Selain daripada jenis-jenis bendi hijau yang memang popular di tanam dan selalu nampak dijual di pasar, supermarket dan pasaraya berhampiran, terdapat lagi satu jenis bendi yang wujud namun tidak berapa popular di sini kecuali pekebun laman rumah iaitu bendi merah. Buah bendi yang merah menyala, berkilat namun rasanya sama sahaja dengan jenis-jenis bendi yang lain. Berikut tanomkinotuan kongsikan kepada pembaca cara dan panduan menanam bendi merah pada batas jika mereka yang mempunyai halaman rumah yang luas. Akan datang tanomkinotuan berkongsi pula kepada semua cara menanam bendi merah dalam pasu atau polibag besar.
Pertama sekali anda harus mempunyai bendi merah, dapatkan benih dari kedai pertanian berhampiran yang ada menjualnya. Pastikan benih bendi merah tersebut elok, sihat dan masih boleh bercambah. Anda juga boleh mendapatkan benih bendi merah secara pembelian online di internet pada laman sesawang yang boleh dipercayai.
Langkah kedua pula, pemilihan lokasi tanaman. Pemilihan lokasi atau kawasan untuk menanam bendi merah harus ditentukan dengan melihat sinaran matahari yang memancar di kawasan tersebut melebihi 6 jam sehari. Ini kerana pokok bendi merah memerlukan pencahayaan yang baik (secara langsung) untuk hidup subur dan membesar dengan baik. Pokok bendi merah tidak sesuai di tanam dikawasan terlindung atau mempunyai teduhan (shade). Anda juga harus mengelak memilih kawasan tanaman bendi merah yang berdekatan dengan pokok besar atau bunga merimbun sehinggakan mengganggu sinaran sampai pada pokok bendi merah anda. Pastikan juga kawasan tersebut tidak ditakungi oleh air ketika hujan. Anda boleh memilih tempat seperti belakang rumah, kiri atau kanan rumah anda, tepi pagar atau hadapan rumah anda.
Seterusnya, dengan menggunakan cangkul korek sedalam 1 kaki dan gembur tanah sehingga menjadi serpihan-serpihan kecil. Buat batas lebih kurang 2 X 5 kaki persegi atau mengikut keluasan halaman rumah anda. Jika anda menanam lebih banyak benih bendi merah maka batas anda harus bersaiz panjang. Tinggi batas pula ialah 1 kaki setengah ini bagi mengelak daripada batas atau tanah digenangi oleh air ketika musim hujan dan menyelamatkan pokok bendi anda dari menjadi layu dan mati. Buang segala bendasing seperti akar kayu, kayu mati, serpihan tile, semen, paku dan sebagainya.
Apabila tanah/media sudah menjadi gembur, peroi dan lerai, tambah kompos setebal lebih kurang 5 inci secara menyeluruh pada batas. Gaul kompos tersebut sehingga sebati dengan tanah. Penambahan kompos memperbaiki kualiti batas tersebut untuk nutrisi kepada pokok bendi merah anda. Untuk mengudaraan dan saliran yang baik tambah cocopeat atau peat-moss secara lapisan setebal 5 inci pada batas anda, gaul hingga sebati. Jika tanah anda bernilai PH di bawah 5.0, tabur batas anda dengan 2 genggam kapur pertanian secara menyeluruh dan gaul sehingga sebati dengan tanah. Namun jika tanah anda berkeadaan elok yakni PH tanah neutral kapur pertanian tidak diperlukan. Untuk mengetahui tanah berasid atau tidak dapatkan kit kertas PH di kedai yang ada menjualnya.
Jika batas anda jenis tanah liat/lampung, tambah lebih banyak kompos dan cocopeat pada batas serta gaul sehingga semuanya sebati. Anda boleh menambah rumput kering atau dedaun kering pada batas untuk menghasilkan batas yang mempunyai pengudaraan baik, saliran baik dan media yang gembur dan peroi. Cocopeat mengikat jumlah air dalam batas pada tempoh yang agak lama dan ini membolehkan pokok bendi anda tumbuh dengan baik. Anda juga boleh menambah pasir sungai pada batas jenis tanah liat untuk saliran dan tanah/batas tidak terlalu cepat mampat pada tempoh penanaman pokok bendi merah anda.
Apabila batas selesai dibuat, rehatkan batas anda selama seminggu atau pun 2 minggu bagi mematikan atau mengurangkan mikrob-mikrob jahat dalam tanah. Ultra lembayung dari sinaran matahari dapat membunuh mikrob-mikrob jahat ini secara semulajadi, sebab itu jika anda mempunyai sebotol serum EM1 (EM1 inoculant microbial) anda tidak digalakkan meletakkan botol tersebut terlalu lama di bawah sinaran matahari terik kerana segala jenis bakteria dalam botol tersebut akan mati oleh ultra lembayung dari sumber cahaya matahari.
Genap seminggu atau 2 minggu, maka anda sudah boleh menyemai bendi merah anda ke batas. Benih bendi merah sesuai ditanam terus pada batas. Buat lubang sedalam 1 inci dengan jarak 4 hingga 5 kaki antara lubang. Tanam 1 biji atau 2 biji benih bendi merah ke dalam lubang yang disediakan dan timbus kembali dengan tanah. Siram batas menggunakan air secukupnya. Dalam tempoh percambahan pastikan batas dalam keadaan lembab bagi memudahkan benih bendi merah anda bercambah dengan baik. Bendi merah mulai bercambah dari hari kelima hingga hari kesepuluh mengikut keadaan cuaca di tempat anda. Kadang-kadang batas kita akan didatangi oleh sekawan semut, oleh itu guna rempah (serbuk kari, serbuk kunyit, serbuk ketumbar dll) dari dapur anda dan tabur pada batas tersebut agar semut beralih dari batas tersebut. Dikhuatiri ia merosakkan benih bendi anda.
Selepas 2 minggu benih bendi merah anda ditanam, anda harus membubuh baja mengikut jadual yang betul, ini kerana pokok bendi merah adalah tumbuhan yang memerlukan banyak nutrisi untuk pertumbuhannya yang baik. tabur baja pada batas atau di sekeliling anak pokok selepas digembur lalu siram dengan air. Pembajaan pada pokok bendi merah boleh diikuti panduan di bawah:
1. Minggu kedua (selepas benih bendi merah di tanam) - tabur setengah genggam baja NPK organik dan segenggam kompos. Anda juga boleh selangselikan dengan siraman baja cecair ikan atau serum EM1.
2. Minggu keempat - 1 genggam baja NPK organik dan 2 sudu makan pada setiap pokok baja bone meal. Siraman cecair baja teh kompos atau serum EM1.
3. Minggu keenam - segenggam kompos setiap pokok dan 1 sudu baja bone meal. Siram dengan baja cecair ikan.
4. Minggu kelapan - Tempoh ini buah bendi merah mula membesar dan bubuh setengah genggam baja NPK organik.
Penjagaan pokok bendi merah tidaklah rumit, anda hanya membuang rumput rumpai pada batas bagi mengelak persaingan mendapatkan nutrisi. Anda boleh membuat pengemburan batas pada minggu ketiga atau minggu keempat. Berhati-hati ketika membuat aktiviti mengembur takut mencederakan akar pokok. Letak mulsa seperti cocopeat, peat-moss atau rumput dan daun-daun kering. Mulsa berfungsi bukan sahaja membantutkan pertumbuhan benih rumput rumpai tetapi juga mengekalkan kelembapan batas pada tempoh yang lama.
Penyiraman dilakukan bila perlu, pokok bendi merah tahan sinaran matahari terik. Jika musim kemarau siram 2 kali sehari dan tidak perlu ketika hujan. Lihat sama ada batas kering atau tidak, caranya korek sedalam 3 inci untuk melihat keadaan kelembapan pada batas. Jika kelembapannya masih sempurna maka ianya tidak perlu disiram.
Pokok bendi merah tidak lari dari serangan penyakit. Ia mudah diserang penyakit jika keadaan batas terlalu kering atau terlalu basah. Antara penyakit yang menyerang pokok bendi merah ialah:
1. Reput akar - disebabkan oleh virus atau bakteria yang menyerang sistem akar dalam tanah. Daun dan pucuknya layu dan lama-kelamaan akan mati. Cabut pokok dan musnahkan.
2. Pucuk mudah layu - serangan dari ulat pengorek batang. Tanda-tandanya pucuk bendi merah layu atau melentok ke bawah, terdapat gumpalan tahi di luar pucuk tersebut. Potong pucuk tersebut sehingga mana ia diserang. Tujuannya agar ulat pengorek buah tidak masuk lebih dalam lagi sehingga merosakkan 1 pokok bendi merah anda.
3. Buah mengerekot/membengkok - serangan ulat buah. telur serangga yang menetas di berhampiran buah akan mengorek masuk ke dalam buah dan memakannya dari dalam menyebabkan buah mengerekot atau bengkok. tanda-tandanya ialah buah terbantut tumbuhbesarannya, bengkok dan terdapat gumpalan tahi melekat di luar buah bendi dan kadang-kadang lelehan cecair dari lubang pada buah. Potong buah bendi tersebut dan musnahkan.
4. Daun berlubang-lubang - Serangan oleh belalang. belalang jenis besar aktif pada waktu malam memakan daun-daun pokok bendi merah. Serangan belalang tidak serius merosakkan pokok bendi anda, maka tidak perlu bimbang.
Kita amat gembira dan teruja melihat pokok bendi tumbuh dengan sihat. Namun ianya tidak selalunya begitu, kadang-kadang kekurangan nutrisi pada tanah menyebabkan pokok bendi merah tumbuh terjejas, terbantut dan tidak sihat. Berikut adalah tanda-tanda pokok bendi anda kekurangan zat nutrisi iaitu:
1. Daun di bawahnya berwarna kuning - kekurangan zat nitrogen
2. Daun pokok kusam/gelap dari kebiasaan - kekurangan zat posforus
3. Tidak atau kurang bunga pada pokok - kekurangan zat kalium
4. Pokok terbantut, batang kurus - kekurangan nitrogen, posforus dan kalium. Saliran tanah dan pengudaraan yang tidak baik.
Cara mengatasi kekurangan nutrisi pada tanaman ialah, menambah kompos atau baja NPK organik ke atas batas pokok bendi merah anda.
Bendi merah sudah boleh dituai kali pertama dalam tempoh 2 bulan lebih. Lihat buahnya yang masih berkilat dan lembut. Potong menggunakan pisau tajam kerana tangkai buah bendi merah agak keras sedikit. Buah bendi merah boleh disimpan dama peti sejuk dan boleh bertahan selama 3 minggu dalam plastik berjip. Kini anda boleh menikmati buah bendi merah tanam sendiri dengan resepi kegemaran. Bagi tanomkinotuan, ia hanya direneh seketika dan dimakan bersama sambal, kadang-kadang dicampurkan ke dalam masakan kari ikan atau dibuat kerabu bendi.
Selamat bertani dan menuai hasil.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar