Sabtu, 11 April 2015

PANDUAN PERTUKARAN POLIBAG ASPARAGUS YANG LEBIH BESAR.

Sahabat tanomkinotuan telah menghantarkan email kepada tanomkinotuan tempoh hari tentang cara bagaimana supaya pokok asparagus senantiasa mengeluarkan pucuk/tombak baharu setiap masa dalam polibag, ini kerana katanya pokok asparagusnya sudah lama tidak mengeluarkan tombak-tombak baru tidak seperti dulu sampai 3 hingga 5 tombak tumbuh keluar serentak. Satu perkara yang perlu difahami bahawa pokok asparagus hidup subur dan mengeluarkan tombaknya apabila media tersebut kaya dengan organan yang cukup untuk memberikan zat makanan kepada pokok asparagus. Dengan menambah kompos di sekelilingnya 3 minggu sekali serta meletakkan mulsa habuk kayu atau rumput kering sudah memadai untuk memperbaiki kualiti tanah pada pokok asparagus. Cukup zat makanan pokok asparagus akan rajin menghasilkan tombak.

Tetapi bagi pokok asparagus yang ditanam dalam polibag, mungkin sahaja akarnya terlalu padat dalam polibag menyebabkan sukar untuk bertunas semula atau juga mungkin makanan di dalam polibag itu sudah habis. Jadi elok rasanya tukar polibag tersebut kepada saiz polibag yang besar untuk memudahkan pergerakan akar di dalam tanah. Berikut tanomkinotuan kongsikan kepada pembaca bagaimana untuk menukarkan atau memindahkan pokok asparagus dari polibag kecil kepada polibag yang besar beserta gambar.



Gambar diatas merupakan bahan-bahan yang diperlukan untuk memindahkan pokok asparagus anda seperti polibag saiz besar dari polibag yang digunakan untuk menanam pokok asparagus kini, rumput kering, habuk kayu, tinja lembu kering dan media campuran tanah hitam, kompos dan pasir sungai. Cuma media campuran tu lupa pula nak ambil gambar. Sorry banyak-banyak.



Masukkan 2 hingga 3 genggam tanah ke dalam polibag, dan seterusnya masukkan beberapa rumput kering atau daun kering. tinja lembu dan habuk kayu ke dalamnya. Tekan ia agar sedikit tertolak ke bawah. 



Tambah semula media campuran di atasnya kira-kira 4 genggam atau hingga menutupi rumput rumpai dan habuk kayu tersebut. Tekan ke bawah sekali lagi secara merata agar tidak terdapat ruang-ruang udara di dalamnya. Anda juga boleh mengentak-hentakkan polibag tersebut untuk tujuan memampatan.



Seterusnya dengan berhati-hati, koyakkan polibag yang ditanam dengan pokok asparagus sebelum ini menggunakan alat tajam seperti pisau (tanomkinotuan hanya koyakkan dengan tangan). Jangan mencederakan akarnya. Lihat akarnya sudah terlalu padat hingga tanah pun sudah ditutupi oleh akar. Jika sedemikian, tidak hairan mengapa pokok asparagus anda tidak menghasilkan tombak baru.



Keluarkan tanah bersama pokok asparagus dengan cermat agar tanah tidak terbelah atau terlerai. Masukkan tanah bersama pokok asparagus tersebut ke dalam polibag besar itu tadi lalu penuhkan media ke dalam ruang-ruang polibag dengan menekan tanah-tanah tersebut agar mampat atau padat sedikit. lakukan kerja-kerja hingga selesai. Siram dengan air secukupnya.



Hasil pemindahan dari polibag sederhana besar kepada polibag bersaiz besar. Ini akan membolehkan akar pokok asparagus anda bebas bergerak di dalam tanah dan selepas seminggu pokok asparagus anda akan mengeluarkan tunas/tombak baharu. Polibag ini akan ditukar semula apabila pokok asparagus anda semakin besar dan sudah tidak sesuai berada dalam polibag sedia ada. Anda juga boleh menyelesaikan masalah sebegini dengan menanamnya langsung pada tanah yang lapang untuk pertumbuhan yang baik. Apakah variati asparagus yang anda tanam di halaman rumah anda?

Selamat mencuba dan Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar