Sabtu, 22 Agustus 2015

CARA MENANAM BUNGA KOBIS DALAM POLIBAG



Bertemu lagi kita pada entry kali ini di mana tanomkinotuan ingin berkongsi cara menanam sayur kobis bunga dalam polibag. Tempoh hari ada entry mengenai cara menanam kobis bunga (Cauliflower) pada batas. Kini kita ubah pula dengan menggunakan polibag. Cara ini cukup sesuai bagi mereka yang kurang ruang dan laman sempit terutamanya kawasan perumahan. Walaupun anda tinggal di kawasan perumahan anda masih boleh bertani dengan menggunakan polibag, pasu atau bekas-bekas yang sesuai. Dan pastinya tanomkinotuan tinggal di kawasan tanah rendah bukan kawasan tanah tinggi seperti di Kundasang, Ranau atau Cameron Highland di Semenanjung sana.

Pertama sekali dapatkan benih kobis bunga di kedai pertanian. Pastikan anda membeli benih kobis bunga yang belum sampai tarikh luput, baharu dan pastikan juga pembungkusnya elok dan tidak bocor atau berlubang.

Tanomkinotuan cadangkan kepada anda semai terlebih dahulu benih bunga kobis dalam cup plastik terlebih dahulu. Gunakan tanah pasu (potting soil) untuk tujuan penyemaian. Ambil cup plastik yang bersih, masukkan tanah pasu ke dalamnya. Semai benih kobis bunga dengan menabur di atas permukaan dan siram dengan air. Simpan cup plastik anda di tempat kawasan teduh tetapi masih terkena haba matahari. 

Sambil menunggu benih kobis bunga bercambah dapatkan polibag bersaiz besar. Polibag ini boleh dibeli di kedai pertanian. Lupa pula tanomkinotuan saiz polibag yang digunakan. Tapi tidak mengapa tanya pekerja kedai tersebut dan minta cadangkan saiz polibag sesuai menanam kobis bunga.

Jika anda cukup rezeki beli tanah pasu (potting soil) yang banyak dijual di kedai pertanian atau nusery berhampiran. Tanah pasu tersebut sudah tidak perlu ditambah atau dikurangi apa-apa jenis media. Ambil polibag dan masukkan tanah pasu hingga penuh, selesai. 

Anda boleh membuat tanah pasu sendiri di rumah jika anda cukup bahan iaitu tambah 2 bahagian peat moss atau cocopeat, 1 bahagian vermiculite atau pasir kasar/halus, dan 1 bahagian kompos. Gaul hingga sebati dan selesai.

Anda juga boleh menggunakan media campuran dengan nisbah 2:1:1 iaitu 2 bahagian tanah lom, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Gaul media tersebut dan selesai. 

Apabila anda sudah menyediakan polibag dan media, langkah seterusnya ialah masukkan media tersebut ke dalam polibag. Hentak-hentakkan secara perlahan-lahan bagi mendapatkan media sedikit mampat. Ini bertujuan agar media tidak susut secara cepat apabila disiram nanti. 

Apabila benih anda bercambah dan berusia kira-kira 2 minggu. Anda sudah boleh mengalihkan anak pokok kobis bunga tersebut pada polibag anda. Siram anak benih kobis bunga anda terlebih dahulu. Buat lubang ditengah polibag anda kira-kira 2 inci atau 3 inci. Cabut anak pokok kobis bunga anda dan tanam di dalam lubang tersebut dan timbus semula dengan tanah. Jangan lupa siram air secukupnya dan simpan polibag anda ditempat teduh selama 1 minggu.

Dalam tempoh peralihan anak pokok kobis bunga anda jangan terkena sinaran matahari terik dan pastikan media sentiasa lembab agar akar baharu cepat keluar. 

Selepas 1 minggu anda bolehlah alihkan polibag anda ke tempat terkena cahaya matahari selama 6 jam tetapi sebelum itu, untuk membiasakan anak pokok kobis anda tidak terkejut dengan sinaran matahari terik. Letak polibag anda di tempat tersebut kira-kira 1 jam sehari untuk tujuan tersebut selama dua tiga hari.

Selepas 3 minggu anak pokok kobis bunga anda dialihkan ke polibag, bubuh baja NPK organik dengan 1 sudu makan di sekeliling pokok kobis bunga. Anda juga boleh menaburkan serbuk telur ayam yang diblender dan kulit pisang yang dipotong kecil-kecil. Anda juga boleh menyiramnya dengan serum EM1, baja cecair ikan dan kompos teh secara berselang seli.

Pokok kobis bunga sudah boleh dituai selepas 3 bulan setengah atau lebih. Cara mengetahui bunga kobis anda sudah boleh dituai ialah saiz bunga kobis anda lebih besar dengan penumbuk lengan orang dewasa atau apabila bulu-bulu halus pada bunga tersebut sudah hilang. Gunakan pisau tajam untuk memotong di pangkalnya.

Anda bolehlah memasak bunga kobis tersebut mengikut resepi kegemaran anda. Nikmati kobis bunga organik tanam sendiri di laman rumah. 

Tip tanomkinotuan:

1. Selain polibag, anda boleh menggunakan pasu dan kontena bersaiz besar atau buangan besen dari dapur anda untuk menanam kobis bunga.

2. Anda juga boleh menggunakan tanah biasa di laman anda dengan syarat tambah kompos dengan kuantiti yang banyak. Dan sedikit pasir sungai.

3. Jika anda malas menyemai, anda boleh secara langsung tabur benih kobis bunga dalam polibag yang anda gunakan. Tabur 2 hingga 5 benih kobis bunga pada 1 polibag. Cabut dan tinggalkan sepokok anak pokok kobis bunga untuk tumbuhbesaran sempurna.

4. Guna sarung tangan apabila melakukan kerja bertani dan menanam kobis bunga. Media khususnya tanah biasa yang tidak disteril mengandungi kuman dan bakteria yang mungkin merbahaya.

5. Untuk hasil cepat bubuh baja alfalfa atau baja cecair untuk buah-buahan agar pokok kobis bunga cepat berbunga. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar