Minggu, 29 Maret 2015

BOSOU SADA' PENAMPAT SELERA MAKAN

Home-made bosou
Setiap kaum di Malaysia ada makanan tradisi yang diperturunkan dari nenek moyang kepada generasi seterusnya. Kali ini tanomkinotuan ingin bercerita satu lagi makanan tradisi yang popular di kalangan komuniti Dusun dan Kadazan di Sabah. Makanan tradisi yang dimaksudkan ialah bosou sada' atau jeruk ikan sungai. Ia mempunyai persamaan dengan pekasam jika di Kelantan cumanya cara proses yang berbeza. Lain padang lain belalang, lain kampung dan daerah lain sebutan untuk nama jeruk ikan ini seperti noonsom, sambaat, kinaraatan, gagau, tinamba' dan banyak lagi. Sekiranya banyak hasil ikan sungai yang diperolehi maka selebihnya akan diproses menjadi jeruk ikan.

Sejarah pembuatan jeruk ikan aka bosou ini tanomkinotuan kurang tahu, tanomkinotuan hanya tahu buat dan makan saja....hehe. Walau bagaimanapun, secara umum pembuatan bosou dilakukan kerana masa dahulu tidak ada peti sejuk untuk menyimpan ikan-ikan hasil tangkapan. Oleh itu untuk menyimpan ikan-ikan ini tahan lama maka mereka menjerukkannya dengan proses tertentu dengan menggunakan dua jenis bahan pengawet iaitu garam dan biji pangi yang dipanggil biji keluak di Indonesia dan biji kepayang di Malaysia sambil tambahan bahan-bahan lain yang sesuai. Bosou boleh bertahan lama sehingga 6 bulan hingga 1 tahun pada bekas penyimpan kedap udara.

Semua jenis hasil sungai seperti Pelian (kelah), ikan keli, dan udang sungai sesuai dibuat jeruk. Ikan seperti talapia juga sesuai untuk dijadikan jeruk. Tanomkinotuan pernah buat dengan memproses jeruk aka bosou ikan talapia ini. Namun ikan yang sering digemari oleh mereka dalam pemprosesan bosou ialah pelian kerana isinya dikatakan manis dan keras setelah mengalami tindakbalas asid di dalamnya. Ini membuatkannya ianya boleh disimpan lebih lama dalam bekas simpanan yang tertentu. Zaman dahulu mereka menggunakan tajau (jar) yang besar dan kadang-kadang boleh bertahan hingga 3 tahun lamanya. Ini bermaksud 3 tahun rehat dari melakukan kerja-kerja nelayan...hahahaha. Hari ini apa-apa bekas kedap udara pun boleh digunakan untuk menyimpan bosou, yang penting tidak menganggu ketenteraman awam...hehe. 

Makcik tanomkinotuan merangkap adik kepada emak tanomkinotuan telah datang ke rumah dengan sebesen kecil ikan di bawah bersama. Katanya suaminya telah ke sungai Pangas yakni anak sungai kepada sungai Kinabatangan di hulu dan tidak habis makan. Oleh itu tanomkinotuan telah mengerjakan ikan-ikan ini untuk diproses menjadi bosou. Lazimnya kita melihat bosou yang diproses agak lain sikit dari segi bentuk, warna, struktur dan warna. Tanomkinotuan ingin membuat bosou yang menarik perhatian. warna warni gitu...jadi apa lagi tanomkinotuan langsung menyiapkan bahan dan pic di atas adalah bosou yang sudah diproses dan dimasukkan ke dalam botol plastik kedap udara. Bosou aka jeruk ikan harus diperam atau dijerukkan selama 1 minggu atau 2 minggu barulah boleh dimakan kecuali jika anda menambah pengawet serbuk biji pangi atau keluak/kepayang, harus menunggu 3 hingga sebulan setengah barulah ia boleh dimakan. Harus berhati-hati menggunakan biji pangi ini kerana ia dikategorikan sebagai racun tahap rendah. Binatang seperti ayam dan itik yang termakan serbuk biji pangi ini daripada sisa nasi atau di mana-mana sisa dapur yang dibuang ke tanah akan mati serta merta. No excause baby!!! tetapi ia tidak mampu membunuh manusia jika digunakan cara yang betul dan belum ada sejarah kematian dikalangan komuniti Dusun di daerah Ranau, Tambunan dan Keningau yang memakan Bosou menggunakan pengawet pangi @ kepayang sedangkan banyak berita kematian kita dengar akibat memakan ikan buntal, jadi jangan risau lorrrr. Biji pangi ini juga digunakan untuk mengawet ikan. Ikan menjadi tahan lama tanpa sebarang bau yang kurang menyenangkan.

Bosou siap digoreng/fry
Selepas 1 minggu atau 2 minggu bosou anda sudah boleh dihidangkan. Sekiranya anda mahukan bosou anda tidak terlalu masam (sederhana) anda boleh makan bosou anda genap seminggu. Jika mahu bosou yang masam hingga kenyit-kenyit mata boleh tunggu hingga 2 minggu ke atas. Terdapat dua cara yang mainstream untuk menghidang jeruk ikan ini iaitu dimakan begitu sahaja. Buka penutup, ceduk beberapa jumlah yang anda mahu dan ngappppp bersama nasi dan lauk. Cara kedua pula anda goreng bosou terlebih dahulu dengan bawang besar, bawang putih dalam minyak panas, tunggu hingga minyak naik dan siap, ready to eat bersama nasi bukit dan lauk pauk. Namun bosou harus dimakan seperti sambal kerana ia bersifat masam dan masin. Bosou hanya sebagai pembangkit selera, jika anda memakan bosou secara berlebihan anda akan masuk hospital kerana darah tinggi. Jangan salahkan si bosou pula. Jadi makan secara bersederhana. Kepada mereka yang mempunyai penyakit gout, gastrik atau darah tinggi dilarang sama sekali memakan bosou atau sewaktu dengannya. Jagalah kesihatan anda untuk kehidupan yang lebih baik. Kepada mereka yang masih sihat walafiat bolehlah melantak bosou hingga lebam-lebam mulut...hahahaha. tetapi betul anda akan menambah dua tiga pinggan dek penangan bosou ini. Berikut tanomkinotuan turunkan resepi membuat bosou atau jeruk ikan versi tanomkinotuan:

BOSOU IKAN PELIAN

Bahan-bahan;

1. Satu ekor ikan pelian sederhana besar, belah dan buang tulang dan jadikan fellet ikan seperti dijual di supermarket. Seeloknya fellet ikan palian anda tidak mengandungi tulang even yang kecil-kecil pun (buang habis). Jika tidak ada boleh ganti pada apa-apa jenis ikan sungai.

2. Satu mangkuk nasi bukit wangi (Nasi Kondinga). Nama beras bukit yang jarang-jarang ditemui hari ini. Nasi biasa pun boleh jika tidak ada beras Kondinga. Sejukkan terlebih dahulu.

3.  Secekak bawang losun. Jika tidak ada anda boleh gantikan bawang kucai/ atau bawang sup..alah yang dicampur dalam soto tu atau anda boleh menggunakan kedua-duanya sekali.

4. Lapan hingga sepuluh biji lada topurak dibelah dua tanpa dipisahkan. Sila klik SINI untuk maklumat lanjut. Jika tidak ada anda boleh gantikan dengan cili hijau.

5. Tiga batang umput tuhau atau pokok tepus kesing. Di potong setengah inci.

6. Setengah mangkuk kuntum bunga kantan yang dileraikan.

7. Setengah mangkuk lobak merah dihiris kecil-kecil secara memanjang.

8. Setengah mangkuk lobak putih dihiris kecil-kecil secara memanjang.

9. Lima hingga sepuluh biji cili padi tanpa diketuk atau dipotong.

10. Empat biji bawang merah dihiris nipis.

11. Satu biji bawang besar sederhana besar dihiris nipis.

12. Sepuluh biji bawang putih dihiris nipis.

13. Satu biji lada besar (cupsicum) sederhana. Belah ukuran satu inci.

14. Tiga inci halia dihiris nipis-nipis. Kalau suka halia boleh ditambah.

15. Setengah mangkuk kecil ubi kayu dipotong dadu secara kecil.

16. Setengah mangkuk besar bunga jantung pisang yang dikeringkan. Ada jual di pasaraya. 

17. Secekak daun sup atau sederi yang dipotong kecil-kecil. Jika suka anda boleh tambah secekak daun basil atau selasih. I love basil dan seleri.


Cara Penyediannya;

1. Ikan pelian yang sudah dicuci dan dipotong saiz fellet harus ditoskan airnya hingga kering atau toskan semalaman. Elok sekiranya anda toskan ia pada kertas khas supaya air dapat dikurangkan semaksima mungkin. Clue supaya bosou anda tidak berbau kuat adalah kurangkan air seboleh mungkin pada ikan dan juga bahan-bahan lain. Menggunakan ikan bertulang tidak mempunyai masalah sebenarnya. Inilah yang sering digunakan sebagai bahan utama dalam pembuatan bosou tetapi kadang-kadang tulang pada kepalanya tidak akan lembut dan mengurangkan selera makan jika tersekat dalam mulut.

2. Masukkan kesemua bahan tadi ke dalam besen kecuali garam dan ikan pelian, gaul hingga sebati. Masukkan garam mengikut keperluan. Bagi tanomkinotuan, garam hanya sedikit sahaja cukup untuk mengawetkan jeruk tersebut tetapi kurang garam boleh menyebabkan jeruk anda berkulat. 

3. Gaul bahan-bahan tadi bersama garam hingga sebati. Masukkan fellet ikan pelian dan gaul sebati. Masukkan bahan-bahan campuran bosou tersebut ke dalam kontena atau botol plastik kedap udara. Tutup dengan ketat dan simpan ditempat selamat. Tunggu hingga seminggu atau 2 minggu dan bosou anda sudah boleh dimakan. Lihat bosou anda sungguh warna warni.  

Melihat bahan-bahan di atas, bosou tanomkinotuan bolehlah dikatakan sihat dimakan. Kerana ramuan yang ditambah adalah herba yang menyihatkan tubuh badan. Bosou jika dibuat secara betul tidak mendatangkan bau yang teruk tetapi bau alami yakni tumbuh-tumbuhan. Bau bawang, halia, basil, seleri, nasi, ubi kayu, tuhau, bawang losun bersatu sehingga menenggelamkan bau sedia ada menyebabkan bosou anda unik berbanding dengan bosou yang banyak dijual ditepi jalan seperti jalan ke Kota Kinabalu - Ranau atau jalan ke Ranau - Keningau. Malah resepi sebegini hanya boleh dinikmati oleh anda sendiri berbanding bosou di pasaran hanya menggunakan bahan kurang dari bahan-bahan di atas. Nikmati home-made bosou anda secara sederhana bersama keluarga di rumah. Tanomkinotuan tidak menggunakan serbuk pangi kerana susah untuk mendapatkannya. Tanomkinotuan hanya menggunakan garam sebagai pengawet pada bosou ini. Namun jika anda ingin menggunakannya, guna sukatan setengah sudu kecil makan untuk 1 kilo ikan sudah memadai.

Anda juga boleh menggunakan apa-apa jenis ikan sungai atau laut. Jika anda mahukan kelainan cuba membosoukan fellet ikan salmon atau tuna yang mahal giler di pasaraya. Mungkin lebih enak berbanding ikan pelian...Selamat Menjamu selera.... Jagalah kesihatan untuk kehidupan yang lebih baik. 


Nota Peringatan: Resepi ini hanya kepada mereka yang mengemari jeruk ikan alias bosou. Kepada mereka yang suka memakan makanan seperti belacan, budu', pekasam, tempoyak, kimchi maka anda boleh menelan bosou ini tanpa sebarang masalah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar