Selasa, 14 Juli 2015

PANDUAN MENYEMAI POKOK OKINAWAN SPINACH MELALUI KERATAN BATANG

Adakah anda tahu akan khasiat pokok herba okinawan spinach atau sambung nyawa ungu? Jika anda amalkan memakan pucuk muda daun pokok okinawan spinach ini secara berterusan ia mampu menurunkan kadar kolestrol dalam badan. Sebab itu di negara Barat pokok herba ini juga dikenali sebagai tumbuhan kolestrol (cholesterol plant). 

Pokok ini mudah tumbuh di negara kita sama ada ditanam pada batas yang digembur dan ditabur kompos dan juga sesuai tumbuh di dalam pasu. Ia sesuai diletakkan di kawasan yang terkena sinaran matahari melebihi 6 jam dan juga sesuai ditanam di kawasan terlindung (shade). Namun menurut pengamatan tanomkinotuan pokok okinawan spinach ini mempunyai pertumbuhan yang lebih baik jika diletakkan/ditanam di kawasan menerima 60 hingga 70 peratus sinaran matahari.

Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi bagaimana untuk membiakkan pokok herba okinawan spinach melalui keratan batang. Pertama sekali petik pucuk batang muda kira-kira 3 hingga 6 inci panjang. Ambil daun-duan muda untuk dijadikan ulam, tinggalkan daun dihujungnya (tip).



Gambar di atas menunjukkan beberapa keratan batang pucuk muda pokok okinawan spinach yang dipetik untuk mendapatkan daunnya. Tanomkinotuan tinggalkan daun pucuk di atasnya untuk tujuan pembiakan. Anda juga boleh mendapatkan keratan batang yang agak tua sedikit berbanding dalam gambar di atas. Pastikan daunnya dibuang untuk tujuan mempercepatkan pengeluaran akar. Keratan batang yang agak tua cepat mengeluarkan akar apabila ditanam pada media yang lembab. Tanomkinotuan membiakkan batang muda tersebut kerana mendapatkan daunnya untuk dimakan sebagai ulam, kira pembiakan ini satu eksperimen bagi tanomkinotuan.



Sediakan cup plastik yang diisi separuh jumlah air bersih. Seterusnya masukkan keratan batang tersebut ke dalam cup plastik untuk tujuan pengakaran. Anda boleh menggunakan apa-apa jenis bekas untuk tujuan di atas. Letakkan cup plastik anda di tepi jendela dapur atau seumpamanya agar keratan batang okinawan spinach menerima sedikit sinaran matahari. 



Selepas 2 minggu, keratan batang pokok okinawan spinach mengeluarkan akarnya yang pertama. Sediakan media tanaman iaitu campuran 2 bahagian tanah hitam, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir. masukkan media campuran tersebut ke dalam polibag atau bekas tanaman yang sesuai. Seterusnya buat lubang kira-kira 1 hingga 2 inci dalam dan tanam keratan batang pokok okinawan spinach anda tersebut. Berhati-hati untuk memasukkan keratan batang ke dalam media agar akar mudanya tidak rosak atau patah. Timbus semula tanah tersebut dan siram menggunakan air secukupnya.

Anda boleh menggunakan media campuran seperti 2 bahagian cocopeat atau peat-moss, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian perlite. Media campuran ini ringan dan praktikal.

Simpan polibag anda yang ditanam dengan keratan batang okinawan spinach ditempat teduh selama seminggu. Selepas seminggu alihkan polibag-polibag anda tersebut ke tempat yang terkena sinaran matahari terik untuk pertumbuhan yang baik. Anda juga boleh menyimpan polibag tersebut di tempat terlindung (shade). Jaga pokok herba okinawan spinach anda dengan mengekalkan kelembapan pada tanah serta pembajaan yang konsisten. 

Pokok okinawan spinach sudah disemai

Anda juga boleh menanam keratan batang pokok okinawan spinach langsung pada tanah. Jika laman rumah anda luas maka anda bolehlah membuat pemgemburan tanah dan menaburkannya dengan kompos atau tinja ayam. Buat lubang sedalam 1 hingga 2 inci dan tanam keratan batang pokok okinawan spinach tersebut pada batas tersebut, siram menggunakan air secukupnya. Jika sinaran matahari terik, buat teduhan dengan menggunakan jaring hitam selama seminggu barulah dibuka (open space) untuk pokok okinawan spinach membesar dengan baik. 

Tips untuk merimbunkan pokok okinawan spinach anda ilah dengan memetik pucuk mudanya. Dengan memetik pucuk-pucuk muda sedia ada maka ia akan merancang pokok tersebut untuk bertunas banyak. Pokok okinawan spinach anda akan merimbun dengan baik. Anda boleh menambah daun muda okinawan spinach dalam salad anda untuk aroma yang segar dan unik apabila dimakan. Anda juga boleh memasaknya mengikut resepi kegemaran ini, ia boleh dicampurkan dalam makanan berasaskan sup, bubur, dan lain-lain. War-warkan kepada keluarga, sahabat handai yang mengalami masalah tahap kolestrol tinggi dalam badan untuk mengamalkan memakan daun muda pokok okinawan spinach. Jom tanam pokok herba okinawan spinach untuk kesihatan yang lebih baik.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar