Minggu, 29 November 2015

TUAIAN TIMUN MINI DI KBR BULAN NOVEMBER


Bertani memang menyeronokkan apatah lagi dilakukan bersama anak-anak. Bukan sahaja anak-anak dapat bergerak dan mengeluarkan peluh tetapi juga mendapat ilmu baharu apabila melihat kita melakukan sesuatu kerja atau pertanyaan mereka dijawap oleh kita. Satu bentuk interaksi sosial yang sangat baik selanjutnya mengeratkan silaturahim keluarga anda.

Hujung bulan September lepas tanomkinotuan ada menyemai benih timun mini atau five mini cucumber. Bersaiz kecil dan pendek. Sebelum ini ada menyemai timun cina dan timun kampung di mana tanomkinotuan lebih menyukai menanam timun mini di mana saiz pokok memang kecil, hanya menggunakan ruang kecil.

Pertama sekali tanomkinotuan semai benih dalam cup plastik. Cup plastik tersebut adalah bekas minuman yang dibeli dan disimpan untuk kegunaan semaian akan datang, jimat sikit duit. Dengan menggunakan media 100% cocopeat, tanomkinotuan masukkan ke dalam cup plastik dan masukkan dua benih timun mini ke dalam media kira-kira 1 inci dalam, timbus semula dan tanomkinotuan siram dengan air banyak. Kemudian letak ditempat teduh tetapi masih terkena cahaya pada waktu pagi.


Selepas 2 minggu, tanomkinotuan alihkan pula ke batas. Berkongsi batas dengan fennel, zucchini hijau dan bunga telang ungu. 

Pertama tanomkinotuan gembur sedalam 1 kaki bagi memudahkan akar bebas bergerak di dalamnya. Tanomkinotuan tabur kompos 2 genggam dan 1 genggam tinja ayam. Lebihan tinja ayam dibeli tempoh hari untuk digunakan membaja pokok-pokok zucchini. Bercakap mengenai pokok zucchini, buah penanaman kali ini tidak begitu baik, habis diserang ulat pengorek buah. Membusuk dengan cepat. Tanomkinotuan redha dengan rezeki untuk pokok zucchini kali ini.

Tanomkinotuan sebatikan tanah dan kompos tadi. Buat lubang kira-kira 5 inci kemudian tanomkinotuan tanam anak pokok timun mini tersebut.

Setelah menunggu 1 bulan lebih hati tanonkinotuan gembira tidak terkata, hasilnya sudah boleh dituai. Dapatlah beberapa biji timun mini yang cantik dan bersaiz kecil. 


Tidak sempat pun dijadikan sayur makan tengahari. Sudahpun di makan hanya dicecah garam dengan cili api.


Timun mini merupakan timun cepat membesar dan berbuah banyak. Pokok hanya saiz kecil dan sesuai juga ditanam dalam pasu bersaiz besar.  Pokok timun mini sesuai ditanam pada media potting soil atau tanah gembur yang tidak menakung air. Elakkan menanam pokok timun mini pada tanah jenis tanah liat.

Selepas ini tanomkinotuan ingin pula menanam timun cina dan timun kampung. Sudah lama KBR tidak ditanami kedua jenis timun ini kerana timun mini cukup membekalkan sayur timun untuk salad mahupun campuran dalam sup ikan atau ayam.

Jom menanam timun mini dilaman rumah sebagai dekorasi menarik dan juga pembekal sayuran dapur kita.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar