Selasa, 05 Mei 2015

CARA DAN PANDUAN MEMBUAT SERUM EM1 (EM1 INOCULANT MICROBIAL)

Entry lepas tanomkinotuan ada berkongsi maklumat mengenai apa itu EM1 dan manfaat kepada alam. Hari ini tanomkinotuan fokuskan kepada cara pembuatannya berdasarkan panduan bergambar di bawah. 

Walaupun tanomkinotuan menggunakan 3 jenis baja cecair seperti teh kompos, baja cecair ikan dan yang terbaru adalah serum EM1, tanomkinotuan lebih menyukai serum EM1 kerana kelebihannya lebih baik berbanding dengan 2 jenis baja cecair di atas. Tidaklah tanomkinotuan menidakkan kebaikan teh kompos dan baja cecair ikan. EM1 inoculant microbial sangat mahal di pasaran lebih-lebih lagi EM1 import, jadi apa kata anda berekperimentasi membuat EM1 di rumah. Berikut adalah cara dan panduan membuat serum EM1 di rumah.






Sediakan setengah mangkuk beras, air tanpa klorin, botol nescafe dan penapis. Susu segar tanomkinotuan tak sertakan dalam gambar kerana seminggu kemudian barulah bahan tersebut diperlukan.


Masukkan beras ke dalam satu bekas bertutup, tuang air tanpa klorin kira-kira 100 ml. Tutup botol tersebut hingga ketat dan goncang botol tersebut hingga air bertukar menjadi putih cair. Asingkan cecair dan biji beras dengan menggunakan penapis. Cecair beras tersebut dimasukkan ke dalam botol nescafe dan tutup dengan kejap. Simpan botol tersebut di tempat gelap seperti dalam almari atau seumpamanya selama 1 minggu.



cecair beras yang ditapis

Apabila genap 7 hari, tapis cecair tersebut dan masukkannya ke dalam besen atau bekas seumpamanya. Tambah susu segar dengan nisbah 1:10 di mana 1 bahagian untuk cecair beras dan 10 bahagian untuk susu segar. Jika susu segar sukar diperolehi, anda boleh guna susu dalam kotak atau boleh juga menggunakan susu tepung tetapi kualitinya tidak sama dengan kualiti yang menggunakan susu segar. Nisbah jika menggunakan susu dalam kotak atau susu tepung ialah 1:15. Simpan balang tersebut di tempat selamat dan biarkan selama 1 minggu lagi.



Susu segar dicampurkan bersama
dengan cecair beras.

Genap 1 minggu kemudian didapati botol yang mengandungi campuran cecair beras dan susu segar mempunyai ketulan putih di atasnya menandakan ia sudah bersedia untuk proses seterusnya. Tapis cecair anda untuk mengasingkan ketulan putih tersebut pada bekas yang lain.  
genap ditapai selama 7 hari

Ketulan protein di permukaan
atau curd.


Cecair serum EM1, gula perang dan
Ketulan protein (curd)

Sukat serum EM1 anda dan begitulah kuantiti jumlah gula perang yang anda gunakan. Contohnya, jika cecair serum EM1 anda berjumlah 400 ml maka gula perang juga ialah 400 gram. Bubuh lebih sedikit gula perang pun tak apa. tuangkan cecair EM anda ke dalam satu bekas dan campurkan gula perang ke dalamnya. Gaul hingga gula perang sebati pada cecair EM1. Sekirannya ada silap menyukat jumlah gula perang ke dalam cecair serum EM1, akan menimbulkan bau yang kurang menyenangkan.


Serum EM1 sudah siap
dan sedia untuk digunakan.

Tuangkan campuran tadi ke dalam botol mineral 1.5 liter dan serum EM1 anda selesai. Simpan di tempat selamat. Pada gambar di atas terdapat 2 botol serum EM1 diproses secara berasingan. Botol kurang gelap tak cukup gula perang menyebabkan baunya kurang sedap (aromanya memualkan) manakala botol sebelah kiri pula (warna gelap) baunya sedap seperti bau gula perang bercampur dengan aroma keju. Macam tulah. Haha

Cara gunanya pula ialah tambah 2 sudu serum EM1 ke dalam 1 liter air tanpa klorin dan sembur atau siram pada tanaman anda.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar