Tanomkinotuan hari ini berkongsi kepada pembaca sekalian bagaimana mendapatkan benih zucchini crockneck dari buahnya yang sudah matang. Tanomkinotuan menanam 2 pokok zucchini crockneck di KBR dan mematangkan sebiji buahnya untuk tujuan mendapatkan benihnya.
Masa paling sesuai mendapatkan benih zucchini ini ialah pada buah pertama muncul di pokoknya. Ini kerana biasanya buah pertama jarang diserang oleh ulat pengorek buah yang boleh mencacatkan proses pematangan.
Cara mengetahui buah yang dimatangkan itu sesuai dituai ialah melihat kulitnya bertukar kepada warna oren gelap dan kulitnya keras. Apabila ciri tersebut ada pada buah zucchini tersebut maka ia sesuai untuk dipetik/dituai untuk tujuan mendapatkan benihnya.
Ambil buah zucchini tersebut dan belah menggunakan pisau yang tajam. Pastikan anda berhati-hati bilamana menggunakan pisau tersebut. Kerana kulit zucchini crockneck tersangatlah keras seperti labu. Belah dengan berhati-hati. Setelah selesai dibelah, kumpul benihnya ke dalam mangkuk yang diisi dengan air bersih hingga selesai.
Basuh benih tersebut dengan meramas perlahan-lahan dan kumpul benih zucchini tersebut ke dalam bekas leper seperti pinggan atau seumpamanya. Jemur benih tersebut di bawah cahaya matahari hingga benar-benar kering. Lebih kurang 3 hingga 4 hari mengikut sinaran matahari.
Benih yang dikeluarkan dari buah zucchini matang. |
Apabila benih zucchini sudah kering, simpan benih tersebut ke dalam bekas kedap udara atau ke dalam plastik berzip dan simpan di tempat selamat. Benih zucchini boleh bertahan selama setahun hingga dua tahun mengikut cara anda menyimpannya. Ambil beberapa benih dan semai dalam cup plastik terlebih dahulu jika hendak menanamnya semula.
Dengan kaedah mendapatkan benih zucchini ini maka anda tidak perlu lagi membeli semula benih zucchini crockneck untuk masa ini kecuali variati zucchini yang lain. Anda mempunyai benih zucchini untuk tanaman musim akan datang dengan syarat buah pokok zucchini anda adalah jenis hearloom/warisan dan bukannya jenis pokok zucchini hibrid. Bukankah kaedah ini bermanfaat kepada anda?
Selamat bertani dan menuai hasil.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar