Jumat, 06 Maret 2015

CARA DAN PANDUAN MENANAM TOMATO CERI

Tomato ceri mudah dibeli di pasaraya atau di pasar siang/sunday market di sekitar sabah. Datang saja ke tamu-tamu pada tarikh yang ditetapkan anda boleh mendapatkan tomato ini. Tomato ceri adalah variati yang tergolong dalam variati tomato beafsteak mini (miniture tomato) yang lembut dan mempunyai rasa manis berbanding tomato-tomato lain yang ada dijual di pasaran. Tomato ceri sesuai dicampur dalam masakan sup berasaskan ayam atau daging juga sesuai dicampurkan dalam sambal yang menggunakan tomato sebagai bahannya. Berikut adalah cara dan panduan menanam tomato pada batas/tanah.

PEMILIHAN BENIH TOMATO CERI

Pembaca yang ingin menanam tomato ceri perlu mendapatkan benihnya terlebih dahulu. Benih tomato ceri boleh dibeli dikedai pertanian, nusery atau kedai hardware berhampiran. Anda boleh mendapatkan harga RM1 atau RM2 satu pek sekiranya bijak memilih tempat membeli. Pastikan benih tersebut masih elok, cantik dan paling penting lihat tarikh luput terlebih dahulu. Selain itu, anda boleh mendapatkan benih tomato ceri dari buahnya yang dibeli di pasar atau pasaraya. Caranya adalah asingkan 2 hingga 3 biji tomato ceri sebagai bahan benih. Belah buah tomato ceri dan keluarkan biji-bijinya ke dalam bekas yang bersih. Tambahkan air ke dalam bekas yang berisi biji tomato dan kacau seketika. Ambil penapis dan tapis air dan biji tomato untuk mengasingkan sisa dan biji tersebut. Selepas itu letak pada bekas seperti pinggan dengan meratakan biji tomato di atasnya agar tidak bertindih antara satu sama lain. Jemur biji tomato tersebut selama 3 hari atau sehingga biji-biji tersebut kering, kopek biji tomato dan masukkan ke dalam botol kedap udara. Simpan ditempat suhu bilik.

PENYEMAIAN BENIH TOMATO CERI

Seeloknya semai terlebih dahulu benih tomato ceri anda pada bekas semaian yang sesuai. Antara bekas buangan yang boleh digunakan untuk menyemai ialah kontena, tupperware, cup aiskrim, botol mineral 1.5 L yang dipotong, dan bekas yang difikirkan sesuai. Ambil tanah kompos yang dibeli di kedai, masukkan ke dalam bekas semaian hingga penuh. Tabur benih tomato ceri dan timbus sedikit tanah lalu siram. Pastikan media semaian tidak terlalu kering dan juga tidak terlalu basah. Media semaian harus lembab senantiasa untuk memudahkan percambahan benih tomato ceri. Simpan ditempat teduh tetapi masih boleh terkena haba matahari. Berhati-hati dengan semut, semut menyukai media semaian anda kerana sesuai untuknya membuat sarang. Secara tidak langsung, ia boleh merosakkan benih tomato anda. Tunggu sehingga 2 minggu atau 3 minggu barulah dialihkan ke batas.

PEMILIHAN LOKASI PENANAMAN

Menanam pokok tomato ceri memerlukan cahaya matahari penuh sekurang-kurangnya melebihi 6 jam. Maka itu, anda harus memilih kawasan atau tempat di halaman rumah anda yang sesuai untuk menanam tomato ceri ini. Contohnya kawasan belakang rumah, depan rumah atau ditepi pagar. Jangan pilih kawasan menanam yang ada pokok besar atau pokok buah-buahan. Ini kerana pertumbuhan pokok tomato terbantut apabila ditanam berhampiran dengan pokok besar. Pastikan juga kawasan yang dipilih untuk menanam pokok tomato ceri tidak ditakungi air ketika hujan.

PEMBAJAKAN ATAU PEMBUATAN BATAS

Di kawasan perumahan biasanya tanah agak keras, padat dan kering. Tanah sebegini harus dikorek dan digemburkan terlebih dahulu dengan mengunakan alatan sesuai seperti cangkul, jangan mengembur tanah dalam keadaan basah khususnya tanah jenis tanah liat. Ini hanya menjadikan tanah tersebut menjadi keras dan padat apabila telah kering. Gembur tanah sehingga menjadi serpihan-serpihan kecil. Anda disarankan untuk membuat batas memanjang dengan saiz 2X5 atau mengikut ruang halaman rumah anda. Tujuan pengemburan tanah ialah agar pengudaraan dalam tanah menjadi baik dan saliran air boleh meresap sehingga ke dalam tanah. 

PENAMBAHAN BAJA ORGANIK, KOMPOS DAN SERBUK KAPUR PERTANIAN

Untuk meningkatkan kualiti tanah/batas anda, maka harus ditabur dengan kompos atau baja organik seperti tinja ayam reput, guano (tinja kelawar terproses), tinja lembu dan tinja kuda. Anda juga boleh menggunakan baja organik terproses yang mudah dibeli dari kedai pertanian berhampiran. Tabur 3 genggam baja organik pada batas anda dan gaul hingga sebati. Jika tanah anda terlalu berasid maka tambah serbuk kapur untuk mengurangkan tahap keasidan tanah. Anda boleh menentukan tahap PH tanah anda dengan membeli alat penyukat PH tanah di kedai hardware atau kedai pertanian. Serbuk kapur pertanian tidak perlu ditabur pada batas anda jika nilai PH tanah tersebut dalam lingkungan 6.0 hingga 7.0 (tanah neutral). Anda juga boleh menambah garam gypsum ke atas batas untuk mengurangkan kepadatan tanah anda. dedahkan dan rehatkan batas anda sehingga 1 atau 2 minggu untuk mematikan mikrob jahat yang ada dalam tanah anda. Sinaran matahari terik berfungsi untuk tujuan di atas.

PENGALIHAN DAN PENANAMAN ANAK BENIH

Setelah genap 2 atau 3 minggu, maka anak benih tomato ceri sudah boleh dialihkan. Buat lubang sedalam 2 inci dengan jarak 2 kaki setengah antara lubang. Siram terlebih dahulu dan cabut anak pokok tomato ceri dengan berhati-hati lalu tanam anak pokok tomato and pada batas yang disediakan lalu timbus dengan tanah dan padat-padatkan tanah disekeliling pokok anak tomato ceri supaya tidak tumbang jika disiram. Selepas ditanam, siram dengan air secujupnya.

TEDUHAN ANAK POKOK TOMATO CERI

Anak pokok tomato ceri sensitif dengan cahaya matahari terik lebih-lebih lagi kepada anak pokok yang baru dialihkan ke batas. Oleh itu, letakkan teduhan jaring hitam pada batas tersebut selama seminggu untuk anak pokok tomato ceri benar-benar kuat bagi sinaran matahari. Teduhan jaring hitam juga bertujuan agar anak pokok tomato ceri tidak mati dalam tempoh pengalihan. Anda boleh menggunakan apa-apa teduhan yang difikirkan sesuai.

PEMBAJAAN TANAMAN

Selepas 2 minggu dialihkan ke batas, anda sudah boleh menaburkan baja NPK organik 5:5:5 di sekeliling batang pokok. Tabur 2 sudu besar bagi setiap pokok. Pembajaan boleh dilakukan selang 2 minggu Akan datang. Untuk mendapatkan hasil yang baik, anda boleh menyiram anak pokok tomato ceri dengan kompos teh atau baja cecair ikan (fish emulsion fertilizer) selang 2 minggu. Anda boleh selang-selikan dengan baja NPK organik. Jika terdapat kulit telur di rumah anda, jangan dibuang tetapi kumpul sehingga banyak dan tumbuk kulit telur tersebut hingga hancur dan tabur disekeliling anak pokok tomato anda. Kulit telur kaya dengan kalsium untuk pembaikan tanah dan tumbuhbesaran pokok tomato. Sekiranya pokok tomato ceri anda sudah mula berbunga dan berbuah gandakan jumlah baja yang ditabur pada batas tersebut. Pada tempoh ini, pokok tomato memerlukan kelembapan tanah, oleh itu penyiraman harus konsisten sehinggalah pokok tomato ceri menghasilkan buah.

PENYIRAMAN DAN PENJAGAAN

Penyiraman adalah rutin yang perlu dilakukan oleh anda untuk pokok tomato ceri itu tumbuh dengan baik. Lakukan penyiraman 2 kali sehari (pagi dan petang) ketika musim panas dan tidak perlu ketika hujan. Buang segala rumput rumpai pada batas agar persaingan mendapatkan nutrient tidak berlaku. Pengemburan batas juga harus dilakukan 3 minggu sekali agar tanah tidak menjadi keras dan memudahkan agar menyerap makanan dengan baik. Gembur dan siram. Berhati-hati jika melakukan aktiviti mengembur. Jangan mencederakan akar pokok tomato ceri anda.

PENUAIAN HASIL TOMATO CERI

Genap 3 bulan setengah, anda sudah boleh menuai hasil buah pokok tomato ceri anda. Petik buah masak pada tangkainya yang lembut secara berhati-hati. Pokok tomato ceri boleh membekalkan buahnya sehingga 3 bulan sekiranya dijaga dengan betul. Anda bolehlah menikmati buah tomato ceri tanam sendiri dengan resepi masakan pilihan anda. Peribahasa "Berbudi pada pada tanah" sangat sinonim kepada yang suka bertani di halaman rumah dan mereka-mereka inilah yang sangat-sangat memahami akan peribahasa di atas kerana pernah mengalami sendiri. 

Selamat bertani dan menuai hasil. 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar