Sabtu, 25 Juli 2015

PANDUAN MEMOTONG POKOK ASPARAGUS DALAM POLIBAG

Setelah berjaya mendapatkan anak pokok asparagus secara online dan sampai ke tangan pada 05 Januari tahun ini, pokok asparagus tanomkinotuan kini sudah berusia hampir 7 bulan atau lebih (tidak dikira tempoh semaian). Pada mulanya pokok asparagus tersebut sangat rajin mengeluarkan tombak/tunas baru jika tanah/media tersebut lembab dan kaya nutrient. Lebih-lebih lagi setelah pokok-pokok asparagus itu dipindahkan ke polibag yang besar, lagi galak tunas bermunculan di pangkal pokoknya.

Walau bagaimanapun, semenjak dua menjak ini pokok asparagus tersebut kurang menghasilkan tunas baharu. malah terdapat pokok yang langsung tidak bertunas pun walau disiram dan dibubuh baja. keseluruhan pokoknya berwarna kekuning-kuningan seperti hidup segan tak mahu. Kedatangan pakcik tanomkinotuan melawat kebun tersebut telah melihat pokok-pokok asparagus yang tidak berapa sihat dilihat telah menyarankan kepada tanomkinotuan agar potong semua pokok asparagus yang telah tua dan tinggalkan pokok muda kira-kira dua atau tiga batang dalam satu polibag. Seterusnya gembur tanah sedalam 4 inci dan bubuh baja subur (organik).

Tanomkinotuan telah mengikuti saranan pakcik tanomkinotuan dengan mengikuti arahannya. Selang seminggu nampak hasilnya, tunas sudah mula keluar dari tanah malah semakin besar dari tunas-tunas sebelum ini. Tanomkinotuan tersenyum bangga.

Pokok asparagus berdaun
sihat

Jika anda mempunyai pokok asparagus yang mengalami masalah seperti tanomkinotuan. Ikuti langkah berikut:

1. Pertama letak polibag atau pasu berisi pokok asparagus ke tempat terkena sinaran matahari yang banyak (lebih kurang 6 jam lebih). Ini bertujuan agar pokok asparagus memperolehi sinaran matahari cukup untuk pengeluaran tunas baharu.

2. Sediakan pisau tajam dan alat pengembur seperti serampang mata atau sudip tangan. Anda juga boleh menggunakan apa-apa alat untuk tujuan mengembur media pada polibag tersebut.

3. Pastikan dan pilih pokok-pokok asparagus yang telah mati, telah tua, berpenyakit, bersaiz kecil, pokok yang diserang ulat pemakan daun, pertumbuhan terbantut dan daun pokoknya berwarna kuning.

4. Gunakan pisau tajam untuk memotong pokok-pokok asparagus tersebut. Caranya potong setiap pokok asparagus yang tidak diingini pada pangkal pokoknya. Berhati-hati agar tidak terkena akar pokok dan tangan anda. lakukan satu persatu agar semuanya selamat. Potong pokok asparagus tersebut hingga selesai.

5. Tinggalkan 1 atau hingga 3 pokok muda pada satu polibag. 

6. Dengan menggunakan alat pemgembur, gembur media kira-kira 4 inci kedalaman secara berhati-hati disekeliling pokok asparagus. Tidak mengapa jika akar rerambutnya rosak teruk, ia tidak menjejaskan sangat pada pokoknya. jangan saja akar yang besar tersebut. lakukan hingga selesai.

7. Seterusnya buat lubang sedalam 3 hingga 4 inci di sekeliling pokok asparagus secara berhati-hati dan bubuh baja subur organik atau pun kompos. Anda juga boleh menggunakan tinja ayam bagi tujuan tersebut. lalu ditimbus semula dengan tanah di tepinya. Lakukan kerja-kerja pembajaan pada polibag asparagus anda hingga selesai.

8. Siram menggunakan air yang banyak jika tanah/media tersebut kering atau sehingga air memasuki ke dalam rongga-rongga media secara keseluruhannya. anda boleh menyiramnya dua kali sehari jika musim panas dan tidak perlu ketika musim hujan.

9. Supaya tanah dalam polibag tidak cepat kering anda bolehlah meletakkan mulsa (mulch) di atas permukaan tanah polibag tersebut dengan cocopeat, peat-moss atau rumput kering.

kerja-kerja memotong (trim) pokok asparagus anda selesai. Dalam tempoh seminggu selepas ditrim, tunas baru akan keluar dengan saiznya yang besar dan cantik. lakukan kerja ini apabila pokok asparagus anda sudah tidak mengeluarkan tunas baharu. Jangan lupa bubuh baja subur organik sekurang-kurangnya 2 minggu sekali dan mengembur tanahnya sekurang-kurangnya 3 minggu sekali. Hasilnya walaupun pokok asparagus anda ditanam dalam polibag, tetapi ia masih boleh menghasilkan tombak/tunas dengan penjagaan dan pembajaan yang betul.




Gambar di atas adalah pokok asparagus tanomkinotuan yang sudah 3 bulan setelah dialihkan dalam polibag saiz besar. Kini pokok asparagus sudah tidak menghasilkan tunas baharu. daun menguning dan batang pokok tersangatlah banyak.


Sebelum diletak mulsa cocopeat


Selepas diletak mulsa cocopeat


Gambar di atas pula pokok asparagus dalam polibag yang berjaya di potong batang pokoknya. Cuma ditinggalkan beberapa pokok untuk satu polibag. barulah nampak kemas dan bersih. Tanomkinotuan sambil memangkas dan memotong batang pokok asparagus sambil membuang/mencabut rumput disekitar polibag agar nampak bersih.


Gambar tunas asparagus 1


Gambar tunas asparagus 2



Gambar tunas asparagus 3


Setelah seminggu berlalu dari tempoh pemangkasan batang pokok asparagus, kini ia mula bertunas semula. Malah terdapat pokok yang menghasilkan tunas baru hingga 3 tunas serentak. sememangnya sangat menakjubkan. Gambar tersebut hanya beberapa contoh. Pokok asparagus tanomkinotuan berjumlah 9 pokok yang di tanam dalam polibag dan semuanya kini mula bertunas dengan jayanya. Semoga dapat membantu kepada mereka diluar sana bolehlah menggunakan kaedah tersebut untuk pokok asparagus anda dan kepada mereka yang belum mempunyai pokok asparagus apa kata anda mencuba menanamnya. ia cantik ditanam di hadapan rumah dengan pokok yang rimbun dengan dedaunnya seperti jarum. Sambil menuai tombaknya ia sebagai dekorasi laman yang cukup exsotik.

Selamat bertani dan menuai hasil.

TUAIAN TERBARU SAYURAN MINGGU INI

Lepas raya berlalu tanomkinotuan ada menuai hasil sayuran di KBR. Sebenarnya sesetengah gambar yang disertakan ada yang dituai 2 minggu yang lepas dan hari ini. Hendak buat entry dalam pos pun hanya sekeping dua. Tidak sesuailah untuk dipos pada ketika itu, maka tanomkinotuan tunggu lagi dan tuai sayuran tadi petang. Dapatlah mengenapkan gambar-gambar tersebut untuk tatapan pembaca.

Ketika ini musim panas ya amat, telah seikit sebanyak menjejaskan pertumbuhan sayuran di KBR. Sudahlah jarang disiram hanya jika emak tanomkinotuan rajin menyiram maka segarlah sayur tersebut jika tidak tunggu hujung minggu sajalah baru berkesempatan untuk menyiramnya. Jadi sayuran tersebut ketot dan tidak berapa cantik dipandang. Walau bagaimanapun, bagi tanomkinotuan asal boleh dituai dan makan dah bersyukur kiranya sebab tidak perlu membeli sayur. 

Sudah lama tanomkinotuan tidak ke KG, selepas kali terakhir ke sana dengan menuai hasil buah pisang masak tempoh hari. Sudah 3 minggu lebih tidak menjenguk ke KG. Sabtu kelmarin memang ada masa untuk ke sana tetapi disebabkan hendak menghormati adat kampung maka dipendamkan keinginan untuk ke KG. Terdapat satu keluarga telah ruminunson iaitu berpindah ke rumah baharu jadi hari sabtu tersebut ialah hari popinkodou dimana hari dilarang ke kebun atau berkaitan dengan tanah, dikhuatiri berlaku sesuatu yang tidak diingini jika tidak mengikutinya. Jadi tanomkinotuan yang tidak berapa faham akan adat ini ikut sajalah, tak pasal-pasal dikatakan tidak menghormati adat pula. Mungkin sabtu depan barulah dapat ke sana jika tidak ada aral melintang. 

Berikut adalah tuaian sayuran yang sempat diambil gambarnya:

Zucchini hijau: Black beauty zucchini


Alhamdullilah setelah menunggu sebulan lebih, pokok zucchini hijau (black beauty zucchini) kini sudah dituai buahnya yang pertama. Tidak disangka dalam tempoh seminggu buah zucchini membesar saiz sebegini jadi dapatlah tanomkinotuan membuat tempura zucchini ala tanomkinotuan.  Minggu depan tanomkinotuan akan lagi membuat tempura zucchini yang tinggal separuh disimpan dalam peti sejuk. Dimakan dengan nasi bario dan kari ayam. fuhhhh, nyaman tokkkkk kata orang sarawak dan sedap hingga menjilat jari.



Sawi kerinting


Ini pula sawi kerinting tetapi tidaklah cantik seperti sebelum-sebelum ini. Banyak sangat diserang oleh kumbang pemakan daun. Walau bagaimanapun, syukur ia masih boleh dimakan. Almaklumlah musim panas memanjang. Sawi kerinting pun ikut berkabung.


sayur swiss chard


Tuaian daun swiss chard kali pertama, teruja tanomkinotuan sebab sudah mampu tersenyum dan bangga di mana sayur swiss chard yang hanya mampu dilihat dan dibaca di blog-blog luar negara serta menonton video di youtube tetapi hari ini tanomkinotuan dapat menuai hasil daun swiss chard tanam sendiri di KBR. Tak sangka daun swiss chard ini rasa masin bila dimakan mentah. Memang sedap dibuat sayur namun batangnya agak sedikit lambat masak. 

Sayur swiss chard adalah antara sayuran yang baik untuk kesihatan kerana kandungan phytonutrient yang tinggi. Mengikut kajian terdapat lebih kurang 13 perbezaan antioksidan polyphenol antaranya kaempferol dan cardioprotective flavonoid yakni berfungsi untuk menurunkan kadar gula dalam darah. Jadi ia amat sesuai untuk ditanam di laman rumah untuk tujuan tersebut. Ia juga sesuai dimakan sebagai salad khususnya daun mudah.



Tutan: American nightshade


Tidak lupa juga dengan sayur tutan, setiap tuaian tidak sah jika tidak menuai pucuk-pucuk sayur daun muda tutan aka sayur meranti / ranti (bahasa melayu) ini. Ia sangat sesuai dimasak sayur bening. hanya rebus bersama halia, perasakan dengan garam siap.


Timun mini (Five mini cucumber)


Tuaian timun mini sempat dituai tadi pagi. sambil menyiram sayuran tanomkinotuan petik buah timun tersebut untuk disimpan dalam peti sejuk. Ini adalah tuaian terakhir bagi pokok timun mini pada pokok pertama. Maksudnya tanaman kedua timun mini ini masih dalam tumbuhbesaran dan tidak lama lagi akan menghasilkan buah, tetapi hanya sepokok berjaya bercambah disebabkan oleh serangan semut tempoh hari. 

Begitulah hasil tuaian sayuran di KBR yang terbaru. Perkembangan KBR hari ini, lobak merah masih dalam tumbuhbesaran manakala swiss chard dah gondol disebabkan daun-daunnya dipetik oleh emak tanomkinotuan dua hari lepas bagi tuaian kali kedua. Pokok florence fennel pula berusaha untuk tumbuh dengan baik manakala pokok asparagus dalam polibag sudah ditrim dan dibuang sebahagian pokoknya yang lain. Kini ia kembali bertunas semula dengan tombak-tombak semakin besar dan gemuk-gemuk belaka. 


Black gold: Kompos buatan sendiri


Tanomkinotuan selitkan baja kompos buatan sendiri yang sudah boleh digunakan untuk membaja sayuran di KBR. Bolehlah bertahan untuk sebulan dua di mana tidak perlu membeli baja subur organik dalam tempoh tersebut. Sisa buangan dapur yang dikumpulkan seperti kulit timun, kulit kentang, sisa daun sayur dan sebagainya dikumpulkan dan dikompos sehingga menjadi seperti di atas. Musim panas di tempat tanomkinotuan mempercepatkan pengemposan sisa-sisa tersebut. tanomkinotuan dapat mengumpul kompos buatan sendiri sebanyak 2 baldi setengah. Jumaat petang, tanomkinotuan telah membubuh baja pada pokok zucchini hijau, pokok zucchini crockneck kuning dan zucchini scallop kuning agar tumbuh dengan baik. Selain itu baja kompos buatan sendiri ditabur pada batas yang ditanam pokok swiss chard dan lobak merah.




Inilah pokok zucchini yang ditunggu-tunggu tanomkinotuan. namanya ialah zucchini scallop kuning. Buah zucchini ini seperti gasing dengan bentuk buah ditepinya berombak atau seperti karipap. Buah zucchini scallop kuning ni baru sahaja didebungga dan mula membesar dengan bunganya akan mula layu. Seminggu kemudian dapatlah dituai buahnya jika tidak dituai lebih dulu oleh ulat pengorek buah.


Selamat bertani dan menuai hasil.

Minggu, 19 Juli 2015

PERKEMBANGAN POKOK ZUCCHINI HIJAU

Selepas berjaya menanam dan menuai hasil buah pokok zucchini crockneck kuning tempoh hari di KBR, disebabkan  rasa dan strukturnya memang sedap dibuat salad atau dimasak tumis. Tanomkinotuan ghairah dan sangat-sangat teruja menanam benih-benih keluarga summer squash ini. Terbaru tanomkinotuan menyemai dan menanam pokok zucchini hijau pula. Buah zucchini ini berwarna hijau tua dengan kulit licin, sebab itu disebut dalam englishnya Black beauty Zucchini. Sebelum ini hanya melihat dalam TV atau gambar-gambar pada blog-blog luar negara. Kini tanomkinotuan melihatnya depan mata malah boleh disentuh lagi. wakakakaka.... teruja punya pasal.

Perkataan zucchini ialah istilah yang digunakan di negara seperti Amerika Selatan, Australia dan German yakni sebutan asal dari bahasa Itali (zucchina) merujuk sejenis pokok dalam keluarga labu namun pokoknya bukan jenis menjalar (bush), bagi sesetengah tempat di Eropah seperti England, New Zealand, Iceland, Belanda dan negara di Afrika Selatan pula zucchini dikenali sebagai courgette berasal dari bahasa Perancis (sebutan asal /kʊərˈʒɛt/) adalah tumbuhan musim panas (summer squash) yang banyak ditanam di negara-negara 4 musim. Walaubagaimanapun sebutan perkataan squash adalah sebutan yang umum bagi merujuk tumbuhan ini. Nama saintifik bagi pokok zucchini atau courgette ini ialah cucurbita pepo.

Benih zucchini hijau tersebut dibeli secara online di SINI, banyak pilihan benih sayuran yang boleh dibeli. Anda juga beli mendapatkan benih sayuran dan benih bunga-bungaan kat SINI




Pada mulanya tanomkinotuan menyemai benih zucchini hijau ini dalam cup plastik kecil dan meletakkan di kawasan yang menerima cahaya matahari kira-kira 70% jumlah sinaran. Kawasan teduh tersebut masih terkena haba untuk percambahan benih. Sementara menunggu benih tersebut bercambah tanomkinotuan menyediakan batas untuk menanam akan datang.

Tanomkinotuan gembur dan memperbaiki batas tersebut dengan menambah kompos serta tinja ayam. Batas ini adalah bekas menanam buncis bulat tempoh hari. Pembaca diluar sana harus membuat pengiliran penanaman pada batas bagi mengelak serangan tertumpu oleh makhluk perosak. Cara ini juga diamalkan oleh peladang-peladang sayur skala besar bagi mengurangkan serangan. sekurang-kurangnya setahun paling elok barulah menanam semula benih yang sama pada batas tersebut.




Selepas 2 minggu ditanam pada batas tanomkinotuan menyediakan tanah hitam yang dicampurkan dengan tinja ayam dan digaul sebati. Tujuan tanah campuran tinja ayam ini adalah ditimbus seperti bukit pada panggal pokok zucchini dan menutupnya dengan mulsa/sungkupan rumput kering agar kelembapan batas bertahan lebih lama. Untuk makluman pokok zucchini adalah tumbuhan yang memerlukan banyak nutrient, oleh itu bubuh baja organik 2 minggu sekali pada batas. 





Dengan baja yang cukup, kelembapan kekal pada batas dan sinaran matahari yang cukup pokok zucchini sangat cepat membesar malah daun-daunnya sangat lebar dan hijau. Gambar di atas diambil ketika pokok zucchini berusia 3 minggu. Pada masa ini, pokok zucchini sudah mula mengeluarkan kudup bunganya. Alamat bahawa pokok zucchini sudah bersedia untuk menghasilkan buah mutiaranya.




Selepas seminggu berlalu pokok zucchini tanomkinotuan di KBR kini sudah berbunga lebat, pada masa ini bunga betina berkembang sekali dengan bunga jantan.



Kelihatan bunga betina berjaya didebungakan oleh serangga tertentu dan bunga pada hujung buah kini mula layu dan tidak lama lagi buah akan membesar sedikit demi sedikit.






Ini adalah gambar terkini buah zucchini hijau tanomkinotuan. Sudah boleh dituai sebenarnya tetapi tunggu buah yang satu lagi. Jika dituai sekarang tidak cukup untuk santapan satu keluarga, jadi tidak ada kenikmatan disitu. hehe. Mungkin minggu depan barulah boleh dituai, biar ia membesar dahulu.  

Ini kali pertama tanomkinotuan menanam pokok zucchini langsung dari benihnya. Walaupun pertama kali tetapi tanomkinotuan berjaya membesarkan pokok-pokok tersebut hasil pengalaman menanam pokok zucchini crockneck kuning tempoh hari. Cara dan sifat pertumbuhan kedua-dua jenis pokok zucchini ini hampir sama. Sesiapa yang meminati buah labu atau sewaktu dengannya bolehlah mencuba menanam pokok zucchini ini di laman rumah. Anda boleh menggunakan pasu atau kontena bersaiz sederhana untuk menanam pokok zucchini. Ia tidak memerlukan ruang yang luas. Sementara menunggu hasil ia cantik sebagai dekorasi dan hiasan laman anda kira pokoknya yang unik ini menambah lagi seri rumah anda.




Ini pula gambar pokok zucchini crockneck kuning yang ditanam benihnya dari buah zucchini yang dimatangkan tempoh hari. Ia berjaya tumbuh dan kini sudahpun mengeluarkan buahnya yang pertama. harap-harap bunga jantan berkembang dahulu kerana jika bunga betina yang kembang dulu alamatnya bunga betina tersebut tak menjadi yakni tidak sempat didebunga.

OIeh kerana ruang terhad, tanomkinotuan tanam dalam besen besar bekas menanam lobak merah tempoh hari. Terdapat 3 pokok zucchini crockneck kuning sempat ditanam kali ini, maksudnya musim ini KBR (Kebun Belakang Rumah) bertemakan pokok jenis summer squash ini saja. Selain tu tanomkinotuan juga ada menanam jenis zucchini scallop kuning yakni buahnya seakan-akan gasing akan bulat. Namun tak sempat diambil gambarnya. Akan datang tanomkinotuan membuat entry khas untuk zucchini scallop kuning ini. 

Di sini bermaksud bahawa pokok zucchini atau summer squash ini boleh hidup subur di negara kita, yang penting ilmu menanam dan menjaganya harus seimbang untuk mendapatkan hasil yang baik. Menanam secara ladang tiada masalah jika ingin melakukannya, yang penting semangat kena kuat apatah lagi mereka yang ingin menanamnya di laman rumah. Rakyat Malaysia suka akan jenis labu yang lazim ditanam di negara kita, tidak mustahil zucchini juga akan digemari oleh rakyat Malaysia kerana keenakan dan keranggupan buahnya sangat menambat hati. Tanomkinotuan berharap satu hari nanti buah zucchini atau courgette ini menjadi lazim dilihat di pasaraya-pasaraya, pasar umum dan tamu-tamu sekitarnya.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Kamis, 16 Juli 2015

TUAIAN TERBARU SAYURAN DI KBR

Selamat berbuka puasa dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada muslimin dan muslimat seluruh negara dari pada tanomkinotuan dan sekeluarga. Hari ini jangan lupa mendengar pengisytiharan raya depan TV. Kesibukan kita untuk menyediakan persediaan akhir menyambut raya ini janganlah dilupakan kepada insan-insan yang kurang berkemampuan.

Kali ini tanomkinotuan hendak berkongsi tuaian sayuran di KBR yang dituai sebelum ramadan hingga menjelang raya. Sayuran ini menjadi juadah bersahur dan berbuka puasa tanomkinotuan sekeluarga. Antara sayur-sayuran tersebut ialah:



KBR masih menghasilkan buah pokok edamame. Ini adalah tanaman ketiga pokok edamame di KBR. Maksudnya benih terakhir dalam simpanan yang dibeli secara online tempoh hari. Pokok edamame pertama ditanam sudah lama mati dan dapatlah tanomkinotuan menyimpan benihnya untuk tanaman musim akan datang. 


Seterusnya tuaian timun armenia. Dituai minggu lalu. Memang sedap sekali timun ini dibuat acar atau salad. Lebih ranggup dan segar walaupun digaul bersama vinegar atau lemon.




Bayam hijau daun tirus juga sempat dituai. Benih bayam ini tumbuh sendiri setelah tanomkinotuan bersihkan dan membuat kembali batas untuk menanam sawi putih. Walaubagaimanapun, sebelum sempat menanam anak benih sawi putih. Benih bayam sedia ada dalam batas yang gugur dari pokok terdahulu bercambah dan tumbuh dengan banyak. Tanomkinotuan biarkan saja sebab sayur bayam cepat membesar dan cepat dituai. Kini batas tersebut telah pun bertukar kepada sawi putih yang baru berusia 5 hari. 



Untuk membuat salata aka salad yang dimakan bersama nasi beryani dan ayam masak merah, tanomkinotuan menuai pucuk daun okinawan spinach untuk dicampurkan bersama hirisan timun armenia, nenas dan mangga separa matang. Tanomkinotuan buat versi resepi salata sendiri. Enak dan cukup mengiurkan.



Ini pula buah timun mini (mini five cucumber) dituai untuk dimasak sup bersama sinalau tambang (daging rusa salai). Tanomkinotuan mendapat sinalau tambang dari rakan yang sempat berburu di hutan nun jauh di pedalaman, kira daging tersebut adalah daging rusa liar yang hidup bebas dalam hutan. Mengikut undang-undang, adalah salah memburu jika tidak berlesen tetapi kawan tanomkinotuan tersebut ada lesen untuk tujuan itu.

Timun mini bukanlah timun betik. Timun betik adalah dikenali sebagai batad (Kadazandusun) di Sabah.


Dan akhir sekali tuaian sawi bunga jepun. Kira sudah terlalu tua untuk dituai. Namun untuk melengkapkan masakan sahur keluarga tanomkinotuan, sawi bunga jepun menjadi santapan seisi keluarga.

Sawi putih taiwan aka bok choi tak sempat diambil gambarnya. Memang sawi jenis ini sangat digemari oleh emak tanomkinotuan. Habis licin di batas sekembalinya tanomkinotuan ke rumah. Sememangnya KBR telah banyak berjasa kepada keluarga tanomkinotuan untuk membekalkan sayuran untuk dapur. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Selasa, 14 Juli 2015

PERKEMBANGAN POKOK SWISS CHARD PUTIH DI KBR

Percubaan tanomkinotuan menanam sayur swiss chard di KBR mendatangkan hasil lumayan. Benihnya dibeli secara online kat SINI dan tidak sangka bahawa sayuran musim sejuk ini boleh tumbuh galak di iklim tropika seperti di negara kita. Untuk pengetahuan pembaca sayur swiss chard atau nama saintifiknya ialah Beta vulgaris subsp. vulgaris adalah sayuran berdaun hijau musim sejuk (cool season leafy green vegetable

Pokok swiss chard ini lebih dekat dengan sayuran ubi bit tetapi tidak menghasilkan bulb atau pembengkakan pangkal akarnya. Ia terdiri dari pelbagai variasi dan warna dan hidup bertebaran di negara-negara yang mempunyai iklim sejuk. terdapat sayuran swiss chard berwarna putih seperti yang ditanam oleh tanomkinotuan dalam gambar. yang disertakan dan swiss chard lain seperti swiss chard pelangi (rainbow swiss chard), terdapat juga swiss chard batangnya berwarna merah dan kuning. Kandungan mineral dan nutrient yang tinggi serta tumbuh dengan cepat ini sangat versatile di tanam di laman.

Tanomkinotuan sayang pula nak makan sebab daun-daunnya sangat cantik bila dilihat lembut dan licin bak sutera. Jika ditanam dengan jumlah banyak di hadapan rumah sudah tentu akan mengujakan sesiapa yang melihatnya apalagi jika penjagaan dari segi kelembapan media, baja dan suhu meningkatkan tahap kualiti daun, batang dan tumbuhbesarannya. Setakat entry ini ditulis sayur swiss chard tanomkinotuan di KBR masih dalam peringkat pertumbuhan.

Jujurnya sudah 2 kali tanomkinotuan menyemai benih swiss chard ini langsung pada batas hingga benih sayur swiss chard pelangi habis disemai tetapi sebiji pun tidak bercambah. Oleh itu tanomkinotuan mengubah teknik semaian benih swiss chard dengan memasukkannya ke dalam habuk kayu dan disembur dengan serum EM1 hingga media tersebut lembab dan disimpan ke dalam peti sejuk selama 2 minggu. Anda boleh menggunakan peat-moss atau cocopeat untuk tujuan tersebut.




Selepas 2 minggu disimpan dalam peti sejuk tanomkinotuan dapati bahawa benih swiss chard sudah mula bercambah dan akar tunjangnya sudah keluar kira-kira setengah inci. Tanomkinotuan seterusnya menyediakan media semaian untuk ditanam dalam cup plastik. Tanomkinotuan menggunakan tanah biasa yang dicampurkan dengan kompos.

Selepas 2 minggu berada dalam cup plastik maka tanomkinotuan alihkan ke batas di KBR yang telah disediakan. Tanomkinotuan gembur batas tersebut dan menaburkan kompos buatan sendiri dan tinja ayam. Tanomkinotuan membuat lubang sedalam 2 inci dan menanam anak pokok swiss chard tersebut ke dalam batas. Oleh kerana masa itu cuaca agak terik hingga mengigit kulit maka tanomkinotuan meletakkan teduhan jaring hitam untuk mengelaknya dari layu dan mati.




Selepas 2 minggu dialihkan ke batas, pokok swiss chard kini membesar dengan baik tanpa masalah yang teruk. Setakat gigitan belalang pada daunnya tidaklah menjejaskan pertumbuhan pokoknya cuma agak cacat sedikit di mata bilamana melihatnya.

Pada masa ini tanomkinotuan berusaha untuk mencabut rumput rumpai dan membuat membajaan kompos tinja ayam pada setiap pokok swiss chard.




Genap 3 minggu swiss chard tanomkinotuan di KBR semakin galak membesar. Tiba tanomkinotuan di rumah langsung bergegas ke KBR pada petang tu. Melihat tanahnya tersangatlah kering. Tahulah tanomkinotuan bahawa seminggu di kampung hujan tidak turun namun alhamdulliah pokok swiss chard berjaya tumbuh dengan baik. Cepat-cepat tanomkinotuan mengalas baldi dan menyeduk air dari kolam seterusnya menyiram batas swiss chard tersebut.






Minggu ini di mana pagi tadi sebelum tanomkinotuan bersiap-siap ke bandar, tanomkinotuan sempat mengambil gambar sayur swiss chard terbaru. Pokok swiss chard semakin hari menampakkan wajah sebenarnya. Tanomkinotuan tertunggu-tunggu akan daun swiss chard yang beropol atau mengerutu seperti gambar-gambar swiss chard dari luar negara. Namun belalang juga tidak mahu terlepas akan kelazatan daun pokok sayur swiss chard tersebut hingga cacat daun-daunnya diratah dengan rakusnya.




Jadi tanomkinotuan terfikir untuk menyelesaikan kes seperti itu tanomkinotuan memasang jaring net seperti di atas (gambar). Harap dapat membantu mengurangkan serangan segala tuk nenek belalang yang hadir menjengah swiss chard tanomkinotuan. Kepada membaca budiman apa lagi cuba menyemai benih swiss chard di laman rumah anda. Hasilnya anda dan keluarga anda yang memperolehi faedah, jadikan hobi bertani ini sebagai rutin untuk menyatupadukan dan mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PANDUAN MENYEMAI POKOK OKINAWAN SPINACH MELALUI KERATAN BATANG

Adakah anda tahu akan khasiat pokok herba okinawan spinach atau sambung nyawa ungu? Jika anda amalkan memakan pucuk muda daun pokok okinawan spinach ini secara berterusan ia mampu menurunkan kadar kolestrol dalam badan. Sebab itu di negara Barat pokok herba ini juga dikenali sebagai tumbuhan kolestrol (cholesterol plant). 

Pokok ini mudah tumbuh di negara kita sama ada ditanam pada batas yang digembur dan ditabur kompos dan juga sesuai tumbuh di dalam pasu. Ia sesuai diletakkan di kawasan yang terkena sinaran matahari melebihi 6 jam dan juga sesuai ditanam di kawasan terlindung (shade). Namun menurut pengamatan tanomkinotuan pokok okinawan spinach ini mempunyai pertumbuhan yang lebih baik jika diletakkan/ditanam di kawasan menerima 60 hingga 70 peratus sinaran matahari.

Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi bagaimana untuk membiakkan pokok herba okinawan spinach melalui keratan batang. Pertama sekali petik pucuk batang muda kira-kira 3 hingga 6 inci panjang. Ambil daun-duan muda untuk dijadikan ulam, tinggalkan daun dihujungnya (tip).



Gambar di atas menunjukkan beberapa keratan batang pucuk muda pokok okinawan spinach yang dipetik untuk mendapatkan daunnya. Tanomkinotuan tinggalkan daun pucuk di atasnya untuk tujuan pembiakan. Anda juga boleh mendapatkan keratan batang yang agak tua sedikit berbanding dalam gambar di atas. Pastikan daunnya dibuang untuk tujuan mempercepatkan pengeluaran akar. Keratan batang yang agak tua cepat mengeluarkan akar apabila ditanam pada media yang lembab. Tanomkinotuan membiakkan batang muda tersebut kerana mendapatkan daunnya untuk dimakan sebagai ulam, kira pembiakan ini satu eksperimen bagi tanomkinotuan.



Sediakan cup plastik yang diisi separuh jumlah air bersih. Seterusnya masukkan keratan batang tersebut ke dalam cup plastik untuk tujuan pengakaran. Anda boleh menggunakan apa-apa jenis bekas untuk tujuan di atas. Letakkan cup plastik anda di tepi jendela dapur atau seumpamanya agar keratan batang okinawan spinach menerima sedikit sinaran matahari. 



Selepas 2 minggu, keratan batang pokok okinawan spinach mengeluarkan akarnya yang pertama. Sediakan media tanaman iaitu campuran 2 bahagian tanah hitam, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir. masukkan media campuran tersebut ke dalam polibag atau bekas tanaman yang sesuai. Seterusnya buat lubang kira-kira 1 hingga 2 inci dalam dan tanam keratan batang pokok okinawan spinach anda tersebut. Berhati-hati untuk memasukkan keratan batang ke dalam media agar akar mudanya tidak rosak atau patah. Timbus semula tanah tersebut dan siram menggunakan air secukupnya.

Anda boleh menggunakan media campuran seperti 2 bahagian cocopeat atau peat-moss, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian perlite. Media campuran ini ringan dan praktikal.

Simpan polibag anda yang ditanam dengan keratan batang okinawan spinach ditempat teduh selama seminggu. Selepas seminggu alihkan polibag-polibag anda tersebut ke tempat yang terkena sinaran matahari terik untuk pertumbuhan yang baik. Anda juga boleh menyimpan polibag tersebut di tempat terlindung (shade). Jaga pokok herba okinawan spinach anda dengan mengekalkan kelembapan pada tanah serta pembajaan yang konsisten. 

Pokok okinawan spinach sudah disemai

Anda juga boleh menanam keratan batang pokok okinawan spinach langsung pada tanah. Jika laman rumah anda luas maka anda bolehlah membuat pemgemburan tanah dan menaburkannya dengan kompos atau tinja ayam. Buat lubang sedalam 1 hingga 2 inci dan tanam keratan batang pokok okinawan spinach tersebut pada batas tersebut, siram menggunakan air secukupnya. Jika sinaran matahari terik, buat teduhan dengan menggunakan jaring hitam selama seminggu barulah dibuka (open space) untuk pokok okinawan spinach membesar dengan baik. 

Tips untuk merimbunkan pokok okinawan spinach anda ilah dengan memetik pucuk mudanya. Dengan memetik pucuk-pucuk muda sedia ada maka ia akan merancang pokok tersebut untuk bertunas banyak. Pokok okinawan spinach anda akan merimbun dengan baik. Anda boleh menambah daun muda okinawan spinach dalam salad anda untuk aroma yang segar dan unik apabila dimakan. Anda juga boleh memasaknya mengikut resepi kegemaran ini, ia boleh dicampurkan dalam makanan berasaskan sup, bubur, dan lain-lain. War-warkan kepada keluarga, sahabat handai yang mengalami masalah tahap kolestrol tinggi dalam badan untuk mengamalkan memakan daun muda pokok okinawan spinach. Jom tanam pokok herba okinawan spinach untuk kesihatan yang lebih baik.

Selamat bertani dan menuai hasil.

JENIS-JENIS GINSENG DAN KHASIAT TERHADAP KESIHATAN MANUSIA

source from google

Apakah itu ginseng? Ginseng adalah perkataan yang berasal dari bahasa Cina iaitu rénshēn  yang bermaksud 'akar tumbuhan berbentuk manusia' di mana sejenis tumbuhan herba yang hidup lama (perennial plant) dan tergolong dalam genus panax dalam keluarga Araliaceae dan juga dalam keluarga talinum, tumbuh renek dan sesuai membesar di kawasan yang mempunyai iklim sejuk dan sub-tropika. Akarnya seolah-olah kaki manusia dan dijadikan tonic untuk manfaat manusia. Negara China, Jepun dan Korea adalah negara paling ramai menggunakan herba ini dalam diet mereka. Tahukah anda bahawa terdapat beberapa jenis ginseng yang wujud di seluruh dunia.

GINSENG DALAM KATEGORI GENUS PANAX


1. Ginseng Asia


Ginseng asia juga dikenali sebagai Korean ginseng dan nama saintifiknya ialah panax ginseng iaitu antara ginseng terbaik di antara ginseng-ginseng yang ada dari segi khasiat dan kegunaan sebagai tonic dan herba. Ia tumbuh di kawasan semenanjung korea yang mempunyai iklim sejuk dan tanah yang kaya dengan nutrient. Ginseng asia kaya dengan antioksidan, vitamin dan mineral. Ia harus dituai 6 tahun ke atas untuk mendapatkan hasil yang maksimum. Ginseng jenis ini dikatakan ginseng asli yang digunakan dalam perubatan tradisional masyarakat Cina ribuan tahun lampau.


2. Ginseng Siberia

Ginseng siberia adalah ginseng yang tumbuh di kawasan siberia. Nama saintifiknya ialah Elutherococcus senticsus, ia digunakan sebagai tonic untuk meningkatkan tenaga, selesema dan dan juga mengurangkan tekanan mental.


3. Ginseng Amerika

Ginseng Amerika adalah tumbuhan herba yang hidup subur di pergunungan California dan sekitarnya. Ia dikenali sebagai sang wild oleh penduduk tempatan. Ginseng Amerika lebih berkualiti berbanding dengan ginseng siberia dan kurang berkualiti jika dibandingkan dengan ginseng korea. 


4. Ginseng Vietnam

Ginseng vietnam adalah jenis ginseng yang hidup di kawasan pedalaman dan pergunungan di negara vietnam dan merupakan ginseng dalam keluarga panax. Nama saintifik bagi ginseng vietnam ialah Panax Vietnamensis dan boleh dijumpai di pergunungan kawasan Ngoc Linh di wilayah Kon Tum dan Guang Nam. Ciri pertumbuhan sama dengan spesis ginseng lain di mana pertumbuhan yang perlahan dan mengambil masa 10 tahun untuk matang. Ia digunakan oleh penduduk untuk menghilangkan kelesuan dan untuk meningkatkan tenaga tubuh badan.




GINSENG DALAM KATEGORI GENUS TALINUM

1. Ginseng Jawa/Akar Som

Nama saintifik bagi ginseng jawa ialah Talinum paniculatum Gaertn dan banyak dijumpai di negara-negara Asia Tenggara. Banyak ditanam sebagai pokok hiasan dan juga untuk perubatan tradisional. Pucuk daunnya dimakan sebagai ulam dan berkesan meningkatkan selera makandan meningkatkan kecerdasan tubuh badan. Akarnya direbus untuk mengurangkan masalah batuk dan radang paru-paru. Rebusan akarnya juga berkesan meningkatkan tenaga bagi kaum lelaki.  

Ginseng Sabah

Satu lagi jenis tumbuhan herba yang boleh dipanggil ginseng kerana khasiatnya sama dengan ginseng keluarga dalam panax ialah Ginseng Sabah. Pokok Ginseng Sabah hidup di kawasan pedalaman sabah seperti di daerah Nabawan dan Pansiangan hingga ke sempadan Kalimantan di Indonesia. Ia hidup subur di kawasan tanah yang lembab dan kaya dengan organan.  Akarnya direbus oleh penduduk tempatan untuk meningkatkan tenaga dan kesihatan tubuh badan dan meningkatkan kesihatan bagi kaum lelaki. Ginseng sabah tidak termasuk dalam genus panax mahupun talinum. Oleh kerana belum ada kajian terperinci mengenai tumbuhan ini maka tidak dapat disertakan nama saintifiknya dan komponen kimia di dalamnya, juga tidak diketahui kesan jangka panjang terhadap kesihatan manusia. Gambar di atas adalah akar ginseng sabah yang telah dikeringkan dan diambil dari daerah Nabawan, Sabah.

Antara ginseng yang lain bukan dari keluarga panax dan talinum:

  • Ginseng wanita/ dong quai - Angelica sinensis
  • Ginseng lelaki miskin - Codonopsis pilosula
  • Ginseng selatan, jiaogulan - Gynostemma pentaphyllum
  • Ginseng Peruvian, maca - Lepidium meyenii
  • Ginseng Alaskan - Oplopanax horridus
  •  san qi, tian qi atau tien chi - Panax notoginseng
  • Ginseng Brazil - Pfaffia paniculata
  • ginseng raja - pseudostellaria heterophylla 
  • Beri lima rasa - schisandra chinensis
  • Ginseng India - Withania somnifera
  • Ginsang sabah - ???


Semoga info ini bermanfaat kepada pembaca yang ingin mengetahui jenis-jenis ginseng yang wujud di dunia. 
 
Selamat bertani dan menuai hasil.