Kamis, 16 April 2015

CARA MENYEMAI BENIH PETOLA SEGI (LUFFA)

Tanomkinotuan sangat gemar memakan buah petola (Luffa acutangula) apatah lagi jika ditanam sendiri dalam kebun secara organik. Selalunya tanomkinotuan masak sup campur isi ikan saja. Tak perlu resepi yang berat-berat sangat. Sudah cukup untuk membangkitkan selera. Keluarga tanomkinotuan menyukai makanan yang mudah dan ringkas namun begitu masih menyediakan dan menyukai makanan yang enak dan lazat. Pokok petola sangat sesuai tumbuh di negara kita dengan suhu lembab dan panas sepanjang tahun. Malah pertumbuhannya sangat galak di tempat tanah tinggi kerana ia menyukai suhu sejuk. Petola berasal dari negara India dan menyebar ke seluruh belahan dunia termasuk di negara kita. Tahukah anda bagaimana hendak menyemai benih petola?

Pokok petola ditanam melalui benihnya. Berikut tanomkinotuan jelaskan cara mudah untuk menyemai petola dari benih dalam bekas semaian yang akan dialihkan anak pokoknya ketika sudah berusia 2 hingga 3 minggu.

Bahan-bahan yang diperlukan seperti berikut;

1. Benih petola
2. cup plastik 
3. 2 cup tanah lom/hitam
4. 1 cup pasir sungai
5. 1 cup kompos/baja organik
6. air secukupnya

Cara penyediaan semaian seperti berikut:

1. Satukan tanah lom, pasir sungai dan kompos di dalam satu bekas yang bersih terlebih dahulu. gaul hingga kesemuanya bersatu.

2. Masukkan media campuran tersebut ke dalam cup plastik hingga penuh. Padat-padatkannya dengan menghentak-hentak secara perlahan-lahan agar kemampatan media tersebut terhasil atau anda boleh menekan secara perlahan untuk tujuan tersebut. Jangan terlalu padat pula.

3. Buat lubang ditengahnya sedalam 2 inci dan masukkan sebiji petola ke dalam lubang yang dibuat. 1 biji petola untuk 1 cup plastik. Timbus semula benih petola di dalam lubang dengan tanah.

4. Siram menggunakan air secukupnya. Simpan cup plastik tersebut ditempat terkena cahaya matahari dan selamat.

Benih petola akan bercambah pada hari ke-5 hingga hari ke-14 selepas di tanam. Setelah anak pokok petola anda berusia 2 hingga 3 minggu, anak pokok petolah sudah boleh dialihkan ke batas yang disediakan atau di dalam pasu bersaiz besar. Jaga pokok petola anda seperti menjaga tanaman yang lain hingga berbuah.

Tips menyemai benih petola:

1. anda boleh menggunakan tanah biasa di halaman rumah anda untuk media semaian benih petola dengan syarat bubuh kompos di dalamnya.

2. Awasi cup plastik anda dengan serangan semut yang suka membuat sarang pada media semaian anda. Alihkan cup plastik anda atau hapuskan sekawanan semut dengan menggunakan racun organik pembunuh semut.

3. Anda juga boleh menggunakan media semaian seperti 2 cup kompos, 1 cup perlite (abu vulcano) dan 1 cup vermiculite. Gaul ketiga-tiga media ini hingga sebati dan masukkan dalam cup plastik hingga penuh. Medianya ringan dan praktikal untuk semaian. Fomula media campuran ini juga sesuai untuk menanam sayuran dalam pasu besar.

4. Elak berlaku kekeringan pada media anda, spray atau siram sedikit air untuk melembabkannya.

5. Jika anak pokok petola anda berkaki panjang/terlalu tinggi (leggy) disebabkan kurang cahaya matahari ditempat terletaknya cup plastik tersebut. Dedahkan anak pokok petola kepada cahaya matahari terus selama 1 jam pada waktu pagi dan 1 jam pada waktu petang. Lakukan rutin ini sehingga anak pokok petola menjadi kuat dan kukuh.

6. Anda boleh menggunakan apa-apa bekas semaian yang sesuai seperti tupperware, cup aiskrim, kontena, kotak kecil, tin susu terbuang dan sebagainya.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar