Tani

Jumat, 03 April 2015

CARROT PUTIH DAN LOBAK MERAH FARIS MARKET (MINITURE CARROT)

Kelmarin tanomkinotuan menuai lobak merah variati Danvers (rafido F1 carrot) dalam bekas simpanan air skala besar. Dan lobak-lobak itu telah di masak dengan dicampurkan dengan sup ikan tuna yang diurus oleh abang ipar tanomkinotuan. Sup ikan begitu sedap dan manis, mungkin rasa itu datangnya dari hirisan-hirisan lobak merah tersebut. Rasa dan struktur lobak merah tanam sendiri sangat sedap rasanya apatah lagi jika dituai pada usia muda (tidak terlalu matang). 

Pada pagi ini, dengan suhu yang boleh dikatakan sejuk kerana semalam hujan renyai sekejap. Tidak seperti selalu jam 6.30 pagi matahari sudah tersenyum dengan menghamparkan sinaran terik mencengkam kulit yang membakar. Mungkin musim panas sudah berlalu, cuaca kembali seperti biasa. Ini juga satu berita gembira kepada pekebun di rumah kerana aktiviti mereka dapat diteruskan tanpa masalah. Ketibaan tanomkinotuan di KBR langsung ceduk air dari kolam berdekatan dan siram sayuran dan tanaman yang kembali segar selepas cuaca membahang tempoh hari. Tetapi tidak semena-mena tanomkinotuan terkejut melihat besen besar yang ditanam lobak merah, daun bertukar menjadi kekuningan. Bila tanomkinotuan menghampiri lebih dekat sepokok lobak merah variati Lunar White Carrot sudah membusuk lobaknya. Tanomkinotuan korek tanah sedalam 3 inci sah lebihan air. Tidak ada cara lain selain tuai saja walaupun belum cukup bulan. Hujan lebat malam semalam mengakibatkan lobak merah tanomkinotuan mula rosak. 

Jadi dengan berat hati tanomkinotuan cabut satu persatu pokok lobak dan alangkah terkejutnya lobak merah tersebut sudah mempunyai lobak. Untuk makluman terdapat dua variati lobak merah yang ditanam dalam besen itu yakni lobak merah berwarna putih (Lunar White carrot) dan lobak merah bulat paris market (Paris Market miniture Carrot). Kelihatan lobaknya sederhana besar walaupun tidak setanding dari tanaman orang lain tetapi tanomkinotuan gembira kerana setakat ini tanomkinotuan dapat membesarkan lobak merah di KBR dengan cara tanomkinotuan sendiri. Paling mengujakan lobak merah ini cukup organik dan segar.

Lobak merah lunar putih
Lobak merah lunar putih adalah jenis lobak merah yang lazim dalam pasaran. Untuk makluman pembaca, lobak merah sebenarnya mempunyai struktur warna yang pelbagai seperti lobak merah berwarna ungu, orange, putih, kuning, merah dan krimson. Berbentuk panjang tirus, silinder atau bulat. Jadi lobak merah lunar putih adalah jenis dalam keluarga carrot. Jangan keliru dengan parsnip pula, keduanya dari kumpulan yang sama tetapi berbeza spesis. Nama saintifik bagi parsnip ialah pastinaca sativus manakala lobak merah lunar putih pula ialah Daucus Carota spp. Sativus.

Berdasarkan sejarah, lobak merah berwarna banyak ditanam di Eropah sebelum terciptanya lobak merah berwarna orange (terhasil dalam makmal abad ke-14). Setelah itu, lobak merah berwarna orange mendominasi keseluruhan lobak merah di Eropah seperti mana yang kita lihat hari ini. Lobak merah berwarna ungu dan variati lobak merah berwarna kuning pula dominan tumbuh dari wilayah Afganistan hingga sempadan di negara Iran dan ianya masih boleh dilihat tumbuh meliar di wilayah itu. Lobak merah berwarna merah berasal dari india dan diperkenalkan di negara Jepun. Namun hari ini semua variati lobak merah yang ditanam dominan di negara-negara Barat hingga banyak tercipta lobak merah hibrid dan menengelamkan lobak merah hearloom itu sendiri. 


Lobak merah bulat
Lobak merah bulat banyak ditanam di negara Barat tetapi bukanlah dominan seperti mana lobak merah yang biasa kita lihat. Namun masih ada yang menanamnya secara kecil-kecilan di halaman rumah. Tanomkinotuan telah mendapatkan benih yang dibeli melalui pembelian online yang lalu dan menanamnya. Tidak sangka ia boleh tumbuh dengan baik. Kesilapan tanomkinotuan juga. Ia ditanam bersama-sama lobak merah lunar putih di mana mempunyai pokok yang besar dan tinggi sehingga menengelamkan lobak merah bulat. Pada masa akan datang, tanomkinotuan menanam secara berasingan untuk hasil yang lebih baik.

Tanomkinotuan agak keliru penggunaan istilah lobak merah dalam pos ini apabila membincangkan variati-variati lobak merah pelbagai warna. Sedangkan lobak merah yang dijual di kedai atau pasar adalah warna orange hasil ciptaan di atas meja makmal abad-abad yang lepas. Memang ada lobak merah yang sememangnya berwarna merah. Jadi istilah "Lobak merah berwarna putih" tanomkinotuan gunakan apabila membincangkan Lunar White Carrot. Harap pembaca tidak keliru pos ini yang banyak simpang siurnya. Ini belum lagi menceritakan lobak merah berwarna ungu, lobak merah berwarna merah, lobak merah berwarna kuning dan lobak merah berwarna krimson.

Lobak-lobak tersebut tanomkinotuan masak sup lobak. Dengan beberapa tambahan bahan sampingan yang lain. Tengahari ini, tanomkinotuan dan keluarga merasa sup lobak merah tanam sendiri yang lazat dan struktur rasa yang ringan (light). Apakah pembaca di luar sana ada menanam variati lobak di halaman rumah? Ceritakan pengalaman kalian tentang menanam lobak merah.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar