Kamis, 22 Oktober 2015

TEKNIK MEMBUAT PEGGING POKOK MULBERI



Masalah jerebu melanda negara kita belum reda sepenuhnya malah semakin teruk dialami di satu-satu tempat. Diminta semua jaga kesihatan, guna penutup muka ketika keluar rumah dan banyakkan minum air. Masalah jerebu yang tebal boleh menghalang sinaran matahari sampai ke bumi dan kesan sampingan kepada tumbuhan untuk melakukan proses fotosintesis. Harap masalah ini cepat-cepat berlalu.

Hari ini tanomkinotuan ingin berkongsi cara membuat pegging yang sangat asas kepada pembaca yang inginkan pokok tanaman berbuah lebat dan bertunas banyak. Selalunya peniaga-peniaga bunga sering melakukan teknik ini kepada bunga kertas, bunga raya untuk kelihatan cantik dan dilihat seperti bonzai. Ini bagi yang sudah berlevel tinggi. 

Teknik pegging ialah teknik menurunkan, membengkokkan, melingkarkan batang tumbuhan ke bawah dengan menggunakan tali rafia, dawai halus atau tali sesuai untuk mengekalkan kedudukan batang pokok yang dikehendaki. Tujuan pegging ialah untuk mengalakkan bunga dan buah pada tanaman tersebut menjadi banyak dari yang biasa. Teknik pegging boleh dilakukan pada tanaman jenis berbatang sederhana keras seperti mulberi, bunga ros, bunga kertas, jambu batu, jambu bol dan sebagainya. 

Tanomkinotuan telah mencuba teknik pegging ini kepada pokok mulberi untuk mendapatkan buah yang banyak di kemudian hari. Masa sesuai untuk melakukan pegging untuk pokol mulberri ialah ketika pokoknya masih muda di mana ia mudah dilenturkan mengikut kesesuaian. 

Pertama, pilih batang mulberri yang mahu dipegging. Cantas batang yang kurang elok, berpenyakit dan kurus. 


Potong daun-daun pada batang yang ingin dilenturkan atau dipegging. Supaya tunas, bunga dan seterusnya buah baharu akan cepat keluar dan banyak.


Seterusnya lakukan lenturan secara berhati-hati dan perlahan-lahan ke bawah dengan mengikatnya dengan tali rafia dan tali rafia tersebut diikat pula pada pangkal pokoknya atau pacakkan kayu berhampiran pokok untuk tempat mengikat tali tersebut. 


Anda boleh juga mengaplikasikan pelbagai teknik lenturan mengikut saiz dan tinggi pokok anda. Contohnya melingkarkan batang pokok mulberi secara round table (bulatan) atau bengkokan batang. 


Bagi mereka yang menanam pokok mulberri dalam pasu atau kontena juga boleh membuat teknik pegging pada pokok mulberi anda. Lagi mudah kerana saiz pokoknya tidak terlalu besar dan tinggi. Hanya luruhkan daun dan hanya tinggalkan daun pucuknya. Pegang salah satu pucuk pokok dan jatuhkan ke bawah secara perlahan-lahan. Dengan menggunakan tali ikat hujung tali pada pucuk pokok mulberi (pastikan jangan ketat sangat) seterusnya hujung tali yang satu lagi ikat pada batang pokok mulberi atau pada kayu yang dipancang. Biar batang pokok mulberi tersebut melengkung ke bawah. 


Selain pokok mulberri pokok bunga kertas dan bunga ros juga boleh dipegging untuk dapatkan banyak bunga pada pokoknya. Teknik pegging adalah kemajuan sains dalam bidang pertanian yang boleh kita praktikkan untuk kebaikan bersama dan boleh mendapat hasil yang lebih lumayan. Adakah pokok mulberi anda dipegging?


Selamat menuai bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar