Tani

Minggu, 17 Mei 2015

TIPS TANOMKINOTUAN: MENDAPATKAN BENIH KACANG PANJANG DARI POKOKNYA.

Tanomkinotuan ingin berkongsi kepada pembaca mengenai cara mendapatkan benih kacang panjang pada pokoknya yang ditanam di laman rumah atau di kebun. Maka dengan itu anda sudah tidak perlu membeli benih kacang panjang setiap kali ingin menanamnya, ia jimat untuk wang saku anda. Dengan syarat benih kacang panjang anda jenis/variati heairloom/haritage dan bukannya jenis hibrid. 




Pada pokok kacang panjang anda di halaman rumah, biarkan dua tiga batang buah kacang panjang untuk tujuan pembenihan. Jika buah tersebut (seperti dalam gambar di atas) atau kering sedikit dari itu, anda sudah boleh memetiknya untuk pengeringan.




Letakkan buah kacang panjang yang dijadikan benih itu di atas nyiru atau seumpamanya dan letak nyiru tersebut pada tempat terkena cahaya matahari terik. Cahayakan selama 4 hari atau sehingga buah kacang panjang itu menjadi benar-benar kering. Anda juga boleh mengikat buah kacang panjang tersebut dan sangkutkan pada dinding yang masih terkena haba. Ia akan kering secara perlahan-lahan.

Setelah buah kacang panjang itu benar-benar kering, kopek kulitnya/pod dan keluarkan biji-biji kacang panjang. Jika benihnya masih lembut ketika dipicit maka letak bijinya dalam satu bekas yang leper seperti pinggan dan jemur sekali lagi di bawah sinaran matahari terik selama 3 hingga 5 jam atau biji kacang panjang benar-benar keras.

Setelah biji kacang panjang menjadi keras maka bolehlah disimpan dalam botol kedap udara dan simpan dalam tempat selamat (suhu bilik). Lebih elok labelkan botol tersebut dengan nama benih tarikh disimpan dan tarikh luput. Benih kacang panjang  boleh bertahan selama setahun. Contohnya, tarikh benih disimpan pada 17 Mei 2015 maka tarikh luput ditulis pada 17 Mei 2016.

Anda tidak perlu membeli benih kacang panjang lagi kecuali variati baharu. Bila ingin menanam semula sediakan batas atau raised bed di laman rumah atau isi media dalam pasu dan semai benih kacang panjang  anda.  Tinggalkan beberapa buah untuk benih semula. Begitulah seterusnya. Dengan cara ini anda tidak putus bekalan benih kacang panjang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Sabtu, 16 Mei 2015

MENUAI KACANG PANJANG MUSIM KEEMPAT

Bulan ini adalah bulan menuai sayuran di KBR, seperti sayuran yang ada diceritakan dalam blog ini. Pokok kacang panjang tanomkinotuan juga mula dituai dengan jayanya. Terdapat 2 jenis kacang panjang yang ditanam terdahulu iaitu Green Yard Long Bean dan Black Yard Long Bean. Berikut gambarnya untuk tetapan para pembaca. 


Batas pertama ditanam benih kacang panjang dan jagung pulut. Namun batas ini tidak begitu bagus pertumbuhan pokok kacang panjang lagi pun tidak sempat diletak junjung (kayu penyokong). 


Pokok kacang panjang juga ditanam bersama jagung. Sempat diletak junjung.


Pokok kacang panjang sudah memanjat pada junjung yang disediakan. 


Pokok kacang panjang secara menyeluruh di KBR. 


Tanomkinotuan juga menanan pokok kacang panjang sebatas dengan pokok mulberi dan pokok jagung. Pokok kacang panjang memanjat pada pokok jagung dan mulberi.


Buah kacang panjang berjuntai sehingga terdapat buahnya yang telah matang dan sudah boleh dikeringkan untuk benih tanaman musim akan datang.


Lagi buah pokok kacang panjang dari variati green long yard bean.


Buah kacang panjang yang sudah boleh dituai.


Hasil tuaian buah kacang panjang di KBR.


Lagi tuaian buah kacang panjang bersama buncis bulat.

Pokok kacang panjang masih membekalkan buah pada hari ini. Ia mudah bercambah dan cepat membesar. Sudahkah pembaca di luar sana menyemai benih kacang panjang di laman rumah?

Selamat bertani dan menuai hasil.

Jumat, 15 Mei 2015

PANDUAN MENYEMAI BENDI MERAH PADA BATAS

Selain daripada jenis-jenis bendi hijau yang memang popular di tanam dan selalu nampak dijual di pasar, supermarket dan pasaraya berhampiran, terdapat lagi satu jenis bendi yang wujud namun tidak berapa popular di sini kecuali pekebun laman rumah iaitu bendi merah. Buah bendi yang merah menyala, berkilat namun rasanya sama sahaja dengan jenis-jenis bendi yang lain. Berikut tanomkinotuan kongsikan kepada pembaca cara dan panduan menanam bendi merah pada batas jika mereka yang mempunyai halaman rumah yang luas. Akan datang tanomkinotuan berkongsi pula kepada semua cara menanam bendi merah dalam pasu atau polibag besar.

Pertama sekali anda harus mempunyai bendi merah, dapatkan benih dari kedai pertanian berhampiran yang ada menjualnya. Pastikan benih bendi merah tersebut elok, sihat dan masih boleh bercambah. Anda juga boleh mendapatkan benih bendi merah secara pembelian online di internet pada laman sesawang yang boleh dipercayai.

Langkah kedua pula, pemilihan lokasi tanaman. Pemilihan lokasi atau kawasan untuk menanam bendi merah harus ditentukan dengan melihat sinaran matahari yang memancar di kawasan tersebut melebihi 6 jam sehari. Ini kerana pokok bendi merah memerlukan pencahayaan yang baik (secara langsung) untuk hidup subur dan membesar dengan baik. Pokok bendi merah tidak sesuai di tanam dikawasan terlindung atau mempunyai teduhan (shade). Anda juga harus mengelak memilih kawasan tanaman bendi merah yang berdekatan dengan pokok besar atau bunga merimbun sehinggakan mengganggu sinaran sampai pada pokok bendi merah anda. Pastikan juga kawasan tersebut tidak ditakungi oleh air ketika hujan. Anda boleh memilih tempat seperti belakang rumah, kiri atau kanan rumah anda, tepi pagar atau hadapan rumah anda.

Seterusnya, dengan menggunakan cangkul korek sedalam 1 kaki dan gembur tanah sehingga menjadi serpihan-serpihan kecil. Buat batas lebih kurang 2 X 5 kaki persegi atau mengikut keluasan halaman rumah anda. Jika anda menanam lebih banyak benih bendi merah maka batas anda harus bersaiz panjang. Tinggi batas pula ialah 1 kaki setengah ini bagi mengelak daripada batas atau tanah digenangi oleh air ketika musim hujan dan menyelamatkan pokok bendi anda dari menjadi layu dan mati. Buang segala bendasing seperti akar kayu, kayu mati, serpihan tile, semen, paku dan sebagainya. 

Apabila tanah/media sudah menjadi gembur, peroi dan lerai, tambah kompos setebal lebih kurang 5 inci secara menyeluruh pada batas. Gaul kompos tersebut sehingga sebati dengan tanah. Penambahan kompos memperbaiki kualiti batas tersebut untuk nutrisi kepada pokok bendi merah anda. Untuk mengudaraan dan saliran yang baik tambah cocopeat atau peat-moss secara lapisan setebal 5 inci pada batas anda, gaul hingga sebati. Jika tanah anda bernilai PH di bawah 5.0, tabur batas anda dengan 2 genggam kapur pertanian secara menyeluruh dan gaul sehingga sebati dengan tanah. Namun jika tanah anda berkeadaan elok yakni PH tanah neutral kapur pertanian tidak diperlukan. Untuk mengetahui tanah berasid atau tidak dapatkan kit kertas PH di kedai yang ada menjualnya.

Jika batas anda jenis tanah liat/lampung, tambah lebih banyak kompos dan cocopeat pada batas serta gaul sehingga semuanya sebati. Anda boleh menambah rumput kering atau dedaun kering pada batas untuk menghasilkan batas yang mempunyai pengudaraan baik, saliran baik dan media yang gembur dan peroi. Cocopeat mengikat jumlah air dalam batas pada tempoh yang agak lama dan ini membolehkan pokok bendi anda tumbuh dengan baik. Anda juga boleh menambah pasir sungai pada batas jenis tanah liat untuk saliran dan tanah/batas tidak terlalu cepat mampat pada tempoh penanaman pokok bendi merah anda. 

Apabila batas selesai dibuat, rehatkan batas anda selama seminggu atau pun 2 minggu bagi mematikan atau mengurangkan mikrob-mikrob jahat dalam tanah. Ultra lembayung dari sinaran matahari dapat membunuh mikrob-mikrob jahat ini secara semulajadi, sebab itu jika anda mempunyai sebotol serum EM1 (EM1 inoculant microbial) anda tidak digalakkan meletakkan botol tersebut terlalu lama di bawah sinaran matahari terik kerana segala jenis bakteria dalam botol tersebut akan mati oleh ultra lembayung dari sumber cahaya matahari. 

Genap seminggu atau 2 minggu, maka anda sudah boleh menyemai bendi merah anda ke batas. Benih bendi merah sesuai ditanam terus pada batas. Buat lubang sedalam 1 inci dengan jarak 4 hingga 5 kaki antara lubang. Tanam 1 biji atau 2 biji benih bendi merah ke dalam lubang yang disediakan dan timbus kembali dengan tanah. Siram batas menggunakan air secukupnya. Dalam tempoh percambahan pastikan batas dalam keadaan lembab bagi memudahkan benih bendi merah anda bercambah dengan baik. Bendi merah mulai bercambah dari hari kelima hingga hari kesepuluh mengikut keadaan cuaca di tempat anda. Kadang-kadang batas kita akan didatangi oleh sekawan semut, oleh itu guna rempah (serbuk kari, serbuk kunyit, serbuk ketumbar dll) dari dapur anda dan tabur pada batas tersebut agar semut beralih dari batas tersebut. Dikhuatiri ia merosakkan benih bendi anda.

Selepas 2 minggu benih bendi merah anda ditanam, anda harus membubuh baja mengikut jadual yang betul, ini kerana pokok bendi merah adalah tumbuhan yang memerlukan banyak nutrisi untuk pertumbuhannya yang baik. tabur baja pada batas atau di sekeliling anak pokok selepas digembur lalu siram dengan air. Pembajaan pada pokok bendi merah boleh diikuti panduan di bawah:

1. Minggu kedua (selepas benih bendi merah di tanam) - tabur setengah genggam baja NPK organik dan segenggam kompos. Anda juga boleh selangselikan dengan siraman baja cecair ikan atau serum EM1.

2. Minggu keempat - 1 genggam baja NPK organik dan 2 sudu makan pada setiap pokok baja bone meal. Siraman cecair baja teh kompos atau serum EM1.

3. Minggu keenam - segenggam kompos setiap pokok dan 1 sudu baja bone meal. Siram dengan baja cecair ikan.

4. Minggu kelapan - Tempoh ini buah bendi merah mula membesar dan bubuh setengah genggam baja NPK organik. 

Penjagaan pokok bendi merah tidaklah rumit, anda hanya membuang rumput rumpai pada batas bagi mengelak persaingan mendapatkan nutrisi. Anda boleh membuat pengemburan batas pada minggu ketiga atau minggu keempat. Berhati-hati ketika membuat aktiviti mengembur takut mencederakan akar pokok. Letak mulsa seperti cocopeat, peat-moss atau rumput dan daun-daun kering. Mulsa berfungsi bukan sahaja membantutkan pertumbuhan benih rumput rumpai tetapi juga mengekalkan kelembapan batas pada tempoh yang lama.

Penyiraman dilakukan bila perlu, pokok bendi merah tahan sinaran matahari terik. Jika musim kemarau siram 2 kali sehari dan tidak perlu ketika hujan. Lihat sama ada batas kering atau tidak, caranya korek sedalam 3 inci untuk melihat keadaan kelembapan pada batas. Jika kelembapannya masih sempurna maka ianya tidak perlu disiram. 

Pokok bendi merah tidak lari dari serangan penyakit. Ia mudah diserang penyakit jika keadaan batas terlalu kering atau terlalu basah. Antara penyakit yang menyerang pokok bendi merah ialah:

1. Reput akar - disebabkan oleh virus atau bakteria yang menyerang sistem akar dalam tanah. Daun dan pucuknya layu dan lama-kelamaan akan mati. Cabut pokok dan musnahkan.

2. Pucuk mudah layu - serangan dari ulat pengorek batang. Tanda-tandanya pucuk bendi merah layu atau melentok ke bawah, terdapat gumpalan tahi di luar pucuk tersebut. Potong pucuk tersebut sehingga mana ia diserang. Tujuannya agar ulat pengorek buah tidak masuk lebih dalam lagi sehingga merosakkan  1 pokok bendi merah anda. 

3. Buah mengerekot/membengkok - serangan ulat buah. telur serangga yang menetas di berhampiran buah akan mengorek masuk ke dalam buah dan memakannya dari dalam menyebabkan buah mengerekot atau bengkok. tanda-tandanya ialah buah terbantut tumbuhbesarannya, bengkok dan terdapat gumpalan tahi melekat di luar buah bendi dan kadang-kadang lelehan cecair dari lubang pada buah. Potong buah bendi tersebut dan musnahkan.

4. Daun berlubang-lubang - Serangan oleh belalang. belalang jenis besar aktif pada waktu malam memakan daun-daun pokok bendi merah. Serangan belalang tidak serius merosakkan pokok bendi anda, maka tidak perlu bimbang.

Kita amat gembira dan teruja melihat pokok bendi tumbuh dengan sihat. Namun ianya tidak selalunya begitu, kadang-kadang kekurangan nutrisi pada tanah menyebabkan pokok bendi merah tumbuh terjejas, terbantut dan tidak sihat. Berikut adalah tanda-tanda pokok bendi anda kekurangan zat nutrisi iaitu:

1. Daun di bawahnya berwarna kuning - kekurangan zat nitrogen

2. Daun pokok kusam/gelap dari kebiasaan - kekurangan zat posforus

3. Tidak atau kurang bunga pada pokok - kekurangan zat kalium

4. Pokok terbantut, batang kurus - kekurangan nitrogen, posforus dan kalium. Saliran tanah dan pengudaraan yang tidak baik.

Cara mengatasi kekurangan nutrisi pada tanaman ialah, menambah kompos atau baja NPK organik ke atas batas pokok bendi merah anda. 

Bendi merah sudah boleh dituai kali pertama dalam tempoh 2 bulan lebih. Lihat buahnya yang masih berkilat dan lembut. Potong menggunakan pisau tajam kerana tangkai buah bendi merah agak keras sedikit. Buah bendi merah boleh disimpan dama peti sejuk dan boleh bertahan selama 3 minggu dalam plastik berjip. Kini anda boleh menikmati buah bendi merah tanam sendiri dengan resepi kegemaran. Bagi tanomkinotuan, ia hanya direneh seketika dan dimakan bersama sambal, kadang-kadang dicampurkan ke dalam masakan kari ikan atau dibuat kerabu bendi. 

Selamat bertani dan menuai hasil. 

MENUAI EDAMAME (GREEN SOY BEAN) MUSIM PERTAMA DI KBR

Kacang soya memang sinonim dengan rakyat Malaysia, produk-produk seperti tempe, air susu kacang soya dan tauhu tidak asing dengan selera kita. Namun pernahkah pembaca memakan buah kacang soya yang masih muda? hanya rebus dan tambah sedikit garam untuk menimbulkan rasa lemak pada bijinya. Kopek podnya dan memakan biji-biji soya yang masih berwarna hijau terang. 



Apabila anda ke restoran-restoran Jepun sekitar ibukota Kuala Lumpur, anda boleh meminta resepi edamame rebus dan harganya pun boleh tahan juga. Edamame adalah bahasa Jepun yang bermaksud buah kacang soya yang belum matang sepenuhnya, juga membawa maksud, eda = branch manakala mame = bean. Maka dengan itu edamame bermaksud kacang soya beranting. ia dikutip apabila isinya sudah membesar dan direbus dengan tambahan sedikit garam. Ia dimakan dengan mengopek podnya untuk mengeluarkan biji-bijinya yang berwarna hijau terang. Ia rasa seperti kacang tanah rebus tetapi aromanya adalah kacang soya. Aroma yang ringan (light) dan enak dikunyah.



Tanomkinotuan mencuba menanam pokok edamame ini di KBR setelah membaca review dari blog orang lain. Sebelum ini tanomkinotuan tidak mempunyai idea terhadap kacang soya hijau, hanya tahu pasal tempe, air kacang soya dan tauhu. haha....dijadikan cerita tanomkinotuan melilaulah di internet mencari adakah benih ini dijual secara online. pernah juga terfikir untuk membeli benih kacang soya yang dijual di pasaran di tempat tanomkinotuan namun ada yang mengatakan bahawa edamame tidak sama dengan kacang soya yang dibuat sebagai air minuman. Pokok edamame pun banyak jenis dan variatti.






Setelah bersusah payah maka terjumpalah tanomkinotuan satu blog www.kebunbahagiabersama. Di sini ada menyenaraikan jenis edamame yang dijual beserta sedikit maklumat mengenai variatinya, ketahanan pada suhu, hujan dan panas. Tanpa membuang masa tanomkinotuan memilih untuk mendapatkan edamame jenis Hayamidori edamame. Selesai segala proses jualbeli, kini tanomkinotuan menunggu barang sampai dengan hati sabar. hari ketiga sebelah petang datang sms dari pos laju mengenai ketibaan barang. Fuh! bagai terlonjak kegirangan kerana pesanan dari pos laju. Esoknya tanomkinotuan datang ke sana untuk mendapatkan pesanan benih edamame tersebut.


Seminggu kemudian barulah tanomkinotuan dapat menanamnya kerana ada kerja-kerja yang harus dibereskan. Tanomkinotuan telah memilih tempat menanam diantara barisan pokok cekur manis dan batas yang ditanam pokok buncis ungu. Tanomkinotuan korek sedalam 1 kaki dan gemburkan tanah supaya menjadi serpihan-serpihan halus, seterusnya tanomkinotuan menabur kompos buatan sendiri setinggi 5 inci dan cocopeat setinggi 3 inci secara menyeluruh pada batas. Dan tanomkinotuan gaul hingga semuanya sebati. tanah tersebut sudahpun digembur dahulu bagi menanam pokok kangkung, tetapi untuk hasil yang baik tanomkinotuan gembur sekali lagi. Kawasan tersebut adalah tanah jenis tanah liat. 

Tanomkinotuan membuat setengah inci lubang dengan jarak 1 kaki antara lubang dan menanam sebiji benih edamame pada setiap lubang. Pada percubaan pertama, hanya 2 biji yang berjaya bercambah daripada 8 biji yang ditanam. Tanomkinotuan semai lagi benih lebihan pada lubang yang tidak berjaya bercambah. Silap tanomkinotuan kerana menyiram terlalu banyak air hingga benih edamame membusuk. Kali kedua, tanomkinotuan semai dan hanya siram sekali sahaja, jika tanah nampak kering hanya spray dengan air. Maka dengan kaedah menyiram tersebut pokok edamame tumbuh dengan jayanya.

Musim menanam benih edamame adalah pada bulan Mac yang lepas, bulan Mac tahun ini sangat panas dan tidak pernah hujan namun pokok edamame tanomkinotuan dapat tumbuh dengan baik. Selepas bercambah ia memerlukan air yang banyak jadi ianya disiram dua kali sehari pagi dan petang, lagi pun musim kemarau panjang melanda pada masa itu. Minggu kedua daun sebenar sudah boleh dilihat dan tanomkinotuan menabur baja subur NPK organik disekeliling pokok, tanomkinotuan gembur tanah disekeliling terlebih dahulu barulah ditabur baja tersebut ini supaya ia mudah meresap ke dalam tanah. 

Selepas 3 minggu, pokok edamame yang tumbuh galak sudah mengeluarkan kudup bunga berwarna putih dengan kelopak kecil. Risau pula tanomkinotuan jika bunga-bunga edamame ini tidak didebunga oleh serangga pendebunga akibat bunga yang tersangat kecil. Tetapi Alhamdullilah, selepas seminggu kemudian terlihat pod mula membesar di celah pangkal duannya menandakan bunga-bunga tersebut berjaya didebungakan. Gembira bukan kepalang, secara automatik tanomkinotuan terbayang-bayang memakan edamame seperti di restoran-restoran Jepun. haha... 




Apabila melihat pada buahnya/pod di mana mempunyai bulu-bulu halus meliputi keseluruhan pod edamame. dan tidak hilang walaupun podnya sudah membesar. Pokok edamame pada amsa yang sama akan mengeluarkan tunas baharu dan menghasilkan bunga dan sekaligus bertukar menjadi buah-buah yang cantik. Ini bermaksud buah edamame tidak matang serentak, jadi kena pilih untuk menuai buahnya yang mempunyai biji membengkak pada podnya.

Genap sebulan lebih atau hampir 2 bulan maka pod edamame sudah boleh dituai. Tangan tanomkinotuan gatal untuk memetik mana-mana pod yang sudah cukup sesuai untuk dipetik. Caranya melihat pada pod yang membengkak menandakan isi/bijinya sudah besar. Petik buahnya dengan meneliti dari pokok ke pokok. Cadangan tanomkinotuan kepada membaca sekalian, jika ingin menanam benih edamame tanamlah pokok edamame sebanyak mungkin menerusi atas tanah atau polibag. Percayalah anda tidak puas makan jika anda hanya menanam sepokok dua saja lebih-lebih lagi memakannya bersama anak-anak. 



Sekembali ke rumah, tanomkinotuan cuci bersih dan rebus buah edamame dengan sedikit garam, hanya tunggu 5 minit siap. Sejukkan dan tanomkinotuan makan bersama emak dan adik tanomkinotuan yang lain. Maka jadinya, hanya 2 atau 3 pod seorang. Tak puas, menyesal mempelawa yang lain-lain untuk makan bersama jika tidak tanomkinotuan boleh merasa keenakan edamame sorang-sorang, hahahaha. Walau bagaimanapun, ketika entry ini ditulis, pokok edamame sudah mempunyai buah yang boleh dituai tetapi tanomkinotuan biarkan ia menjadi matang sepenuhnya untuk bekalan benih yang akan ditanam pada musim akan datang. banyak benih yang diperolehi banyaklah pokok terhasil dan dapat memakan biji edamame segar sepuasnya. Apa kata pembaca sekalian di luar sana mencuba menanam pokok edamame yang sangat popular di Jepun. Anda juga boleh menanam pokok edamame dalam polibag tiada masalah.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Senin, 11 Mei 2015

KACANG BUNCIS UNGA MUSIM KETIGA DI KBR

Selain buncis bulat yang ditanam, tanomkinotuan juga menanam buncis ungu (Royal Burgundy Bean) di KBR. Benihnya di ambil pada tanaman musim lalu yang dikeringkan dan ditanam semula pada batas tahun ini. Maksudnya tanomkinotuan telah menanam buncis ungu sudah 3 kali penanaman. Penanaman musim ketiga adalah hasil benih dari benih tanaman kedua manakala tanaman kedua diambil dari tanaman musim pertama yang dibeli dari luar (online). Tanomkinotuan sudah tidak membeli benih buncis ungu hanya matangkan buah buncis hingga kering, kutip dan simpan untuk next crop.




Buncis ungu ditanam pada 22 Mac 2015 yang lalu. Tanomkinotuan gembur batas tersebut hingga peroi. Tabur kompos buatan sendiri dan gaul sebati. Pokok timun yang tumbuh di atas batas adalah tumbuh sendiri. Mungkin benih dari buangan sisa makanan dari dapur yang dikomposkan. Pokok timun banyak bercambah tetapi tanomkinotuan cabut untuk memberi laluan kepada buncis ungu.




Masa ini tanomkinotuan tidak lupa menyiramnya dengan kompos teh, baja cecair ikan selain dengan baja NPK organik. Pokok buncis ungu cukup sihat, kuat dan cantik. 




Pokok buncis ungu kini sudah mula memanjat. Hampir menutupi junjung aka kayu penyokong. Tanomkinotuan bersusah paya mencari kayu junjung di hutan semak di belakang rumah. Segala nyamuk melawat untuk mendapatkan sedikit habuan darah. Nasib tak ada masalah besar berlaku.






Masa ini pokok buncis ungu sudah mengeluarkan kudup bunga tetapi belum berkembang. Junjung yang digunakan juga sudah dilitupi sepenuhnya dan menjalar pula menjulang ke langit. 




Pokok buncis ungu sudah merimbun dengan daunnya yang hijau pekat bersama pokok timun kampung. Masing-masing tidak mahu mengalah. Nampaknya pokok buncis dan pokok timun boleh ditanam bersama. Kedua-duanya tumbuh tanpa sebarang masalah. Pada masa ini, pokok buncis ungu sudah pun berbuah tetapi masih kecil lagi. Selepas didebunga oleh serangga pendebunga seperti kelulut, lebah, penyegat hitam (bahasa Kadazandusun: boging) dan serangga yang lain, bunga layu dan gugur menampakkan anak buah pokok buncis yang berwarna hijau muda, dengan perlahan-lahan bertukar kepada warna ungu apabila ia membesar.




Contoh buahnya yang banyak bergayutan pada batang tersebut. Pada masa ini tanomkinotuan hanya bubuh sedikit baja NPK organik dan disiram sekali sekala dengan baja cecair ikan dan baja cecair serum EM1 (EM1 inoculant microbial). Kini ditambah lagi satu jenis baja cecair buatan sendiri. Baja cecair ikan bukan sahaja memperbaiki kualiti tanah dengan mengayakan kandungan mikrob dalam tanah tetapi juga berfungsi untuk menambah jumlah buah pada pokok buncis. Ini dapat dilihat pada timun kampung yang kini banyak mengeluarkan bunga betina. 



Tuaian pertama pokok buncis ungu pada tanaman buncis ungu musim ketiga. Tidaklah secantik buah seperti mana di tempat asal tetapi bagi tanomkinotuan ia memadai untuk bekalan sayuran dapur lagi pula ianya segar dari ladang dan ditanam secara organik tanpa selingan dari pembajaan baja kimia dan semburan racun serangga. Tidak seperti buncis bulat dan buncis manis, buncis ungu sesuai sekali ditanam di kawasan bercuaca sejuk dan di kawasan tanah tinggi. Suhu yang sejuk menjadikan buahnya panjang dan warna ungunya cukup memikat. Tempoh hari tanomkinotuan mengirimkan benih buncis ungu kepada sepupu tanomkinotuan yang bertugas di Daerah Ranau, mahu ditanam di kampung suaminya. Makluman kepada pembaca Ranau mempunyai suhu sejuk yang sesuai untuk buncis ungu. Mudah-mudahan sepupu tanomkinotuan berjaya dan mengirimkan gambar pokok buncis ungunya nanti.

Secara kasarnya tanomkinotuan sudah pun mengumpul 6 variati benih buncis dan masih dan sedang mengumpulkan kesemua variati buncis-buncis yang wujud di dunia. maksudnya di sini hanya buncis jenis hearloom sahaja yang boleh dikumpul kerana benih ini boleh ditanam semula dari benih induknya yang dimatangkan/dikeringkan iaitu 1 variati buncis non-memanjat (bush) dan 5 variati buncis memanjat termasuklah variati buncis ungu (pole). Tuaian ini tanomkinotuan masak tumis bersama telur kuning itik masin yang dilecek ala masakan Cina. Memang sedap...Buncis ungu bila dimasak akan bertukar menjadi warna hijau gelap semula. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Sabtu, 09 Mei 2015

BENDI MERAH DI KBR

Tahun lepas tanomkinotuan pernah menanam bendi kampung dan bendi tanduk kambing. Kedua-duanya berwarna hijau tetapi kedua saiz dan bentuk berbeza. Kali ini tanomkinotuan mencuba menanam bendi merah pula yang di tanam di KBR. Pokok bendi adalah mudah tumbuh di negara kita. Bendi merah atau bendi hijau dari segi rasa, struktur tidak jauh beza antara satu sama lain. Cumanya warna pokok bendi merah ialah berwarna merah terang termasuk batang, batang daun hingga buahnya.

Berusia 5 hari

Tanomkinotuan menanamnya di batas, batas bekas tanaman sawi kerinting sebelum ini. Tanomkinotuan gembur ala kadar saja dan tabur sedikit kompos. Batas tersebut masih gembur lagi. 18hb Mac 2015 benih bendi merah di semai. Pada 22hb Mac 2015 benih tersebut sudah bercambah di masa tempoh kemarau panjang masa itu. Gambar di atas gambar benih bendi merah kurang jelas.



Anak pokok bendi merah kini berusia 1 minggu 2 hari. Daun sebenar sudah muncul. Sesambil tanomkinotuan tanam anak pokok sawi kerinting yang nampak layu di batas. Anak sawi pokok kerinting baru ditanam pada waktu pagi dan tidak diletakkan teduhan. Pada masa ini tanomkinotuan bubuh baja NPK organik, tabur disekeliling pokok setelah digemburkan dan siramdengan air agar proses serapan baja lebih cepat. Gambar ini diambil pada 29 Mac 2015.




Pokok bendi merah semakin tumbuh galak. Selepas berminggu-minggu tidak hujan. Pada 04 April 2015 hujan mencurah turun, Alhamdullilah. Sawi kerinting pun nampak hidup dengan kelembapan tanah yang cukup. Tanomkinotuan juga tabur benih bayam hijau bulat kerana kekurangan tempat. Gambar di ambil pada 05 April 2015.







Bulan April ni sekali sekala hujan turun memberikan kesegaran kepada tanaman termasuklah pokok bendi aka okra merah. Minggu lepas sebelum gambar di atas diambil, tanomkinotuan bubuh kompos kelapa sawit (palm oil compost) dan menyiramnya dengan baja cecair ikan terutama pada tanahnya. Ini agar tanah lebih produktif dan subur dengan kandungan mikroorganisma berfaedah menguraikan bahan kompos serta membebaskan kimia yang diperlukan oleh akar pokok bendi. 

Pokok sawi kerinting pun sudah sesuai untuk dituai. Untuk makluman,sawi kerinting tidak sesuai ditanam bersama pokok bendi kerana rimbunan yang menyebabkan pokok sawi kerinting terbantut pertumbuhan tetapi sawi kerinting ditanam bersamanya tumbuh dan membesar dengan baik.




Pada 27 April 2015 pokok bendi tanomkinotuan di KBR mula berbunga dan menghasilkan buah. Pokoknya sangat besar dengan daunnya lebar tanpa gangguan makhluk perosak. Pada masa ini sawi kerinting sudah dituai,hanya tinggal pokok bayam hijau bulat.



Inilah buah bendi merah pertama yang terhasil.Warna merahnya sangat shinning menandakan ia masih muda dan sudah boleh dituai. Buah bendi merah cepat membesar. Dua hari sahaja sudah panjang kira-kira 4 hingga 5 inci. Jika lewat menuainya ia akan menjadi keras dan tidak sesuai untuk dimakan.




Beberapa buah bendi merah dituai di KBR. Bolehlah dicampurkan ke dalam resepi kepala ikan masak kari pada petang nanti. Ia sudah memadai kerana usaha menunggu selama ini membuahkan hasil. Pokok bendi merah tanomkinotuan masih lagi membekalkan buah-buah segar kepada dapur tanomkinotuan dan sebiji dua biji akan dimatangkan untuk dijadikan benih pada musim penanaman akan datang. Apakah tuaian sayuran anda pada hari ini?

Selamat bertani dan menuai hasil.

Kamis, 07 Mei 2015

CARA DAN PANDUAN MENANAM EDAMAME (SOY BEAN GREEN)

Ramai tertanya-tanya cara menanam benih edamame atau kacang soya hijau. Sebenarnya pokok kacang soya masih boleh tumbuh dengan galak di negara kita mengikut jenis pilihan variati. Ada edamame yang tahan panas, sejuk dan hujan. Jika anda ke restoran-restoran Jepun di sekitar ibukota Kuala Lumpur, terdapatnya resepi edamame rebus yang dihidangkan. Apa kata kita cuba menanam benih edamame pada batas atau polibag dan nikmati edamame rebus tanam sendiri.


Benih edamame 

Pertama sekali dapatkan benih edamame ini dari kedai pertanian berhampiran atau beli secara online. Terdapat beberapa variati edamame pilih jenis tahan panas dan mampu hadapi hujan lebat.

Bagi mereka yang ingin menanam edamame pada batas hendaklah pilih lokasi yang menerima cahaya matahari melebihi 6 jam dalam 1 hari. Kawasan di hadapan rumah, tepi pagar kiri dan kanan halaman rumah, balkoni atau belakang rumah adalah lokasi yang dicadangkan. Juga pastikan kawasan halaman rumah yang dipilih untuk menanam edamame tidak ditakungi air ketika hujan. Jangan tanam pokok edamame di kawasan kurang menerima cahaya matahari kerana pertumbuhan pokok akan terbantut dan penghasilan buah kurang.

Sama kes bagi mereka yang menanam edamame dalam polibag, pilih kawasan atau tempat yang cukup sinaran matahari melebihi 6 jam.

Seterusnya lokasi/batas yang dikenalpasti untuk ditanam edamame haruslah digembur terlebih dahulu, guna cangkul untuk korek sedalam 1 kaki. Gembur hingga tanah menjadi serpihan-serpihan kecil. Buang segala batu, kayu sepihan tile dan sebagainya. Tambah lebih kurang 4 inci kompos jenis manure green (tumbuhan) untuk membaikpulih tanah batas tersebut secara menyeluruh. Seterusnya bubuh 4 inci cocopeat atau sabut kelapa hancur dan gaul hingga sebati. Untuk memperbaiki saliran dalam tanah batas, tambah pasir sungai secukupnya. Tanonkinotuan tidak memberikan berapa kilo kompos, pasir dan sabut kelapa hancuryang digunakan. Ini kerana ia bergantung kepada batas yang dibuat. Besar saiz batas maka banyaklah kompos, sabut kelapa hancur dan pasir yang diperlukan.


Edamame berbunga

Jika anda mempunyai tanah jenis potting soil yang di beli dari kedai pertanian lagi praktikal dan sesuai. Campurkan sahaja pada batas dan gaul hingga sebati. Pokok edamame sesuai tumbuh pada tanah yang gembur, peroi dan subur. Tanah bersaliran baik, pengudaraan yang baik dan kelembapan memberikan kualiti pokok edamame tumbuh subur.

Bagi dalam pasu pula, guna potting soil yang boleh didapati di kedai. Anda juga boleh mencampurkan media seperti tanah hitam, kompos dan pasir sungai dengan nisbah 2:1:1. Gaul media hingga sebati dan masukkan ke dalam pasu atau polibag.

Selesai membuat batas, anda bolehlah menanam benih edamame langsung pada batas. Bagi tanomkinotuan tidak perlu merendam benih edamame. Buat lubang sedalam setengah inci dengan jarak 1 kaki antara lubang. Masukkan sebiji benih edamame pada setiap lubang dan timbus sedikit tanah. Siram batas dengan air secukupnya. Benih kacang soya tidak memerlukan batas terlalu basah cukup hanya lembab sahaja. Ini kerana jika batas terlalu basah benih kacang soya akan memburuk dan tidak akan bercambah. Namun apabila benih edamame sudah bercambah maka ia perlu air yang cukup untuk membesar.


Edamame dalam
polibag

Bagi mereka yang menanam dalam polibag pula buat lubang ditengahnya sedalam setengah inci dan tanam benih edamame lalu timbus. Boleh menanam 3 biji dalam satu polibag. Tidak ada masalah, yang penting bubuh kerap dengan baja agar pokok edamame tidak bersaing dapatkan makanan.

Hari ke-7 hingga hari ke-14 hari adalah tempoh percambahan benih edamame. Selepas 3 minggu tambah baja NPK organik untuk pertumbuhan pokok dengan baik. Tabur baja selang 2 minggu hingga pokok edamame menghasilkan buah. Anda boleh menambah bone meal untuk penghasilan buah yang banyak. Selangselikan juga menyiram pokok edamame anda dengan kompos teh, baja cecair ikan dan serum EM1 (EM1 inoculant microbial).

Rutin membuang rumput harus dilakukan untuk mengurangkan persaingan. Cabut rumput di keseluruhan batas. Letak mulsa atau sungkupan pada batas bagi mengurangkan pertumbuhan rumput rumpai. Ia juga boleh mengawal kelembapan batas pada tempoh tertentu.

Siram pokok edamame jika perlu. 2 kali seminggu sudah memadai tetapi jika cuaca panas berpanjangan siram lebih kerap untuk pokok edamame hidup dengan baik dalam tempoh percambahan. Namun apabila benih sudah bercambah siram air secukupnya untuk tumbuhbesaran yang baik tetapi jangan terlebih menyiram pula.


Edamame ditanam atas tanah/batas

2 bulan lebih pokok edamame sudah boleh dituai. Buah edamame tidak matang serentak. Jadi anda harus memilih pod yang keras serta bengkak buahnya besar menandakan biji edamame sudah matang. Petik sehingga selesai dan anda boleh sejukbekukan dalam peti sejuk jika tidak memasaknya dalam masa terdekat. Simpan dalam plastik berzip dan ia boleh tahan selama 3 minggu atau lebih. Cara memakan edamame ialah rebus edamame dengan dibubuh sedikit garam. Reneh selama 3 hingga 5 minit. Anda sudah boleh menikmati edamame tanam sendiri di rumah. Jangan lupa matangkan beberapa pod edamame anda untuk tanaman musim akan datang makanya anda tidak perlu membeli benih edamame kali kedua.

Selamat bertani dan menuai hasil.