Tani

Minggu, 15 Maret 2015

CARA DAN PANDUAN MENANAM LOBAK MERAH DALAM BESEN TERBUANG

Tahukah anda bahawa selain menanam lobak merah pada batas, lobak merah dalam polibag, pasu besar dan baldi, besen besar terbuang juga boleh digunakan untuk menanam sayuran khususnya lobak merah di halaman rumah dengan kos zero. Jangan buang bekas besen di rumah anda kerana ia berbaloi untuk lobak merah tumbuh dengan baik. Ia sangat praktikal di mana bekas ini boleh dialihkan di kawasan yang anda sukai. Berikut adalah cara dan panduan menanam lobak merah pada besen skala besar yang tidak lagi berguna untuk menyimpan kain anda di rumah.

Pertama sekali sekiranya anda ingin menanam lobak dengan cara berbeza dari kelazimannya, anda harus mencari besen skala besar yang tidak digunakan lagi. Anda juga boleh menggunakan apa-apa bekas yang difikirkan sesuai jika besen terbuang sukar diperolehi. 

Dapatkan benih lobak merah dengan datang sendiri ke kedai-kedai pertanian yang ada menjualnya. Beli lobak merah variati Chantenay atau Nantes. Kedua variati ini sesuai ditanam dalam bekas seperti besen dan elakkan menanam lobak merah variati Imperator kerana lobaknya sangat panjang berbanding variati lain dan memerlukan kedalaman tanah yang cukup untuk tumbuh dan membesar dengan baik. Kecuali besen anda mempunyai tinggi melebihi 2 kaki setengah. Anda juga boleh mencuba menanam benih lobak merah mini/bulat (mini carrot variaties) seperti 'lobak merah mini romeo'.

Untuk mempercepatkan percambahan benih lobak merah anda, tips berikut boleh membantu. Sediakan kertas tisu, tabur sedikit benih lobak di atas tisu tadi dan libat menjadi empat segi. Lembabkan dengan air dengan mencelupkan jari telunjuk anda pada air tersebut dan basahkan tisu berisi benih lobak merah dengan menekapkan jari telunjuk anda pada tisu tersebut. Ulang aktiviti ini hingga tisu bertukar menjadi lembab dan diingatkan tisu jangan terlalu basah/lebihan air. Masukkan tisu tersebut ke dalam plastik mini berzip dan tutup zip tersebut dengan rapat. Simpan plastik mini anda itu ke dalam peti sejuk selama 5 hingga 7 hari. Selepas genap 7 hari, anda sudah boleh mengalihkan benih lobak merah tersebut pada besen anda.

Lobak merah sesuai tumbuh pada tanah jenis peroi dan sedikit berpasir. Anda boleh menggunakan media campuran 2:1:1 di mana 2 bahagian tanah hitam/lom/kebun, 1 bahagian pasir sungai dan 1 bahagian kompos. Gaul kesemua media tersebut dan masukkan ke dalam besen anda hingga penuh. Anda juga boleh menggunakan tanah hitam yang dijual di nusery pada harga RM5 hingga RM7 untuk 1 bag. Anda memerlukan 4 hingga 5 bag untuk memenuhkan tanah pada besen anda.

Buat alur secara membulat sedalam 2 inci dalam dengan jarak alur ialah 5 inci. Anda boleh membuat alur sehingga 3 hingga 4 alur secara membulat di atas besen anda tetapi jumlah alur yang terhasil juga berdasarkan kepada saiz besen anda. Tabur benih lobak merah yang dicambahkan dalam peti sejuk dengan berhati-hati  kerana benih tersebut melekat antara satu sama lain pada tisu. Timbus alur tersebut pada tanah nipis dan siram dengan air secukupnya.

Percambahan benih lobak merah hanya menngambil masa 5 hingga 7 hari. Siram lobak merah anda 2 kali sehari ketika musim panas dan tidak perlu ketika hujan. Cabut rumput rumpai yang tumbuh di sekeliling anak pokok lobak merah anda. Tips untuk mendapatkan lobak besar dan sihat ialah jangan melebihi menabur baja subur pada lobak anda. Ini kerana hanya daunnya sahaja merimbun tetapi isi lobak ketot. Seeloknya tabur kompos asli pada lobak merah anda dan elakkan menggunakan baja bernitrogen tinggi.

Lobak merah anda sudah boleh dituai selepas 60 hari hingga 90 hari mengikut variati. Cabut lobak merah anda dengan mencabutnya ke atas atau mengorek tanah terlebih dahulu untuk mengurangkan kepadatan tanah. Bersihkan lobak tersebut dan masak mengikut resepi sendiri. Rasa dan struktur lobak merah tanam sendiri sedikit manis. Nikmati lobak merah tanam sendiri bersama ahli keluarga tersayang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Jumat, 13 Maret 2015

PANDUAN RINGKAS MENANAM TERUNG UNGU

Terung atau nama saintifiknya dikenali sebagai Solanum melongena ini merupakan sayuran buah yang dipercayai berasal dari negara Sri Langka dan India. Pokok terung dikelompokkan dalam keluarga Solanaceae dalam genus Solanum termasuklah kentang, ranti @ tutan, terung liar @ terung pipit dan sebagainya. Kini pokok terung ditanam diseluruh dunia termasuklah negara kita dengan pelbagai variati. Buah terung mempunyai bermacam warna seperti ungu, hijau keputihan, ungu gelap, hijau berbelang ungu dan lain-lain. Istilah seperti eggplant, aubergine, brinjal, melongine, garden egg dan guinea squash adalah merujuk kepada satu entiti yang sama iaitu terung. Bintorung atau kiou pula istilah oleh penduduk pedalaman di Sabah bagi merujuk kepada terung.

Berikut panduan secara ringkas menanam pokok terung langsung pada tanah. Pertama sekali dapatkan benih terung di kedai berhampiran yang ada menjualnya. Pastikan benih terung tersebut masih elok dan tidak rosak serta tarikh luput masih sempurna. Anda juga boleh mendapatkan benih terung daripada buah terung yang telah matang/tua. Caranya belah terung yang matang dan asingkan benihnya serta keringkan di bawah sinaran matahari atau biarkan terdedah dengan haba di kawasan terlindung dan selamat. Anda juga boleh menggunakan kaedah tradisional dengan membelah 4 secara memanjang dari hujung buah hingga ke pangkal tangkai buah terung. Tetapi tidak dibelah secara terpisah. Sangkutkan buah terung yang matang/tua di tempat yang selamat dan masih terkena haba bagi membolehkannya kering secara perlahan-lahan. Sesudah kering bolehlah terus menyemai bersama benih dan buah yang kering itu, tidak perlu diasingkan Benih dan buah yang telah kering.

Jika anda sudah memiliki benih terung maka langkah seterusnya ialah dengan menyemainya. Semai benih terung terlebih dahulu dalam syorofoam cup dengan mengisi media semaian pada setiap cup padanya. Buat lubang sedalam 1 1/2 inci dan masukkan 2 hingga 3 biji benih dalam cup syorofoam tersebut. Timbus lubang dengan tanah ditepinya lalu siram dengan air yang banyak. Letakkan syorofoam tersebut di tempat terkena cahaya matahari dan pastikan media senantiasa lembab hinggalah benih terung bercambah.

Anda juga boleh menggunakan bekas-bekas terbuang sebagai semaian seperti pasu, kontena ais krim, tupperware terbuang, cup aiskrim dan bekas yang difikirkan sesuai. Antara bahan media yang boleh anda cuba untuk menyemai benih terung ialah:

1. Media campuran dengan nisbah 2:1:1 di mana 2 bahagian untuk tanah hitam/lom, 1 bahagian untuk pasir sungai dan 1 bahagian untuk kompos. Penjelasannya ialah anda boleh menggunakan apa-apa bekas untuk menyukatnya seperti gelas atau tin kecil. Maksudnya nisbah 2:1:1 ini mewakili masing-masing dengan 2 gelas tanah lom/hitam. 1 gelas pasir sungai dan 1 gelas kompos. Gaulkan ketiga-tiga campuran tersebut dan anda boleh menggunakannya.

2. Tanah kebun yang dicampurkan dengan kompos.

3. Cocopeat/sabut kelapa yang digiling halus yang dicampurkan dengan kompos dan sedikit pasir.

4. Peat-moss atau lumut gambut yang boleh dibeli di kedai.

5. Topsoil atau tanah atas yang bokeh dibeli di kedai.

Terpulang pada anda mana yang disukai dan masukkan media tersebut ke dalam bekas semaian dan tabur benih terung di atasnya. Tutup benih terung tersebut dengan tanah nipis di atas lalu siram dengan air secukupnya. Simpan ditempat terkena sinaran matahari untuk proses percambahan.

Untuk kualiti tanah, anda harus melakukan sedikit kerja dengan membuat pengemburan dan batas tanah untuk menanam pokok terung. Dengan menggunakan cangkul, korek tanah sedalam 1 kaki dengan saiz batas 2 X 6 kaki persegi atau mengikut kemahuan sendiri. Gemburkan tanah hingga menjadi serpihan-serpihan kecil. Buang segala bendasing yang tertanam di dalam tanah seperti akar kayu, rumput kering, daun kering, tile, semen, paku, papan reput, potongan besi dan sebagainya. Tujuan pengemburan tanah ialah untuk pengudaraan dan saliran menjadi lebih baik supaya akar mudah bergerak dalam tanah.

Selepas pengemburan, tambah kompos pada tanah dengan 4 genggam kompos untuk 1 kaki persegi. Anda juga boleh mengantikan tinja binatang seperti tinja ayam, tinja lembu, guano terproses (tinja kelawar) dan arnab. Untuk makluman, untuk pokok terung jangan terlalu banyak meletakkan baja pada batas, kandungan baja yang tinggi pada batas anda hanya menyuburkan daun pokok terung tetapi kurang buah. Tabur kapur pertanian jika tanah anda didapati sangat berasid. Beli penyukat PH tanah di kedai berhampiran untuk menentukan tahap PH tanah anda. Dedahkan tanah anda pada sinaran matahari selama 1 minggu atau 2 minggu untuk mematikan mikrob jahat dalam tanah.

Selepas 2 minggu atau 3 minggu, benih terung anda sudah boleh dialihkan ke batas. Siram anak benih pokok terung terlebih dahulu untuk mudah dicabut. Buat lubang sedalam 2 hingga 3 inci dalam dengan jarak lubang adalah kira-kira 3 kaki antara lubang. Cabut anak benih terung secara berhati-hati dan tanam sepokok untuk 1 lubang. Padatkan tanah disekeliling anak pokok agar anak benih pokok terung anda tidak tumbang jika dilakukan penyiraman. Lakukan penanaman anak pokok terung anda hingga selesai. Siram dengan air secukupnya dan letakkan jaring hitam sebagai teduhan untuk mengelak daripada layu dan seterusnya mati. Cara membuat teduhan ialah pancangkan kayu pada tepi batas secara sebelah menyebelah supaya jaring hitam dapat diletakkan di atasnya secara sempurna.

Pembajaan boleh dilakukan selepas 2 minggu anak pokok dialihkan di atas batas. Tabur baja di setiap pokok terung dengan anggaran 3 sudu besar. Lakukan pembajaan 2 minggu sekali dan boleh diselangselikan dengan baja cecair organik seperti kompos teh atau baja cecair ikan. Buang rumput pada batas dan sekitarnya. Tambah sungkupan atau mulsa (mulch) di atas batas untuk kelembapan tanah dan mengurangkan rumput rumpai tumbuh pada batas anda. Antara mulsa yang boleh anda lakukan ialah cocopeat, daun kering, rumput kering, jerami, dan lalang kering.

Buah terung sudah boleh dituai selepas 1 bulan setengah hingga 2 bulan. Petik buah terung yang matang dengan melihat kulit buahnya yang berkilat. Buah terung sangat sedap dimasak kari atau dimasak sambal terung masak merah. Nikmati buah terung hasil tanam sendiri yang organik dan bebas bahan kimia.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Minggu, 08 Maret 2015

TINONSOK TAKANO MAKANAN TRADISI YANG LAZAT

Tinonsok takano atau juga dipanggil tinonsok kasou (literasi maksud adalah nasi tumbuk atau keledek tumbuk) ini sangat popular di kalangan suku Kadazandusun di Sabah. Entry kali ini berbeza sedikit dengan pos sebelum-sebelum ini disebabkan belum ada benda yang hendak diceritakan mengenai sayur-sayuran di KBR atau KG. Tanomkinotuan ingin berkongsi satu lagi makanan yang tradisi yang semakin dilupakan oleh generasi masa kini.

Sejarah tinonsok takano atau tinonsok kasau ini adalah dibuat untuk menambah jumlah nasi untuk dimakan seisi keluarga. Zaman dahulu, penanaman padi khususnya padi bukit adalah untuk dikumpulkan dan diguna semasa Pesta Kaamatan. Ruji makanan harian pula adalah hanya memakan antaranya ubi kayu, ubi manis, garut/walangan/ubi bemban, ubi burut dan sebagainya. Padi yang berjaya dituai akan disimpan di tempat khusus yang dikenali sebagai torutip dalam bahagian sulap (pondok yang didirikan di kebun). Menjelang Pesta Kaamatan padi-padi ini dijemur dan ditumbuk untuk membuat tapai, kuih muih dan segala jenis hidangan untuk meraihkan tetamu-tetamu yang hadir untuk meraihkan pesta tersebut. Sebab itu budaya membuat tinonsok takano ini dibuat semata-mata untuk menjimatkan beras untuk kegunaan pada pesta kebesaran komuniti tersebut. Lazimnya tinonsok takano dibuat untuk dibawa sebagai bekalan (kokorui) ke kebun (dumo).

Lagi pula zaman dahulu mana hendak dapatkan kontena, tupperware untuk menyimpan makanan ini khususnya nasi. Jadi daun pokok yang ada disekelilinglah untuk tujuan tersebut.

Tinonsok takano adalah campuran ubi manis dan beras yang di masak bersama dalam satu bekas. Selepas ianya masak, ia perlu ditumbuk menggunakan alat khas untuk menyebatikan dua bahan tersebut hingga bercampur semuanya. Tempoh menumbuk nasi harus dilakukan ketika ianya masih panas agar mudah untuk mencampurkan bahan-bahan tersebut. Selepas selesai menumbuk nasi tersebut ia harus dibalut dalam daun sesuai. Daun seperti daun pokok wonihan, daun pokok toitap, daun pokok gayo luba, daun pokok kiwit, daun pokok doringin, daun pokok rombiyung, daun pokok kobu (famili dalam pokok bemban),  dan sebagainya. Tetapi daun pokok wonihanlah yang paling bagus kerana mengeluarkan wangi yang sedap. Pic nenek di atas adalah rujukan tanomkinotuan bagi mendapatkan nama-nama daun yang lazim digunakan untuk membalut tinonsok takano. Terima kasih kepada nenek tersebut bertungkus lumus membantu tanomkinotuan mendapatkan sumber yang dikehendaki. Nenek ini berasal dari Kampung Kapayan, Apin-apin Keningau dan dia tidak tahu pun yang dirinya dimasukkan dalam blog.

Di kampung tanomkinotuan ada majlis kesyukuran bagi budak-budak kampung yang ingin kembali ke sekolah, jadi setiap rumah harus menyediakan juadah mereka sendiri untuk dibawa ke dewan. Emak tanomkinotuan telah membuat tinonsok takano yang dibalut dengan daun pokok wonihan. Emak tanomkinotuan juga telah memasak resepi sayur campur losun yang popular. Memang betul-betul masakan tradisi. Emak tanomkinotuan telah menyediakan 70 ketul tinonsok dan semuanya habis licin. Ini bermakna di kampung tanomkinotuan masakan tradisi masih disukai oleh penduduk kampung.

Kini tradisi makanan ini semakin terpinggir oleh masakan modern dan makanan Barat. Fungsi tinonsok takano pada hari ini bukan lagi khas untuk dijadikan bekalan makanan yang dibawa ke kebun tetapi ia dihidangkan pada majlis-majlis seperti perkahwinan, berkhatan, aktiviti gotong royong dan sebagainya. Selalunya tinonsok takano ini dimakan bersama sayur campur losun atau ikan goreng, memang sedap. Rasanya sedikit manis kerana manis dari ubi manis tersebut tetapi manisnya tidaklah mempengaruhi pemakanan anda. Rasanya seimbang apabila dimakan dengan sampingan yang lain. Kadang-kadang ada juga mereka yang membuat tinonsok takano dengan ubi kayu. Umumnya tinonsok kasou hampir sama dengan nasi impit dari budaya Melayu di mana ianya boleh di potong secara empat segi apabila dihidangkan kepada tetamu.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Jumat, 06 Maret 2015

CARA DAN PANDUAN MENANAM TOMATO CERI

Tomato ceri mudah dibeli di pasaraya atau di pasar siang/sunday market di sekitar sabah. Datang saja ke tamu-tamu pada tarikh yang ditetapkan anda boleh mendapatkan tomato ini. Tomato ceri adalah variati yang tergolong dalam variati tomato beafsteak mini (miniture tomato) yang lembut dan mempunyai rasa manis berbanding tomato-tomato lain yang ada dijual di pasaran. Tomato ceri sesuai dicampur dalam masakan sup berasaskan ayam atau daging juga sesuai dicampurkan dalam sambal yang menggunakan tomato sebagai bahannya. Berikut adalah cara dan panduan menanam tomato pada batas/tanah.

PEMILIHAN BENIH TOMATO CERI

Pembaca yang ingin menanam tomato ceri perlu mendapatkan benihnya terlebih dahulu. Benih tomato ceri boleh dibeli dikedai pertanian, nusery atau kedai hardware berhampiran. Anda boleh mendapatkan harga RM1 atau RM2 satu pek sekiranya bijak memilih tempat membeli. Pastikan benih tersebut masih elok, cantik dan paling penting lihat tarikh luput terlebih dahulu. Selain itu, anda boleh mendapatkan benih tomato ceri dari buahnya yang dibeli di pasar atau pasaraya. Caranya adalah asingkan 2 hingga 3 biji tomato ceri sebagai bahan benih. Belah buah tomato ceri dan keluarkan biji-bijinya ke dalam bekas yang bersih. Tambahkan air ke dalam bekas yang berisi biji tomato dan kacau seketika. Ambil penapis dan tapis air dan biji tomato untuk mengasingkan sisa dan biji tersebut. Selepas itu letak pada bekas seperti pinggan dengan meratakan biji tomato di atasnya agar tidak bertindih antara satu sama lain. Jemur biji tomato tersebut selama 3 hari atau sehingga biji-biji tersebut kering, kopek biji tomato dan masukkan ke dalam botol kedap udara. Simpan ditempat suhu bilik.

PENYEMAIAN BENIH TOMATO CERI

Seeloknya semai terlebih dahulu benih tomato ceri anda pada bekas semaian yang sesuai. Antara bekas buangan yang boleh digunakan untuk menyemai ialah kontena, tupperware, cup aiskrim, botol mineral 1.5 L yang dipotong, dan bekas yang difikirkan sesuai. Ambil tanah kompos yang dibeli di kedai, masukkan ke dalam bekas semaian hingga penuh. Tabur benih tomato ceri dan timbus sedikit tanah lalu siram. Pastikan media semaian tidak terlalu kering dan juga tidak terlalu basah. Media semaian harus lembab senantiasa untuk memudahkan percambahan benih tomato ceri. Simpan ditempat teduh tetapi masih boleh terkena haba matahari. Berhati-hati dengan semut, semut menyukai media semaian anda kerana sesuai untuknya membuat sarang. Secara tidak langsung, ia boleh merosakkan benih tomato anda. Tunggu sehingga 2 minggu atau 3 minggu barulah dialihkan ke batas.

PEMILIHAN LOKASI PENANAMAN

Menanam pokok tomato ceri memerlukan cahaya matahari penuh sekurang-kurangnya melebihi 6 jam. Maka itu, anda harus memilih kawasan atau tempat di halaman rumah anda yang sesuai untuk menanam tomato ceri ini. Contohnya kawasan belakang rumah, depan rumah atau ditepi pagar. Jangan pilih kawasan menanam yang ada pokok besar atau pokok buah-buahan. Ini kerana pertumbuhan pokok tomato terbantut apabila ditanam berhampiran dengan pokok besar. Pastikan juga kawasan yang dipilih untuk menanam pokok tomato ceri tidak ditakungi air ketika hujan.

PEMBAJAKAN ATAU PEMBUATAN BATAS

Di kawasan perumahan biasanya tanah agak keras, padat dan kering. Tanah sebegini harus dikorek dan digemburkan terlebih dahulu dengan mengunakan alatan sesuai seperti cangkul, jangan mengembur tanah dalam keadaan basah khususnya tanah jenis tanah liat. Ini hanya menjadikan tanah tersebut menjadi keras dan padat apabila telah kering. Gembur tanah sehingga menjadi serpihan-serpihan kecil. Anda disarankan untuk membuat batas memanjang dengan saiz 2X5 atau mengikut ruang halaman rumah anda. Tujuan pengemburan tanah ialah agar pengudaraan dalam tanah menjadi baik dan saliran air boleh meresap sehingga ke dalam tanah. 

PENAMBAHAN BAJA ORGANIK, KOMPOS DAN SERBUK KAPUR PERTANIAN

Untuk meningkatkan kualiti tanah/batas anda, maka harus ditabur dengan kompos atau baja organik seperti tinja ayam reput, guano (tinja kelawar terproses), tinja lembu dan tinja kuda. Anda juga boleh menggunakan baja organik terproses yang mudah dibeli dari kedai pertanian berhampiran. Tabur 3 genggam baja organik pada batas anda dan gaul hingga sebati. Jika tanah anda terlalu berasid maka tambah serbuk kapur untuk mengurangkan tahap keasidan tanah. Anda boleh menentukan tahap PH tanah anda dengan membeli alat penyukat PH tanah di kedai hardware atau kedai pertanian. Serbuk kapur pertanian tidak perlu ditabur pada batas anda jika nilai PH tanah tersebut dalam lingkungan 6.0 hingga 7.0 (tanah neutral). Anda juga boleh menambah garam gypsum ke atas batas untuk mengurangkan kepadatan tanah anda. dedahkan dan rehatkan batas anda sehingga 1 atau 2 minggu untuk mematikan mikrob jahat yang ada dalam tanah anda. Sinaran matahari terik berfungsi untuk tujuan di atas.

PENGALIHAN DAN PENANAMAN ANAK BENIH

Setelah genap 2 atau 3 minggu, maka anak benih tomato ceri sudah boleh dialihkan. Buat lubang sedalam 2 inci dengan jarak 2 kaki setengah antara lubang. Siram terlebih dahulu dan cabut anak pokok tomato ceri dengan berhati-hati lalu tanam anak pokok tomato and pada batas yang disediakan lalu timbus dengan tanah dan padat-padatkan tanah disekeliling pokok anak tomato ceri supaya tidak tumbang jika disiram. Selepas ditanam, siram dengan air secujupnya.

TEDUHAN ANAK POKOK TOMATO CERI

Anak pokok tomato ceri sensitif dengan cahaya matahari terik lebih-lebih lagi kepada anak pokok yang baru dialihkan ke batas. Oleh itu, letakkan teduhan jaring hitam pada batas tersebut selama seminggu untuk anak pokok tomato ceri benar-benar kuat bagi sinaran matahari. Teduhan jaring hitam juga bertujuan agar anak pokok tomato ceri tidak mati dalam tempoh pengalihan. Anda boleh menggunakan apa-apa teduhan yang difikirkan sesuai.

PEMBAJAAN TANAMAN

Selepas 2 minggu dialihkan ke batas, anda sudah boleh menaburkan baja NPK organik 5:5:5 di sekeliling batang pokok. Tabur 2 sudu besar bagi setiap pokok. Pembajaan boleh dilakukan selang 2 minggu Akan datang. Untuk mendapatkan hasil yang baik, anda boleh menyiram anak pokok tomato ceri dengan kompos teh atau baja cecair ikan (fish emulsion fertilizer) selang 2 minggu. Anda boleh selang-selikan dengan baja NPK organik. Jika terdapat kulit telur di rumah anda, jangan dibuang tetapi kumpul sehingga banyak dan tumbuk kulit telur tersebut hingga hancur dan tabur disekeliling anak pokok tomato anda. Kulit telur kaya dengan kalsium untuk pembaikan tanah dan tumbuhbesaran pokok tomato. Sekiranya pokok tomato ceri anda sudah mula berbunga dan berbuah gandakan jumlah baja yang ditabur pada batas tersebut. Pada tempoh ini, pokok tomato memerlukan kelembapan tanah, oleh itu penyiraman harus konsisten sehinggalah pokok tomato ceri menghasilkan buah.

PENYIRAMAN DAN PENJAGAAN

Penyiraman adalah rutin yang perlu dilakukan oleh anda untuk pokok tomato ceri itu tumbuh dengan baik. Lakukan penyiraman 2 kali sehari (pagi dan petang) ketika musim panas dan tidak perlu ketika hujan. Buang segala rumput rumpai pada batas agar persaingan mendapatkan nutrient tidak berlaku. Pengemburan batas juga harus dilakukan 3 minggu sekali agar tanah tidak menjadi keras dan memudahkan agar menyerap makanan dengan baik. Gembur dan siram. Berhati-hati jika melakukan aktiviti mengembur. Jangan mencederakan akar pokok tomato ceri anda.

PENUAIAN HASIL TOMATO CERI

Genap 3 bulan setengah, anda sudah boleh menuai hasil buah pokok tomato ceri anda. Petik buah masak pada tangkainya yang lembut secara berhati-hati. Pokok tomato ceri boleh membekalkan buahnya sehingga 3 bulan sekiranya dijaga dengan betul. Anda bolehlah menikmati buah tomato ceri tanam sendiri dengan resepi masakan pilihan anda. Peribahasa "Berbudi pada pada tanah" sangat sinonim kepada yang suka bertani di halaman rumah dan mereka-mereka inilah yang sangat-sangat memahami akan peribahasa di atas kerana pernah mengalami sendiri. 

Selamat bertani dan menuai hasil. 

Sabtu, 28 Februari 2015

3 Tanaman ini Manjur Menurunkan Gula Darah

Kabar gembira bagi para penderita kelebihan kadar gula dalam darah, karena ternyata di sekitar kita banyak sekali tumbuhan yang bisa dimanfaatkan untuk bisa menurunkan kadar gula dalam darah penderitanya, seperti yang saya kutip dari bebeja.com berikut, ternyata biji gambas atau oyong dapat menurunkan kadar gula dalam darah...

Periset Dr I Ketut Adnyana dari Sekolah Farmasi
Institut Teknologi Bandung membuktikan biji oyong memang mampu menurunkan kadar gula darah. Doktor Farmakologi alumnus Universitas Toyama, Jepang itu menguji ekstrak biji oyong memakai mencit. Kesimpulannya konsumsi ekstrak biji gambas atau oyong sebanyak 10,8 mg/kg hingga 21,6 mg/kg bobot tubuh setiap hari mampu menurunkan kadar gula darah secara siginifikan.


Dosis itu telah diuji toksisitasnya dan dinyatakan aman. Pada uji itu tidak dijumpai gejala kerusakan di hati, pankreas, limpa, jantung, otak, dan paru-paru. Kabar itu jelas mempertegas bahwa kebiasaan mengkonsumsi biji gambas atau oyong untuk menurunkan kadar gula darah sudah terbukti secara ilmiah, meski tetap perlu uji klinis pada manusia. Biji oyong mengandung senyawa cucurbitasin yang dalam beragam riset terbukti sebagai antidiabetes.

Sayuran lain berkhasiat menurunkan kadar gula darah adalah kemanggi. Periset dari institusi sama seperti Adnyana, Dr Siti Anfaliah, Prof Dr Andreanus A Soemardji DEA, dan Dr Irda Fidrianny MSi membuktikan /Ocimum americanum/ itu memiliki aktivitas antidiabetes tinggi. Fraksi air kemangi sebanyak 500 mg/kg bobot tubuh mampu menurunkan kadar gula darah mencit sebesar 39,9%, 42,5%, dan 41,4% pada hari ke-6, 9, dan 12. Sebab itu wajar bila banyak penderita kencing manis rajin mengkonsumsi air rebusan daun kemangi untuk menurunkan kadar gula darahnya.

trio-maut1Tanaman lainnya daun sirih merah. Safithri SSi MSi dari FMIPA IPB membuktikan ekstrak daun sirih merah /Piper crocatum/ juga mampu menurunkan kadar gula darah. Ekstrak yang dibuat memakai 200 g sirih merah dengan 1 l air yang direbus hingga hanya tersisa 100 ml itu dengan
dosis 20 g/kg bobot tubuh mampu menurunkan kadar gula darah mencit sebanyak 34,3%.

Penurunan itu lebih besar dibanding konsumsi obat antidiabetes, daonil sebanyak 3,22 mg/kg yang menurunkan kadar gula sebesar 27%. Uji toksisitas ekstrak sirih merah yang mengandung alkaloid, saponin, tanin, dan flavonoid itu dinyatakan aman dikonsumsi.

POKOK TUHAU: MAKANAN MEMBUKA SELERA YANG EXCOTIK

Siapa tidak mengenali pokok tuhau yang menjadi sebahagian makanan oleh komuniti tertentu di Sabah. Pokok tuhau atau nama saintifiknya ialah E. Coccinea ini merupakan pokok herba berbantang lembut yang tumbuh banyak di negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Kalimantan (Sabah & Sarawak, Malaysia dan bahagian wilayah Indonesia) serta Brunei. Bagi kaum Iban tuhau dipanggil upek kecala dan orang kedah memanggilnya pokok tepus/pokok tepus kesing. Anak mudahnya dicabut untuk mendapatkan umbut mudahnya. Ia perlu dikupas/dikopek hingga umbut muda kelihatan. Umbut muda ini dimakan sebagai ulam, sambal atau jeruk. Umbut mudah ini juga boleh dimasak tumis bersama sayuran terpilih lain atau dicampurkan dalam resepi masakan berasaskan ayam. Namun tuhau bersinonim dengan jeruk atau sambal sebagai pembangkit selera makan.

Pada dua minggu lepas tanomkinotuan dengan kawan tanomkinotuan ada singgah di tepi jalan raya untuk mencabut sendiri anak tuhau yang banyak tumbuh meliar di tempat itu. Sepanjang jalan adalah ditumbuhi dengan pokok tuhau, pokok bunga kantan (topu atau tompu) dan pokok tomborua. 3 jenis pokok ini mendominasi kawasan hutan di sini yang masih tidak terusik oleh arus pembangunan khususnya dalam bidang pertanian dan perladangan. Namun kita tidak tahu akan datang, bidang perladangan dan pertanian khususnya ladang kelapa sawit senantiasa mengintai dan melihat peluang. Dengan semangat membara, tanomkinotuan dan rakan-rakan tanomkinotuan meredah semak samun untuk mencabut anak pokok tuhau yang hanya 2 hingga 3 kaki tinggi. Untuk makluman kepada pembaca, jika anda inginkan umbut tuhau berwarna merah, cabut anak pokok tuhau yang masih kecil kira-kira 2 hingga 3 kaki tinggi, jika anda mencabut anak pokok tuhau yang sudah melebihi 3 kaki, umbutnya sudah berwarna putih. Merah atau putih tidak ada perbezaan ketara cumanya semasa di jeruk atau dibuat sambal warna ini memainkan peranan untuk membangkitkan selera apabila umbut tuhau tersebut digaul dengan bahan-bahan tertentu.  

Agak banyak jugalah kami ambil cukup bekalan untuyk sebulan rasanya, bila tanomkinotuan jongak-jongak tentang harganya boleh mencecah RM10 apabila ia sudah di kopek. Sahabat tanomkinotuan yang memang hantu pemakan tuhau mencecah harga RM25. Memang dia sangat suka memakan tuhau sehinggakan resepi ayam, ikan dan daging pun mesti ada tuhau. Dari beliaulah tanomkinotuan belajar membuat serbuk/pupuk tuhau, pes tuhau dan tuhau flakes untuk dicampurkan ke dalam masakan ayam atau daging. Satu benda baharu bagi tanomkinotuan yang hanya tahu membuat sambal atau jeruk tuhau juga hanya hiris umbut tuhau dan dicampur dalam masakan ayam tumis atau daging. Harap ada pembaca diluar sana yang ingin membuat bisnes kecil-kecilan membuat serbuk tuhau, pes tuhau dan tuhau flakes sebagai satu rempah ratus dalam masakan orang-orang tempatan Sabah.

Di rumah tanomkinotuan mengopek kulit kerasnya dan mengalihkan umbut muda anak tuhau ke dalam satu bekas. Bila selesai semuanya tanomkinotuan membuat jeruk tuhau satu balang dan sambal tuhau satu balang. Selebihnya tanomkinotuan membuat pes tuhau untuk dimasak ayam masak tuhau pada sebelah petangnya. Cara membuat pes tuhau ialah ambil umbut mudanya dan blender hingga hancur, untuk lebih tahan lama campurkan garam dan cuka sedikit dan masukkan dalam botol kedap udara dan disimpan dalam peti sejuk. 

Berikut adalah jeruk tuhau versi tanomkinotuan:

1. satu ikat umbut tuhau/umbut tepus/umbut upek kecala

2. sepuluh hingga lima belas biji cili burung/cili padi

3. lima biji limau nipis/ limau kasturi

4. 10 helai daun basil/kemangi

5. 4 helai daun pudina

6. 1/2 potongan daun bawang losun, potong 1/2 inci

7. garam secukupnya


Cara membuatnya:

1. Bersihkan umbut tuhau dan tumbuk hingga hancur.


2. Masukkan tuhau ke dalam mangkuk besar dan bubuh limau nipis, garam, daun basil/kemangi, daun pudina dan daun bawang losun.

3. Gaul hingga semua bahan menjadi sebati, rehatkan 5 hingga 10 minit dan sedia untuk dihidang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

KACANG TANAH DI KG YANG GALAK MEMBESAR

Kacang tanah atau dalam Englishnya disebut peanut atau groundnut merupakan tanaman kekacang yang mudah tumbuh di negara kita. Nama botaninya ialah Arachis hypogaea dalam keluarga Fabaceae (ia termasuk legum, bean dan pea), tumbuh dan membesar sehingga 30 hingga 50 cm. Mengikut kajian pokok kacang tanah pertama diusahakan di lembah negara Paraguay di mana masih boleh dijejaki atau dilihat tumbuh secara meliar hingga kini. Negara Bolivia juga disebut sebagai salah satu tempat asal pokok kacang tersebut. Hingga kini kacang tanah menyebar di serata dunia dan diusahakan secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan khususnya bidang perusahaan makanan.

Pada akhir tahun lalu, tanomkinotuan seringkali ke tamu untuk mendapatkan benih tanaman yang dikehendaki. Sambil tanomkinotuan keseronokan melihat pelbagai jenis sayuran dan barangan yang dijual, tanomkinotuan ternampak kawan lama menjual sebaris dengan penjual-penjual yang lain. Dia sebenarnya seorang wanita dalam lingkungan 40-an dan dialah sahabat tanomkinotuan ketika tanomkinotuan masih berkecimpung dalam bidang jual menjual ini. Maksudnya segala pengetahuan menjual secara kecil-kecilan di tamu, tanomkinotuan mengetahuinya. Contoh paling mudah ialah apabila kita bertanya kepada penjual tentang sayur-sayuran itu sama ada ditanam sendiri tanpa baja atau pun sebaliknya. Beberapa penjual terpaksa berbohong akan status sayuran tersebut dan ada juga yang bercakap terus terang. Rata-rata penjual membeli sayur dari pengusaha ladang yang sudah semestinya diracun dan dibubuh baja sintetik (kimia). Jadi untuk mengetahui sayur tersebut adalah organik atau sebaliknya ialah melihat pada sambungan daun pada panggal batangnya, sayur yang dibaja sambungan daun pada batangnya berwarna hitam kecoklatan, jika ternampak plastik lutsinar berwarna putih tempat menyimpan sayur maka 80% sayur yang dijual dibeli dari pemborong/pengusaha sayur. Jadi berhati-hatilah ketika anda membeli sayur di tamu. 

Berbalik pada cerita kacang tanah, selepas bertanya khabar dan bersembang sekejap tanomkinotuan mengangkat seplastik kacang tanah yang dijual bersama kulitnya dengan harga RM6 sekilo, setiap plastik tersebut yang berisi kacang tanah beratnya 1 kilo. Tanomkinotuan tidak memakannya tetapi untuk ditanam semula. Di rumah, tanomkinotuan meletakkan buah kacang tanah pada nyiru dan menjemurnya selama 1 minggu, apabila ia sudah benar-benar kering, tanomkinotuan kopek kulitnya dan mengumpulkan isinya dalam 1 bekas yang bersih dan kering. Tanomkinotuan biarkan benih kacang tanah itu ditempat teduh tetapi masih terkena haba matahari selama 1 minggu lagi. Tanomkinotuan mahu benih tersebut benar-benar kering dan keras. Anda juga boleh menjemurnya langsung pada matahari, boleh dan tiada masalah.

Selepas 2 minggu dijemur dan didedahkan pada haba, tanomkinotuan memilih benih yang sihat, besar dan cantik. Tidak kecil, nipis dan berpenyakit. Tanomkinotuan simpan benih tersebut dalam botol tertutup bagi menjaga kualiti benih kacang tanah itu. Oleh kerana tanomkinotuan sibuk sepanjang 3 minggu dari pemilihan benih kacang tanah tersebut, barulah tanomkinotuan mempunyai ruang sedikit untuk ke kebun getah (KG) untuk membuat batas. Tanomkinotuan menggunakan cangkul untuk membuat batas dengan saiz 2 X 15 kaki. Tanomkinotuan membuat 3 batas saja. Ingatkan ia mencukupi menampung kesemua benih tersebut rupanya tidak.

Tanomkinotuan terkejut kerana terdapat tiga jenis kacang tanah yang ada pada tanomkinotuan iaitu kacang tanah pulut, benihnya berjalur merah dan putih, benih kacang tanah berwarna hitam dan benih kacang tanah berwarna perang muda. Mungkin saja penjual itu menanamnya sekali gus. Dengan baki kompos yang dibeli, tanomkinotuan tabur pada batas dan gaul alah kadar saja. Seterusnya tanomkinotuan menanamnya dengan kedalaman lubang ialah 3 inci dan jarak antara lubang pula ialah 1 setengah kaki. Oleh kerana batas yang dibuat tidak mencukupi dan tanomkinotuan sudah tidak larat untuk membuat batas baru, tanomkinotuan tanam terus pada tanah berhampiran dengan batas tersebut sehingga selesai. Selang 2 minggu, benih kacang tanah sudah bercambah dan tumbuh dengan baik. Bagi kacang tanah yang ditanam pada batas cepat membesar berbanding yang ditanam langsung pada tanah tanpa batas. Walaupun tanomkinotuan sudah membubuh baja NPK organik. Walaupun begitu, pokok kacang tanah tanomkinotuan secara umumnya hidup subur. Ketika entry ini ditulis kacang tanah tanomkinotuan masih usia remaja dan baru belajar menghasilkan isinya. 

Kelmarin tanomkinotuan ke KG untuk membersihkan ladang keladi yang dipenuhi rumput rumpai, sebelah petangnya pula tanomkinotuan pergi ke tempat pokok kacang tanah untuk melihat perkembangannya. Ia semakin besar dan tanomkinotuan cuba mengorek ke dalam tanah sah, sudah berisi tetapi belum matang. Tidak lama lagi tanomkinotuan boleh menuainya. Cara paling mudah untuk mengetahui isi kacang tanah sudah boleh dituai ialah melihat pada pokoknya yang mulai kering dan daunnya mulai gugur. Anda juga boleh melihat kulit isinya yang sudah berubah menjadi keras dan berwarna coklat gelap atau kelabu gelap mengikut variati. Jadi tanomkinotuan belum boleh menunjukkan kepada pembaca tentang isinya lagi. Akan datang tanomkinotuan akan update mengenai pokok kacang tanah ini nanti.

Untuk makluman kepada pembaca kacang tanah tidak perlu dibubuh dengan baja terlalu banyak. Cukup sedikit ditabur disekeliling pokok. Ini kerana pokok kacang tanah mengeluarkan nitrogen sendiri pada akarnya untuk kegunaannya sendiri. Jika terlebih baja takut akan merimbunkan pokok dan daunnya tetapi isinya kurang. Fenomena musim panas yang diwar-warkan oleh pengkaji cuaca baru-baru ini membuatkan tanomkinotuan sedikit gusar akan nasib tanaman di KBR dan KG. Sudahlah hanya hujung minggu sahaja berada d rumah dan hanya menyerahkan kepada hujan semata-mata maka sudah tentu masalah besar menanti di hadapan. Kacang tanah mampu bertahan pada cuaca yang extrim cuma kualitinya agak kurang sedikit.

Buah kacang tanah memang sedap dimakan begitu sahaja yakni direbus dan bubuh sedikit garam. Boleh juga buahnya dijemur hingga kering dan kopek kulitnya serta biji kacang tanah digoren dan ditabur sedikit garam. Boleh dinikmati bersama keluarga sambil menonton TV. Kacang tanah juga amat sedap dicampurkan dalam sup daging dengan sarang burung. Masak kacang tanah sehingga lembut. Fuhhhhh! Mentua lalu pun tak perasan...

Selamat bertani dan menuai hasil.