Rabu, 01 April 2015

PANDUAN MUDAH MENCAMBAHKAN KELEDEK DARI UBINYA1


Beberapa sahabat tanomkinotuan mencuba menanam keledek dari ubinya asyik merungut kerana percubaan demi percubaan menanam keledek tidak juga berjaya. Katanya, sudah 5 kali tanam langsung ke tanah tetapi tidak ada satu pun berjaya keluar dari permukaan tanah. Tanomkinotuan rasa pelik, ubi keledek sifatnya jika di tanah ia tetap akan tumbuh walaupun lama tempohnya. Even ubi keledek yang terbiar di sudut dapur tanomkinotuan yang kering lagi membahang pada hari siang masih boleh bercambah dengan baik. Tanomkinotuan merasakan ada sebab mengapa keledek iru tidak bercambah dan ia juga dipengaruhi faktor kelembapan tanah, suhu dan organan.  Asal tanah lembab dijamin akan bercambah namun ambil tempoh yang lama. 

Sahabat pembaca semua, terdapat cara paling mudah menanam keledek dari ubinya. Cuma anda hendaklah sabar untuk beberapa minggu. Kaedah ini bukan rahsia lagi ramai yang tahu menggunakan kaedah ini terutamanya pekebun mini dari negara Barat. Kelaziman kita di sini menanam keledek dari keratan batang khususnya pucuk keledek dan jarang menanam menggunakan umbisi keledek. Teknik menanam daripada ubinya adalah dimulakan oleh orang-orang Barat. 

Bahan-bahan yang diperlukan

1. Satu biji ubi keledek sederhana besar.

2. Gelas panjang atau mangkuk.

3. Setengah gelas air paip.

Cara Penyediaan:

1. Dapatkan ubi keledek yang boleh dibeli dari kedai. Belilah sekilo dan asingkan sebiji ubinya untuk tujuan di atas. Selebihnya anda boleh buat bubur keledek atau goreng disalut dengan tepung.

2. Potong di hujung ubi keledek itu secara rata sebelah menyebelah. Tujuan dipotong supaya ubi tersebut boleh berdiri tegak dalam gelas nanti dan memudahkan atau mempercepatkan percambahan tunas baru.

3. Masukkan keledek yang sudah dipotong itu ke dalam gelas atau mangkuk dan tuang air setengah daripada saiz keledek. Jangan penuhkan air pada gelas nanti keledek tak akan bercambah.

4. Simpan gelas tersebut di tempat selamat dan tunggu 2 hingga 3 minggu untuk proses percambahan.

5. Dua minggu kemudian, kita akan lihat keledek tersebut mula bertunas dan biarkan keledek itu bertunas kira-kira 4 hingga 6 inci.

6. Jika tunasnya sudah mencecah 6 inci, potong 'peel' tunasnya bersama sedikit kulit isi keledek tersebut. Kembalikan semula ubi keledek tersebut ke dalam gelas jika ada tunas yang masih kecil. 

7. Ambil gelas lain, isikan setengah air dalam gelas dan masukkan tunas-tunas keledek yang dipotong 'peel' ke dalamnya dan tunggu ia berakar sehingga 1 atau 2 minggu.

8. Setelah akarnya sudah banyak, bolehlah dipindahkan ke dalam tanah atau pasu. Gembur tanah sedalam 1 kaki. Tambah kompos dan buat lubang sedalam 3 hingga 4 inci lalu tanam tunas keledek anda dan siram. Guna media campuran bernisbah 2:1:1 (tanah hiram/kebun: pasir sungai: kompos) jika anda menanamnya di dalam pasu. Jangan lupa siram. Pokok keledek anda akan mula tumbuh galak selepas 2 minggu dialihkan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar