Tani

Sabtu, 08 Agustus 2015

SENARAI POKOK HERBA DI KBR (UPDATE AUGUST 2015)

Entry kali ini tanomkinotuan berkongsi mengenai pokok-pokok herba yang ditanam di KBR. herba-herba tersebut tidak kiralah sebagai herba perubatan tradisional, masakan atau apa-apa bidang pun. Nama pun pokok herba sudah tentu ia bermanfaat kepada manusia yang tahu menghargai tumbuhan anugerah daripada Allah SWT ini. Kadang-kadang perlu juga menggunakan herba terutamanya sebagai ubat meringankan sakit ringan, batuk-batuk dan sebagainya. Tidaklah bermakna kita membelakangkan perubatan modern malah kedua-duanya wajib kita gunakan dan dimanfaatkan. 

Namun apabila menggunakan herba tradisional ini harus diketahui sukatannya atau dos yang perlu digunakan agar kita tidak mengalami masalah yang tidak diingini. Berikut adalah pokok herba yang tumbuh galak di KBR:

1. Pokok Herba Thyme Perancis



Thyme Perancis atau Franch Thyme hidup subur di kebun KBR setakat ini. Ia disemai dari benih tempoh hari dan tanomkinotuan alihkan ke pasu setelah mempunyai 5 batang daun secara selari. Aroma pokok thyme sungguh memikat dan menambat hati. Tidak hairanlah masakan di barat banyak menggunakan daun thyme ini sebagai menambah aroma tambahan kepada masakan.

Melalui pembacaan di internet mengenai pokok thyme mengatakan bahawa ia berasal dari wilayah Mediterranean yang mempunyai kandungan hujan yang sedikit. Walau bagaimanapun, thyme masih boleh hidup subur walaupun dihujani hujan lebat dengan syarat media yang digunakan itu dengan cepat mengalirkan dengan cepat air yang masuk ke dalam media. 
 
2. Pokok herba Ginseng Jawa aka Akar Som



Ginseng Jawa atau dalam bahasa Englishnya dikenali sebagai waterleaf ini adalah pokok herba yang sangat bermanfaat kepada kesihatan manusia. Daun mudanya boleh dimakan sebagai sayur manakala akarnya dituai untuk dijadikan tonic yang menyihatkan terutamanya bagi kaum lelaki. 

Pokok Ginseng jawa ini induknya dibeli dari Pn. Diana tempoh hari dan kini benihnya sudah tumbuh dengan banyak. Adalah pernah tanomkinotuan tuai pucuknya dan dimasak dengan telur dadar. rasanya seperti sayuran lain malah sedap di lidah tanomkinotuan. Wakakakaka....tanomkinotuan hanya tolak kayu dan besi saja....

Ia adalah pokok herba yang mudah tumbuh di tanah, tidak kiralah apa jenis tanah sekalipun. Yang penting tanah tersebut senantiasa lembab dan cukup kaya dengan organan. Ia membiak melalui benih dan keratan batang.


3. Pokok Herba Belalai Gajah



Ini pula adalah pokok herba belalai gajah yang sudah terkenal dikalangan pengamal perubatan tradisional di Malaysia. Ia bukan sahaja boleh dijadikan tumbuhan dikorasi laman rumah tetapi berkesan untuk mengubati penyakit barah dan sewaktu dengannya. 

Cara menanamnya ialah mengunakan keratan batang yang ditanam pada media hingga keratan batang tersebut mengeluarkan akar barulah dialihkan ke batas atau pasu yang bersesuaian mengikut kehendak pembaca.


4. Pokok Herba Basil Itali


Pokok Basil Itali ialah satu kumpulan dengan pokok selasih dan kemangi yang banyak ditanam di negara-negara Asia Tenggara. Aroma basil itali cukup memikat hati di mana sering digunakan oleh chef-chef Barat sebagai rempah dalam ramuan sos tomato dan masakan yang lain.

Cara menanamnya ialah menggunakan benih dengan ditabur di atas tanah. Ia akan mula bercambah selepas 2 minggu mengikut keadaan kelembapan media dan suhu.

5. Pokok Herba cekur



Pokok Cekur yang ditanam tahun lepas selepas membeli induknya di Tamu Keningau tempoh hari. Ia semakin membiak sehingga memenuhi ruang bekas yang digunakan. Pokok cekur mempunyai aroma yang unik dan menarik. 

Daun muda pokok cekur bermanfaat sebagai ulam dengan merebusnya sekejap dan dicicah dengan sambal belacan atau sambal cili padi. Bagi kaum Melayu pula daun tersebut dihiris kecil-kecil dan dicampurkan ke dalam nasi ulam untuk menambah aroma pada nasi. 

Bagi rizomnya pula bermanfaat untuk dijadikan ubat untuk batuk-batuk serta digunakan oleh ibu selepas bersalin.

6. Pokok herba Keladi Tikus



Ini pula adalah rupa tumbuhan herba kelai tikus yang terkenal sebagai ubat mengurangkan perebakan barah dalam badan manusia. Tanomkinotuan telah membeli induknya hanya sepokok di Gaya Street Kota Kinabalu tempoh hari. Ia cepat membiak dan tanomkinotuan alihkan anak-anaknya ke dalam polibag untuk memperbanyakkannya.

Sebelum ini tanomkinotuan sudah mengenali pokok ini dan mengetahui serba sedikit khasiatnya menerusi pembacaan melalui buku perubatan tradisional dan juga bacaan tambahan melalui internet.


7. Pokok herba Stevia



Ini pula adalah pokok stevia yang dibeli tahun lepas. Hingga kini pokok ini tidak berlaku perubahan. Membesar pun tidak mati pun tidak. haha. Tanomkinotuan sudah berusaha untuk membiaknya melalui keratan batang tetapi semuanya gagal. Tanomkinotuan juga pernah menyimpannya di bawah teduhan tetapi kekal macam itu juga.

Maka tanomkinotuan sudah tidak mengendahkannya. Dibiarkan sahaja pokok stevia ini di bawah pokok cili padi. Pada minggu lepas tanomkinotuan baru perasan pokoknya menjalar dengan panjangnya dan berbunga. Jadi agar pokoknya boleh hidup lama tanomkinotuan cantas dahanya bagi mengeluarkan tunas baru. maka selepas 2 minggu barulah nampak elok sikit.

8. Pokok Herba Pecah Beling



Pokok pecah Beling sangat dikenali dikalangan kaum Melayu sebagai ubat tradisional untuk mengubati penyakit cancer. Tanomkinotuan dapatkan sepokok melalui pembelian online tempoh hari dan ditanam langsung pada tanah,

Hari ini pokok pecah beling sudah boleh hidup subur setelah hujan bulan-bulan lepas.


9. Pokok Herba Okinawan Spinach atau Kolestrol Spinach 



Inilah pokok okinawan spinach atau kolestrol spinach di KBR. Tanomkinotuan beli secara online tempoh hari sebanyak 2 pokok dan kini tanomkinotuan berjaya membiakkan sebanyak 3 batang yang kini tumbuh dengan baik. Kelmarin tanomkinotuan ada menuai pucuk mudah untuk dimakan sebagai ulam dan keratan batang tersebut tidak dibuang tetapi direndam terlebih dahulu untuk mengalakkan pengeluaran akar. Bila sudah keluar akar tanomkinotuan tanam dalam polibag banyak-banyak.

Pokok Okinawan spinach sangat berkesan menurunkan kadar kolestrol dalam darah manusia. ia sudah diuji dan banyak kajian telah dijalankan di luar negara mengenai khasiat ini malah sudah ada produk yang dikeluarkan yang berasaskan pokok herba tersebut.

Daunnya juga boleh dimakan sebagai ulam, dimasak tumis atau dijadikan jus. Tetapi jika anda menumisnya masak pada tempoh sekejap saja agar ia tidak berlendir. Aromanya unik dan sederhana.


10. Pokok Herba Kari



Pokok Kari tanomkinotuan sudah besar dan panjang, sepanjang tempoh emak tanomkinotuan memasak masakannya ia tidak perlu membeli daun kari cuma turun ke KBR dan petik tangkai daunnya berapa saja jumlah yang dimahukan. 

Kini pokok kari tersebut berbunga dengan aroma yang sangat menarik dan tidak lama lagi tanomkinotuan boleh membiak semula pokok kari sebanyak-banyaknya.


11. Pokok herba Daun Pandan



Pokok pandan ini sudah banyak kali memberi sumbangan kepada dapur tanomkinotuan. Semasa bulan puasa baru-baru ini. Pokok pandan hampir botak kerana hari-hari menuai daun untuk dicampurkan ke dalam bubur kacang hijau atau bubur jagung. 


12. Pokok herba Kunyit Hitam



Kunyit hitam masih hidup subur di KBR, walaupun tanomkinotuan tidak pernah menggunakannya tetapi ditanam juga sebagai pelengkap pokok herba di KBR. 


13. Pokok Herba Tampaka



Pokok tampaka juga masih elok tumbuh di KBR walaupun tempoh hari kemarau panjang melanda kawasan tempat tinggal tanomkinotuan. Takut saja pokoknya kering disebabkan tanah yang ditanam itu berupa tanah liat keras membatu ketika tempoh kemarau. tetapi Alhamdullilah pokok tampaka masih bertahan hingga sekarang.

Lagipula ia jarang-jarang disiram memandangkan ia tersorok di tepi pagar berhampiran dengan lopak air. Jadi tanomkinotuan hanya mengharapkan keajaiban berlaku. Tidak disangka pokok tampaka ini mengeluarkan bunga yang cantik berwarna putih seperti bentuk kipas. Tidak pula tanomkinotuan hidu aromanya. 


14. Pokok herba Ginseng Jawa aka Jewels of Opar



Ini adalah satu lagi variati ginseng jawa atau dalam Englishnya dikenali sebagai jewels of Opar. Tanomkinotuan menanamnya di dalam besen terbuang dan tumbuh dengan baik. Ia sudah mengeluarkan bunga dan tidak lama lagi akan menghasilkan benih yang boleh disemai semula.

Tujuan ditanam di dalam besen ialah untuk mendapatkan akarnya. Mengikut pembacaan untuk mendapatkan akarnya yang besar perlu dituai selepas 3 tahun. Selalulah trim dahan dan daunnya agar ia tidak terlalu rimbun. Pokok yang rimbun akan mengurangkan saiz akarnya.

Begitulah jenis pokok herba yang berjaya tanomkinotuan ambil tadi pagi.  Terdapat pokok herba yang tanomkinotuan gunakan seharian seperti pucuk muda okinawan spinach. Tanomkinotuan masak seperti sayur lain atau dimakan seperti salad sahaja. Pada masa bulan puasa yang lepas tanomkinotuan membuat salata yang dicampurkan dengan daun okinawan spinach ini. Ia cukup secap kerana aroma daripada daun okinawan spinach ini menambah lagi keenakan dan kesedapannya. 

Tanomkinotuan sangat mengemari mengumpul pokok-pokok herba yang wujud di serata dunia. Tanomkinotuan berimpian untuk menghasilkan nusery herba yang boleh menampung pelbagai jenis herba yang berguna kepada kita semua.




Tanomkinotaun sertakan gambar bunga lackspur merah jambu untuk tatapan pembaca. Bunga ini adalah bunga yang meluas tumbuh di negara Amerika dan Eropah. Ia mempunyai pelbagai warna dari warna ungu, merah dan merah jampu serta putih. Ia ditanam sebatas dengan pokok fennel. Jika pokok bunga lackspur ini ditanam banyak dalam satu baris ia sangat cantik dan elegan. Diharap benihnya dapat disemai semula bagi tujuan tersebut.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PERKEMBANGAN POKOK FENNEL DI KBR

Bagi mereka yang minat menonton rancangan memasak di TLC di astro seperti rancangan jamie oliver dan lain-lain anda pasti terjumpa sayur fennel sebagai bahan yang digunakan dalam ramuan memasak. Pokok fennel adalah tumbuhan yang dimakan dan popular di negara-negara Barat. Dalam bahasa Melayu fennel diterjemahkan sebagai pokok adas. Tidak pasti apakah ia sama dengan maksud bagi perkataan kacang adas.

Tanomkinotuan hari ini ingin berkongsi perkembangan pokok fennel yang ditanam di KBR dan masih lagi tumbuh membesar dengan baik. Anda boleh mendapatkan info menyemai benih fennel dan menanam anak pokok fennel pada pos-pos lepas. Tanomkinotuan ada membuat entry mengenai pokok fennel tempoh hari. Bolehlah cari sendiri.

Melalui pemerhatian tanomkinotuan pokok fennel boleh tumbuh dengan baik di negara kita. Sekali benihnya bercambah ia hidup dengan baik di batas atau di pasu. Cuma mencambahkan benih fennel agak leceh sedikit. Ia kurang berkesan jika dicambah langsung pada batas pada cuaca panas. Apa yang perlu dilakukan ialah cambahkan benih fennel di dalam peti sejuk bersama cocopeat yang disembur sedikit serum EM1 atau air biasa. Cukup hanya cocopeat itu lembab dan bukan terlalu basah. Masukkan ke dalam plastik berzip bersaiz kecil dan simpan ke dalam peti sejuk.


Gambar di atas menunjukkan pokok fennel tanomkinotuan sudah memulakan pembesaran pangkal batangnya. Sudah boleh dilihat walaupun masih kecil. Usia pokok fennel tanomkinotuan ialah 1 bulan dan 17 hari.

Tanomkinotuan memang betul-betul menyediakan batas untuk menanam fennel ikut saranan lazim yang dibuat di negara Barat. Pertama tanomkinotuan gembur batas tersebut dengan mengorek sedalam 1 kaki. Seterusnya gembur dengan memecahkan ketulan-ketulan tanah yang besar mencari serpihan-serpihan kecil. 

Selepas itu, tanomkinotuan bubuh kompos dan tinja ayam dalam kuantiti yang banyak. Ini kerana pokok fennel ialah tumbuhan yang sangat banyak menggunakan nitrogen. Tanomkinotuan tunggu atau rehatkan 2 minggu biar baja tersebut benar-benar sebati dengan tanah.

Selepas 2 minggu tanomkinotuan sekali lagi mengembur batas tersebut dan tambah cocopeat dan sedikit pasir sungai. Agar tanah lebih peroi dan pengudaraan baik dalam tanah. Dengan selesai kerja-kerja tersebut tanomkinotuan tanam benih fennel pada batas.

Tempoh menanamnya pada batas yang disediakan pun kena buat teduhan al maklumlah masa tu musim panas tidak ingat dunia. Nasiblah hingga kini pokok fennel semakin membesar.



Tahukah anda bahawa kita sebenarnya selalu menggunakan biji fennel dalam masakan. Hari-hari menghunakan biji rempah ini terutamanya memasak sup ayam atau daging malah kuih rempeyek juga menggunakannya. Sejak berkurun-kurun lamanya tubuh badan kita sudah sebati dengan bijinya. Rempah biji yang tanomkinotuan maksudkan ialah jintan manis. Jintan manis adalah biji yang dikeluarkan oleh pokok fennel ini. Ada yang mengatakan fennel ialah jintan hitam.

Menarik untuk diketahui sejak bila penduduk di Asia Tenggara menggunakan rempah biji fennel dalam masakan sedangkan pokok fennel adalah pokok herba asal dari mediterranian dan tersebar ke negara Eropah, USA dan sekitarnya. 


Ini adalah pokok fennel yang agak bersaiz besar berbanding dengan yang lain. Secara keseluruhannya, pokok fennel tanomkinotuan setakat ini tidak bermasalah sangat. Ada juga tempoh hari ulat pemakan daun bertengek seekor dua tetapi tidaklah menjejaskan keseluruhan pokok fennel. Seminggu dua sudah hasilkan pucuk muda baharu. 

Pokok fennel terdiri dari banyak variati, dari jenis hibrid hinggalah jenis fennel yang tumbuh meliar di kawasan semak. Variati paling baik untuk ditanam ialah florence fennel seperti dalam gambar di atas. Nama saintifiknya Foeniculum Vulgare. 

Pokok fennel mengambil masa kira-kira 4 hingga 5 bulan untuk dituai. Bolt pokok fennel boleh dituai sama ada sebesar bola ping pong atau sebesar penumbuk tangan orang dewasa.

Selamat bertani dan menuai hasil.

GENSING JAWA @ JEWELS OF OPAR

Ginseng jawa merupakan tumbuhan herba yang tumbuh meluas di negara-negara tropika seperti Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina dan sebagainya. Ia juga ditanam sebagai tumbuhan hiasan di laman rumah di negara-negara lain di Eropah dan Amerika. Lazimnya mereka menanamnya di dalam pasu atau kontena.

Ginseng jawa atau nama saintifiknya dikenali sebagai Talinum Paniculatum atau nama di dalam bahasa English ialah Jewels of Opar. Tumbuhan ini juga digelar sebagai flameflower atau fame flower. Jangan keliru dengan ginseng jawa yang satu lagi (talinum triangulare), bahasa Englishnya ialah waterleaf. Keduanya adalah dari genus yang sama iaitu tergolong dalam kumpulan talinum. Namun perbezaan ketara adalah dari segi bentuk bunga dan buah. 

Jewels of Opar berbatang lembut dan berwarna kemerahan ketika masih kecil, bertukar ke warna hijau setelah dewasa. Daun hijau sedikit loncong. Bunganya kecil berwarna merah jambu dengan buahnya berwarna merah gelap manakala bijinya berwarna hitam. Jewels of opar mempunyai akar rerambut dan akar tunjang yang membesar seperti lobak. 

Tumbuhan herba ini mudah tumbuh dan sesuai membesar di negara kita. Terdapat dua cara untuk menanamnya. Pertama menggunakan biji benih yang telah matang (berwarna hitam) dan kedua tanam melalui keratan batang. Menanam melalui keratan batang tidak perlu menunggu lama untuk bercambah, hanya mengambil kira-kira 7 hari untuk memulakan percambahan. Lagi pula jika keratan batang hanya diletakkan ke tanah dan tanah tersebut menerima kelembapan dalam tempoh lama, keratan batang ini mampu bercambah dan tumbuh dengan baik. Bagi benih pula percambahan mengambil masa kira-kira 2 minggu. Tetapi jika anda menuai akar lobaknya maka anda harus tanam menggunakan benihnya.

Pokok herba jewels of opar ini diperolehi dari seorang kawan di laman rumahnya ketika melawatnya awal tahun ini. Pokok tersebut sangat banyak tumbuh di halaman rumahnya sehingga menjadi rumput rumpai yang sangat rimbun dan banyak. Sebahagian laman rumahnya ditumbuhi dengan pokok herba tersebut. Mengikut kawan tanomkinotuan, ayahnya sering merungut mengenai pokok herba jewels of opar kerana susah untuk dihapuskan. Walaupun ditebas dengan parang, keratan batangnya akan tumbuh galak apatah lagi pada musim hujan. Dengan sedikit pengetahuan tanomkinotuan, tanomkinotuan jelaskan kepadanya bahawa pokok ini berkhasiat sama dengan ginseng panax. Ini kerana akarnya yang membesar boleh dituai dan dijadikan ginseng sebagai tonic untuk kesihatan. Dengan penerangan tersebut diharap mereka mengubah persepsi tentang pokok herba ini lebih-lebih lagi ayahnya.  



Tanomkinotuan meminta izin untuk mendapatkan benih pokok jewels of opar dengan kawan itu serta sedikit anak pokok yang tumbuh galak di hadapan mata. Tanomkinotuan kumpulkan benih-benih yang sudah matang dengan melihat buah yang berwarna gelap. Tanomkinotuan kumpul dalam satu bekas. Banyak jugalah benih yang berjaya tanomkinotuan  kumpul serta beberapa anak pokok. Tiba di rumah tanomkinotuan semai dalam cup plastik bersaiz sederhana. Dalam 2 minggu lebih kurang benih-benih tersebut tumbuh dengan galaknya. Satu masalah pula timbul, di manakah pula tempat menanam anak pokok jewels of opar ini?  KBR sudah sarat dengan sayuran pada batas-batas. Penyelesaiannya tanomkinotuan mengambil keputusan menanamnya dalam besen besar. Bagi anak pokok jewels of opar yang dicabut dilaman rumah kawan tanomkinotuan tanam dalam polibag saja. 

Penyediaan media adalah sangat penting. Tanomkinotuan menggunakan campuran media dengan nisbah 2:1:1 (tanah lom, pasir sungai dan kompos) digaul bersama dan dimasukkan ke dalam besen hingga penuh. Tanomkinotuan menanam anak pokok jewels of opar ini di dalamnya. Kini anak pokok jewels of opar mula berbunga dan tidak lama lagi pokoknya mungkin memenuhi ruang di KBR. 

Mengikut pembacaan tanomkinotuan. Jewels of opar ini dijadikan seperti ginseng di Vietnam. Mereka menanamnya dan menunggu sehingga 3 tahun barulah dituai iaitu menuai akarnya. Di vietnam pokok ini digelar white ginseng kerana akarnya berwarna putih dan sesetengah tempat pokok ini digelar red korean ginseng. Ini yang diperolehi tanomkinotuan melalui pencarian di internet.

Bukan itu sahaja, daunnya juga boleh dimakan sebagai sayur. Masak bersama telur dadar atau tambah dalam sup ayam mahupun daging ia sesuai untuk khasiat tubuh badan anda. Selalunya tanomkinotuan memasak daun mudahnya bersama telur dadar atau masak tumis. Harus dimasak dalam tempoh sekejap lebih kurang 3 hingga 5 minit agar ia tidak menjadi berlendir. Anda boleh mendapatkan info selanjutnya di blog seorang warga vietnam yang sudah lama tinggal di USA. Klik SINI.

Perlu diambil perhatian bahawa sila dapatkan nasihat doktor atau mereka yang pakar menggunakan tumbuhan herba ini. Tanomkinotuan tidak bertanggungjawab atas segala perkara yang tidak diingini dengan menggunakan informasi di atas.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PANDUAN MENCAMBAHKAN BENIH TIMUN MINI

Kali ini tanomkinotuan ingin berkongsi pula beberapa kaedah atau cara paling ideal untuk mencambahkan benih timun mini. Benih timun mini atau jenis timun lain adalah jenis benih cepat bercambah. Anggaran percambahan benih tersebut ialah 2 hingga 7 hari. Namun begitu untuk hasil yang baik. Harus dapatkan benih timun mini yang masih baharu dan segar agar peratusan percambahan dan pertumbuhan adalah tinggi. 

Timun mini atau Five Mini Cucumber ini agak popular di tanam di Negara-negara Eropah untuk dijadikan jeruk timun (pickle cucumber). Rupa-rupanya masyarakat Eropah juga gemar memakan jeruk timun yang direndam dalam air garam bersama gula dan sedikit vinegar dan dicampurkan sedikit dill yang diperam dalam tempoh tertentu. Selalunya mereka menjeruk buah timun sebiji-sebiji ke dalam balang kedap udara tanpa dibelah atau dipotong, cuma hiris dihujungnya bagi memudahkan garam dan cuka meresap ke dalam buah timun. Jadi  bolehlah kiranya membuat jeruk timun mini ini jika anda ada menanamnya. Kepelbagaian makanan yang enak memberikan satu stail baharu dalam hidup anda. 

Berbalik kepada tujuan asal entry ini, mencambahkan benih timun mini tidaklah sesusah mana. Ada beberapa cara paling ideal yang boleh dipraktikkan oleh pembaca semua antaranya ialah:

1. Menyemai langsung pada batas

Bagi mereka yang ingin menanam pokok timun pada batas atau tanah di halaman rumah anda. Anda boleh menanam secara langsung benih timun mini ini dengan membuat sedikit kerja di mana perlu membuat pengemburan pada batas atau tanah terlebih dahulu.

Gunakan cangkul atau alat sesuai untuk mengemburkannya. Bubuh baja organik seperti kompos atau tinja ayam. Anda juga boleh menggunakan baja organik butir atau pellet yang dijual di kedai pertanian tetapi harus direhatkan tanah anda sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum menanam. Ini bertujuan agar baja organik butir atau pellet yang digunakan sebati dengan tanah.

Gunakan kapur pertanian (lime) untuk mengurangkan tanah terlalu berasid. Anda juga boleh menggunakan abu bakar dari dedaun kering untuk mengantikan kapur pertanian jika ia sukar diperolehi. 

Jika tanah anda jenis tanah liat di mana terlalu meleket ketika basah, jangan bimbang tambah sahaja sejumlah kompos dalam kandungan yang banyak dan pasir. Gaul hingga bercampur semuanya.

Selesai kerja di atas bermakna anda sudah boleh menyemai benih timun mini dengan membuat lubang di tengah batas kira-kira 1 hingga 2 inci dengan jarak antara lubang ialah 1.5 kaki. 

Tanam 1 hingga 2 benih untuk satu lubang dan timbus semula lubang tersebut. Jika 2 benih tersebut bercambah dengan jayanya. Cabut anak benih timun mini yang kurang galak pertumbuhannya dan biarkan sepokok untuk 1 lubang. Siram dengan jumlah air secukupnya.

Kaedah ini cukup praktikal di mana anda tidak perlu mengalihkan semua anak benih ditempat lain, jimat tenaga. Keburukannya pula adalah serangan semut atau makhluk perosak pemakan benih. Gunakan rempah kari atau apa-apa rempah yang ditaburkan ke atas batas anda bagi mengelakkan semut berkuntum di sana.

2. Menyemai di dalam pasu atau kontena

Bagi mereka yang tidak cukup ruangan untuk berkebun, anda masih boleh menyemai dan menanam pokok timun mini ini di dalam pasu atau kontena. Anda juga boleh menggunakan bekas polibag bersaiz besar.

Sediakan media campuran di mana 2 bahagian tanah lom/hitam. 1 bahagian pasir sungai dan 1 bahagian kompos/baja organik. Campurkan ketiga-tiga media tersebut hingga sebati semuanya. Anda boleh membeli media potting soil yanga da dijual di pasaran. 

Masukkan ke dalam pasu atau kontena mahupun polibag yang disediakan. Hentak-hentakkan secara perlahan-lahan bagi memastikan udara atau liang-liang media dapat dikurangkan.

Semai benih timun mini dengan membuat lubang kira-kira 1 hingga 2 inci dan masukkan benih tersebut dan timbus semula dengan tanah. Siram menggunakan air secukupnya.

Kelebihan cara ini ialah bagi mereka yang mempunyai ruang laman yang terhad. Sangat praktikal dan mudah dialihkan. kekurangannya pula ialah akar timun mini tidak bebas bergerak di dalamnya.

3. Menyemai dalam cup plastik

Gunakan media campuran untuk menyemai benih timun mini ini iaitu media campuran dimasukkan ke dalam cup plastik dan semai benih timun mini. Jangan lupa siram dengan air secukupnya. letakkan cup plastik anda di tepi tingkap dapur untuk pencahayaan. Tunggu benih timun selama 1 hingga 2 minggu barulah dialihkan ke batas atau pasu.

Kaedah ini adalah cara paling selamat, percambahannya 90% berjaya tanpa gangguan semut atau makhluk perosak pemakan benih. Namun kelemahannya anda akan bekerja dua kali untuk menyiapkan kerja ini.

4. Semaian haba

Kaedah ini adalah kaedah menggalakkan benih untuk bercambah melalui kelembapan. Caranya,  sediakan plastik lutsinar bersaiz sederhana, sekeping tisu dan serum EM1 atau air bersih.

Letakkan beberapa benih di atas tisu tadi. lipat tisu tersebut dengan sekali lipat untuk membungkus benih-benih tersebut. Sembur dengan serum EM1 dengan melembabkan tisu tersebut. Jangan terlalu basah. Masukkan tisu tersebut ke dalam plastik lutsinar dan stapler mulut plastik tersebut.

Gantung plastik tersebut di gendela yang terkena haba matahari. Tunggu benih timun mini bercambah. Mengikut pengalaman, cara percambahan ini hanya mengambil 2 hari untuk benih tersebut mengeluarkan tunas. Bila mana ia sudah mengeluarkan tunas bolehlah dialihkan ke pasu atau batas yang anda telah sediakan. Perlu diambil perhatian bahawa percambahan benih timun mini menggunakan kaedah ini haruslah cukup habanya. 

5. Cambahan dalam peti sejuk

Kaedah ini juga sesuai dan praktikal untuk benih timun mini. Caranya sama sahaja dengan semaian haba cumanya ia perlu suhu sejuk untuk bercambah.

Anda boleh memilih mana-mana kaedah yang difikirkan sesuai. Tanomkinotuan sudah mencuba kelima-lima kaedah ini untuk semaian benih timun mini dan jenis timun yang lain. Semuanya berjaya bercambah dengan baik tanpa sebarang masalah. Kedah ini juga boleh diaplikasikan kepada benih-benih yang lain kecuali benih asparagus. 

Selamat bertani dan menuai hasil.


Senin, 03 Agustus 2015

TUAIAN SAYUR BUAH DI KBR (AWAL BULAN OGOS)

Untuk bulan ogos, tanomkinotuan menuai sayuran apa yang ada di KBR. Sayur daun belum lagi mula ditanam, cuma bayam hijau daun tirus masih elok tumbuh dan membesar. Baru saja tanomkinotuan semai benih sawi putih dan sawi kerinting kelmarin. Semai dalam cup plastik terlebih dahulu, mudah dan praktikal. Boleh saja tanomkinotuan tabur terus benih tersebut ke batas tetapi bukan berada di rumah senantiasa, cara ini harus ada komitmen yang jitu agar benih sayur tersebut bercambah dan tumbuh dengan elok. Ini termasuklah menjaga kelembapan pada batas, teduhan dan penyiraman berkala. Batas menanam nanti pun baru satu dapat disiapkan. Maklumlah masa terhad berada di rumah. Hujung minggu sahaja dapat menyiapkan kerja-kerja tertangguh entah sudah berapa lama. 

Walau bagaimanapun, KBR masih mampu membekalkan sayuran untuk keluarga tanomkinotuan. Tidaklah banyak sekurang-kurangnya dapat mengurangkan penggunaan duit belanja membeli sayur. Bolehlah duit tersebut digunakan membeli keperluan lain seperti sumber protein atau barangan dapur. Oleh itu, tanomkinotuan kongsikan kepada para pembaca di luar sana tuaian sayuran buah yang sempat dirakam hujung minggu lalu.




Ini adalah tuaian zucchini crockneck kuning bagi tuaian kali pertama untuk penanaman musim kedua. Untuk pengetahuan pembaca bahawa buah tersebut adalah berasal daripada benih pokok zucchini crockneck kuning penanaman musim pertama tempoh hari. Terdapat 3 pokok zucchini crockneck kuning yang tumbuh di KBR. 2 daripadanya sudah berbuah dan telah pun dituai buah yang telah besar atau matang. Sepokok lagi masih berusaha untuk membesar disebabkan ditanam dikawasan kurang menerima cahaya matahari di mana dihalang oleh pagar zink. Namun begitu ia sudah mengeluarkan bunga betina bersama buahnya yang cantik.

Namun misteri dan kepelikan telah berlaku kepada hasil buah pokok zucchini kali ini. 1 daripada 3 pokok zucchini tersebut telah mengeluarkan buah berwarna hijau.  Bentuk dan Struktur buah sama kecuali warnanya. 2 pokok lagi buahnya normal yakni berwarna kuning. Lihat gambar di atas untuk maklumat lanjut.

Tanomkinotuan tidak dapat merungkaikan kes ini. Terdapat pokok zucchini crockneck ditanam berhampiran dengan zucchini hijau tetapi jauh sedikit berbanding yang 2 lagi. Untuk pengetahuan, benih-benih zucchini crockneck tersebut diambil dari benih induk yang sama. Oleh itu tanomkinotuan hendak mematangkan sebiji buahnya untuk cubaan ditanam musim akan datang. Mana tahu pokok zucchini crockneck hijau ini dapat di komersilkan suatu hari nanti.  




Ini pula tuaian kali kedua bagi buah zucchini hijau (black Beauty Zucchini). Tanomkinotuan sudah tuai walaupun masih bersaiz kecil. Tuaian pertama tempoh hari buahnya besar sangat namun ia tetap muda dan lembut. Tanomkinotuan bertempura sahajalah minggu ini. Hingga emak tanomkinotuan bersungut tidak berlagu. Dia dah bosan dengan bertempura ke hulu bertempura ke hilir. Adoiiilah apanya jada bahasa aku sekarang ni.

Jika anda ingin menanam pokok zucchini daripada apa-apa variati, pastikan tanah harus kaya nitrogen. Pokok zucchini adalah pokok yang banyak menggunakan nitrogen untuk pertumbuhannya. Lebih elok guna tinja ayam terproses atau kompos yang boleh dibeli di kedai pertanian. Jika nitrogen tak cukup dalam batas. Pokok zucchini tidak tumbuh dengan baik malah mudah pula diserang penyakit dan sudah pasti akan mati.




Tuaian buah timun mini kini kembali. Selepas pokok timun mini yang ditanam musim pertama, penanaman musim kedua bagi pokok timun mini sudah boleh dituai. kali ini hanya sepokok sahaja. Akan datang tanomkinotuan penuhkan sebatas menanam benih timun mini kerana benih dari buah yang dimatangkan sudah diproses pengeringan dan sedia untuk disemai semula.




Buah yang seakan-akan gasing di atas itu ialah zucchini scallop kuning atau yellow scallop summer squash. Buahnya bulat serta berbentuk bintang ditepinya. Comel dan sangat mengujakan apabila dapat menuai buah zucchini scallop kuning di KBR. Sebahagian hasil tuaian buah zucchini ini dimasak tepung tempura. Tepung tempura lagi...




Tidak lupa tuaian sayur daun sawi putih yang teruk diserang serangga pemakan daun. Hilang kecantikan pada daunnya. Namun ia tidak menjejaskan keenakannya apabila dicampakkan terus ke dalam sup ikan haruan. Lagipun ia organik tanpa semburan racun serangga.

Inilah tuaian yang sempat tanomkinotuan ambil gambarnya untuk tatapan pembaca. Sejak akhir-akhir ini KBR seperti bertemakan buah zucchini memanjang. Maklumlah pokok-pokok inilah yang banyak menghiasi batas-batas sekarang. Dengan daunnya yang lebar hingga mampu menutupi sebahagian sayuran lain hingga terbantuk pertumbuhan. Contoh paling dekat ialah sawi putih. Hilang segala gah berdepan dengan pokok zucchini crockneck kuning. Oleh itu jangan menanam sayur daun berhampiran dengan pokok zucchini nanti akan putih mata dibuatnya. Apakah tuaian anda pada hari ini?

Selamat bertani dan menuai hasil.

Minggu, 02 Agustus 2015

GINSENG SABAH

Pada masa lalu, ada tanomkinotuan menerbitkan entry mengenai jenis-jenis ginseng di seluruh dunia yang bermanfaat dan baik untuk kesihatan manusia. Sumber alam yang sememangnya banyak manfaat kepada kita lebih-lebih lagi dari sudut kesihatan. Pokok herba Ginseng sangat sinonim dengan negara China dan Korea, tidak lupa juga dengan negara Jepun, Vietnam dan ginseng (wild sang) yang tumbuh meliar di Amerika syarikat. Sehinggakan produk gensing tumbuh di pasaran selepas hujan dengan pelbagai bentuk dan brand.

Namun tahukah anda bahawa di negara kita juga terdapat satu tumbuhan herba yang mempunyai persamaan kandungan dengan ginseng sebenar? dan menariknya di tumbuh meliar di pedalaman negeri Sabah yang jarang dijejaki oleh manusia kecuali pemburu haram. Tanomkinotuan maksudkan ialah pokok ginseng sabah.

Tidak banyak maklumat yang diperolehi mengenai pokok ginseng sabah ini. Hanya beberapa orang sahaja yang mengetahui pokok herba ini mempunyai manfaat kesihatan yang tinggi kepada manusia. Sejarah mengenai ginseng sabah masih kabur kerana tidak ada sumber yang jelas menceritakan pokok herba ini secara jelas. 

Lokasi pertumbuhan ialah di kawasan pedalaman Sabah iaitu daerah Nabawan, Sabah menganjur ke Kalabakan, Tawau hingga sebahagian di Kalimantan Indonesia yang bersempadan dengan Sabah.  

Nama sebenar pokok ini tidak diketahui malah pengamal pokok herba ini juga tidak mengetahui sebenar namanya walaupun dalam bahasa ibunda sendiri, ada yang mengelarnya 'gising' yang sudah tentu terbit dari perkataan 'ginseng' itu sendiri. Juga belum ada rujukan untuk nama saintifiknya.

Kaum Murut di Sabah tahu menggunakan pokok ini sebagai ubatan tradisional, tanomkinotuan tidak mendengar penggunaan pokok herba ini dari kaum-kaum lain di Sabah seperti Kadazan & Dusun, Bajau, Melayu Brunei dan sebagainya (hanya menyebut beberapa kaum). Jika ada kaum di Sabah tahu akan pokok ini maklumkan kepada tanomkinotuan dengan membuat komen di bawah. Sharing is caring kata orang.

Manfaat kepada manusia ialah untuk menambah keupayaan seks bagi kaum lelaki, meningkatkan tenaga dan mengurangkan keletihan pada tubuh badan. Ia dapat meningkatkan kesihatan secara menyeluruh.




Ciri-ciri pokok ginseng sabah ialah ketinggiannya mencecah 1 meter atau lebih. Kadang-kadang boleh mencecah 3 meter mengikut usia. Berbatang sederhana keras dan tidak bercabang kecuali pokoknya patah dan tidak berdahan. Daunnya berwarna hijau, lebar loncong serta lembut dan licin tidak kasar. Ia mengambil masa untuk membesar. 

Tumbuh di kawasan tanah tinggi (hutan hujan tropika) kawasan lembah yang kaya dengan organan, kawasan tanah lembab dan banyak humus.




Inilah rupa daun ginseng sabah yang mempunyai urat selari berbentuk loncong panjang dan daunnya licin di permukaan.



Contoh akar pokok herba ginseng sabah yang telahpun dipotong dari batangnya. Akarnya berwarna kekuningan apabila tanah yang melekat dibersihkan.



Kulit akarnya agak tebal, lembut seperti lobak manakala batang dalamnya agak sederhana keras. Kulit akar ginseng sabah mempunyai rasa pahit manis yang sederhana. 




Dalam proses pengeringan kulit luaran akar ginseng sabah perlahan-lahan mengecut. Ia mengambil masa untuk dikeringkan kerana ketebalan kulitnya.



Beginilah rupa ginseng sabah apabila sudah kering. Ia mengambil masa untuk kering kira-kira 2 minggu lebih. Tetapi tanomkinotuan keringkannya di dalam rumah dan bukan di bawah sinaran matahari. Mungkin ia cepat kering jika dibawah cahaya matahari. 

Cara penggunaannya ialah ambil 1 atau 2 inci dan rebus menggunakan 5 cawan air. rebus hingga airnya menjadi 2 cawan. Minum air sehari satu gelas. Pastikan anda mendapat nasihat dari mereka yang pakar bagi mengelak dari masalah yang tidak diingini. Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa masalah berlaku kepada pembaca dengan menggunakan informasi di atas. 

Khazanah alam ini harus dipelihara dan yang paling penting ialah kajian secara mendalam akan pokok herba ini harus dilakukan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh yang memerlukan. Dengan adanya kajian tersebut maka pokok ini dapat dikomersilkan secara meluas seperti pokok herba ginseng jenis Panax ginseng di China. Lagi pula kawasan pertumbuhan pokok herba ginseng sabah ini tidak lama lagi akan musnah disebabkan proses penanaman pokok kelapa sawit secara besar-besaran di kawasan tersebut.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PANDUAN MENUAI BENIH TIMUN MINI DARI BUAH MATANG

Hujung minggu tanomkinotuan berada di rumah, tiba saja ke rumah jam 4.50 petang pada jumaat lalu terus bergegas ke KBR hingga disindir oleh ayah 'belum pijak rumah sudah kakinya sampai ke kebun'. Hanya mereka yang suka berkebun faham mengapa sedemikian tidak perlulah dijelaskan. haha.

Bulan ini di tempat tanomkinotuan setiap petang air mata duyung akan keluar (simbolik kepada hujan). Ini menandakan kemarau dan panas tempoh hari kini sudah berlalu. Kepada pencinta-pencinta kebun di luar sana masa inilah paling sesuai menyemai benih dan menanamnya. Tidaklah penat untuk melakukan siraman secara manual.

Buah timun mini yang matang

Hari ini tanomkinotuan ingin berkongsi bagaimana untuk mendapatkan benih timun mini dari buah yang dimatangkan. Untuk pengetahuan, timun mini tersebut adalah jenis hearloom/warisan di mana benih dari induknya boleh dikutip dan dikeringkan untuk tanaman musim akan datang.

Minta maaf sahaja dengan gambar tersebut. Tanomkinotuan lakukan kerja-kerja ini pada waktu malam bercahayakan lampu kalimantang menyebabkan gambar yang diambil tidak cantik aka tidak berkualiti. Almaklumlah telefon zaman Jepun. 

Untuk permulaan, apabila pokok timun mini anda sudah berbuah. Pilih buah yang elok, tidak dijangkiti penyakit atau serangan makhluk perosak untuk tujuan pematangan. Biarkan atau tunggu buah timun tersebut bertukar menjadi kuning dan matang sepenuhnya.





Apabila sudah tua (matang) petik buah tersebut dan ambil pisau tajam lalu belah secara memanjang. Berhati-hati menggunakan pisau agar tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini. Tidak mengapa jika semasa proses membelah buah tersebut terpotong beberapa biji benih. Ia memang tidak dapat dielakkan.



Keluarkan benih-benih timun mini tersebut menggunakan sudu atau seumpamanya hingga habis dan masukkan ke dalam mangkuk berisi air. Tanomkinotuan guna tangan saja, tidak kuasa bersudu-sudu bagai. Ramas-ramaskan secara perlahan agar selaput benih yang transperant dapat ditanggalkan. Ia juga bertujuan untuk membuang benih yang tidak berisi di mana akan terapung di permukaan air. Dengan menggunakan alat penapis asingkan benih timun daripada air tersebut dan toskan dengan menggunakan tisu agar air lebihan dapat dikurangkan.


Seterusnya alihkan benih timun mini ke tempat bekas yang leper seperti pinggan atau dulang. Ratakan benih-benih tersebut di atas dulang, jangan ada yang bertindih antara satu sama lain agar ia mudah kering. Letakkan dulang atau pinggan di tempat yang terkena cahaya matahari hingga benih-benih tersebut kering keseluruhannya. Tanomkinotuan mengambil masa 2 hari untuk mengeringkan benih timun mini tersebut. 



Sesudah kering kumpul benih tersebut dan simpan di dalam bekas yang sesuai. Anda boleh simpan dalam botol kedap udara atau plastik berzip dan simpan di tempat selamat. Apabila hendak menanam ambil beberapa benih dan semai secara langsung pada tanah atau semai terlebih dahulu di dalam cup plastik. 

Mudah bukan? Untuk dapatkan benih dari buah timun yang matang tidaklah sesusah mana. Lagi pula ia dapat mengurangkan dan jimat wang dari membeli semula benih yang sama malah dengan cara ini anda mendapat 10 kali ganda benih timun yang boleh disimpan untuk penanaman musim-musim akan datang. Tempoh tarikh luput benih timun biasanya setahun sahaja dari tarikh anda mengeringkannya.

Sebaiknya lakukan pada awal pagi agar langsung dicahayakan dengan sinaran matahari dan pastikan juga buah timun yang dimatangkan perlu dimatangkan sebenar-benarnya agar benih tersebut mampu bercambah apabila di semai nanti. Kaedah ini juga sesuai diaplikasikan kepada semua jenis timun.

Selamat bertani dan menuai hasil.