Tani

Senin, 13 Juli 2015

PERKEMBANGAN TIMUN MINI DI KBR

Kebun Belakang Rumah tidak terhindar dari menanam jenis-jenis pokok timun yang mudah tumbuh dengan baik pada cuaca di negara kita. Antara tanaman yang sering kali ditanam di KBR pada setiap musim menanam. Pokoknya cepat membesar dan serta cepat menuai hasil, kurang penjagaan tidak seperti tanaman sayuran lain yang penting cukup baja dan kelembapan, hiduplah pokok timun tersebut dengan jayanya. Kali ini tanomkinotuan mencuba pula menanam variati timun jenis mini di mana buah timun tersebut lebih kecil berbanding dengan jenis timun cina dan timun kampung yang bersaiz agak besar dan panjang. Pokok timun mini lebih cepat membesar dan lebat berbuah. Timun mini ini juga dikenali sebagai mini five cucumber

Benih timun mini ini tanomkinotuan beli secara online tempoh hari. Tanomkinotuan semai benihnya dengan meletakkan benih timun mini pada sehelai tisu yang dilembabkan dan dimasukkan ke dalam plastik lutsinar serta disidai pada jendela dapur yang terkena haba matahari. Mengkagumkan selepas dua hari benih tersebut mula bercambah. Tanomkinotuan seterusnya mengutip benih timun mini tersebut dan ditanam pada cup plastik sehingga benar-benar kuat dan mengeluarkan daun sebenar.

Tanomkinotuan mengalihkan anak pokok timun mini tersebut ke dalam batas yang telah digemburkan terlebih dahulu serta ditabur kompos buatan sendiri dan sedikit baja organik tinja ayam.



Inilah hasil pokok timun mini yang dialihkan ke batas 2 minggu lepas. Anak pokok timun mini kini membesar dengan sihat tanpa sebarang masalah dari serangan serangga perosak mahupun kulat perosak akar. Tanomkinotuan seterusnya menaburkan baja tinja ayam disekeliling pokok dan menggemburkan tanah/batas dengan berhati-hati. Jangan merosakkan akar pokok timun tersebut.

Untuk mendapatkan pokok timun mini yang cantik haruslah dijaga kelembapan batas, baja cukup dan batas senantiasa di gembur, seminggu sekali sudah memadai untuk mudah akar pokok timun mini bergerak dalam tanah. Anda juga boleh menyiramnya dengan kompos teh dua minggu sekali diselang selikan dengan siraman baja cecair ikan buatan sendiri. 


Selepas 3 minggu lebih pokok timun mini kini sudah mula memanjat pada pancang kayu yang disediakan. Tanomkinotuan hanya menggunakan kayu-kayu panjang/junjung kitar semula yang diambil di kawasan semak di luar pagar tahun lepas. Lagi pun jenis kayu tersebut tahan lama. Jika sukar mendapatkan kayu anda boleh menggunakan tali rafia atau seumpamanya untuk memudahkan pokok timun mini tersebut memanjat ke atas.

Pokok timun mini juga sesuai ditanam dalam pasu bersaiz besar. Letakkan pasu-pasu tersebut ditepi pagar untuk memudahkannya memanjat pada pagar anda. Tidak perlu lagi memikirkan untuk mendapatkan kayu atau tali rafia. Tetapi pastikan ianya tidak menganggu ketenteraman hati rumah jiran sebelah yang boleh mengakibatkan perang mulut atau bermasam muka sepanjang hari kerana pokok timun anda menjalar ke kawasan laman rumah mereka. Jika hasil tuaian timun anda lebih bolehlah sedekahkan sebiji dua pada jiran anda. 



Tidak lama kemudian pokok timun mini di KBR sudahpun mengeluarkan bunga jantan dengan meriahnya diikuti pula dengan bunga betina yang berjuntai cantik dicelah batang pokoknya. Untuk mendapatkan pokok timun anda berbuah lebat tabur 1 sudu baja kompos kulit pisang atau baja alfalfa yang boleh dibeli di pasaran. Anda juga boleh menaburkan kulit udang yang dihancurkan terlebih dahulu ke batas kira-kira 1 sudu. 





Sangat mengujakan apabila timun mini mula menghasilkan buah kecil. gambar tersebut diambil setelah sekembalinya tanomkinotuan ke rumah. Inilah variati pokok timun yang menghasilkan buah yang banyak. Setiap batang menghasilkan kira-kira 4 hingga 6 buah.




Setelah menunggu sebulan setengah maka buah timun mini cukup sesuai untuk dituai hasilnya. Dalam gambar di atas kelihatan 6 biji buah timun mini yang cinonet dan menarik. Memang variati buah timun tersebut seperti itu. Tanomkinotuan dah tuai buah timun mini yang telah matang. Ia sebagai bahan tambahan untuk soto sinalau tambang (soto daging rusa disalai). 




Bagi pemerhatian tanomkinotuan, jika pokok timun ditanam di kawasan yang mempunyai iklim sejuk kulitnya hijau gelap tetapi oleh kerana timun mini ditanam di kawasan cuaca panas kulitnya hijau terang keputihan pula. Tapi ia tetap timun rasanya lebih enak dan ranggup.

Apa kata pembaca diluar sana mencuba menanam pokok timun mini ini di laman rumah. Tanam dalam pasu pun boleh kerana pokok timun sesuai tumbuh dalam pasu. Anda dapat menjimatkan bahan membuat resepi kegemaran menggunakan buah timun yang ditambah dalam salad, sandwich, mahupun ramuan dalam soto. Jadi apa tunggu lagi jom tanam timun mini di laman rumah.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Kamis, 09 Juli 2015

POKOK HERBA OKINAWAN SPINACH




Pokok herba Okinawan spinach atau dalam nama saintifiknya ialah Gynura crepioides adalah tumbuhan herba asal dari benua Indonesia dan ada juga mengatakan berasal dari negara India. Nama lain bagi pokok ini ialah pokok sambung nyawa, hung tsoi, okinawa lettuce, handama, suizenjigusa  dan Cholesterol plant. Pokok herba okinawan spinach adalah tumbuhan renek yang hidup subur di kawasan tanah yang kaya dengan organan, berbantang lembut dan warna pada daun atasnya adalah hijau muda manakala belakang daun pula berwarna ungu. Bercabang dan tumbuh menggunakan keratan batang.

Tanomkinotuan berbesar hati untuk menanamnya di KBR kerana khasiatnya yang tinggi terhadap kesihatan manusia. Pokok herba ini dikatakan mampu dan berkesan menurunkan kadar kolestrol dalam darah. Banyak kajian yang dibuat terutamanya di negara Barat akan keberkesanan mengurangkan kadar kolestrol dengan memakan daun muda sebagai sayur mahupun sebagai ulam atau salad. Pokok ini juga banyak ditanam di negara Hawaii. Aromanya yang lembut, unik dan vesertile ini sangat digemari oleh orang Barat. Ia juga mengandungi vitamin A dan protein.

Pokok herba okinawan spinach mudah ditanam dengan menggunakan keratan batang pada batas di halaman rumah mahupun dalam pasu atau kontena. Ia boleh hidup lama jika dijaga dengan baik. Ia juga berfungsi sebagai dekorasi laman yang menawan ekoran warnanya yang sangat memikat. 

Anda boleh mendapatkan pokoknya di kedai-kedai nusery berhampiran dan biakkannya dengan memangkas batang kira-kira 6 inci. Tanggal kesemua daunnya kecuali daun pada pucuknya, rendam dalam air sehingga ia mengeluarkan akar. Sediakan media campuran dan masukkan ke dalam pasu dan tanam keratan batang pokok okinawan spinach sedalam 1 inci dan siram dengan air secukupnya. Simpan ditempat teduh selama seminggu barulah diletakkan di kawasan terkena sinaran matahari untuk pertumbuhan yang baik. 

Pokok herba okinawan spinach adalah pokok bebas serangan penyakit malah disukai oleh rama-rama jenis Kamehameha. Mungkin rama-rama jenis ini tidak wujud di negara kita. Nama rama-rama pun pelik semacam ja.

Daun muda okinawan spinach boleh dimakan sebagai ulam, dengan mencampurkan salad/lecttuce yang lain dengan disiram sedikit minyak zaitun dan ditabur dengan biji bijan. Daun okinawan spinach juga sesuai ditambah dalam sup ayam, daging mahupun ikan. Namun pastikan jangan dimasak terlalu lama dalam periuk atau belanga kerana ia akan berlendir (slimy) seperti kacang bendi. Masak kira-kira 2 hingga 5 minit sudah memadai. Pucuk okinawan spinach juga sesuai dimasak tumis mengikut resepi kegemaran anda dengan memasaknya sesingkat mungkin bagi mengelak dari berlendir. Juga sesuai dimasak tempura, jika anda sukar mendapatkan bunga jantan pokok zucchini, anda boleh mengantikan dengan daun okinawan spinach untuk membuat tempura kegemaran anda. Percayalah aromanya semerbak dan unik sekali.

Salah satu pokok herba yang semestinya ada ditanam di laman rumah anda. Sangat cantik sebagai dekorasi laman selain dimakan sebagai ulam-ulaman. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

PERKEMBANGAN POKOK TIMUN ARMENIA

Pernahkah anda menanam variati timun yang berbeza dari jenis timun yang sedia ada di pasaran? Tanomkinotuan telah membuat eksperimen di KBR untuk menanam variati timun yang sememangnya tidak popular pun di negara kita tetapi sangat terkenal di negara Barat di mana timun ini berasal dari negara Armenia dan sekitarnya malah sangat banyak di tanam di seluruh negara Eropah dan Amerika. Timun yang tanomkinotuan maksudkan ialah timun armenia.


Pokok timun armenia dalam gambar di atas telah pun mula memanjat. Batas telah digembur terlebih dahulu dan ditabur dengan kompos buatan sendiri. Benih timun armenia ini langsung di semai pada batas dan disiram dengan air sekali sekala. 



Selepas 3 minggu kemudian maka pokok timun armenia mula mengeluarkan bunga betina selepas bunga jantan seminggu mengembangkan diri. Bunga betina lewat sedikit untuk muncul. Walau bagaimanapun bunga betina membesar selepas di debunga oleh serangga pendebunga yang datang berterbangan di sekitar KBR.




Lagi bunga betina bersedia untuk didebunga. Untuk pengetahuan, bunga betina timun armenia ini mempunyai bulu halus melitupi buah pada bunga betina tersebut dan akan hilang secara berperingkat apabila buahnya kian membesar. Tidak seperti timun biasa di mana buah pada betinanya dilitupi oleh jejarum halus yang kasar.



Setelah seminggu lebih, buah timun armenia semakin membesar. Tidak lama lagi ia sudah boleh dituai. 




Lagi buah timun armenia kian membesar tergantung dengan strateginya.



Buah timun armenia ketot ja terdampar di atas batas. Macam hidup segan tak mahu je nampaknya. Harap membesar dengan baik.

Begitulah cerita timun armenia tanomkinotuan di KBR kali ini. Sebenarnya tahun lepas ada tanomkinotuan menanam pokok timun armenia ini tetapi tidak sempat dituai disebabkan ulat pengorek buah lebih dulu menyentapnya dari dalam. Kali ini menjadi dan berhasil untuk tuaian buahnya. Tanomkinotuan akan update tuaian buah timun armenia akan datang. Apa kata pembaca diluar sana mencuba menyemai dan menanam pokok timun jenis ini kerana jika berhasil berbuah, anda sememangnya petani laman yang berusaha gigih.



Hasil tuaian buah timun armenia petang tadi. Dapatlah 3 biji dan bolehlah dibuat sayur nanti.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Minggu, 05 Juli 2015

TUAIAN SAYURAN DAN BUAH PERTENGAHAN TAHUN DI KG (KEBUN GETAH)

Hari sabtu yang lalu (kelmarin) ibu tanomkinotuan memaklumkan untuk ke kebun getah (KG) bagi melihat-lihat suasana dan keadaan kebun tersebut. Sudah 3 minggu tidak melawat kebun tersebut tambah-tambah lagi di bulan puasa ini. Namun keinginan ibu tanomkinotuan dituruti kerana mana lah tahu ada rezeki yang boleh dikutip. Selepas bersahur pada pada jam 4.00 pagi dan solat subuh, ibu tanomkinotuan mengemas dapur sambil menyediakan barang yang perlu di bawa ke kebun nanti, tanomkinotuan pula sambung semula membuat peta pada bantal. haha

Tepat jam 6 pagi kami berdua bertolak ke kebun dengan menumpang kereta sepupu yang akan mengikuti pertandingan memancing yang diadakan di salah satu tempat lupa pula namanya, tambah lagi jalan sehala saja. Kami meminta diberhentikan di simpang jalan dan akan berjalan kaki lebih kurang 15 minit dari jalan besar. 

Sungguh tidak disangka, pokok keladi yang ditanam sebelum puasa sudah ditumbuhi semak samun yang tinggi-tinggi. Namun apa kan daya, hanya mata berat memandang. Selepas raya nanti sekali lagi akan diracun kebun ini supaya bersih dan pokok getah tumbuh dengan baik. Oleh kerana sudah hampir 3 minggu tidak ke sini maka beberapa buah pisang sudah separuh dituai lebih dulu. Jadi tanomkinotuan hanya mengutip buah pisang yang belum diusik oleh burung.




Pokok pisang di atas sudah mula masak dan dituai lebih dulu oleh binatang liar, mungkin oleh burung-burung yang tinggal berhampiran. Kiranya rezeki mereka, walau bagaimanapun masih ada yang boleh dikutip hasilnya. Beginilah hidup berjiran berkongsi dengan hidupan di sini. Nasib kawanan monyet belum ke mari jika ya, habis buah pisang ini tanpa meninggalkan sebiji dua. Tanomkinotuan lupa pula apa nama pokok pisang ni, ia pendek saja dan tidak tinggi. 




Hasil kutipan buah pisang lebihan sang burung dan dua tandan pisang yang dikenali pisang 3 bulan atau pisang guguyuon kata orang sini. Jika tidak salah tanomkinotuan pisang ni dikenali sebagai pisang motel/hotel jika tidak salah atau pisang 40 hari dalam bahasa Melayu.




Pisang sabah atau pisang rebus juga sudah mula berbuah, dapatlah tanomkinotuan menuai jantungnya. Banyak-banyak pisang, jantung pisang sabah aka rebus ini sangat enak dibuat sayur atau ulam. Tidak pahit atau kelat. 





Keladi kampung isi kuning ini juga tanomkinotuan tuai, walaupun isinya kecil tetapi warna isinya yang kuning memikat hati. Jadilah ia dimasak bubur keladi atau pengat keladi. Tanomkinotuan tidak suka meletakkan santan ke dalam bubur atau pengat ini. Cuma tambah sedikit kacang hijau, potongan dadu ubi keledek, ubi keladi dan beberapa biji pisang. Seterusnya digaul dengan gula perang dan sagu biji. Siap untuk dimakan. Ia sangat lazat dan rasa yang tradisional sangat-sangat menyerlah.




Selain itu, buah rosalle atau di sini dipanggil buah rabena. Dapat mengutip setengah kilo dan dibuat air sirap rosalle untuk berbuka puasa bersama keluarga. bukan sahaja lazat tetapi kandungan vitamin C sangat tinggi. sesuai diminum bagi mereka yang demam ringan.




Dan akhir sekali, tanomkinotuan sempat tuai dua biji nanas kampung yang hampir masak. Nasib tidak dijenguk oleh sang tupai. tupai merupakan binatang yang suka menghabiskan buah nanas di KG. Walau dengan cara menutup buah nanas tersebut masih juga dapat dituai dengan rakusnya. nasib di bulan ramadan ini mereka tinggalkan dua biji untuk tuan tanah. Ingat juga mereka akan tuan tanah ini. hehe

Tepat jam 11.50 petang maka bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Oleh kerana kenderaan digunakan oleh adik tanomkinotuan ke bandar maka kami pulang dengan berjalan kaki sahaja. Walaupun panas dan penat tambahan lagi berpuasa, semua kerja dipermudahkan tanpa sebarang masalah. Rasa lapar dan dahaga alah tanggal biasa. Kami tiba di rumah pada jam 12.30 tengahari. Seronok berjalan ke KG masa puasa ini, mengingatkan kita betapa perit, letih dan payah untuk mencari sesuap nasi. Dengan aktiviti tanomkinotuan hari ini dapatlah tanomkinotuan menghayati erti puasa yang sebenarnya, tentang kehidupan dan lebih berusaha serta komited untuk maju ke hadapan. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Senin, 29 Juni 2015

PANDUAN MENCAMBAHKAN BENIH EPAL ROYAL

Pokok epal atau nama saintifiknya ialah Malus domestica adalah tumbuhan saka berbuah dalam kumpulan Rosaceae yang tumbuh di negara-negara yang mempunyai empat musim seperti di negara-negara Eropah, China, Jepun dan Timur Jauh. Negara kita lazimnya mengimport bertan-tan buah epal ini untuk pasaran ke seluruh negara. Pernahkah kita terniat dalam hati untuk menanam benih epal yang kita beli di pasaraya? terdapat pelbagai variati buah epal yang dijual antaranya epal royal, epal merah, epal hijau dan sebagainya. Tidak salah tanomkinotuan di Malaysia hanya ada dua ladang menanam epal secara komersil seperti di Kedah dan di Ba'kelalan, Lawas Sarawak di samping individu menanamnya secara persendirian kerana minat terhadap pokok epal yang ditanam di laman rumah. Banyak blog berkisar tentang menyemai benih epal, anda boleh baca sendiri.

Tanomkinotuan ada membeli epal di pasaraya berhampiran yang lepas dari variati epal royal. Seperti pembaca juga, tanomkinotuan meminati memakan buah epal yang ranggup dan masam-masam manis begitu. Tidak perlu diproses menjadi salad atau apa-apa resepi yang sering dibuat oleh orang lain, cuci buah epal bersih-bersih, gigit dan kunyah hingga selesai. Lagi nikmat dirasa.

Dengan semangat membeli dan melantak buah epal bersama adik tanomkinotuan, tanomkinotuan mencuba untuk menyemai 4 biji benih epal yang terdapat pada buah yang baharu sahaja selesai di makan. Hanya mencuba saja kalau-kalau ia boleh bercambah. Tanomkinotuan sediakan habuk kayu (jika tidak ada anda boleh mengantikan peat-moss, cocopeat atau kompos terproses) yang dimasukkan ke dalam cup palstik bersaiz kecil bertutup, Tanomkinotuan sembur habuk kayu tersebut dengan serum EM1 buatan sendiri agar ia sedikit lembab dan tidak terlalu basah. Langsung saja 4 benih epal tersebut dibenamkan ke dalam cup plastik tersebut dan simpan di dalam peti sejuk. 

Maaflah sebab gambar proses awal penyemaian benih epal ini tidak ada sebab tanomkinotuan tidak terfikirpun hendak mengambil gambar sebenarnya. 




Kira-kira 2 minggu kemudian, tanomkinotuan menjenguk semula pada cup plastik tersebut dan melihat kondisi benih epal royal di dalam peti sejuk sama ada bercambah atau tidak. Alangkah terperanjat di mana 2 benih dari 4 benih epal tersebut sudah mengeluarkan akar aka bercambah. Gambar di atas menunjukkan benih epal royal bercambah dengan akar berwarna putih sudah pun keluar beberapa inci dari benihnya, teruja tanomkinotuan. Dengan keadaan benih epal royal tersebut, tanomkinotuan menyediakan media untuk menyemainya secara normal. 





Tanomkinotuan menggunakan cup plastik saiz sederhana besar (cup plastik minuman) dengan menggunakan tanah di laman rumah yang digaul bersama kompos buatan sendiri. Selepas itu tanomkinotuan membuat lubang kira-kira setengah inci lebih kurang dapat membenamkan benih epal yang bercambah itu ke dalam tanah. Pada gambar di atas pula, tanomkinotuan sengaja meletakkan benih epal tersebut di atas permukaan media untuk tatapan para pembaca di luar sana. Jika tanomkinotuan mengambil gambar di mana benih epalnya sudah dibenamkan ke dalam, agak kurang feeling la katakan.

Selepas di benamkan ke dalam tanah, tanomkinotuan siram menggunakan air secukupnya dan cup plastik tersebut diletakkan di tempat selamat dengan area tersebut masih terkena bahang matahari bagi mempercepatkan proses percambahan dan pertumbuhan. 





Lebih kurang seminggu setengah, benih epal royal sudah tumbuh dengan baik dan mula mengeluarkan daun yang sebenar. Pada gambar di atas pula satu anak pokok sudah kelihatan membesar manakala sebiji lagi kulit biji tersebut belum tertanggal sepenuhnya. Cuma perhatikan dengan teliti di manakah kedudukan anak benih epal yang satu lagi dan masih bertungkus lumus untuk tumbuh dengan baik?

Percubaan tanomkinotuan menyemai benih epal adalah tidak dirancang sebenarnya. Ia hanya terdetik dalam hati tanomkinotuan. Selalunya tanomkinotuan akan rancang terlebih dahulu entry-entry yang ingin dimasukkan ke dalam blog agar info dan maklumat jelas dan nampak tulin. Walau bagaimana pun, tanomkinotuan tidak menaruh harapan yang tinggi pada anak pokok epal ini, jika ia berjaya tumbuh menjadi pokok besar pada suatu hari nanti dan mengeluarkan buahnya, tanomkinotuan bersyukur apa yang diberikan kepada tanomkinotuan dan sebaliknya pula tanomkinotuan pasrah tentang keadaan.

Jika anda ingin menyemai benih epal, ikuti kaedah yang dijelaskan di atas dan pilih buah epal yang dijual di pasaraya di mana buah yang masih segar dan tidak disuntik dengan ubat pencegah benih bercambah. Untuk makluman, biasanya buah epal import ini akan disuntik dengan sejenis bahan kimia untuk benih epal tidak bercambah bagi kepentingan ladang syarikat berkenaan dalam jangka masa panjang. Anda mesti faham apa yang saya maksudkan dan kadang-kadang juga buah epal ini juga akan disuntik bahan kimia untuk ketahanan buah tersebut bila sampai ke pasaran di negara kita. Maka dengan itu untuk hasil yang memuaskan pilih buah epal yang dirasakan tidak ada suntikan apa-apa hormon atau bahan kimia padanya.

Apa kata ubah angin anda untuk mencuba mencambahkan benih epal yang baru selesai di makan. Tidak luak sebenarnya. Jika berjaya maka rezeki anda dan jika sebaliknya jangan gusar dan bersedih. Beli saja buah epal di pasaraya untuk menikmati rasa epal yang ranggup dan enak.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Sabtu, 27 Juni 2015

TUAIAN RADISH CHERRY BEL UNTUK RESEPI SALAD HERBA

Hari ini genap 11 hari umat Islam berpuasa. Selamat menyambut bulan ramadan kepada pembaca muslim di luar sana.

Memikirkan juadah berbuka petang tadi tanomkinotuan ingin sekali merasa salad buatan sendiri. Pada petangnya kira-kira jam 4 petang, tanomkinotuan ke KBR untuk mencari kalau-kalau ada sayuran yang boleh dituai yang boleh dijadikan santapan salad bila berbuka nanti. Di tempat tanomkinotuan awal 90-an selalunya istilah berbuka puasa disebut 'bersungkai'. Perkataan ini berasal dari kaum Melayu Brunei dan sekitarnya yang diguna pakai untuk maksud berbuka puasa. Namun hari ini istilah ini sudah jarang digunakan di mana perkataan 'berbuka puasa' sudah menjadi kelaziman generasi zaman kini.



Berbalik pada cerita di KBR, tanomkinotuan melihat radish cherry bel yang ditanam dalam besen terbuang sudah mengeluarkan bulb lebih kecil daro saiz bola ping pong. Terdetik tanomkinotuan menuainya untuk salah satu bahan yang akan dicampurkan ke dalam salad nanti. Percaya atau tidak, radish cherry bel ini baru berusia 2 minggu. Kata orang menuai bulb radish yang masih kecil lebih sesuai kerana kurang pedasnya. Tetapi jika anda mahukan radish yang pedas tuailah pokoknya ketika berusia 3 minggu atau lebih.


Dengan itu tanomkinotuan mencabutnya satu persatu. Dapatlah tanomkinotuan menuai 6 biji radish cherry bel. Untuk ramuan bahan salad yang ingin disediakan tanomkinotuan memetik pucuk daun basil itali, pucuk ginseng jawa dan daun pudina.

Berbuka puasa dengan salad herba ini sesuai untuk kekalkan kesihatan dan menyegarkan semula tubuh badan kita. Berikut adalah resepi salad herba versi tanomkinotuan:

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. 6 biji radish cherry bel dihiris nipis

2. Secekak daun pudina

3. Secekak daun basil itali

4. Secekak daun/pucuk muda ginseng jawa/akar som

5. 1 biji mangga mas madu separa masak dihiris nipis

6. 3 ulas bawang merah dihiris

7. 2 ulas bawang putih dihiris

8. 1 inci halia ditumbuk halus

9. 2 sudu makan sos ikan

10. 4 biji limau kasturi/limau nipis

11. Garam dan gula secukup rasa.

12. 1 biji cili merah dihiris nipis

13. 4 biji cili padi dipotong kecil


Cara penyediaannya:


1. Campurkan kesemua bahan tersebut ke dalam satu bekas kecuali garam, gula dan limau kasturi.

2. Gaul hingga sebati, tambah garam dan gula secukup rasa. Gaul lagi hingga sebati.

3. Akhir sekali, masukkan perahan limau kasturi dan gaul hingga limau tersebut sebati dengan kesemua bahan.

4. Simpan dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.

Salad herba ini sesuai dimakan bersama kambing panggang mahupun ayam. Aromanya dapat mengekalkan kesegaran rasa dan struktur daging kambing tersebut. Radish cherry bel sudah tidak terlalu pedas apabila perahan limau nipis mengurangkan rasa lidas tersebut. Apa kata semai radish cherry bel di laman rumah anda hari ini.

Selamat bertani dan menuai hasil.

PANDUAN MENGALIHKAN ANAK POKOK SAYUR FENNEL KE BATAS

Tempoh hari tanomkinotuan ada menyemai benih sayur fennel atau florence fennel dalam plastik berzip dan dimasukkan ke dalam peti sejuk selama 7 hingga 14 hari. Selepas bercambah tanomkinotuan pindahkan ke cup plastik untuk percambahan dan pertumbuhan secara normal. Kini anak pokok sayur fennel sudah pun berusia 2 minggu lebih dan sesuai di pindahkan ke batas. Setiap bahagian sayur fennel boleh dimanfaatkan sebagai sayuran. Benjolan di atas akar (bulb) boleh ditumis atau dicampurkan ke dalam sup, batang dan daunnya boleh mengantikan daun sederi sebagai perisa dan aroma pada sup atau masakan. Benihnya yang aromatik sesuai sebagai herba campuran dalam resepi daging panggang. Maksudnya, tidak ada yang dibuang.

Mencambahkan benih fennel dalam peti sejuk lebih berkesan berbanding menyemai benih tersebut langsung pada batas kecuali anda tinggal di negara 4 musim. Cuaca dan suhu yang sesuai memainkan peranan besar dalam percambahan benih ini. Dalam tempoh dua minggu dalam cup plastik, ia tidak mempunyai masalah untuk tumbuh dengan baik di mana ia sesuai dengan cahaya matahari terik dengan syarat rajin-rajinlah menyiram pagi dan petang pada setiap hari. 

Jika pembaca di luar sana ingin mencuba menanam sayur fennel, ikuti panduan di bawah cara mengalihkan anak benih fennel dari bekas semaian ke batas yang disediakan.  Klik di SINI bagi info dan cara menyemai benih florence fennel.



Setelah 2 minggu menunggu tumbubesaran anak benih fennel, tiba masanya untuk anak benih tersebut dipindahkan ke atas batas yang disediakan. Jika laman rumah agak terhad boleh juga menanamnya dalam pasu sederhana besar.

Untuk makluman pembaca, pokok fennel merupakan tanaman yang memerlukan banyak kandungan nitrogen. Oleh itu, tanomkinotuan membuat batas terlebih dahulu dengan mengorek tanah sedalam 1 kaki seterusnya mengembur tanah hingga menjadi serpihan kecil. Tanomkinotuan tabur kompos kelapa sawit dan kompos manure (tinja ayam) dan mengaulnya sehingga sebati. Tanonkinotuan tidak rehatkan tanah seperti mana biasa kerana tinja ayam tersebut sudah siap terproses.


Langkah seterusnya ialah leraikan anak benih fennel agar terpisah satu persatu. Jika anda menyemai dalam syoroform cup tidak perlu ikut langkah di atas memadailah anda tanam anak benih fennel bersama tanahnya. Bagi langkah yang dibuat oleh tanomkinotuan, jangan khuatir kerana anak benih fennel boleh hidup setelah ditanam dengan syarat buat teduhan menggunakan jaring hitam.


Setelah anak benih dileraikan, langkah berikutnya ialah membuat lubang sedalam 3 inci dengan jarak antara lubang ialah kira-kira 10 inci. Jangan kesah pada pokok ditengah-tengah batas dalam gambar di atas. Ia adalah anak pokok jambu batu.



Tanam sepokok anak benih fennel ke dalam setiap lubang dan timbus semula tanah. Padat-padatkan tanah di sekeliling batang anak pokok secara perlahan-lahan. Setelah selesai menanam, siram dengan air secukupnya. Pokok jambu batu telah disungkup dengan cup plastik.




Inilah hasil anak pokok fennel yang ditanam di atas batas. Peringkat akhir, letakkan teduhan seperti jaring hitam bagi mengelak daripada layu dan mati daripada sinaran matahari. Biarkan batas tersebut di bawah jaring hitam selama 4 hingga 7 hari biar pokok fennel benar-benar kuat barulah teduhan jaring hitam dibuka.

Pada peringkat awal, anak benih pokok fennel memerlukan siraman air yang mencukupi. Siram dua kali sehari dan tidak perlu ketika hujan. Setelah 2 minggu berikutnya tabur semula baja NPK organik untukbpertumbuhan yang baik. Tunggu 3 bulan barulah pokok fennel boleh dituai. Apa kata anda mencuba menanam sayur herba beraroma ini dalam diet keluarga anda. Ia cukup mengkagumkan.

Selamat bertani dan menuai hasil.