Tani

Selasa, 14 Juli 2015

PERKEMBANGAN POKOK SWISS CHARD PUTIH DI KBR

Percubaan tanomkinotuan menanam sayur swiss chard di KBR mendatangkan hasil lumayan. Benihnya dibeli secara online kat SINI dan tidak sangka bahawa sayuran musim sejuk ini boleh tumbuh galak di iklim tropika seperti di negara kita. Untuk pengetahuan pembaca sayur swiss chard atau nama saintifiknya ialah Beta vulgaris subsp. vulgaris adalah sayuran berdaun hijau musim sejuk (cool season leafy green vegetable

Pokok swiss chard ini lebih dekat dengan sayuran ubi bit tetapi tidak menghasilkan bulb atau pembengkakan pangkal akarnya. Ia terdiri dari pelbagai variasi dan warna dan hidup bertebaran di negara-negara yang mempunyai iklim sejuk. terdapat sayuran swiss chard berwarna putih seperti yang ditanam oleh tanomkinotuan dalam gambar. yang disertakan dan swiss chard lain seperti swiss chard pelangi (rainbow swiss chard), terdapat juga swiss chard batangnya berwarna merah dan kuning. Kandungan mineral dan nutrient yang tinggi serta tumbuh dengan cepat ini sangat versatile di tanam di laman.

Tanomkinotuan sayang pula nak makan sebab daun-daunnya sangat cantik bila dilihat lembut dan licin bak sutera. Jika ditanam dengan jumlah banyak di hadapan rumah sudah tentu akan mengujakan sesiapa yang melihatnya apalagi jika penjagaan dari segi kelembapan media, baja dan suhu meningkatkan tahap kualiti daun, batang dan tumbuhbesarannya. Setakat entry ini ditulis sayur swiss chard tanomkinotuan di KBR masih dalam peringkat pertumbuhan.

Jujurnya sudah 2 kali tanomkinotuan menyemai benih swiss chard ini langsung pada batas hingga benih sayur swiss chard pelangi habis disemai tetapi sebiji pun tidak bercambah. Oleh itu tanomkinotuan mengubah teknik semaian benih swiss chard dengan memasukkannya ke dalam habuk kayu dan disembur dengan serum EM1 hingga media tersebut lembab dan disimpan ke dalam peti sejuk selama 2 minggu. Anda boleh menggunakan peat-moss atau cocopeat untuk tujuan tersebut.




Selepas 2 minggu disimpan dalam peti sejuk tanomkinotuan dapati bahawa benih swiss chard sudah mula bercambah dan akar tunjangnya sudah keluar kira-kira setengah inci. Tanomkinotuan seterusnya menyediakan media semaian untuk ditanam dalam cup plastik. Tanomkinotuan menggunakan tanah biasa yang dicampurkan dengan kompos.

Selepas 2 minggu berada dalam cup plastik maka tanomkinotuan alihkan ke batas di KBR yang telah disediakan. Tanomkinotuan gembur batas tersebut dan menaburkan kompos buatan sendiri dan tinja ayam. Tanomkinotuan membuat lubang sedalam 2 inci dan menanam anak pokok swiss chard tersebut ke dalam batas. Oleh kerana masa itu cuaca agak terik hingga mengigit kulit maka tanomkinotuan meletakkan teduhan jaring hitam untuk mengelaknya dari layu dan mati.




Selepas 2 minggu dialihkan ke batas, pokok swiss chard kini membesar dengan baik tanpa masalah yang teruk. Setakat gigitan belalang pada daunnya tidaklah menjejaskan pertumbuhan pokoknya cuma agak cacat sedikit di mata bilamana melihatnya.

Pada masa ini tanomkinotuan berusaha untuk mencabut rumput rumpai dan membuat membajaan kompos tinja ayam pada setiap pokok swiss chard.




Genap 3 minggu swiss chard tanomkinotuan di KBR semakin galak membesar. Tiba tanomkinotuan di rumah langsung bergegas ke KBR pada petang tu. Melihat tanahnya tersangatlah kering. Tahulah tanomkinotuan bahawa seminggu di kampung hujan tidak turun namun alhamdulliah pokok swiss chard berjaya tumbuh dengan baik. Cepat-cepat tanomkinotuan mengalas baldi dan menyeduk air dari kolam seterusnya menyiram batas swiss chard tersebut.






Minggu ini di mana pagi tadi sebelum tanomkinotuan bersiap-siap ke bandar, tanomkinotuan sempat mengambil gambar sayur swiss chard terbaru. Pokok swiss chard semakin hari menampakkan wajah sebenarnya. Tanomkinotuan tertunggu-tunggu akan daun swiss chard yang beropol atau mengerutu seperti gambar-gambar swiss chard dari luar negara. Namun belalang juga tidak mahu terlepas akan kelazatan daun pokok sayur swiss chard tersebut hingga cacat daun-daunnya diratah dengan rakusnya.




Jadi tanomkinotuan terfikir untuk menyelesaikan kes seperti itu tanomkinotuan memasang jaring net seperti di atas (gambar). Harap dapat membantu mengurangkan serangan segala tuk nenek belalang yang hadir menjengah swiss chard tanomkinotuan. Kepada membaca budiman apa lagi cuba menyemai benih swiss chard di laman rumah anda. Hasilnya anda dan keluarga anda yang memperolehi faedah, jadikan hobi bertani ini sebagai rutin untuk menyatupadukan dan mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PANDUAN MENYEMAI POKOK OKINAWAN SPINACH MELALUI KERATAN BATANG

Adakah anda tahu akan khasiat pokok herba okinawan spinach atau sambung nyawa ungu? Jika anda amalkan memakan pucuk muda daun pokok okinawan spinach ini secara berterusan ia mampu menurunkan kadar kolestrol dalam badan. Sebab itu di negara Barat pokok herba ini juga dikenali sebagai tumbuhan kolestrol (cholesterol plant). 

Pokok ini mudah tumbuh di negara kita sama ada ditanam pada batas yang digembur dan ditabur kompos dan juga sesuai tumbuh di dalam pasu. Ia sesuai diletakkan di kawasan yang terkena sinaran matahari melebihi 6 jam dan juga sesuai ditanam di kawasan terlindung (shade). Namun menurut pengamatan tanomkinotuan pokok okinawan spinach ini mempunyai pertumbuhan yang lebih baik jika diletakkan/ditanam di kawasan menerima 60 hingga 70 peratus sinaran matahari.

Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi bagaimana untuk membiakkan pokok herba okinawan spinach melalui keratan batang. Pertama sekali petik pucuk batang muda kira-kira 3 hingga 6 inci panjang. Ambil daun-duan muda untuk dijadikan ulam, tinggalkan daun dihujungnya (tip).



Gambar di atas menunjukkan beberapa keratan batang pucuk muda pokok okinawan spinach yang dipetik untuk mendapatkan daunnya. Tanomkinotuan tinggalkan daun pucuk di atasnya untuk tujuan pembiakan. Anda juga boleh mendapatkan keratan batang yang agak tua sedikit berbanding dalam gambar di atas. Pastikan daunnya dibuang untuk tujuan mempercepatkan pengeluaran akar. Keratan batang yang agak tua cepat mengeluarkan akar apabila ditanam pada media yang lembab. Tanomkinotuan membiakkan batang muda tersebut kerana mendapatkan daunnya untuk dimakan sebagai ulam, kira pembiakan ini satu eksperimen bagi tanomkinotuan.



Sediakan cup plastik yang diisi separuh jumlah air bersih. Seterusnya masukkan keratan batang tersebut ke dalam cup plastik untuk tujuan pengakaran. Anda boleh menggunakan apa-apa jenis bekas untuk tujuan di atas. Letakkan cup plastik anda di tepi jendela dapur atau seumpamanya agar keratan batang okinawan spinach menerima sedikit sinaran matahari. 



Selepas 2 minggu, keratan batang pokok okinawan spinach mengeluarkan akarnya yang pertama. Sediakan media tanaman iaitu campuran 2 bahagian tanah hitam, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir. masukkan media campuran tersebut ke dalam polibag atau bekas tanaman yang sesuai. Seterusnya buat lubang kira-kira 1 hingga 2 inci dalam dan tanam keratan batang pokok okinawan spinach anda tersebut. Berhati-hati untuk memasukkan keratan batang ke dalam media agar akar mudanya tidak rosak atau patah. Timbus semula tanah tersebut dan siram menggunakan air secukupnya.

Anda boleh menggunakan media campuran seperti 2 bahagian cocopeat atau peat-moss, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian perlite. Media campuran ini ringan dan praktikal.

Simpan polibag anda yang ditanam dengan keratan batang okinawan spinach ditempat teduh selama seminggu. Selepas seminggu alihkan polibag-polibag anda tersebut ke tempat yang terkena sinaran matahari terik untuk pertumbuhan yang baik. Anda juga boleh menyimpan polibag tersebut di tempat terlindung (shade). Jaga pokok herba okinawan spinach anda dengan mengekalkan kelembapan pada tanah serta pembajaan yang konsisten. 

Pokok okinawan spinach sudah disemai

Anda juga boleh menanam keratan batang pokok okinawan spinach langsung pada tanah. Jika laman rumah anda luas maka anda bolehlah membuat pemgemburan tanah dan menaburkannya dengan kompos atau tinja ayam. Buat lubang sedalam 1 hingga 2 inci dan tanam keratan batang pokok okinawan spinach tersebut pada batas tersebut, siram menggunakan air secukupnya. Jika sinaran matahari terik, buat teduhan dengan menggunakan jaring hitam selama seminggu barulah dibuka (open space) untuk pokok okinawan spinach membesar dengan baik. 

Tips untuk merimbunkan pokok okinawan spinach anda ilah dengan memetik pucuk mudanya. Dengan memetik pucuk-pucuk muda sedia ada maka ia akan merancang pokok tersebut untuk bertunas banyak. Pokok okinawan spinach anda akan merimbun dengan baik. Anda boleh menambah daun muda okinawan spinach dalam salad anda untuk aroma yang segar dan unik apabila dimakan. Anda juga boleh memasaknya mengikut resepi kegemaran ini, ia boleh dicampurkan dalam makanan berasaskan sup, bubur, dan lain-lain. War-warkan kepada keluarga, sahabat handai yang mengalami masalah tahap kolestrol tinggi dalam badan untuk mengamalkan memakan daun muda pokok okinawan spinach. Jom tanam pokok herba okinawan spinach untuk kesihatan yang lebih baik.

Selamat bertani dan menuai hasil.

JENIS-JENIS GINSENG DAN KHASIAT TERHADAP KESIHATAN MANUSIA

source from google

Apakah itu ginseng? Ginseng adalah perkataan yang berasal dari bahasa Cina iaitu rénshēn  yang bermaksud 'akar tumbuhan berbentuk manusia' di mana sejenis tumbuhan herba yang hidup lama (perennial plant) dan tergolong dalam genus panax dalam keluarga Araliaceae dan juga dalam keluarga talinum, tumbuh renek dan sesuai membesar di kawasan yang mempunyai iklim sejuk dan sub-tropika. Akarnya seolah-olah kaki manusia dan dijadikan tonic untuk manfaat manusia. Negara China, Jepun dan Korea adalah negara paling ramai menggunakan herba ini dalam diet mereka. Tahukah anda bahawa terdapat beberapa jenis ginseng yang wujud di seluruh dunia.

GINSENG DALAM KATEGORI GENUS PANAX


1. Ginseng Asia


Ginseng asia juga dikenali sebagai Korean ginseng dan nama saintifiknya ialah panax ginseng iaitu antara ginseng terbaik di antara ginseng-ginseng yang ada dari segi khasiat dan kegunaan sebagai tonic dan herba. Ia tumbuh di kawasan semenanjung korea yang mempunyai iklim sejuk dan tanah yang kaya dengan nutrient. Ginseng asia kaya dengan antioksidan, vitamin dan mineral. Ia harus dituai 6 tahun ke atas untuk mendapatkan hasil yang maksimum. Ginseng jenis ini dikatakan ginseng asli yang digunakan dalam perubatan tradisional masyarakat Cina ribuan tahun lampau.


2. Ginseng Siberia

Ginseng siberia adalah ginseng yang tumbuh di kawasan siberia. Nama saintifiknya ialah Elutherococcus senticsus, ia digunakan sebagai tonic untuk meningkatkan tenaga, selesema dan dan juga mengurangkan tekanan mental.


3. Ginseng Amerika

Ginseng Amerika adalah tumbuhan herba yang hidup subur di pergunungan California dan sekitarnya. Ia dikenali sebagai sang wild oleh penduduk tempatan. Ginseng Amerika lebih berkualiti berbanding dengan ginseng siberia dan kurang berkualiti jika dibandingkan dengan ginseng korea. 


4. Ginseng Vietnam

Ginseng vietnam adalah jenis ginseng yang hidup di kawasan pedalaman dan pergunungan di negara vietnam dan merupakan ginseng dalam keluarga panax. Nama saintifik bagi ginseng vietnam ialah Panax Vietnamensis dan boleh dijumpai di pergunungan kawasan Ngoc Linh di wilayah Kon Tum dan Guang Nam. Ciri pertumbuhan sama dengan spesis ginseng lain di mana pertumbuhan yang perlahan dan mengambil masa 10 tahun untuk matang. Ia digunakan oleh penduduk untuk menghilangkan kelesuan dan untuk meningkatkan tenaga tubuh badan.




GINSENG DALAM KATEGORI GENUS TALINUM

1. Ginseng Jawa/Akar Som

Nama saintifik bagi ginseng jawa ialah Talinum paniculatum Gaertn dan banyak dijumpai di negara-negara Asia Tenggara. Banyak ditanam sebagai pokok hiasan dan juga untuk perubatan tradisional. Pucuk daunnya dimakan sebagai ulam dan berkesan meningkatkan selera makandan meningkatkan kecerdasan tubuh badan. Akarnya direbus untuk mengurangkan masalah batuk dan radang paru-paru. Rebusan akarnya juga berkesan meningkatkan tenaga bagi kaum lelaki.  

Ginseng Sabah

Satu lagi jenis tumbuhan herba yang boleh dipanggil ginseng kerana khasiatnya sama dengan ginseng keluarga dalam panax ialah Ginseng Sabah. Pokok Ginseng Sabah hidup di kawasan pedalaman sabah seperti di daerah Nabawan dan Pansiangan hingga ke sempadan Kalimantan di Indonesia. Ia hidup subur di kawasan tanah yang lembab dan kaya dengan organan.  Akarnya direbus oleh penduduk tempatan untuk meningkatkan tenaga dan kesihatan tubuh badan dan meningkatkan kesihatan bagi kaum lelaki. Ginseng sabah tidak termasuk dalam genus panax mahupun talinum. Oleh kerana belum ada kajian terperinci mengenai tumbuhan ini maka tidak dapat disertakan nama saintifiknya dan komponen kimia di dalamnya, juga tidak diketahui kesan jangka panjang terhadap kesihatan manusia. Gambar di atas adalah akar ginseng sabah yang telah dikeringkan dan diambil dari daerah Nabawan, Sabah.

Antara ginseng yang lain bukan dari keluarga panax dan talinum:

  • Ginseng wanita/ dong quai - Angelica sinensis
  • Ginseng lelaki miskin - Codonopsis pilosula
  • Ginseng selatan, jiaogulan - Gynostemma pentaphyllum
  • Ginseng Peruvian, maca - Lepidium meyenii
  • Ginseng Alaskan - Oplopanax horridus
  •  san qi, tian qi atau tien chi - Panax notoginseng
  • Ginseng Brazil - Pfaffia paniculata
  • ginseng raja - pseudostellaria heterophylla 
  • Beri lima rasa - schisandra chinensis
  • Ginseng India - Withania somnifera
  • Ginsang sabah - ???


Semoga info ini bermanfaat kepada pembaca yang ingin mengetahui jenis-jenis ginseng yang wujud di dunia. 
 
Selamat bertani dan menuai hasil.

Senin, 13 Juli 2015

PERKEMBANGAN TIMUN MINI DI KBR

Kebun Belakang Rumah tidak terhindar dari menanam jenis-jenis pokok timun yang mudah tumbuh dengan baik pada cuaca di negara kita. Antara tanaman yang sering kali ditanam di KBR pada setiap musim menanam. Pokoknya cepat membesar dan serta cepat menuai hasil, kurang penjagaan tidak seperti tanaman sayuran lain yang penting cukup baja dan kelembapan, hiduplah pokok timun tersebut dengan jayanya. Kali ini tanomkinotuan mencuba pula menanam variati timun jenis mini di mana buah timun tersebut lebih kecil berbanding dengan jenis timun cina dan timun kampung yang bersaiz agak besar dan panjang. Pokok timun mini lebih cepat membesar dan lebat berbuah. Timun mini ini juga dikenali sebagai mini five cucumber

Benih timun mini ini tanomkinotuan beli secara online tempoh hari. Tanomkinotuan semai benihnya dengan meletakkan benih timun mini pada sehelai tisu yang dilembabkan dan dimasukkan ke dalam plastik lutsinar serta disidai pada jendela dapur yang terkena haba matahari. Mengkagumkan selepas dua hari benih tersebut mula bercambah. Tanomkinotuan seterusnya mengutip benih timun mini tersebut dan ditanam pada cup plastik sehingga benar-benar kuat dan mengeluarkan daun sebenar.

Tanomkinotuan mengalihkan anak pokok timun mini tersebut ke dalam batas yang telah digemburkan terlebih dahulu serta ditabur kompos buatan sendiri dan sedikit baja organik tinja ayam.



Inilah hasil pokok timun mini yang dialihkan ke batas 2 minggu lepas. Anak pokok timun mini kini membesar dengan sihat tanpa sebarang masalah dari serangan serangga perosak mahupun kulat perosak akar. Tanomkinotuan seterusnya menaburkan baja tinja ayam disekeliling pokok dan menggemburkan tanah/batas dengan berhati-hati. Jangan merosakkan akar pokok timun tersebut.

Untuk mendapatkan pokok timun mini yang cantik haruslah dijaga kelembapan batas, baja cukup dan batas senantiasa di gembur, seminggu sekali sudah memadai untuk mudah akar pokok timun mini bergerak dalam tanah. Anda juga boleh menyiramnya dengan kompos teh dua minggu sekali diselang selikan dengan siraman baja cecair ikan buatan sendiri. 


Selepas 3 minggu lebih pokok timun mini kini sudah mula memanjat pada pancang kayu yang disediakan. Tanomkinotuan hanya menggunakan kayu-kayu panjang/junjung kitar semula yang diambil di kawasan semak di luar pagar tahun lepas. Lagi pun jenis kayu tersebut tahan lama. Jika sukar mendapatkan kayu anda boleh menggunakan tali rafia atau seumpamanya untuk memudahkan pokok timun mini tersebut memanjat ke atas.

Pokok timun mini juga sesuai ditanam dalam pasu bersaiz besar. Letakkan pasu-pasu tersebut ditepi pagar untuk memudahkannya memanjat pada pagar anda. Tidak perlu lagi memikirkan untuk mendapatkan kayu atau tali rafia. Tetapi pastikan ianya tidak menganggu ketenteraman hati rumah jiran sebelah yang boleh mengakibatkan perang mulut atau bermasam muka sepanjang hari kerana pokok timun anda menjalar ke kawasan laman rumah mereka. Jika hasil tuaian timun anda lebih bolehlah sedekahkan sebiji dua pada jiran anda. 



Tidak lama kemudian pokok timun mini di KBR sudahpun mengeluarkan bunga jantan dengan meriahnya diikuti pula dengan bunga betina yang berjuntai cantik dicelah batang pokoknya. Untuk mendapatkan pokok timun anda berbuah lebat tabur 1 sudu baja kompos kulit pisang atau baja alfalfa yang boleh dibeli di pasaran. Anda juga boleh menaburkan kulit udang yang dihancurkan terlebih dahulu ke batas kira-kira 1 sudu. 





Sangat mengujakan apabila timun mini mula menghasilkan buah kecil. gambar tersebut diambil setelah sekembalinya tanomkinotuan ke rumah. Inilah variati pokok timun yang menghasilkan buah yang banyak. Setiap batang menghasilkan kira-kira 4 hingga 6 buah.




Setelah menunggu sebulan setengah maka buah timun mini cukup sesuai untuk dituai hasilnya. Dalam gambar di atas kelihatan 6 biji buah timun mini yang cinonet dan menarik. Memang variati buah timun tersebut seperti itu. Tanomkinotuan dah tuai buah timun mini yang telah matang. Ia sebagai bahan tambahan untuk soto sinalau tambang (soto daging rusa disalai). 




Bagi pemerhatian tanomkinotuan, jika pokok timun ditanam di kawasan yang mempunyai iklim sejuk kulitnya hijau gelap tetapi oleh kerana timun mini ditanam di kawasan cuaca panas kulitnya hijau terang keputihan pula. Tapi ia tetap timun rasanya lebih enak dan ranggup.

Apa kata pembaca diluar sana mencuba menanam pokok timun mini ini di laman rumah. Tanam dalam pasu pun boleh kerana pokok timun sesuai tumbuh dalam pasu. Anda dapat menjimatkan bahan membuat resepi kegemaran menggunakan buah timun yang ditambah dalam salad, sandwich, mahupun ramuan dalam soto. Jadi apa tunggu lagi jom tanam timun mini di laman rumah.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Kamis, 09 Juli 2015

POKOK HERBA OKINAWAN SPINACH




Pokok herba Okinawan spinach atau dalam nama saintifiknya ialah Gynura crepioides adalah tumbuhan herba asal dari benua Indonesia dan ada juga mengatakan berasal dari negara India. Nama lain bagi pokok ini ialah pokok sambung nyawa, hung tsoi, okinawa lettuce, handama, suizenjigusa  dan Cholesterol plant. Pokok herba okinawan spinach adalah tumbuhan renek yang hidup subur di kawasan tanah yang kaya dengan organan, berbantang lembut dan warna pada daun atasnya adalah hijau muda manakala belakang daun pula berwarna ungu. Bercabang dan tumbuh menggunakan keratan batang.

Tanomkinotuan berbesar hati untuk menanamnya di KBR kerana khasiatnya yang tinggi terhadap kesihatan manusia. Pokok herba ini dikatakan mampu dan berkesan menurunkan kadar kolestrol dalam darah. Banyak kajian yang dibuat terutamanya di negara Barat akan keberkesanan mengurangkan kadar kolestrol dengan memakan daun muda sebagai sayur mahupun sebagai ulam atau salad. Pokok ini juga banyak ditanam di negara Hawaii. Aromanya yang lembut, unik dan vesertile ini sangat digemari oleh orang Barat. Ia juga mengandungi vitamin A dan protein.

Pokok herba okinawan spinach mudah ditanam dengan menggunakan keratan batang pada batas di halaman rumah mahupun dalam pasu atau kontena. Ia boleh hidup lama jika dijaga dengan baik. Ia juga berfungsi sebagai dekorasi laman yang menawan ekoran warnanya yang sangat memikat. 

Anda boleh mendapatkan pokoknya di kedai-kedai nusery berhampiran dan biakkannya dengan memangkas batang kira-kira 6 inci. Tanggal kesemua daunnya kecuali daun pada pucuknya, rendam dalam air sehingga ia mengeluarkan akar. Sediakan media campuran dan masukkan ke dalam pasu dan tanam keratan batang pokok okinawan spinach sedalam 1 inci dan siram dengan air secukupnya. Simpan ditempat teduh selama seminggu barulah diletakkan di kawasan terkena sinaran matahari untuk pertumbuhan yang baik. 

Pokok herba okinawan spinach adalah pokok bebas serangan penyakit malah disukai oleh rama-rama jenis Kamehameha. Mungkin rama-rama jenis ini tidak wujud di negara kita. Nama rama-rama pun pelik semacam ja.

Daun muda okinawan spinach boleh dimakan sebagai ulam, dengan mencampurkan salad/lecttuce yang lain dengan disiram sedikit minyak zaitun dan ditabur dengan biji bijan. Daun okinawan spinach juga sesuai ditambah dalam sup ayam, daging mahupun ikan. Namun pastikan jangan dimasak terlalu lama dalam periuk atau belanga kerana ia akan berlendir (slimy) seperti kacang bendi. Masak kira-kira 2 hingga 5 minit sudah memadai. Pucuk okinawan spinach juga sesuai dimasak tumis mengikut resepi kegemaran anda dengan memasaknya sesingkat mungkin bagi mengelak dari berlendir. Juga sesuai dimasak tempura, jika anda sukar mendapatkan bunga jantan pokok zucchini, anda boleh mengantikan dengan daun okinawan spinach untuk membuat tempura kegemaran anda. Percayalah aromanya semerbak dan unik sekali.

Salah satu pokok herba yang semestinya ada ditanam di laman rumah anda. Sangat cantik sebagai dekorasi laman selain dimakan sebagai ulam-ulaman. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

PERKEMBANGAN POKOK TIMUN ARMENIA

Pernahkah anda menanam variati timun yang berbeza dari jenis timun yang sedia ada di pasaran? Tanomkinotuan telah membuat eksperimen di KBR untuk menanam variati timun yang sememangnya tidak popular pun di negara kita tetapi sangat terkenal di negara Barat di mana timun ini berasal dari negara Armenia dan sekitarnya malah sangat banyak di tanam di seluruh negara Eropah dan Amerika. Timun yang tanomkinotuan maksudkan ialah timun armenia.


Pokok timun armenia dalam gambar di atas telah pun mula memanjat. Batas telah digembur terlebih dahulu dan ditabur dengan kompos buatan sendiri. Benih timun armenia ini langsung di semai pada batas dan disiram dengan air sekali sekala. 



Selepas 3 minggu kemudian maka pokok timun armenia mula mengeluarkan bunga betina selepas bunga jantan seminggu mengembangkan diri. Bunga betina lewat sedikit untuk muncul. Walau bagaimanapun bunga betina membesar selepas di debunga oleh serangga pendebunga yang datang berterbangan di sekitar KBR.




Lagi bunga betina bersedia untuk didebunga. Untuk pengetahuan, bunga betina timun armenia ini mempunyai bulu halus melitupi buah pada bunga betina tersebut dan akan hilang secara berperingkat apabila buahnya kian membesar. Tidak seperti timun biasa di mana buah pada betinanya dilitupi oleh jejarum halus yang kasar.



Setelah seminggu lebih, buah timun armenia semakin membesar. Tidak lama lagi ia sudah boleh dituai. 




Lagi buah timun armenia kian membesar tergantung dengan strateginya.



Buah timun armenia ketot ja terdampar di atas batas. Macam hidup segan tak mahu je nampaknya. Harap membesar dengan baik.

Begitulah cerita timun armenia tanomkinotuan di KBR kali ini. Sebenarnya tahun lepas ada tanomkinotuan menanam pokok timun armenia ini tetapi tidak sempat dituai disebabkan ulat pengorek buah lebih dulu menyentapnya dari dalam. Kali ini menjadi dan berhasil untuk tuaian buahnya. Tanomkinotuan akan update tuaian buah timun armenia akan datang. Apa kata pembaca diluar sana mencuba menyemai dan menanam pokok timun jenis ini kerana jika berhasil berbuah, anda sememangnya petani laman yang berusaha gigih.



Hasil tuaian buah timun armenia petang tadi. Dapatlah 3 biji dan bolehlah dibuat sayur nanti.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Minggu, 05 Juli 2015

TUAIAN SAYURAN DAN BUAH PERTENGAHAN TAHUN DI KG (KEBUN GETAH)

Hari sabtu yang lalu (kelmarin) ibu tanomkinotuan memaklumkan untuk ke kebun getah (KG) bagi melihat-lihat suasana dan keadaan kebun tersebut. Sudah 3 minggu tidak melawat kebun tersebut tambah-tambah lagi di bulan puasa ini. Namun keinginan ibu tanomkinotuan dituruti kerana mana lah tahu ada rezeki yang boleh dikutip. Selepas bersahur pada pada jam 4.00 pagi dan solat subuh, ibu tanomkinotuan mengemas dapur sambil menyediakan barang yang perlu di bawa ke kebun nanti, tanomkinotuan pula sambung semula membuat peta pada bantal. haha

Tepat jam 6 pagi kami berdua bertolak ke kebun dengan menumpang kereta sepupu yang akan mengikuti pertandingan memancing yang diadakan di salah satu tempat lupa pula namanya, tambah lagi jalan sehala saja. Kami meminta diberhentikan di simpang jalan dan akan berjalan kaki lebih kurang 15 minit dari jalan besar. 

Sungguh tidak disangka, pokok keladi yang ditanam sebelum puasa sudah ditumbuhi semak samun yang tinggi-tinggi. Namun apa kan daya, hanya mata berat memandang. Selepas raya nanti sekali lagi akan diracun kebun ini supaya bersih dan pokok getah tumbuh dengan baik. Oleh kerana sudah hampir 3 minggu tidak ke sini maka beberapa buah pisang sudah separuh dituai lebih dulu. Jadi tanomkinotuan hanya mengutip buah pisang yang belum diusik oleh burung.




Pokok pisang di atas sudah mula masak dan dituai lebih dulu oleh binatang liar, mungkin oleh burung-burung yang tinggal berhampiran. Kiranya rezeki mereka, walau bagaimanapun masih ada yang boleh dikutip hasilnya. Beginilah hidup berjiran berkongsi dengan hidupan di sini. Nasib kawanan monyet belum ke mari jika ya, habis buah pisang ini tanpa meninggalkan sebiji dua. Tanomkinotuan lupa pula apa nama pokok pisang ni, ia pendek saja dan tidak tinggi. 




Hasil kutipan buah pisang lebihan sang burung dan dua tandan pisang yang dikenali pisang 3 bulan atau pisang guguyuon kata orang sini. Jika tidak salah tanomkinotuan pisang ni dikenali sebagai pisang motel/hotel jika tidak salah atau pisang 40 hari dalam bahasa Melayu.




Pisang sabah atau pisang rebus juga sudah mula berbuah, dapatlah tanomkinotuan menuai jantungnya. Banyak-banyak pisang, jantung pisang sabah aka rebus ini sangat enak dibuat sayur atau ulam. Tidak pahit atau kelat. 





Keladi kampung isi kuning ini juga tanomkinotuan tuai, walaupun isinya kecil tetapi warna isinya yang kuning memikat hati. Jadilah ia dimasak bubur keladi atau pengat keladi. Tanomkinotuan tidak suka meletakkan santan ke dalam bubur atau pengat ini. Cuma tambah sedikit kacang hijau, potongan dadu ubi keledek, ubi keladi dan beberapa biji pisang. Seterusnya digaul dengan gula perang dan sagu biji. Siap untuk dimakan. Ia sangat lazat dan rasa yang tradisional sangat-sangat menyerlah.




Selain itu, buah rosalle atau di sini dipanggil buah rabena. Dapat mengutip setengah kilo dan dibuat air sirap rosalle untuk berbuka puasa bersama keluarga. bukan sahaja lazat tetapi kandungan vitamin C sangat tinggi. sesuai diminum bagi mereka yang demam ringan.




Dan akhir sekali, tanomkinotuan sempat tuai dua biji nanas kampung yang hampir masak. Nasib tidak dijenguk oleh sang tupai. tupai merupakan binatang yang suka menghabiskan buah nanas di KG. Walau dengan cara menutup buah nanas tersebut masih juga dapat dituai dengan rakusnya. nasib di bulan ramadan ini mereka tinggalkan dua biji untuk tuan tanah. Ingat juga mereka akan tuan tanah ini. hehe

Tepat jam 11.50 petang maka bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Oleh kerana kenderaan digunakan oleh adik tanomkinotuan ke bandar maka kami pulang dengan berjalan kaki sahaja. Walaupun panas dan penat tambahan lagi berpuasa, semua kerja dipermudahkan tanpa sebarang masalah. Rasa lapar dan dahaga alah tanggal biasa. Kami tiba di rumah pada jam 12.30 tengahari. Seronok berjalan ke KG masa puasa ini, mengingatkan kita betapa perit, letih dan payah untuk mencari sesuap nasi. Dengan aktiviti tanomkinotuan hari ini dapatlah tanomkinotuan menghayati erti puasa yang sebenarnya, tentang kehidupan dan lebih berusaha serta komited untuk maju ke hadapan. 

Selamat bertani dan menuai hasil.