Senin, 03 Agustus 2015

TUAIAN SAYUR BUAH DI KBR (AWAL BULAN OGOS)

Untuk bulan ogos, tanomkinotuan menuai sayuran apa yang ada di KBR. Sayur daun belum lagi mula ditanam, cuma bayam hijau daun tirus masih elok tumbuh dan membesar. Baru saja tanomkinotuan semai benih sawi putih dan sawi kerinting kelmarin. Semai dalam cup plastik terlebih dahulu, mudah dan praktikal. Boleh saja tanomkinotuan tabur terus benih tersebut ke batas tetapi bukan berada di rumah senantiasa, cara ini harus ada komitmen yang jitu agar benih sayur tersebut bercambah dan tumbuh dengan elok. Ini termasuklah menjaga kelembapan pada batas, teduhan dan penyiraman berkala. Batas menanam nanti pun baru satu dapat disiapkan. Maklumlah masa terhad berada di rumah. Hujung minggu sahaja dapat menyiapkan kerja-kerja tertangguh entah sudah berapa lama. 

Walau bagaimanapun, KBR masih mampu membekalkan sayuran untuk keluarga tanomkinotuan. Tidaklah banyak sekurang-kurangnya dapat mengurangkan penggunaan duit belanja membeli sayur. Bolehlah duit tersebut digunakan membeli keperluan lain seperti sumber protein atau barangan dapur. Oleh itu, tanomkinotuan kongsikan kepada para pembaca di luar sana tuaian sayuran buah yang sempat dirakam hujung minggu lalu.




Ini adalah tuaian zucchini crockneck kuning bagi tuaian kali pertama untuk penanaman musim kedua. Untuk pengetahuan pembaca bahawa buah tersebut adalah berasal daripada benih pokok zucchini crockneck kuning penanaman musim pertama tempoh hari. Terdapat 3 pokok zucchini crockneck kuning yang tumbuh di KBR. 2 daripadanya sudah berbuah dan telah pun dituai buah yang telah besar atau matang. Sepokok lagi masih berusaha untuk membesar disebabkan ditanam dikawasan kurang menerima cahaya matahari di mana dihalang oleh pagar zink. Namun begitu ia sudah mengeluarkan bunga betina bersama buahnya yang cantik.

Namun misteri dan kepelikan telah berlaku kepada hasil buah pokok zucchini kali ini. 1 daripada 3 pokok zucchini tersebut telah mengeluarkan buah berwarna hijau.  Bentuk dan Struktur buah sama kecuali warnanya. 2 pokok lagi buahnya normal yakni berwarna kuning. Lihat gambar di atas untuk maklumat lanjut.

Tanomkinotuan tidak dapat merungkaikan kes ini. Terdapat pokok zucchini crockneck ditanam berhampiran dengan zucchini hijau tetapi jauh sedikit berbanding yang 2 lagi. Untuk pengetahuan, benih-benih zucchini crockneck tersebut diambil dari benih induk yang sama. Oleh itu tanomkinotuan hendak mematangkan sebiji buahnya untuk cubaan ditanam musim akan datang. Mana tahu pokok zucchini crockneck hijau ini dapat di komersilkan suatu hari nanti.  




Ini pula tuaian kali kedua bagi buah zucchini hijau (black Beauty Zucchini). Tanomkinotuan sudah tuai walaupun masih bersaiz kecil. Tuaian pertama tempoh hari buahnya besar sangat namun ia tetap muda dan lembut. Tanomkinotuan bertempura sahajalah minggu ini. Hingga emak tanomkinotuan bersungut tidak berlagu. Dia dah bosan dengan bertempura ke hulu bertempura ke hilir. Adoiiilah apanya jada bahasa aku sekarang ni.

Jika anda ingin menanam pokok zucchini daripada apa-apa variati, pastikan tanah harus kaya nitrogen. Pokok zucchini adalah pokok yang banyak menggunakan nitrogen untuk pertumbuhannya. Lebih elok guna tinja ayam terproses atau kompos yang boleh dibeli di kedai pertanian. Jika nitrogen tak cukup dalam batas. Pokok zucchini tidak tumbuh dengan baik malah mudah pula diserang penyakit dan sudah pasti akan mati.




Tuaian buah timun mini kini kembali. Selepas pokok timun mini yang ditanam musim pertama, penanaman musim kedua bagi pokok timun mini sudah boleh dituai. kali ini hanya sepokok sahaja. Akan datang tanomkinotuan penuhkan sebatas menanam benih timun mini kerana benih dari buah yang dimatangkan sudah diproses pengeringan dan sedia untuk disemai semula.




Buah yang seakan-akan gasing di atas itu ialah zucchini scallop kuning atau yellow scallop summer squash. Buahnya bulat serta berbentuk bintang ditepinya. Comel dan sangat mengujakan apabila dapat menuai buah zucchini scallop kuning di KBR. Sebahagian hasil tuaian buah zucchini ini dimasak tepung tempura. Tepung tempura lagi...




Tidak lupa tuaian sayur daun sawi putih yang teruk diserang serangga pemakan daun. Hilang kecantikan pada daunnya. Namun ia tidak menjejaskan keenakannya apabila dicampakkan terus ke dalam sup ikan haruan. Lagipun ia organik tanpa semburan racun serangga.

Inilah tuaian yang sempat tanomkinotuan ambil gambarnya untuk tatapan pembaca. Sejak akhir-akhir ini KBR seperti bertemakan buah zucchini memanjang. Maklumlah pokok-pokok inilah yang banyak menghiasi batas-batas sekarang. Dengan daunnya yang lebar hingga mampu menutupi sebahagian sayuran lain hingga terbantuk pertumbuhan. Contoh paling dekat ialah sawi putih. Hilang segala gah berdepan dengan pokok zucchini crockneck kuning. Oleh itu jangan menanam sayur daun berhampiran dengan pokok zucchini nanti akan putih mata dibuatnya. Apakah tuaian anda pada hari ini?

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar