memindahkan pokok asparagus dari polibag kecil kepada polibag yang besar beserta gambar.



Gambar diatas merupakan bahan-bahan yang diperlukan untuk memindahkan pokok asparagus anda seperti polibag saiz besar dari polibag yang digunakan untuk menanam pokok asparagus kini, rumput kering, habuk kayu, tinja lembu kering dan media campuran tanah hitam, kompos dan pasir sungai. Cuma media campuran tu lupa pula nak ambil gambar. Sorry banyak-banyak.



Masukkan 2 hingga 3 genggam tanah ke dalam polibag, dan seterusnya masukkan beberapa rumput kering atau daun kering. tinja lembu dan habuk kayu ke dalamnya. Tekan ia agar sedikit tertolak ke bawah. 



Tambah semula media campuran di atasnya kira-kira 4 genggam atau hingga menutupi rumput rumpai dan habuk kayu tersebut. Tekan ke bawah sekali lagi secara merata agar tidak terdapat ruang-ruang udara di dalamnya. Anda juga boleh mengentak-hentakkan polibag tersebut untuk tujuan memampatan.



Seterusnya dengan berhati-hati, koyakkan polibag yang ditanam dengan pokok asparagus sebelum ini menggunakan alat tajam seperti pisau (tanomkinotuan hanya koyakkan dengan tangan). Jangan mencederakan akarnya. Lihat akarnya sudah terlalu padat hingga tanah pun sudah ditutupi oleh akar. Jika sedemikian, tidak hairan mengapa pokok asparagus anda tidak menghasilkan tombak baru.



Keluarkan tanah bersama pokok asparagus dengan cermat agar tanah tidak terbelah atau terlerai. Masukkan tanah bersama pokok asparagus tersebut ke dalam polibag besar itu tadi lalu penuhkan media ke dalam ruang-ruang polibag dengan menekan tanah-tanah tersebut agar mampat atau padat sedikit. lakukan kerja-kerja hingga selesai. Siram dengan air secukupnya.



Hasil pemindahan dari polibag sederhana besar kepada polibag bersaiz besar. Ini akan membolehkan akar pokok asparagus anda bebas bergerak di dalam tanah dan selepas seminggu pokok asparagus anda akan mengeluarkan tunas/tombak baharu. Polibag ini akan ditukar semula apabila pokok asparagus anda semakin besar dan sudah tidak sesuai berada dalam polibag sedia ada. Anda juga boleh menyelesaikan masalah sebegini dengan menanamnya langsung pada tanah yang lapang untuk pertumbuhan yang baik. Apakah variati asparagus yang anda tanam di halaman rumah anda?

Selamat mencuba dan Selamat bertani dan menuai hasil.

APAKAH ITU GMO's? KESAN KEPADA MANUSIA DAN ALAM SEKITAR

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN GMO's?

Japanese edamame
Pernahkah anda mendengar istilah GMO's? bagi mereka yang mengamalkan pemakanan kesihatan dari makanan tambahan SHAKLEE pernah mendengarnya. GMO's adalah sebutan penuh kepada Genetically modified organisms atau 'pengubahsuaian organisma secara genetik' adalah bermaksud pengubahan genetik sesuatu organisma kepada bentuk baharu dengan cara mengeluarkan satu gen atau lebih gen terhadap DNA organisma lain seperti bakteria, virus, binatang atau tumbuhan dan menggabungkannya ke dalam DNA tumbuhan yang hendak diubahsuai. Sesetengah vaksin di hospital juga adalah hasil dari kejuruteraan genetik. Sebab itu kadang-kadang kita perlu menandatangani surat akuan setuju jika menyuntiknya terutama di sekolah untuk anak-anak kita. 


APAKAH TUJUAN TEKNOLOGI GMO's?

Tujuannya adalah supaya spesis yang terhasil melalui sains kejuruteraan makanan ini baik, kukuh, kuat dan tahan rintangan penyakit juga untuk mendapatkan hasil pulangan yang tinggi dari segi kuantiti dan kualiti. 


APAKAH NEGARA PENGELUAR MAKANAN/TANAMAN GMO's?

Negara Amerika Syarikat adalah negara pengeluar tanaman berasaskan GMO's terbesar dunia dalam pengeluaran tanaman khususnya kacang soya dan jagung manis. Mosanto merupakan salah satu syarikat pengeluar tanaman GMO's terbesar di USA. Negara Filipina juga berkecimpung dalam penciptaan beras GMO's yang dipanggil 'Golden rice'. 


TERANGKAN SECARA RINGKAS BAGAIMANA SAINS KEJURUTERAAN MAKANAN INI BERFUNGSI?

Pengubahsuaian organisma secara genetik ini adalah satu kaedah yang mana mengambil atau mengeluarkan satu atau lebih gen dari organisma hidup yang lain dan digabungkan ke pada gen DNA organisma yang ingin diubahsuai. Contohnya, Ahli sains dari Mosanto melalui kejuruteraan genetik memindahkan gen dari bakteria yang dikenali sebagai Bacillus Thuringiensis atau singkatannya Bt ke dalam DNA jagung yang ingin diubahsuai, maka terbentuklah satu variasi gen jagung yang baharu kuat dan tahan serangan penyakit. Apabila pokok ini ditanam di ladang atau kebun. Gen Bt sebagai satu novel protein dengan cepat bertindak membunuh serangga yang memakan buah jagung tersebut dengan membebaskan kimia racun sendiri pada dirinya. Dengan itu, pokok jagung sihat tanpa gangguan makhluk perosak. Bukan itu sahaja, serangga pendebunga seperti lebah juga terkesan sama.

Satu masalah besar mengenai pengubahsuaian genetik ini adalah dalam proses memasukkan gen ke dalam DNA tanaman secara rawak, para saintis tidak mengetahui ke mana gen-gen itu pergi atau tidak diketahui jejaknya. Ini boleh menjejaskan fungsi kepada gen yang lain dan mencipta novel protein yang tidak wujud sebelum ini dalam tanaman. Ia juga menghasilkan toksik penyebab alergik dalam makanan.

Kita juga sangat mustahil mengetahui apakah item-item atau bahan-bahan yang digabungkan ke dalam gen tumbuhan yang ingin diubahsuai. Tidak ada spesifikasi jelas yang boleh dijadikan ukuran tentang penggabungan gen-gen yang berbeza ini. 


APAKAH TUMBUHAN ATAU TANAMAN YANG SERING DIWUJUDKAN MELALUI GMO's?

Antara tanaman yang diwujudkan melalui kejuruteraan genetik ini ialah:

  • Kacang soya
  • Jagung manis
  • Alfalfa
  • Canola 
  • Kapas
  • tomato
  • squash
  • Kentang
  • pokok padi (Filipina)
  • Terung
  • Dan sebagainya


APAKAH KESANNYA PRODUK GMO's KEPADA KESIHATAN MANUSIA DAN ALAM SEKITAR.


Secara alami tumbuhan membiak dengan cara pendebungaan semulajadi bagi kelangsungan tumbuhan itu terus hidup di muka bumi. Alih-alih zaman kini, berlaku pembiakan menerusi perbezaan kelompok geologikal yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ia sangat luar biasa dan pelik. Banyak kajian-kajian yang telah dibuat oleh saintis di serata dunia mengenai keburukan makanan GMO's. GMO's mendatangkan kesan buruk kepada tubuh badan, komuniti, pekebun/peladang dan juga alam sekitar antaranya ialah:

1. Kesan alahan pada tubuh badan. Apabila protein yang terjejas/rosak memasuki tubuh badan kita, ia akan stimulate kepada imunisasi tubuh badan menyebabkan alahan berlaku. Hal ini berlaku dalam kejuruteraan makanan yang mana mengabungkan mana-mana bahan gen melalui sesuatu yang mengakibatkan alahan pada seseorang manusia. Kira-kira 3% kanak-kanak dan 2% remaja di USA mengalami alahan terhadap makanan keluaran dari GMO's (Bakshi:2003)

2. Peningkatan toksik pada makanan. Kebanyakan tumbuhan adalah bertoksik kepada manusia, banyak makanan yang dimakan oleh kita mempunyai toksik tersendiri tetapi dalam tahap rendah yang tidak mengganggu kepada kesihatan. Menerusi GMO dikhuatiri apabila mengabungkan gen organisma yang bertoksik pada tumbuhan yang ingin diubahsuai menyebabkan pemakan yakni manusia mengalami masalah kesihatan mereka. 

3. Menurunkan tahap nutrisi pada tanaman. Secara teorinya pengubahsuaian genetik pada tanaman akan mengurangkan kadar nutrisi pada tumbuhan yang diubahsuai. Contohnya pada kacang soya di mana kajian mendapati kacang soya yang diGMO melalui kejuruteraan genetik ini menghasilkan phytoestrogen tahap sangat rendah berbanding dengan kacang soya non-GMO. Kompound phytoestrogen adalah satu bahan kimia dalam soya yang boleh mengurangkan serangan penyakit hati dan kanser (Bakshi:2003).

4. Membunuh serangga pendebunga. Selain kesan buruk GMO's kepada manusia, ia juga memberi masalah besar kepada alam sekitar. Kajian yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik dari Iowa State University mendapati bahawa kematian sejenis rama-rama pemakan milkweed jagung yang dikenali sebagai Monarch Butterfly ini disebabkan jagung GMO, gen Basilus thurengetis di dalam gen jagung melalui nobel protein menghasilkan racun sendiri untuk membunuhnya. Apa-apa serangga yang menghampiri pokok jagung ini mengalami kematian. Sama kes di negara Afrika di mana jagung GMO ditanam oleh petani secara besar-besaran menyebabkan nyamuk di sekitarnya pupus atau mati. Hingga kadar penyakit denggi rendah di kawasan itu. Namun pengkaji kes ini khuatir pokok jagung GMO juga akan membunuh pendebunga lain seperti lebah dan sebagainya. Ini akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Beliau dan pengikutnya berusaha menentang dan memberi kesedaran kepada penduduk agar menghentikan projek menanam jagung GMO di negara tersebut tetapi usahanya terhalang oleh kuasa politik wang di negara berkenaan.

5. Tumbuhan GMO mampu mendebunga tumbuhan dari spesis asli. Kes ini berlaku di Dakota di mana tanaman canola terbesar di USA dan juga terdapat pokok canola liar tumbuh berhampiran. Pengkaji mendapati setiap gen pokok canola asli mengandungi transgen dari canola GMO. Ini akan mendatangkan kesan buruk terhadap tumbuhan asli yang dicemari gen dari pokok canola yang di genetikkan menerusi GMO.

6. Gen organisma yang digabungkan dalam tumbuhan kekal dalam badan manusia. Memakan tanaman GMO's yang mengandungi Bt (Basilus thurengetis). Kajian mendapati bahawa Bt dijumpai dalam darah ibu mengandung dan juga dalam fetusnya. Bukankah ini satu keburukan kepada kesihatan, imunisasi terhadap manusia?

ANTARA NEGARA MENGHARAMKAN PRODUK GMO MEMASUKI PASARAN MEREKA


Cuba dapatkan info di SINI bagi negara terlibat. Ada sesetengah negara mengharamkan sepenuhnya benih dan produk GMO dan sebahagian lagi hanya separuh. 


CARA MENGHINDARI DARI PRODUK GMO


1. Setiap benih terutamanya jagung, kacang soya, canola dan kentang dari USA, 80% adalah GMO. Elak membelinya di pasaraya atau kedai. Termasuk makanan tin atau makanan ayam terutamanya dari produk jagung.

2. Tanam sendiri sayuran anda di rumah. Pilih variati jagung  atau kacang soya heirloom untuk tujuan ini. benih jagung dan soya dari Jepun, Taiwan dan China masih selamat ketika ini kerana negara tersebut mengharamkan produk GMO memasuki pasaran mereka.

3. Beli produk tanaman orang kampung. Bukan sahaja organik malah benihnya adalah heirloom kecuali jagung manis yang mereka tanam, masih boleh diragui.

4. Elak membeli benih online daripada benih GMO.

5. War-warkan kepada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai tentang keburukan GMO agar mereka tidak terbeli dan tidak termakan produk-produk tersebut.

Kesimpulannya, awasi pemakanan kita daripada produk GMO. Teliti dan sentiasa tingkatkan pengetahuan tentang GMO dalam diri anda agar kita mampu hindarinya dimasukkan ke dalam mulut. Namun kajian masih perterusan dijalankan oleh penyelidik mengenai kesan ke atas manusia. Apapun posisi anda sama ada mempertahankan makanan GMO's atau sebaliknya ia adalah keputusan masing-masing.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Fungsi Keluarga Dalam Mendidik Anak Dirumah Dan Pendidikan Anak Disekolah



Pendidikan merupakan tanggung jawab bersama antara keluarga masyarakat dan pemerintah. Sehingga orang tua tidak boleh menganggap bahwa pendidikan anak hanyalah tanggung jawab sekolah.

Pendidikan merupakan suatu usaha manusia untuk membina  kepribadiannya agar sesuai dengan norma-norma atau aturan di dalam masyaratakat. Setiap orang dewasa di dalam masyarakat dapat menjadi pendidik, sebab pendidik merupkan suatu perbuatan sosial yang mendasar untuk petumbuhan atau perkembangan  anak didik menjadi manusia yang mampu berpikir dewasa dan bijak.

Orang tua sebagai lingkungan pertama dan utama dimana anak berinteraksi sebagai lembaga pendidikan yang tertua, artinya disinilah dimulai suatu proses pendidikan.  Sehingga orang tua berperan sebagai pendidik bagi anak-anaknya. Lingkungan keluarga juga dikatakan lingkungan yang paling utama, karena sebagian besar kehidupan anak di dalam keluarga, sehingga pendidikan yang paling banyak diterima anak adalah dalam keluarga. Menurut Hasbullah (1997), dalam tulisannya tentang dasar-dasar ilmu pendidikan, bahwa keluarga sebagai lembaga pendidikan memiliki beberapa fungsi yaitu fungsi dalam perkembangan kepribadian anak  dan  mendidik anak dirumah; fungsi keluarga/orang tua dalam mendukung pendidikan di sekolah.

Fungsi keluarga dalam pembentukan kepribadian dan mendidik anak di rumah:
  • sebagai pengalaman pertama masa kanak-kanak
  • menjamin kehidupan emosional anak
  • menanamkan dasar pendidikan moral anak
  • memberikan dasar pendidikan sosial
  • meletakan dasar-dasar pendidikan agama
  • bertanggung jawab dalam memotivasi dan mendorong keberhasilan anak
  • memberikan kesempatan belajar dengan mengenalkan berbagai ilmu pengetahuan dan keterampilan yang berguna bagi   kehidupan kelak sehingga ia mampu menjadi manusia dewasa yang mandiri.
  • menjaga kesehatan anak sehingga ia dapat dengan nyaman menjalankan proses belajar yang utuh.
  • memberikan kebahagiaan dunia dan akhirat dengan memberikan pendidikan agama sesuai ketentuan Allah Swt, sebagai   tujuan akhir manusia.
Fungsi keluarga/ orang tua dalam mendukung pendidikan anak di sekolah :
  • orang tua bekerjasama dengan sekolah
  • sikap anak terhadap sekolah sangat di pengaruhi oleh sikap orang tua terhadap sekolah, sehingga sangat dibutuhkan   kepercayaan orang tua terhadap sekolah  yang menggantikan tugasnya selama di ruang sekolah.
  • orang tua harus memperhatikan  sekolah anaknya, yaitu dengan memperhatikan pengalaman-pengalamannya dan   menghargai segala usahanya.
  • orang tua menunjukkan kerjasama dalam menyerahkan cara belajar   di rumah, membuat pekerjaan rumah dan memotivasi   dan membimbimbing anak dalam belajar.
  • orang tua bekerjasama dengan guru untuk mengatasi kesulitan belajar anak
  • orang tua bersama anak mempersiapkan jenjang pendidikan yang akan dimasuki dan mendampingi selama menjalani   proses belajar di lembaga pendidikan.

CARA MENYEMAI MULBERI DARI KERATAN BATANG

Pokok mulberi popular ditanam di negara ini. Buahnya yang berwarna hitam ketika matang rasa manis apabila memakannya. Pokok ini sesuai ditanam di halaman rumah sebagai penghias laman selain pokoknya menghasilkan buah yang boleh dituai juga pucuk mudahnya boleh dimasak sebagai sayur. Ia boleh dijadikan snek yang enak dan berkhasiat terutamanya tinggi kandungan vitamin C. Jika tidak cukup ruang pada halaman rumah anda, anda boleh menanamnya di dalam pasu besar. Berikut cara menyemai pokok mulberi dari keratan batang.

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. 5 keratan batang pokok mulberi

2. 5 polibag saiz sederhana

3. 2 mangkuk besar tanah hitam/lom

4. 1 mangkuk besar kompos/tinja ayam

5. 1 mangkuk besar pasir sungai

Cara menyediakannya:

1. Campurkan media seperti tanah hitam, kompos dan pasir ke dalam besen besar dan gaul hingga sebati.

2. Masukkan media campuran tersebut ke dalam polibag yang telah disediakan. Padat-padatkan sedikit.

3. Buat lubang ditengah polibag menghunakan kayu sama saiz dengan keratan mulberi kira-kira 2 inci setengah hingga 3 inci.

4. Cucukkan keratan batang mulberi satu persatu pada setiap lubang dalam polibag. Padat-padatkan tanah disekeliling keratan batang pokok mulberi tadi. 

5. Siram semaian keratan batang dengan air mencukupi. Simpan polibag anda di tempat teduh sehingga keratan pokok mulberi mengeluarkan tunas.

Lazimnya selepas 2 minggu tunas baru akan muncul. Pastikan tempoh ini jangan goyangkan keratan batang dikhuatiri keratan batang akan mati. Siram media semaian jika didapati agak kering supaya akar dapat terbentuk dengan cepat. Selepas 4 minggu anda sudah boleh alihkan ke batas atau pasu atau sehingga pokok mulberi sudah kuat dan pucuknya melebihi 4 inci. 

Anda juga boleh menggunakan media aka tanah di halaman rumah anda. Pokok mulberi tidak cerewet mengenai tanah. Ia boleh tumbuh pada apa-apa jenis tanah dengan syarat ia mesti lembab dan kaya organik.

Jika anda menggunakan tinja ayam pastikan media tersebut direhatkan selama 2 minggu barulah menanam keratan pokok mulberi, dikhuatiri pangkal keratan pokok mulberi membusuk dan mati. Tinja ayam bersifat panas dan menjejaskan tanaman jika tinja ayam tersebut belum reput sepenuhnya.

Selamat bertani dan menuai hasil.