Tani

Jumat, 10 April 2015

CARA DAN PANDUAN MENANAM SAYUR ARUGULA

Sayur arugula adalah sayuran berdaun yang popular di negara Barat, ia merupakan tanaman musim sejuk dan kadang-kadang dirujuk sebagai salad hijau kerana sesuai dimakan secara mentah seperti salad-salad yang lain. Ia menyukai suhu sejuk untuk pertumbuhan yang baik namun ia masih boleh ditanam di halaman rumah anda di kawasan tanah rendah dengan keadaan cuaca yang panas. Adik tanomkinotuan telah menggunakan daun-daun sayur arugula ini dengan memblendernya dan meminum jus daun arugula untuk meredakan gastrik yang dialaminya. Entah kurang tahu pula apa keputusan daripada tindakannya meminum jus daun arugula. Tidak pula tanomkinotuan bertanya. Hanya tanomkinotuan terdengar rungutannya bahawa rasa jus daun arugula adalah pahit. Hehe...

Berikut adalah cara menanam pokok sayur arugula.
Pertama sekali dapatkan benih arugula di pasaran. Pilih pek arugula yang elok, sihat dan tidak melebihi tarikh luput yang tertera diluar pembungkusnya. Jika anda terbeli benih arugula yang sudah tamat tempoh percambahannya, percambahan sekadar 5% hingga 10% sahaja atau mungkin 0%. Ketelitian anda dalam membeli benih arugula adalah perlu diutamakan. Anda juga boleh mencuba membeli benih arugula ini secara online. Pilih kedai online yang menjual benih sayur arugula dan pastikan kedai online tersebut boleh dipercayai. Jangan jadi mangsa penipuan.

Langkah kedua ialah anda harus memilih tempat menanam sama ada anda menanam pada batas atau pasu/polibag, cahaya matahari adalah yang paling utama. Cari lokasi di halaman rumah anda yang boleh menerima sinaran matahari melebihi 6 jam kerana sayur arugula menyukai sinaran matahari langsung. Contohnya belakang rumah, tepi pagar, atau ruang balkoni jika menanam dalam pasu/polibag.

Langkah ketiga pula, anda perlukan media semaian yang berkualiti, bebas mikrob jahat dan kulat. Jika ada rezeki lebih anda boleh membeli media campuran yang ada dijual di kedai pertanian, tinggal saja anda memasukkan media tersebut ke dalam bekas semaian. Anda juga boleh membeli media tanah lom, pasir sungai (anda boleh mengantikan pasir sungai dengan membeli media perlite atau abu vulkano) dan kompos secara berasingan dan campurkan sendiri di rumah mengikut nisbah 2:1:1. Bagi mereka yang mahukan kos murah untuk media, korek sahaja tanah di halaman rumah anda dengan memilih tanah yang agak hitam, campurkan kompos buatan sendiri atau baja organik dalam nisbah satu genggam serta tanpa pasir sungai. Jika anda susah mendapatkan tanah hitam atau tanah lom, koreklah tanah merah di halaman rumah anda dan campurkan bersama pasir dan kompos/tinja binatang, ini bermaksud anda hendaklah menambah lebih banyak kompos ke dalam media campuran anda. Dengan syarat tanah merah anda harus dihancurkan/digembur hingga menjadi serpihan kecil dan tidak berketul-ketul.

Sebelum menanam, semai benih arugula dalam tray semaian yang diisi dengan media campuran 2:1:1 (tanah lom/hitam : pasir sungai : kompos) seperti cup styorofoam. Jika anda mahukan bekas semaian yang kosnya murah atau 0% guna saja bekas barangan dari dapur anda seperti kontena terbuang, cup aiskrim, mangkuk terbuang, tupperware, cup plastik, kotak dengan membuat lubang di bawahnya terlebih dahulu atau jika anda pandai membuat bekas semaian dari origami kertas, ya. Anda boleh menggunakannya. Tanomkinotuan ada diajar tahun lepas membuat bekas semaian dari kertas atau dari surat khabar tetapi tanomkinotuan sudah lupa. Akan tanomkinotuan imbas kembali cara-cara membuatnya dan poskan di blog ini kemudian. Apabila anda sudah menyediakan semaian media campuran dan bekas semaian. Masukkan media campuran ke dalam bekas semaian/tray semaian hingga penuh. Padat-padatkan sedikit dengan menghentak-hentak bekas semaian tersebut agar media di dalam bekas semaian turun ke bawah (menjadi sedikit padat). Semai dan tabur benih arugula di atas media semaian lalu timbus senipis mungkin tanah di atasnya. Seterusnya siram benih anda dengan air secukupnya. Simpan di tempat teduh tetapi masih terkena haba matahari. Benih arugula mula bercambah dari hari ke-3 hingga hari ke-7 selepas disemai. Pastikan media tidak kering dan spray atau siram menggunakan sedikit air untuk melembabkannya. Anak pokok arugula sudah boleh dialihkan pada usia 2 hingga 3 minggu.

Seterusnya membuat batas menanam anak pokok arugula. Buat batas 2x6 (lebar x panjang) di halaman rumah dengan menggunakan alat cangkul korek sedalam satu kaki, dan gembur-gemburkannya sehingga menjadi serpihan-serpihan kecil. Ketulan-ketulan tanah harus dipecahkan hingga hancur. Buang segala benda asing seperti paku, akar rumput, serpihan tile, ketulan semen, batu dan ranting. Tambah kompos kira-kira 4 kilo dan gaul hingga sebati. Jika tanah tersebut berasid (guna penyukat PH tanah yang boleh dibeli di pasaran) tambah kapur pertanian atau lime pada kadar 2 genggam atau mengikut nilai keasidan tanah anda. Anda juga boleh menambah cocopeat atau peat-moss pada batas anda untuk meningkatkan kualiti tanah. Dedahkan batas anda kira-kira 2 minggu untuk mematikan mikrob jahat. Bagi mereka yang ingin menanam sayur arugula dalam polibag atau pasu, guna media campuran tanah lom, pasir sungai dan kompos dengan nisbah 2:1:1. Gaul kesemua media tersebut dan masukkan ke dalam polibag atau pasu yang disediakan.

Selepas 3 minggu, anak benih sayur arugula anda sudah boleh dipindahkan. Siram anak benih pokok anda terlebih dahulu dan buat lubang sedalam 1 inci hingga 2 inci dengan jarak 6 inci hingga 10 inci antara lubang. Cabut anak benih pokok arugula dengan berhati-hati dan tanam separuh batangnya ke dalam lubang yang telah dibuat. Timbus lubang dengan tanah dan padat-padatkan sedikit agar pokok arugula tidak tumbang apabila menyiramnya. Tanam anak pokok arugula hingga selesai dan siram dengan air secukupnya. Guna jaring hitam atau apa-apa alat teduhan yang sesuai. Tutup batas anda dengan jaring hitam selama seminggu. Bagi mereka yang menanam anak pokok arugula melalui pasu atau polibag, buat lubang ditengahnya sedalam 1 inci hingga 2 inci, cabut anak pokok arugula dan tanam separuh batangnya ke dalam tanah. Pastikan satu polibag atau pasu untuk satu pokok anak benih arugula kecuali saiz pasu dan polibag sesuai untuk menanam lebih dari satu pokok arugula. Timbus lubang tersebut dan padat-padatkannya. Lakukan penanaman hingga selesai dan siram dengan air. Letakkan polibag-polibag atau pasu-pasu anda ditempat teduh selama 4 hingga 7 hari dan genap 4 hingga 7 hari pindahkan sayur arugula anda ditempat terkena sinaran matahari penuh untuk tumbuhbesaran yang lebih baik.

Selepas 2 minggu dialihkan ke batas atau pasu/polibag, tabur baja 5 genggam bagi keseluruhan batas anda untuk saiz 2x6 kaki. Sebelum ditabur baja subur, gembur-gemburkan tanah terlebih dahulu dan berhati-hati agar tidak mencederakan akar pokok arugula. Tabur baja subur secara merata keseluruhan batas dan siram dengan air agar baja cepat bertindak terhadap akar sayur arugula anda. Bagi di dalam pasu pula letak sesudu besar baja subur di sekitar pasu selepas digembur tanahnya. Siram pokok arugula anda selepas selesai pembajaan. Lakukan pembajaan selang 2 minggu sekali untuk hasil yang baik. Jika anda mempunyai baja cecair ikan atau baja kompos teh, siram pada pokok arugula 2 minggu sekali dengan berselang-seli dengan baja subur.

Buang rumput rumpai pada batas dan polibag/pasu dengan mencabutnya jika ada. Untuk menggurangkan rumput rumpai pada batas letakkan mulsa (mulch) atau sungkupan seperti jerami, habuk kayu, cocopeat, daun kering atau rumput kering di atas batas atau di permukaan pasu/polibag. Ia bukan saja mengurangkan pertumbuhan rumput rumpai tetapi juga dapat mengurangkan kekeringan media pada batas/polibag anda. Ia juga akan menjadi kompos semulajadi apabila ia mula mereput di kemudian hari.

Kadang-kadang pokok arugula mengalami serangan dari makhluk perosak seperti linta bulan dan siput babi ketika pokok arugula masih kecil, belalang juga menyukai memakan daun-daun arugula. Kulat dan bakteria reputan akar juga sering berlaku ke atas pokok arugula. Jangan terlalu basah batas yang ditanam dengan pokok arugula, lembab tetapi bukan terlalu basah. Tanam pokok arugula bersama pokok allium (bebawang) dan bunga marigold untuk mengelak serangan dari makhluk perosak. Anda disarankan mempraktikkan tanaman giliran dan tanaman campuran untuk mengurangkan masalah serangan makhluk serangga seperti yang dinyatakan di atas.

Pokok arugula anda sudah boleh dituai genap 30 hingga 40 hari selepas dipindahkan ke batas. Terdapat dua cara untuk menuainya pertama, cabut pokok arugula atau hanya memetik daun-daunnya sahaja, tinggalkan pucuk/daun mudah untuk tuaian akan datang. Terpulang pada pembaca mana kaedah yang bersesuaian. Cabut pokok arugula dan simpan dalam plastik berzip lalu masukkan ke dalam peti sejuk, ia boleh bertahan selama 2 hingga 3 minggu di dalamnya. Nikmati sayur arugula tanam sendiri dengan resepi pilihan anda. Arugula yang ditanam di tempat atau iklam panas, ia mempunyai sedikit rasa pahit. Untuk itu, sebaik-baiknya tuai pokok arugula pada usia muda (pra-matang) untuk hasil dan rasa yang baik.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar