Minggu, 05 Juli 2015

TUAIAN SAYURAN DAN BUAH PERTENGAHAN TAHUN DI KG (KEBUN GETAH)

Hari sabtu yang lalu (kelmarin) ibu tanomkinotuan memaklumkan untuk ke kebun getah (KG) bagi melihat-lihat suasana dan keadaan kebun tersebut. Sudah 3 minggu tidak melawat kebun tersebut tambah-tambah lagi di bulan puasa ini. Namun keinginan ibu tanomkinotuan dituruti kerana mana lah tahu ada rezeki yang boleh dikutip. Selepas bersahur pada pada jam 4.00 pagi dan solat subuh, ibu tanomkinotuan mengemas dapur sambil menyediakan barang yang perlu di bawa ke kebun nanti, tanomkinotuan pula sambung semula membuat peta pada bantal. haha

Tepat jam 6 pagi kami berdua bertolak ke kebun dengan menumpang kereta sepupu yang akan mengikuti pertandingan memancing yang diadakan di salah satu tempat lupa pula namanya, tambah lagi jalan sehala saja. Kami meminta diberhentikan di simpang jalan dan akan berjalan kaki lebih kurang 15 minit dari jalan besar. 

Sungguh tidak disangka, pokok keladi yang ditanam sebelum puasa sudah ditumbuhi semak samun yang tinggi-tinggi. Namun apa kan daya, hanya mata berat memandang. Selepas raya nanti sekali lagi akan diracun kebun ini supaya bersih dan pokok getah tumbuh dengan baik. Oleh kerana sudah hampir 3 minggu tidak ke sini maka beberapa buah pisang sudah separuh dituai lebih dulu. Jadi tanomkinotuan hanya mengutip buah pisang yang belum diusik oleh burung.




Pokok pisang di atas sudah mula masak dan dituai lebih dulu oleh binatang liar, mungkin oleh burung-burung yang tinggal berhampiran. Kiranya rezeki mereka, walau bagaimanapun masih ada yang boleh dikutip hasilnya. Beginilah hidup berjiran berkongsi dengan hidupan di sini. Nasib kawanan monyet belum ke mari jika ya, habis buah pisang ini tanpa meninggalkan sebiji dua. Tanomkinotuan lupa pula apa nama pokok pisang ni, ia pendek saja dan tidak tinggi. 




Hasil kutipan buah pisang lebihan sang burung dan dua tandan pisang yang dikenali pisang 3 bulan atau pisang guguyuon kata orang sini. Jika tidak salah tanomkinotuan pisang ni dikenali sebagai pisang motel/hotel jika tidak salah atau pisang 40 hari dalam bahasa Melayu.




Pisang sabah atau pisang rebus juga sudah mula berbuah, dapatlah tanomkinotuan menuai jantungnya. Banyak-banyak pisang, jantung pisang sabah aka rebus ini sangat enak dibuat sayur atau ulam. Tidak pahit atau kelat. 





Keladi kampung isi kuning ini juga tanomkinotuan tuai, walaupun isinya kecil tetapi warna isinya yang kuning memikat hati. Jadilah ia dimasak bubur keladi atau pengat keladi. Tanomkinotuan tidak suka meletakkan santan ke dalam bubur atau pengat ini. Cuma tambah sedikit kacang hijau, potongan dadu ubi keledek, ubi keladi dan beberapa biji pisang. Seterusnya digaul dengan gula perang dan sagu biji. Siap untuk dimakan. Ia sangat lazat dan rasa yang tradisional sangat-sangat menyerlah.




Selain itu, buah rosalle atau di sini dipanggil buah rabena. Dapat mengutip setengah kilo dan dibuat air sirap rosalle untuk berbuka puasa bersama keluarga. bukan sahaja lazat tetapi kandungan vitamin C sangat tinggi. sesuai diminum bagi mereka yang demam ringan.




Dan akhir sekali, tanomkinotuan sempat tuai dua biji nanas kampung yang hampir masak. Nasib tidak dijenguk oleh sang tupai. tupai merupakan binatang yang suka menghabiskan buah nanas di KG. Walau dengan cara menutup buah nanas tersebut masih juga dapat dituai dengan rakusnya. nasib di bulan ramadan ini mereka tinggalkan dua biji untuk tuan tanah. Ingat juga mereka akan tuan tanah ini. hehe

Tepat jam 11.50 petang maka bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Oleh kerana kenderaan digunakan oleh adik tanomkinotuan ke bandar maka kami pulang dengan berjalan kaki sahaja. Walaupun panas dan penat tambahan lagi berpuasa, semua kerja dipermudahkan tanpa sebarang masalah. Rasa lapar dan dahaga alah tanggal biasa. Kami tiba di rumah pada jam 12.30 tengahari. Seronok berjalan ke KG masa puasa ini, mengingatkan kita betapa perit, letih dan payah untuk mencari sesuap nasi. Dengan aktiviti tanomkinotuan hari ini dapatlah tanomkinotuan menghayati erti puasa yang sebenarnya, tentang kehidupan dan lebih berusaha serta komited untuk maju ke hadapan. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar