Minggu, 11 Oktober 2015

POKOK KENTANG BERCAMBAH DI KBR



Siapa tidak mengenali ubi kentang, antara bahan yang banyak digunakan dalam masakan dapur kita seperti ayam masak kari, sebagai campuran dalam donat goreng, sebagai bahan pemekat kuah dan juga sebagai bahan resepi begedil. Gorengan kentang yang ranggup dicicah dengan sos cili memukau selera. 

Nama saintifik ubi kentang ialah Solanum tuberosum (English: potato) ini adalah berasal dari Negara Peru dan Bolivia yang dibawa oleh penjajah Spain pulang ke negara asalnya dan mula tersebar ke seluruh belahan dunia. Kini ubi kentang adalah makanan ruji bagi sebahagian negara di dunia kerana kandungan kaborhidratnya menyamai kaborhidrat yang ada pada bijirin lain.

Tanomkinotuan telah mencuba untuk menanam ubi kentang di KBR. Ini hanya percubaan yang pertama untuk melihat sejauhmana pokok kentang mampu beradaptasi dengan cuaca di negara kita. Tidaklah tanomkinotuan teruja untuk menanam cumanya terdapat hirisan kulit kentang di atas meja tempohari oleh emak tanomkinotuan yang memasak resepi kari daging. Jadi tanomkinotuan telah memilih kulit kentang yang agak tebal sedikit bersama tunas yang sedia ada pada kulit tersebut. 

Namun pertama sekali adalah tanomkinotuan simpan dalam cup plastik berisi potting soil bersama benih sawi kerinting. Oleh kerana potting soil tersebut senantiasa lembab kerana siraman yang konsisten untuk pertumbuhan benih sawi tersebut menyebabkan kulit kentang bertunas itu juga mendapat manfaatnya di mana kulit kentang tersebut tidak mati tetapi tunasnya membesar dengan baik. Pada masa itu akar kentang belum keluar lagi. Sementara di KBR tanomkinotuan telah membuat batas untuk tanaman sawi putih taiwan yang telah direhatkan selama seminggu setelah dibubuh baja. 

Kira-kira mata tunas kentang sudah bersaiz setengah inci, tanomkinotuan alihkan ke batas dengan mengorek sedalam 2 inci dam menanam kulit kentang bertunas dengan menghalakan mata tunas ke atas lalu ditimbus semula dengan tanah. Masa ini batas tersebut telah ditanam dengan sawi putih taiwan dan sudah mencecah usia 2 minggu. 

Sekembalinya tanomkinotuan ke rumah jumaat lepas, dapat dilihat tunas kentang sudah pun keluar dan nampak elok seperti gambar di atas itu. Pada masa ini di tempat tanomkinotuan setiap petang hujan mencurah-curah berserta angin kuat. Untuk pengetahuan semua, pokok kentang alah dengan hujan lebat, pokoknya akan reput jika tanah atau batas tersebut terlalu basah. Namun pada permulaan percambahan pokok kentang menyukai hujan yang banyak. Oleh yang demikian batas harus dibuat agar lebihan air hujan tersebut dapat dikurangkan atau membuat atap daripada plastik lutsinar agar pokok kentang tidak terkena hujan secara langsung.

Pokok kentang hidup subur pada jenis tanah yang peroi, sedikit berpasir dan kaya dengan zat makanan. Pokok kentang juga perlu ditimbus dengan tanah disekeliling pangkal pokok untuk memberikan kelebihan pokoknya berisi dengan banyak.

Akar Jewels of Opar

Pokok jewels of opar di KBR juga sudah dituai induk pertamanya. Tanomkinotuan tuai 3 pokok yang ditanam dalam polibag. Jewels of opar adalah variati ginseng jawa cuma berbeza kudup bunga di mana bunga jewel of opar bersaiz kecil dan buahnya berbentuk bulat kecil sedikit berbanding dengan ginseng jawa. 

Asalnya tahun lepas tanomkinotuan ambil anak pokok jewels of opar dengan kawan dan ditanam di KBR. Kini pokok itu sudah kira matang kerana batangnya bertukar menjadi warna gelap dari warna asalnya hijau muda. Bila tanomkinotuan tarik pokoknya dari polibag, terjojol lah akarnya yang panjang dan cantik. Tersenyum tanomkinotuan akan hasil akar jewels of opar yang diperolehi hari ini.

Oleh kerana emak tanomkinotuan tidak berapa sihat disebabkan termakan makanan tercemar yang dibeli di gerai oleh adik tanomkinotuan tempoh hari, kesihatannya terjejas. Sampai menjadi pengunjung setia tandas tidak sampai pun sepuluh minit. Sudah diarahkan pergi ke klinik tetapi degil. Jadi hendak marah pun serbah salah. Pada petang itu, dia menyuruh memasak bubur ayam kerana nasi biasa tidak berselera hendak makan. Tanomkinotuan siapkan bahan-bahannya dan masaklah bubur itu. Teringat tanomkinotuan akan akar jewels of opar tersebut lalu mencucinya dan campakkan ke dalam bubur yang tengah mengelegak. Keesokan harinya subuh lagi emak tanomkinotuan sudah bergegas keluar untuk menoreh getah. Mata sepencarian keluarga tanomkinotuan. Legalah hati kerana kesihatan emak tanomkinotuan pulih seperti sedia kala. Jangan tidak percaya pula, akar tersebut lembut tanpa urat dan rasanya seperti kacang tanah rebus. Tak tahulah kalu boleh makan macam tu. Hehe



Tanomkinotuan kongsikan gambar pudina kawan tanomkinotuan nun jauh di Kuala Lumpur. Walaupun sibuk bekerja dan belajar tetapi masih ada kesempatan untuk dia bercucuk tanam di laman rumah dan sememangnya ditanam dalam pasu. Gambar pudina di atas sangat cantik dan subur tanpa sebarang penyakit. Menggunakan tanah potting soil berkualiti tinggi pokok pudina nampak hijau dan menyerlah cantik dalam pasu yang diletakkan di sudut dinding. Sudah menjalar dan terjuntai ke bawah. 

Pokok pudina sesuai dijadikan teh hijau dengan aroma pudina yang memikat. Daun-daunnya juga boleh dicampurkan dalam resepi salad yang digemari. Satu yang membuatkan tanomkinotuan teruja akan pokok ini ialah tahap dan kualiti daunnya yang lembut dan hijau terang. Ini bermaksud, pokok pudina sesuai diletakkan di tempat 70% teduhan dari sinaran matahari. 

Tanomkinotuan belum mendapat kebenaran pun dari dia yang gambar pudinanya dimasukkan ke dalam entry kali ini. Halalkan yer gambarnya. 

Bagi pembaca yang berminat untuk mendapatkan benih Jewels of Opar pada harga RM2.50 1 pek dan keratan batang pokok pudina berharga RM5.00 (10 batang) email ke borosmomogun@gmail.com untuk maklumat selanjutnya. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar