Senin, 14 Desember 2015

TANAMAN YANG MEMBESAR DI KBR


Musim ini tidak ada sayuran yang ditanam di KBR akibat ruang terhad. Tunggu tanaman yang ingin dimatangkan dapat dituai barulah dapat menanam sayuran berdaun. Cuma kelmarin petang adalah menanam anak pokok kobis cina bulat jenis napa cabbage pada batas bekas menanam kacang tanah. Kacang tanah siap dituai digembur semula dan tanam anak pokok kobis cina bulat.

Namun berikut adalah tanaman yang masih membesar di KBR. Sebahagiannya jenis pokok berbuah. Tanam sayur berdaun hanya ulat-ulat daun saja yang untung. Tuannya hanya dapat tuai batang gondol saja. Jadi rehat untuk seketika.





Pokok zucchini hijau, buah yang keempat baru nampak buahnya membesar dengan baik, sebelum ini buah-buah habis memburuk setelah disuntik oleh serangga bertelur pada buah-buah zucchini yang sedang berbunga. Kali ini dapatlah sebiji dua. Sihat membesar bagaikan juara.




Tadaaa... pokok anggur tak tahu jenis apa. Sudah mengeluarkan segugus buahnya yang masih kecil lagi. Gugusan buah anggur pun hanya boleh dikira dengan jari buahnya. Tapi bagi tanomkinotuan tidak mengapa yang penting buahnya membesar dengan baik sudah dikira baik bagi tanomkinotuan. Maklumlah pertama kali menanam pokok anggur dan pertama kali berbuah.



Pokok kiwi masih lagi dalam proses pertumbuhan namun ada perubahan dari bulan-bulan sudah. Pertumbuhannya memang bagus cuma sedikit lambat membesar. 3 bulan hanya dua daun yang muncul. Kali ini daun muda pada gambar adalah tunas baru muncul dibatangnya. Pokok utamanya pula macam terbantut pula. Mungkin ini disebabkan persaingan mendapatkan makanan sehingga induk asal tidak mampu bersaing.



Pokok herba ini tanomkinotuan tidak mengetahui ID nya, tanomkinotuan beli di pasar malam Keningau beberapa bulan yang lepas dari seorang makcik cina yang menjual buah-buahan potong. Katanya bunga berwarna kuning boleh dimakan, dicampurkan ke dalam telur dadar, sayur tumis, dicampurkan ke dalam sup daging atau ayam. Teruja dengan penerangan yang bersungguh-sungguh ini tanomkinotuan belilah 6 pokok dengan harga RM5.00 1 pot. Dari 6 pokok 1 pokok saja yang membesar macam dalam gambar di atas. Adik tanomkinotuan mengatakan keluarga bakal suaminya memakan daunnya sebagai ulam, dicicah dengan sambal cili makan begitu sahaja. Nanti tanomkinotuan juga hendak rasa dan makan daunnya sebagai ulam. Tentu sedap hingga menjilat jari kan?



Pokok betik ini disemai dalam pasu dengan sedikit tanah. Tanomkinotuan dari tahun lepas lagi menyemai benih betik. Tumbuh memang tumbuh tetapi lupa hendak mengalihkan ke tanah menyebabkan mati dengan sia-sia. Semai lagi dan lupa mati terus. Kali ini tanomkinotuan telah menyemai dan dijaga dengan betul. Tidak lama lagi sudah boleh dipindahkan ke tanah di hadapan rumah. ada 5 pokok semuanya jadi tanomkinotuan bariskan sahaja di tepi pagar biar rimbun dan sejuk sikit laman rumah yang memang langsung terkena sinaran matahari panas membahang.



Inilah adalah pokok keladi mawar dibeli secara online daripada Puan Diana. Kesemuanya ada 5 pokok dan tumbuh semuanya. Kini pokok keladi mawar sudah mengeluarkan anak keladi/sulur dan ditanam semula di sekeliling pokok induk. Kini sudah ada 20 pokok kesemuanya dan anak-anak pokok keladi juga sudah mula tumbuh dengan baik. Ditanam sebulan yang lalu.



Ini pula pokok keladi tidak berisi, tanomkinotuan tidak mengetahui namanya. Yang tanomkinotuan tahu ialah batang dan daun mudanya boleh dijadikan sayur. Tidak mempunyai rasa gatal. Baru sepokok dan mempunyai 2 pokok anak tetapi belum lagi berkesempatan untuk dipindahkan ke tempat baru. Sibuk memanjang. 




Anak pokok roselle hitam yang dibeli di tamu tempoh hari. Buahnya cukup gah dan cantik tanomkinotuan beli seplastik dan memproses kulitnya untuk dijadikan air sirap campur dengan biji selasi. Orang kata boleh meredahkan panas dalam badan. Jadi biji-bijinya tanomkinotuan asingkan jemur walaupun masih nampak muda belia. Kemudian tanomkinotuan semai kesemua benih tersebut dalam cup plastik besar. Banyak-banyak benih tersebut hanya 3 benih berjaya bercambah, syukur. Dapatlah dimatangkan dijadikan benih dikemudian hari.





Pokok peria putih jenis kurus. Inilah pokok peria yang mula-mula sampai ke Sabah dan ditanam di kampung-kampung. Pokok peria ini pahitnya ya ampun, boleh tercabut gigi kepahitannya tetapi bagi mereka yang mempunyai masalah darah tinggi sayur ini sangat baik untuk darah anda, boleh turunkan darah yang tinggi dalam badan dengan syarat makan dengan konsisten. Pokoknya baru belajar menjalar.

Setakat ini sahaja yang mampu tanomkinotuan kongsikan kepada anda semua. Hendak upload gambar telefon pula buat hal. Jika ada masa pada masa akan datang tanomkinotuan tambah lagi koleksi tanaman yang tidak sempat di muat turun. Kepada sesiap yang ingin bertani di laman rumah bolehlah meninjau benih yang dijual di blog ini. Lihat bahagian atas dan klik 'Benih Online' atau klik SINI

Selamat bertani dan menuai hasil. 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar