Tani

Sabtu, 25 Juli 2015

PANDUAN MEMOTONG POKOK ASPARAGUS DALAM POLIBAG

Setelah berjaya mendapatkan anak pokok asparagus secara online dan sampai ke tangan pada 05 Januari tahun ini, pokok asparagus tanomkinotuan kini sudah berusia hampir 7 bulan atau lebih (tidak dikira tempoh semaian). Pada mulanya pokok asparagus tersebut sangat rajin mengeluarkan tombak/tunas baru jika tanah/media tersebut lembab dan kaya nutrient. Lebih-lebih lagi setelah pokok-pokok asparagus itu dipindahkan ke polibag yang besar, lagi galak tunas bermunculan di pangkal pokoknya.

Walau bagaimanapun, semenjak dua menjak ini pokok asparagus tersebut kurang menghasilkan tunas baharu. malah terdapat pokok yang langsung tidak bertunas pun walau disiram dan dibubuh baja. keseluruhan pokoknya berwarna kekuning-kuningan seperti hidup segan tak mahu. Kedatangan pakcik tanomkinotuan melawat kebun tersebut telah melihat pokok-pokok asparagus yang tidak berapa sihat dilihat telah menyarankan kepada tanomkinotuan agar potong semua pokok asparagus yang telah tua dan tinggalkan pokok muda kira-kira dua atau tiga batang dalam satu polibag. Seterusnya gembur tanah sedalam 4 inci dan bubuh baja subur (organik).

Tanomkinotuan telah mengikuti saranan pakcik tanomkinotuan dengan mengikuti arahannya. Selang seminggu nampak hasilnya, tunas sudah mula keluar dari tanah malah semakin besar dari tunas-tunas sebelum ini. Tanomkinotuan tersenyum bangga.

Pokok asparagus berdaun
sihat

Jika anda mempunyai pokok asparagus yang mengalami masalah seperti tanomkinotuan. Ikuti langkah berikut:

1. Pertama letak polibag atau pasu berisi pokok asparagus ke tempat terkena sinaran matahari yang banyak (lebih kurang 6 jam lebih). Ini bertujuan agar pokok asparagus memperolehi sinaran matahari cukup untuk pengeluaran tunas baharu.

2. Sediakan pisau tajam dan alat pengembur seperti serampang mata atau sudip tangan. Anda juga boleh menggunakan apa-apa alat untuk tujuan mengembur media pada polibag tersebut.

3. Pastikan dan pilih pokok-pokok asparagus yang telah mati, telah tua, berpenyakit, bersaiz kecil, pokok yang diserang ulat pemakan daun, pertumbuhan terbantut dan daun pokoknya berwarna kuning.

4. Gunakan pisau tajam untuk memotong pokok-pokok asparagus tersebut. Caranya potong setiap pokok asparagus yang tidak diingini pada pangkal pokoknya. Berhati-hati agar tidak terkena akar pokok dan tangan anda. lakukan satu persatu agar semuanya selamat. Potong pokok asparagus tersebut hingga selesai.

5. Tinggalkan 1 atau hingga 3 pokok muda pada satu polibag. 

6. Dengan menggunakan alat pemgembur, gembur media kira-kira 4 inci kedalaman secara berhati-hati disekeliling pokok asparagus. Tidak mengapa jika akar rerambutnya rosak teruk, ia tidak menjejaskan sangat pada pokoknya. jangan saja akar yang besar tersebut. lakukan hingga selesai.

7. Seterusnya buat lubang sedalam 3 hingga 4 inci di sekeliling pokok asparagus secara berhati-hati dan bubuh baja subur organik atau pun kompos. Anda juga boleh menggunakan tinja ayam bagi tujuan tersebut. lalu ditimbus semula dengan tanah di tepinya. Lakukan kerja-kerja pembajaan pada polibag asparagus anda hingga selesai.

8. Siram menggunakan air yang banyak jika tanah/media tersebut kering atau sehingga air memasuki ke dalam rongga-rongga media secara keseluruhannya. anda boleh menyiramnya dua kali sehari jika musim panas dan tidak perlu ketika musim hujan.

9. Supaya tanah dalam polibag tidak cepat kering anda bolehlah meletakkan mulsa (mulch) di atas permukaan tanah polibag tersebut dengan cocopeat, peat-moss atau rumput kering.

kerja-kerja memotong (trim) pokok asparagus anda selesai. Dalam tempoh seminggu selepas ditrim, tunas baru akan keluar dengan saiznya yang besar dan cantik. lakukan kerja ini apabila pokok asparagus anda sudah tidak mengeluarkan tunas baharu. Jangan lupa bubuh baja subur organik sekurang-kurangnya 2 minggu sekali dan mengembur tanahnya sekurang-kurangnya 3 minggu sekali. Hasilnya walaupun pokok asparagus anda ditanam dalam polibag, tetapi ia masih boleh menghasilkan tombak/tunas dengan penjagaan dan pembajaan yang betul.




Gambar di atas adalah pokok asparagus tanomkinotuan yang sudah 3 bulan setelah dialihkan dalam polibag saiz besar. Kini pokok asparagus sudah tidak menghasilkan tunas baharu. daun menguning dan batang pokok tersangatlah banyak.


Sebelum diletak mulsa cocopeat


Selepas diletak mulsa cocopeat


Gambar di atas pula pokok asparagus dalam polibag yang berjaya di potong batang pokoknya. Cuma ditinggalkan beberapa pokok untuk satu polibag. barulah nampak kemas dan bersih. Tanomkinotuan sambil memangkas dan memotong batang pokok asparagus sambil membuang/mencabut rumput disekitar polibag agar nampak bersih.


Gambar tunas asparagus 1


Gambar tunas asparagus 2



Gambar tunas asparagus 3


Setelah seminggu berlalu dari tempoh pemangkasan batang pokok asparagus, kini ia mula bertunas semula. Malah terdapat pokok yang menghasilkan tunas baru hingga 3 tunas serentak. sememangnya sangat menakjubkan. Gambar tersebut hanya beberapa contoh. Pokok asparagus tanomkinotuan berjumlah 9 pokok yang di tanam dalam polibag dan semuanya kini mula bertunas dengan jayanya. Semoga dapat membantu kepada mereka diluar sana bolehlah menggunakan kaedah tersebut untuk pokok asparagus anda dan kepada mereka yang belum mempunyai pokok asparagus apa kata anda mencuba menanamnya. ia cantik ditanam di hadapan rumah dengan pokok yang rimbun dengan dedaunnya seperti jarum. Sambil menuai tombaknya ia sebagai dekorasi laman yang cukup exsotik.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar