Tani

Minggu, 15 Maret 2015

CARA DAN PANDUAN MENANAM LOBAK MERAH DALAM BESEN TERBUANG

Tahukah anda bahawa selain menanam lobak merah pada batas, lobak merah dalam polibag, pasu besar dan baldi, besen besar terbuang juga boleh digunakan untuk menanam sayuran khususnya lobak merah di halaman rumah dengan kos zero. Jangan buang bekas besen di rumah anda kerana ia berbaloi untuk lobak merah tumbuh dengan baik. Ia sangat praktikal di mana bekas ini boleh dialihkan di kawasan yang anda sukai. Berikut adalah cara dan panduan menanam lobak merah pada besen skala besar yang tidak lagi berguna untuk menyimpan kain anda di rumah.

Pertama sekali sekiranya anda ingin menanam lobak dengan cara berbeza dari kelazimannya, anda harus mencari besen skala besar yang tidak digunakan lagi. Anda juga boleh menggunakan apa-apa bekas yang difikirkan sesuai jika besen terbuang sukar diperolehi. 

Dapatkan benih lobak merah dengan datang sendiri ke kedai-kedai pertanian yang ada menjualnya. Beli lobak merah variati Chantenay atau Nantes. Kedua variati ini sesuai ditanam dalam bekas seperti besen dan elakkan menanam lobak merah variati Imperator kerana lobaknya sangat panjang berbanding variati lain dan memerlukan kedalaman tanah yang cukup untuk tumbuh dan membesar dengan baik. Kecuali besen anda mempunyai tinggi melebihi 2 kaki setengah. Anda juga boleh mencuba menanam benih lobak merah mini/bulat (mini carrot variaties) seperti 'lobak merah mini romeo'.

Untuk mempercepatkan percambahan benih lobak merah anda, tips berikut boleh membantu. Sediakan kertas tisu, tabur sedikit benih lobak di atas tisu tadi dan libat menjadi empat segi. Lembabkan dengan air dengan mencelupkan jari telunjuk anda pada air tersebut dan basahkan tisu berisi benih lobak merah dengan menekapkan jari telunjuk anda pada tisu tersebut. Ulang aktiviti ini hingga tisu bertukar menjadi lembab dan diingatkan tisu jangan terlalu basah/lebihan air. Masukkan tisu tersebut ke dalam plastik mini berzip dan tutup zip tersebut dengan rapat. Simpan plastik mini anda itu ke dalam peti sejuk selama 5 hingga 7 hari. Selepas genap 7 hari, anda sudah boleh mengalihkan benih lobak merah tersebut pada besen anda.

Lobak merah sesuai tumbuh pada tanah jenis peroi dan sedikit berpasir. Anda boleh menggunakan media campuran 2:1:1 di mana 2 bahagian tanah hitam/lom/kebun, 1 bahagian pasir sungai dan 1 bahagian kompos. Gaul kesemua media tersebut dan masukkan ke dalam besen anda hingga penuh. Anda juga boleh menggunakan tanah hitam yang dijual di nusery pada harga RM5 hingga RM7 untuk 1 bag. Anda memerlukan 4 hingga 5 bag untuk memenuhkan tanah pada besen anda.

Buat alur secara membulat sedalam 2 inci dalam dengan jarak alur ialah 5 inci. Anda boleh membuat alur sehingga 3 hingga 4 alur secara membulat di atas besen anda tetapi jumlah alur yang terhasil juga berdasarkan kepada saiz besen anda. Tabur benih lobak merah yang dicambahkan dalam peti sejuk dengan berhati-hati  kerana benih tersebut melekat antara satu sama lain pada tisu. Timbus alur tersebut pada tanah nipis dan siram dengan air secukupnya.

Percambahan benih lobak merah hanya menngambil masa 5 hingga 7 hari. Siram lobak merah anda 2 kali sehari ketika musim panas dan tidak perlu ketika hujan. Cabut rumput rumpai yang tumbuh di sekeliling anak pokok lobak merah anda. Tips untuk mendapatkan lobak besar dan sihat ialah jangan melebihi menabur baja subur pada lobak anda. Ini kerana hanya daunnya sahaja merimbun tetapi isi lobak ketot. Seeloknya tabur kompos asli pada lobak merah anda dan elakkan menggunakan baja bernitrogen tinggi.

Lobak merah anda sudah boleh dituai selepas 60 hari hingga 90 hari mengikut variati. Cabut lobak merah anda dengan mencabutnya ke atas atau mengorek tanah terlebih dahulu untuk mengurangkan kepadatan tanah. Bersihkan lobak tersebut dan masak mengikut resepi sendiri. Rasa dan struktur lobak merah tanam sendiri sedikit manis. Nikmati lobak merah tanam sendiri bersama ahli keluarga tersayang.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar