Jumat, 15 Mei 2015

MENUAI EDAMAME (GREEN SOY BEAN) MUSIM PERTAMA DI KBR

Kacang soya memang sinonim dengan rakyat Malaysia, produk-produk seperti tempe, air susu kacang soya dan tauhu tidak asing dengan selera kita. Namun pernahkah pembaca memakan buah kacang soya yang masih muda? hanya rebus dan tambah sedikit garam untuk menimbulkan rasa lemak pada bijinya. Kopek podnya dan memakan biji-biji soya yang masih berwarna hijau terang. 



Apabila anda ke restoran-restoran Jepun sekitar ibukota Kuala Lumpur, anda boleh meminta resepi edamame rebus dan harganya pun boleh tahan juga. Edamame adalah bahasa Jepun yang bermaksud buah kacang soya yang belum matang sepenuhnya, juga membawa maksud, eda = branch manakala mame = bean. Maka dengan itu edamame bermaksud kacang soya beranting. ia dikutip apabila isinya sudah membesar dan direbus dengan tambahan sedikit garam. Ia dimakan dengan mengopek podnya untuk mengeluarkan biji-bijinya yang berwarna hijau terang. Ia rasa seperti kacang tanah rebus tetapi aromanya adalah kacang soya. Aroma yang ringan (light) dan enak dikunyah.



Tanomkinotuan mencuba menanam pokok edamame ini di KBR setelah membaca review dari blog orang lain. Sebelum ini tanomkinotuan tidak mempunyai idea terhadap kacang soya hijau, hanya tahu pasal tempe, air kacang soya dan tauhu. haha....dijadikan cerita tanomkinotuan melilaulah di internet mencari adakah benih ini dijual secara online. pernah juga terfikir untuk membeli benih kacang soya yang dijual di pasaran di tempat tanomkinotuan namun ada yang mengatakan bahawa edamame tidak sama dengan kacang soya yang dibuat sebagai air minuman. Pokok edamame pun banyak jenis dan variatti.






Setelah bersusah payah maka terjumpalah tanomkinotuan satu blog www.kebunbahagiabersama. Di sini ada menyenaraikan jenis edamame yang dijual beserta sedikit maklumat mengenai variatinya, ketahanan pada suhu, hujan dan panas. Tanpa membuang masa tanomkinotuan memilih untuk mendapatkan edamame jenis Hayamidori edamame. Selesai segala proses jualbeli, kini tanomkinotuan menunggu barang sampai dengan hati sabar. hari ketiga sebelah petang datang sms dari pos laju mengenai ketibaan barang. Fuh! bagai terlonjak kegirangan kerana pesanan dari pos laju. Esoknya tanomkinotuan datang ke sana untuk mendapatkan pesanan benih edamame tersebut.


Seminggu kemudian barulah tanomkinotuan dapat menanamnya kerana ada kerja-kerja yang harus dibereskan. Tanomkinotuan telah memilih tempat menanam diantara barisan pokok cekur manis dan batas yang ditanam pokok buncis ungu. Tanomkinotuan korek sedalam 1 kaki dan gemburkan tanah supaya menjadi serpihan-serpihan halus, seterusnya tanomkinotuan menabur kompos buatan sendiri setinggi 5 inci dan cocopeat setinggi 3 inci secara menyeluruh pada batas. Dan tanomkinotuan gaul hingga semuanya sebati. tanah tersebut sudahpun digembur dahulu bagi menanam pokok kangkung, tetapi untuk hasil yang baik tanomkinotuan gembur sekali lagi. Kawasan tersebut adalah tanah jenis tanah liat. 

Tanomkinotuan membuat setengah inci lubang dengan jarak 1 kaki antara lubang dan menanam sebiji benih edamame pada setiap lubang. Pada percubaan pertama, hanya 2 biji yang berjaya bercambah daripada 8 biji yang ditanam. Tanomkinotuan semai lagi benih lebihan pada lubang yang tidak berjaya bercambah. Silap tanomkinotuan kerana menyiram terlalu banyak air hingga benih edamame membusuk. Kali kedua, tanomkinotuan semai dan hanya siram sekali sahaja, jika tanah nampak kering hanya spray dengan air. Maka dengan kaedah menyiram tersebut pokok edamame tumbuh dengan jayanya.

Musim menanam benih edamame adalah pada bulan Mac yang lepas, bulan Mac tahun ini sangat panas dan tidak pernah hujan namun pokok edamame tanomkinotuan dapat tumbuh dengan baik. Selepas bercambah ia memerlukan air yang banyak jadi ianya disiram dua kali sehari pagi dan petang, lagi pun musim kemarau panjang melanda pada masa itu. Minggu kedua daun sebenar sudah boleh dilihat dan tanomkinotuan menabur baja subur NPK organik disekeliling pokok, tanomkinotuan gembur tanah disekeliling terlebih dahulu barulah ditabur baja tersebut ini supaya ia mudah meresap ke dalam tanah. 

Selepas 3 minggu, pokok edamame yang tumbuh galak sudah mengeluarkan kudup bunga berwarna putih dengan kelopak kecil. Risau pula tanomkinotuan jika bunga-bunga edamame ini tidak didebunga oleh serangga pendebunga akibat bunga yang tersangat kecil. Tetapi Alhamdullilah, selepas seminggu kemudian terlihat pod mula membesar di celah pangkal duannya menandakan bunga-bunga tersebut berjaya didebungakan. Gembira bukan kepalang, secara automatik tanomkinotuan terbayang-bayang memakan edamame seperti di restoran-restoran Jepun. haha... 




Apabila melihat pada buahnya/pod di mana mempunyai bulu-bulu halus meliputi keseluruhan pod edamame. dan tidak hilang walaupun podnya sudah membesar. Pokok edamame pada amsa yang sama akan mengeluarkan tunas baharu dan menghasilkan bunga dan sekaligus bertukar menjadi buah-buah yang cantik. Ini bermaksud buah edamame tidak matang serentak, jadi kena pilih untuk menuai buahnya yang mempunyai biji membengkak pada podnya.

Genap sebulan lebih atau hampir 2 bulan maka pod edamame sudah boleh dituai. Tangan tanomkinotuan gatal untuk memetik mana-mana pod yang sudah cukup sesuai untuk dipetik. Caranya melihat pada pod yang membengkak menandakan isi/bijinya sudah besar. Petik buahnya dengan meneliti dari pokok ke pokok. Cadangan tanomkinotuan kepada membaca sekalian, jika ingin menanam benih edamame tanamlah pokok edamame sebanyak mungkin menerusi atas tanah atau polibag. Percayalah anda tidak puas makan jika anda hanya menanam sepokok dua saja lebih-lebih lagi memakannya bersama anak-anak. 



Sekembali ke rumah, tanomkinotuan cuci bersih dan rebus buah edamame dengan sedikit garam, hanya tunggu 5 minit siap. Sejukkan dan tanomkinotuan makan bersama emak dan adik tanomkinotuan yang lain. Maka jadinya, hanya 2 atau 3 pod seorang. Tak puas, menyesal mempelawa yang lain-lain untuk makan bersama jika tidak tanomkinotuan boleh merasa keenakan edamame sorang-sorang, hahahaha. Walau bagaimanapun, ketika entry ini ditulis, pokok edamame sudah mempunyai buah yang boleh dituai tetapi tanomkinotuan biarkan ia menjadi matang sepenuhnya untuk bekalan benih yang akan ditanam pada musim akan datang. banyak benih yang diperolehi banyaklah pokok terhasil dan dapat memakan biji edamame segar sepuasnya. Apa kata pembaca sekalian di luar sana mencuba menanam pokok edamame yang sangat popular di Jepun. Anda juga boleh menanam pokok edamame dalam polibag tiada masalah.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar