Sabtu, 12 Desember 2015

POKOK ANGGUR DI LAMAN RUMAH



Selamat berhujung minggu kepada pembaca sekalian. Hujung minggu dan hujung tahun 2015. Bila diimbas kembali perjalanan hidup tahun 2015 ini sangat kurang memberansangkan. Kena usaha lagi tahun depan. Jadi tidak perlu bimbang dan marah. Selagi bernyawa selagi itu kita kena usaha dan usaha hingga berjaya.

Berbalik pada tajuk entry kali ini, tanomkinotuan ingin berkongsi tentang pokok anggur yang ditanam di halaman rumah. Kurang pasti jenis apa, tanomkinotuan rembat saja masa membeli hari itu. Kira tanomkinotuan sebenarnya sudah terlambat untuk menceritakannya kepada pembaca kerana kawan-kawan lain sudah lama merasai pengalaman sinonim dengan pokok anggur tanam sendiri. Ini tanomkinotuan baru terkial-kial dengan bangga melaporkan dalam blog. Jadi tidak ada perkara baru sebenarnya. Hanya membezakan masa, jenis anggur dan orangnya. Haha

Tunas yang telah hasilkan segugus buah anggur

Menyukai menanam pelbagai jenis pokok maka anggur jadi sasaran. Tahun lepas adalah melawat ke Kundasang. Masa itu belum lagi berlaku kejadian gempa bumi, nulu nabalu (Gunung Kinabalu) masih lagi cantik tersergam indah. Jadi tanomkinotuan mencuba membeli sepokok anggur dengan harga RM15.00 1 pot. Tanomkinotuan mencuba menanam di kampung yang memang lokasinya panas membahang. Boleh terbakar kulit hitam legam jadinya.

Oleh kerana pokok ditanam dalam polibag, tanomkinotuan pindahkan ke pasu besar dengan menggunakan potting soil yang diproses sendiri. Maka pokok anggur hiduplah dalam rumah baharu yang di make up sebegitu rupa. 

Pertumbuhan awal pokok anggur tanomkinotuan hidup subur bagai juara. Daun cantik lebar menghijau, lebar pula tu. Senang hati tanomkinotuan melihatnya, tidak menyangka pokok anggur yang sinonim dengan negara-negara 4 musim hidup pula di negara tropika seperti negara kita. Namun begitu pokok anggur dan segala variatinya bukanlah pertama kali dijumpai dinegara-negara Barat. Sejarah telah membuktikan bahawa tinggalan tamadun-tamadun awal di Timur Tengah ada menanam pokok anggur hasil tinggalan lukisan-lukisan dinding bangunan. Ini bermaksud anggur juga boleh hidup di tanah gurun berpasir yang subur. Jadi tidak hairanlah jika pokok anggur juga boleh hidup di negara kita.

Namun panas yang disangka hujan pula ditengahari. Ceewahhhhh, madah-madah pujangga pula. Macam salah saja mada pujangga ini. Habis lunyai daun pokok anggur tanomkinotuan digondoli oleh belalang penghuni tegar di KBR. Pucuk muda yang molek hari tu dah terputus dua. Haha.. Bohonglah jika tanomkinotuan tidak marah, geram dan kecewa tetapi apakan daya. Tidak sampailah hendak maki-maki belalang tu. Bukannya faham pun kalau di maki atau dihujat. Lagipun tanomkinotuan tidak pandai memaki atau menghujat. 

Banglo baru pokok anggur

Selepas kejadian itu, tanomkinotuan bercadang menanamnya depan rumah pula. Kebun KBR ni lokasinya di belakang rumah. Lagipun pagar dah diperbaiki, bertukang bagaikan pro... Padahal... Hampehhhh huhu.

Dengan semangat menyediakan tapak penanaman yang ditinggikan kira-kira 2 kaki lebih, diisi tanah kebun yang digaulkan dengan kompos dan cocopeat. Maka bersedialah pokok anggur tanomkinotuan memulakan hidup baru di rumah banglo yang tidak seberapa banglo... Papan saja sebenarnya, tu pun papan buruk. Adakah pula dikatakan banglo? Apa-apa saja la yang penting pokok tersebut selesa yer tak?

Sebelum dipindahkan ke tapak tanaman di depan rumah, dipangkas batangnya dan dipotong kira-kira 6 inci dan ditanam semula sebagai anak pokok. Nanti bolehlah ditanam keliling rumah dengan pokok anggur saja. Biar lebam-lebam mulut memakan buah anggur masam, mungkin buah masam boleh cicah dengan garam dan asam boi kan?

Selepas 2 bulan di tempat baru tunas yang muncul keluar bersama-sama kudup bunga. Gembira tidak terkata. Dengan riang dalam hati sudah berangan-angan memetik buah anggur masak. Tapi sedihnya, esok pagi sekali lagi dengan dada meninggi menongkat langit berjalan menuju ke pokok anggur, terperanjat dan kecewa bercampur sedih tunas bersama bunga yang semalam cantik dipandang sudah patah menyembah ke tanah. Batangnya telah digigit oleh belalang. Terkedu sekejap dan bermusabaha dalam diri. Lain kali jangan bangga sangat, jangan riak, jangan gembira melebihi seadanya. Kan dah terkena...cepat-cepat tanomkinotuan beristigfar banyak-banyak dan sabar apa yang berlaku. Mungkin ada hikmahnya semua apa yang berlaku.

Namun sekali lagi kegembiraan tanomkinotuan datang lagi tapi tidaklah over sangat. Sekarang ni kena kawal kegembiraan tersebut. Gembira sikit-sikit sudah. Putik kedua muncul pada cabang tunas yang kedua. Maka adalah semangat sikit untuk hidup (macamlah buah anggur memberikan keselesaan hidup hahahaha).

Buah anggur membesar sedikit demi sedikit, semasa entry ini ditulis buah anggur sudah bersaiz saga atau sebesar buah terung pipit. Segugus pula tu. Heemmmm. Kontrol kegembiraan ya. Nanti esoknya bukan pucuk yang patah, batang dan akar-akarnya sekali tercabut. Hehe.

Menanam pokok anggur tidaklah cerewet sangat. Jika tidak ada keratan batang pokok anggur boleh minta dengan kawan atau beli sepokok di tamu atau pameran-pameran pertanian. Sampai dirumah alihkan ke tanah (laman rumah) dengan menggorek tanah seluas 2 x 2 kaki bersegi sedalam 1 kaki. Gembur hingga tanah menjadi serpihan-serpihan kecil dan ditambah dengan 100 gram cocopeat, segenggam kapur pertanian dan 250 gram kompos/baja organik. Gaul hingga sebati dan buat lubang mengikut saiz polibag pokok anggur anda. Buka plastik polibag dengan berhati-hati tanam pokok anggur anda pada lubang yang disediakan. Timbus semula dan siram dengan air banyak. Kalau cuaca panas letak teduhan jaring hitam untuk dua tiga hari agar pokok tidak terkejut dengan cuaca panas. Anda juga boleh menanam pokok anggur dalam pasu atau kontena saiz besar lebih kurang 24' ke atas. Lebih besar lebih baik.

Penjagaan pokok anggur harus dibaja mengikut waktu. 2 minggu sekali tabur segenggam baja NPK organik, sembur dengan baja ikan atau kompos teh. Pokok anda akan hidup bagai juara dan jangan lupa bubuh baja alfalfa atau baja buah organik untuk meransang pokok anggur untuk berbuah.

Tanomkinotuan menjangkakan sebulan lebih lagi buah anggur sudah boleh dituai, hanya jangkaan. Tanomkinotuan tidak ada pengalaman mengenai buah anggur ini. Harap dapatlah merasa buahnya di kemudian hari. Apakah jenis pokok anggur yang ditanam di laman rumah anda? Dan apa perkembangan pokok anggur anda itu?

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar