Tani

Senin, 13 Juli 2015

PERKEMBANGAN TIMUN MINI DI KBR

Kebun Belakang Rumah tidak terhindar dari menanam jenis-jenis pokok timun yang mudah tumbuh dengan baik pada cuaca di negara kita. Antara tanaman yang sering kali ditanam di KBR pada setiap musim menanam. Pokoknya cepat membesar dan serta cepat menuai hasil, kurang penjagaan tidak seperti tanaman sayuran lain yang penting cukup baja dan kelembapan, hiduplah pokok timun tersebut dengan jayanya. Kali ini tanomkinotuan mencuba pula menanam variati timun jenis mini di mana buah timun tersebut lebih kecil berbanding dengan jenis timun cina dan timun kampung yang bersaiz agak besar dan panjang. Pokok timun mini lebih cepat membesar dan lebat berbuah. Timun mini ini juga dikenali sebagai mini five cucumber

Benih timun mini ini tanomkinotuan beli secara online tempoh hari. Tanomkinotuan semai benihnya dengan meletakkan benih timun mini pada sehelai tisu yang dilembabkan dan dimasukkan ke dalam plastik lutsinar serta disidai pada jendela dapur yang terkena haba matahari. Mengkagumkan selepas dua hari benih tersebut mula bercambah. Tanomkinotuan seterusnya mengutip benih timun mini tersebut dan ditanam pada cup plastik sehingga benar-benar kuat dan mengeluarkan daun sebenar.

Tanomkinotuan mengalihkan anak pokok timun mini tersebut ke dalam batas yang telah digemburkan terlebih dahulu serta ditabur kompos buatan sendiri dan sedikit baja organik tinja ayam.



Inilah hasil pokok timun mini yang dialihkan ke batas 2 minggu lepas. Anak pokok timun mini kini membesar dengan sihat tanpa sebarang masalah dari serangan serangga perosak mahupun kulat perosak akar. Tanomkinotuan seterusnya menaburkan baja tinja ayam disekeliling pokok dan menggemburkan tanah/batas dengan berhati-hati. Jangan merosakkan akar pokok timun tersebut.

Untuk mendapatkan pokok timun mini yang cantik haruslah dijaga kelembapan batas, baja cukup dan batas senantiasa di gembur, seminggu sekali sudah memadai untuk mudah akar pokok timun mini bergerak dalam tanah. Anda juga boleh menyiramnya dengan kompos teh dua minggu sekali diselang selikan dengan siraman baja cecair ikan buatan sendiri. 


Selepas 3 minggu lebih pokok timun mini kini sudah mula memanjat pada pancang kayu yang disediakan. Tanomkinotuan hanya menggunakan kayu-kayu panjang/junjung kitar semula yang diambil di kawasan semak di luar pagar tahun lepas. Lagi pun jenis kayu tersebut tahan lama. Jika sukar mendapatkan kayu anda boleh menggunakan tali rafia atau seumpamanya untuk memudahkan pokok timun mini tersebut memanjat ke atas.

Pokok timun mini juga sesuai ditanam dalam pasu bersaiz besar. Letakkan pasu-pasu tersebut ditepi pagar untuk memudahkannya memanjat pada pagar anda. Tidak perlu lagi memikirkan untuk mendapatkan kayu atau tali rafia. Tetapi pastikan ianya tidak menganggu ketenteraman hati rumah jiran sebelah yang boleh mengakibatkan perang mulut atau bermasam muka sepanjang hari kerana pokok timun anda menjalar ke kawasan laman rumah mereka. Jika hasil tuaian timun anda lebih bolehlah sedekahkan sebiji dua pada jiran anda. 



Tidak lama kemudian pokok timun mini di KBR sudahpun mengeluarkan bunga jantan dengan meriahnya diikuti pula dengan bunga betina yang berjuntai cantik dicelah batang pokoknya. Untuk mendapatkan pokok timun anda berbuah lebat tabur 1 sudu baja kompos kulit pisang atau baja alfalfa yang boleh dibeli di pasaran. Anda juga boleh menaburkan kulit udang yang dihancurkan terlebih dahulu ke batas kira-kira 1 sudu. 





Sangat mengujakan apabila timun mini mula menghasilkan buah kecil. gambar tersebut diambil setelah sekembalinya tanomkinotuan ke rumah. Inilah variati pokok timun yang menghasilkan buah yang banyak. Setiap batang menghasilkan kira-kira 4 hingga 6 buah.




Setelah menunggu sebulan setengah maka buah timun mini cukup sesuai untuk dituai hasilnya. Dalam gambar di atas kelihatan 6 biji buah timun mini yang cinonet dan menarik. Memang variati buah timun tersebut seperti itu. Tanomkinotuan dah tuai buah timun mini yang telah matang. Ia sebagai bahan tambahan untuk soto sinalau tambang (soto daging rusa disalai). 




Bagi pemerhatian tanomkinotuan, jika pokok timun ditanam di kawasan yang mempunyai iklim sejuk kulitnya hijau gelap tetapi oleh kerana timun mini ditanam di kawasan cuaca panas kulitnya hijau terang keputihan pula. Tapi ia tetap timun rasanya lebih enak dan ranggup.

Apa kata pembaca diluar sana mencuba menanam pokok timun mini ini di laman rumah. Tanam dalam pasu pun boleh kerana pokok timun sesuai tumbuh dalam pasu. Anda dapat menjimatkan bahan membuat resepi kegemaran menggunakan buah timun yang ditambah dalam salad, sandwich, mahupun ramuan dalam soto. Jadi apa tunggu lagi jom tanam timun mini di laman rumah.

Selamat bertani dan menuai hasil.

1 komentar:

  1. Eii ...geramnya tengok timun ni ...comel²tu ...kita pun rasa mcm nak tanam.. Boleh ke guna beneh dari buah yg dibeli dipasar untuk dimkn tu ...

    BalasHapus