Tani

Minggu, 02 Agustus 2015

GINSENG SABAH

Pada masa lalu, ada tanomkinotuan menerbitkan entry mengenai jenis-jenis ginseng di seluruh dunia yang bermanfaat dan baik untuk kesihatan manusia. Sumber alam yang sememangnya banyak manfaat kepada kita lebih-lebih lagi dari sudut kesihatan. Pokok herba Ginseng sangat sinonim dengan negara China dan Korea, tidak lupa juga dengan negara Jepun, Vietnam dan ginseng (wild sang) yang tumbuh meliar di Amerika syarikat. Sehinggakan produk gensing tumbuh di pasaran selepas hujan dengan pelbagai bentuk dan brand.

Namun tahukah anda bahawa di negara kita juga terdapat satu tumbuhan herba yang mempunyai persamaan kandungan dengan ginseng sebenar? dan menariknya di tumbuh meliar di pedalaman negeri Sabah yang jarang dijejaki oleh manusia kecuali pemburu haram. Tanomkinotuan maksudkan ialah pokok ginseng sabah.

Tidak banyak maklumat yang diperolehi mengenai pokok ginseng sabah ini. Hanya beberapa orang sahaja yang mengetahui pokok herba ini mempunyai manfaat kesihatan yang tinggi kepada manusia. Sejarah mengenai ginseng sabah masih kabur kerana tidak ada sumber yang jelas menceritakan pokok herba ini secara jelas. 

Lokasi pertumbuhan ialah di kawasan pedalaman Sabah iaitu daerah Nabawan, Sabah menganjur ke Kalabakan, Tawau hingga sebahagian di Kalimantan Indonesia yang bersempadan dengan Sabah.  

Nama sebenar pokok ini tidak diketahui malah pengamal pokok herba ini juga tidak mengetahui sebenar namanya walaupun dalam bahasa ibunda sendiri, ada yang mengelarnya 'gising' yang sudah tentu terbit dari perkataan 'ginseng' itu sendiri. Juga belum ada rujukan untuk nama saintifiknya.

Kaum Murut di Sabah tahu menggunakan pokok ini sebagai ubatan tradisional, tanomkinotuan tidak mendengar penggunaan pokok herba ini dari kaum-kaum lain di Sabah seperti Kadazan & Dusun, Bajau, Melayu Brunei dan sebagainya (hanya menyebut beberapa kaum). Jika ada kaum di Sabah tahu akan pokok ini maklumkan kepada tanomkinotuan dengan membuat komen di bawah. Sharing is caring kata orang.

Manfaat kepada manusia ialah untuk menambah keupayaan seks bagi kaum lelaki, meningkatkan tenaga dan mengurangkan keletihan pada tubuh badan. Ia dapat meningkatkan kesihatan secara menyeluruh.




Ciri-ciri pokok ginseng sabah ialah ketinggiannya mencecah 1 meter atau lebih. Kadang-kadang boleh mencecah 3 meter mengikut usia. Berbatang sederhana keras dan tidak bercabang kecuali pokoknya patah dan tidak berdahan. Daunnya berwarna hijau, lebar loncong serta lembut dan licin tidak kasar. Ia mengambil masa untuk membesar. 

Tumbuh di kawasan tanah tinggi (hutan hujan tropika) kawasan lembah yang kaya dengan organan, kawasan tanah lembab dan banyak humus.




Inilah rupa daun ginseng sabah yang mempunyai urat selari berbentuk loncong panjang dan daunnya licin di permukaan.



Contoh akar pokok herba ginseng sabah yang telahpun dipotong dari batangnya. Akarnya berwarna kekuningan apabila tanah yang melekat dibersihkan.



Kulit akarnya agak tebal, lembut seperti lobak manakala batang dalamnya agak sederhana keras. Kulit akar ginseng sabah mempunyai rasa pahit manis yang sederhana. 




Dalam proses pengeringan kulit luaran akar ginseng sabah perlahan-lahan mengecut. Ia mengambil masa untuk dikeringkan kerana ketebalan kulitnya.



Beginilah rupa ginseng sabah apabila sudah kering. Ia mengambil masa untuk kering kira-kira 2 minggu lebih. Tetapi tanomkinotuan keringkannya di dalam rumah dan bukan di bawah sinaran matahari. Mungkin ia cepat kering jika dibawah cahaya matahari. 

Cara penggunaannya ialah ambil 1 atau 2 inci dan rebus menggunakan 5 cawan air. rebus hingga airnya menjadi 2 cawan. Minum air sehari satu gelas. Pastikan anda mendapat nasihat dari mereka yang pakar bagi mengelak dari masalah yang tidak diingini. Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa masalah berlaku kepada pembaca dengan menggunakan informasi di atas. 

Khazanah alam ini harus dipelihara dan yang paling penting ialah kajian secara mendalam akan pokok herba ini harus dilakukan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh yang memerlukan. Dengan adanya kajian tersebut maka pokok ini dapat dikomersilkan secara meluas seperti pokok herba ginseng jenis Panax ginseng di China. Lagi pula kawasan pertumbuhan pokok herba ginseng sabah ini tidak lama lagi akan musnah disebabkan proses penanaman pokok kelapa sawit secara besar-besaran di kawasan tersebut.

Selamat bertani dan menuai hasil.

2 komentar:

  1. berapa harga sekilo gengsenag sabah

    BalasHapus
    Balasan
    1. Ada yang mengatakan harganya rm250 sekilo sebab susah mendepatkan pencarian genseng tersebut..saya ada jika tuan/puan mahu

      Hapus