Selasa, 13 Oktober 2015

POKOK FIG/TIN POKOK PADANG PASIR YANG DIBERKATI


Kiriman anak pokok fig

Zaman kanak-kanak tanomkinotuan sangat menarik dan meriah. Walaupun hidup dalam suasana persekitaran kampung tetapi kehidupan kami seperti kanak-kanak yang lain. Permainan pun gaya kampung juga seperti bermain gasing, bermain sumpit daripada buluh, bermain ting ting, mencipta senapang dari buluh (nasib tidak menjadi penjenayah antarabangsa haha) dan sebagainya.

Masa kanak-kanak inilah sebelah petang tanomkinotuan mengikuti sekolah agama yang diadakan di kampung oleh seorang ustazah juga berasal dari kampung ini.  Selepas balik dari sekolah harian bergegas semula ke sekolah agama. Bergemalah kelas tersebut dengan alunan bacaan surah-surah lazim yang sememangnya tiap hari disuruh oleh ustazah kami. Salah satu surah yang berkesan di hati tanomkinotuan ialah surah At-Tin, Surah pokok Tin atau fig tree. Nama pokok ini tersurat dalam Al-Quran Al-Karim juga pada kitab-kitab sebelumnya.


Inilah pokok yang sangat diidam-idamkan oleh tanomkinotuan. Selain mengumpul pokok herba, menanam sayuran dan pokok bunga dari spesis keladi tanomkinotuan juga ingin mengumpulkan jenis-jenis pokok fig atau pokok tin. Sangat teruja dan menarik apabila membaca blog-blog sahabat di internet mengenai pokok fig ini. Mereka sangat berjaya menanam pokok fig secara individu atau secara ladang hingga berbuah, pelbagai jenis dan variati yang boleh dilihat dan dibaca dalam blog rakan-rakan lain.


Pokok fig mempunyai bermacam-macam warna buahnya seperti ungu, kuning, oren dan lain-lain. Nama panggilan mengikut variati juga pelbagai. Sampai naik pening kepala tanomkinotuan mengingatnya.

Dengan saranan seorang rakan, beliau memperkenalkan penanam pokok fig ini kepada tanomkinotuan di facebook. Dengan demikian, tanomkinotuan periksa satu persatu rakan penanam di FB secara teliti dengan tujuan pertama melihat jenis-jenis fig yang mahu dibeli dan kedua ialah melihat harga yang berpatutan. Secara kesimpulannya, harga pokok fig bukanlah murah di pasaran. Rata-ratanya mencecah RM80 ringgit ke atas malah ada harga yang mencecah RM120 sepokok. Harganya juga meningkat mengikut variati pokok fig.



Selesai ditanam di dalam pasu

Setelah mencongak ke kiri dan mencongak ke kanan maka tanomkinotuan berhubung dengan ahlinya. Hari isnin lepas barang tempahan sudah pun tiba di tangan tanomkinotuan. Pokok fig jenis Black Ishia Fig ini telah ditut untuk pengakaran dan bukannya dipangkas atau ditanam dalam media. Tanomkinotuan teruja melihat media yang digunakan untuk pentutan di mana media sangat hitam dan peroi jenisnya. Tiba di rumah tanomkinotuan sediakan pasu bersaiz besar dan masukkan potting soil ke dalamnya. 

Namun sebelum itu, ada tanomkinotuan membaca artikel-artikel mengenai panduan menanam pokok fig. Maklumlah ini pertama kali menanam pokok ini seumur hidup. PH media yang sesuai bagi penanaman pokok fig ialah 6.3 hingga 6.5. Pokok fig menyukai media yang peroi kaya nutrient dan tidak menakung air. Pokok fig akan layu dan mati jika media yang digunakan untuk pokok tersebut sekiranya media terlalu basah atau sangat-sangat menakung air. Tambah sekam padi bakar untuk media yang berkualiti dan tidak menakung air secara berlebihan. Selamatlah pokok fig tanomkinotuan untuk seketika. 

Hanya saja menunggu perkembangan tumbuhbesarannya. Untuk ketika ini tanomkinotuan tidak mahu bercakap banyak. Apa-apa pun boleh berlaku terhadap pokok fig ini. Semoga pokok fig tanomkinotuan hidup dengan baik. Sementara itu, ia di simpan dalam rumah konon-kononnya untuk keselamatan. Baru saja ditanam dalam pasu dan belum mampu untuk bertahan dari sepak terajang cuaca ekstrim dan kelakuan liar dari ternakan ayam dan kucing. Hehe... Bombastik punya bahasalah pula.

Selain pokok fig, ada bersama tempahan tempoh hari ialah pokok mulberri putih panjang. Juga ditempah dari orang yang sama. Variati mulberri merah sudah ada malah dah muntah-muntah makan, gugur sendiri buahnya yang ranum sudah tidak larat untuk memetik dan mengunyah. Tanomkinotuan mahu makan pokok mulberri dari variati yang lain pula. Barulah boleh cakap hidup ini memang ceria. Hahaha

Pokok mulberi putih masih dalam polibag tidak dialihkan ke mana-mana tempat. Biarkan dulu pokoknya. Bila sudah sesuai dialihkan barulah dipindahkan ke tanah saja lebih sesuai. 

Kini tanomkinotuan sudah mempunyai sepokok pokok fig dari Black Ishia Fig sebagai permulaan. Pada masa akan datang tanomkinotuan tambah lagi jumlahnya dengan membeli variati yang lain pula. Bolehlah berangan-angan berada di padang pasir nan panas walaupun sekitarnya nan menghijau oleh rumput kerbau.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar