Tani

Rabu, 14 Oktober 2015

BENIH ASPARAGUS BERCAMBAH DITEPI POKOK TUTAN HITAM



Pada awal bulan April yang lepas, tanomkinotuan ada menuai buah asparagus yang sudah dikira matang tetapi tidaklah berwarna merah seperti yang ditonton di youtube mahupun blog-blog berbahasa English. Namun tanomkinotuan optimis keadaan ini dan ingin menyemai benih tersebut pada cup plastik yang memang tersedia tersimpan di dalam stor. 

Oleh kerana masih ada kerja-kerja yang perlu dibereskan tanomkinotuan letakkan benih-benih asparagus itu terlebih dahulu di atas batas hanya beralaskan sehelai daun dan menyambung semula kerja-kerja yang terbengkalai. Tiba-tiba mendung awan sejak tadi mencurahkan titisan-titisan hujan yang semakin lebat. Apa lagi tanomkinotuan mwnyimpan segala baja dan alatan pertanian dan bergegas kembali ke rumah hingga terlupa membawa benih asparagus yang dituai tadi.

Keesokan harinya tanomkinotuan kembali semula ke KBR untuk mengambil semula benih asparagus tetapi malangnya sudah tidak kelihatan di tempatnya, mungkin dibawah arus hujan lebat tidak tahu sudah ke mana. Tanomkinotuan pasrah saja bukan rezeki kali ini.

Pada petang tadi, tanomkinotuan menuai sawi putih taiwan sambil mencabut rumput rumpai di tepi batas, terpandang tanomkinotuan satu pokok yang sangat dikenali. Walaupun sebelum ini tidak pernah menyemai benih asparagus melainkan membeli anak pokok asparagus dari orang lain tetapi tanomkinotuan boleh mengecam anak pokok asparagus elok tumbuh bersebelahan dengan pokok tutan hitam/meranti hitam. Teruja dan gembira tidak terkata. Tercari tanomkinotuan kalau-kalau masih ada anak pokok asparagus yang lain tetapi hampa. Namun satu pokok ini pun sudah memadai di mana tanomkinotuan akan tuai buah asparagus matang untuk pembenihan masa akan datang. Lagi pula sepokok asparagus di KBR kini galak berbuah.

Dengan berhati-hati tanomkinotuan korek anak pokok asparagus tersebut bersama tanah dan pindahkan ke polibag bersaiz besar. Harap bolehlah hidup subur kiranya. Anak pokok asparagus tidak mudah mati kerana sememangnya akar asparagus mampu hidup dalam tanah yang lembab dan kaya nutrient. Simpan polibag tersebut di bawah lindungan matahari selama 1 minggu barulah dialihkan ke tempat terbuka bagi pertumbuhan yang sihat.



Tuaian sayuran di KBR yang terbaru. Sawi putih taiwan, pucuk cekur manis, kacang panjang hijau, terung hijau bulat. Dan juga florence fennel. Dapatlah memberikan bekalan sayur kepada dapur tanomkinotuan sekeluarga. Sawi putih taiwan ini sudah dimasak semalam, masak sos tiram dengan udang kering. Resepi ringkas dan menyihatkan. Emak tanomkinotuan sangat menyukai sawi putih taiwan. Sayur kegemaran paling utama.

Fennel tu baru saja digunakan untuk masak sup daging dan semasa entry ini ditulis, sup daging masih di atas dapur gas dengan menyebarkan aroma yang cukup memikat dan mengujakan. Pokok fennel sangat beraroma yang ringan. Sesuai ditambah dalam masakan berasaskan sup daging dan ayam atau sebagai pelengkap dalam pelbagai resepi salad. Aroma yang hangat dan menyelerakan hingga menambah sepingan dua nasi. Haha.

Pokok kacang panjang hijau kini diakhir musim tuaian. Pokoknya mula menguning dan produktiviti buahnya juga berkurangan. Ini menandakan pokok kacang panjang tidak lama lagi akan mati. Tanomkinotuan akan mencabutnya dan mengembur semula batas tersebut untuk ditanam jenis sayuran/tanaman lain. Namun begitu tanomkinotuan sudah pun menanam beberapa pokok kacang panjang hitam untuk kelangsungan bekalan kacang panjang ini dan akan menyemai semula benih kacang panjang variati galaxy di kemudian hari. 

Terung hijau bulat dapatlah dua biji kelmarin. Boleh ditambah dalam apa-apa masakan yang sesuai nanti. Mungkin malam ini ingin memasak kari daginglah pula memandangkan banyak daging tersimpan dalam peti sejuk semasa pembahagian daging korban raya haji yang lepas. Jadi bolehlah dicampurkan sekali buah terung hijau bulat itu nanti. 

Kepada mereka yang ingin mendapatkan benih kacang panjang hitam, benih kacang panjang hijau dan benih terung hijau bulat hantar email ke borosmomogun@gmail.com untuk info selanjutnya. 

1. Kacang panjang hijau - RM2.50
2. Kacang panjang hitam - RM2.50
3. Terung hijau bulat -RM2.90

Bagi mereka yang ingin merasa pengalaman menanam pokok asparagus di halaman rumah sendiri, apa kata mencuba menanam akar asparagus/crown dari KBR. Asparagus variati Mary Washington hanya RM75 untuk satu akar pokok. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar