Tinonsok takano atau juga dipanggil tinonsok kasou (literasi maksud adalah nasi tumbuk atau keledek tumbuk) ini sangat popular di kalangan suku Kadazandusun di Sabah. Entry kali ini berbeza sedikit dengan pos sebelum-sebelum ini disebabkan belum ada benda yang hendak diceritakan mengenai sayur-sayuran di KBR atau KG. Tanomkinotuan ingin berkongsi satu lagi makanan yang tradisi yang semakin dilupakan oleh generasi masa kini.
Sejarah tinonsok takano atau tinonsok kasau ini adalah dibuat untuk menambah jumlah nasi untuk dimakan seisi keluarga. Zaman dahulu, penanaman padi khususnya padi bukit adalah untuk dikumpulkan dan diguna semasa Pesta Kaamatan. Ruji makanan harian pula adalah hanya memakan antaranya ubi kayu, ubi manis, garut/walangan/ubi bemban, ubi burut dan sebagainya. Padi yang berjaya dituai akan disimpan di tempat khusus yang dikenali sebagai torutip dalam bahagian sulap (pondok yang didirikan di kebun). Menjelang Pesta Kaamatan padi-padi ini dijemur dan ditumbuk untuk membuat tapai, kuih muih dan segala jenis hidangan untuk meraihkan tetamu-tetamu yang hadir untuk meraihkan pesta tersebut. Sebab itu budaya membuat tinonsok takano ini dibuat semata-mata untuk menjimatkan beras untuk kegunaan pada pesta kebesaran komuniti tersebut. Lazimnya tinonsok takano dibuat untuk dibawa sebagai bekalan (kokorui) ke kebun (dumo).
Lagi pula zaman dahulu mana hendak dapatkan kontena, tupperware untuk menyimpan makanan ini khususnya nasi. Jadi daun pokok yang ada disekelilinglah untuk tujuan tersebut.
Tinonsok takano adalah campuran ubi manis dan beras yang di masak bersama dalam satu bekas. Selepas ianya masak, ia perlu ditumbuk menggunakan alat khas untuk menyebatikan dua bahan tersebut hingga bercampur semuanya. Tempoh menumbuk nasi harus dilakukan ketika ianya masih panas agar mudah untuk mencampurkan bahan-bahan tersebut. Selepas selesai menumbuk nasi tersebut ia harus dibalut dalam daun sesuai. Daun seperti daun pokok wonihan, daun pokok toitap, daun pokok gayo luba, daun pokok kiwit, daun pokok doringin, daun pokok rombiyung, daun pokok kobu (famili dalam pokok bemban), dan sebagainya. Tetapi daun pokok wonihanlah yang paling bagus kerana mengeluarkan wangi yang sedap. Pic nenek di atas adalah rujukan tanomkinotuan bagi mendapatkan nama-nama daun yang lazim digunakan untuk membalut tinonsok takano. Terima kasih kepada nenek tersebut bertungkus lumus membantu tanomkinotuan mendapatkan sumber yang dikehendaki. Nenek ini berasal dari Kampung Kapayan, Apin-apin Keningau dan dia tidak tahu pun yang dirinya dimasukkan dalam blog.
Di kampung tanomkinotuan ada majlis kesyukuran bagi budak-budak kampung yang ingin kembali ke sekolah, jadi setiap rumah harus menyediakan juadah mereka sendiri untuk dibawa ke dewan. Emak tanomkinotuan telah membuat tinonsok takano yang dibalut dengan daun pokok wonihan. Emak tanomkinotuan juga telah memasak resepi sayur campur losun yang popular. Memang betul-betul masakan tradisi. Emak tanomkinotuan telah menyediakan 70 ketul tinonsok dan semuanya habis licin. Ini bermakna di kampung tanomkinotuan masakan tradisi masih disukai oleh penduduk kampung.
Kini tradisi makanan ini semakin terpinggir oleh masakan modern dan makanan Barat. Fungsi tinonsok takano pada hari ini bukan lagi khas untuk dijadikan bekalan makanan yang dibawa ke kebun tetapi ia dihidangkan pada majlis-majlis seperti perkahwinan, berkhatan, aktiviti gotong royong dan sebagainya. Selalunya tinonsok takano ini dimakan bersama sayur campur losun atau ikan goreng, memang sedap. Rasanya sedikit manis kerana manis dari ubi manis tersebut tetapi manisnya tidaklah mempengaruhi pemakanan anda. Rasanya seimbang apabila dimakan dengan sampingan yang lain. Kadang-kadang ada juga mereka yang membuat tinonsok takano dengan ubi kayu. Umumnya tinonsok kasou hampir sama dengan nasi impit dari budaya Melayu di mana ianya boleh di potong secara empat segi apabila dihidangkan kepada tetamu.
Selamat bertani dan menuai hasil.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar