Tani

Rabu, 11 November 2015

POKOK EPAL HIDUP BAIK DI KBR



Pokok epal merupakan tumbuhan yang banyak ditanam di negara 4 musim. Antara ribuan jenis pokok yang tumbuh dengan baik di negara-negara Eropah, Amerika dan tempat-tempat lain. Diusahakan oleh pemilik-pemilik tanah secara besar-besaran bagi menampung buah epal eksport ke negara-negara luar termasuk di negara kita.


Epal atau nama saintifiknya ialah Malus Domestica ini sangat digemari ramai. Dimakan begitu sahaja atau campuran dalam salad atau pun dibuat sebagai pai epal. Pokok epal mempunyai pelbagai jenis, warna dan saiz yang mempunyai rasa yang enak dan ranggup. Rasa masam manis menyerlahkan keunikannya dengan aroma yang cukup memikat. Memakan sebiji buah epal yang ranggup sudah cukup untuk serapan pagi sambil segelas coklet panas. Ia juga cukup berkhasiat dan kandungan vitamin C juga tinggi.

Tanomkinotuan sangat-sangat teruja dan tumpang gembira apabila membaca mengenai kejayaan orang lain menyemai dan menanam pokok epal di blog-blog Malaysia. Terfikir tanomkinotuan bahawa bolehkah pokok epal tumbuh di negara kita? Bolehkah pokok epal bertahan dengan musim hujan melanda negara kita setiap tahun? Adakah pokok epal mudah berbuah di negara kita? Persoalan demi persoalan bermain di benak tanomkinotuan hingga terdetik dan terniat dalam hati untuk menyemai buah epal tapi masalahnya dimanakah perlu mendapatkan biji benih? Adakah boleh menyemai benih epal yang dijual di kedai atau supermarket?


Dengan tekad dan azam tanonkinotuan singgah salah satu supermarket yang ada menjual epal dengan pelbagai jenis. Jadi tanonkinotuan telah mengambil buah epal dengan nama tertera Royal New Zealand Apple, saiz sederhana besar, warna merah pudar dan isinya sangat ranggup. Sampai di rumah tanomkinotuan proses dengan mengeluarkan benih-benihnya dan kumpulkan dalam mangkuk yang sudah diisi dengan air yang dicampurkan serum EM1. 

Tapi sebelum itu, tanomkinotuan sudah berguru dengan google, youtube dan beberapa forum dalam dan luar negara mengenai panduan menyemai benih epal. Dengan sedikit ilmu ini tanomkinotuan sediakan peatmos yang dilembabkan serta dimasukkan ke dalam plastik berzip. Seterusnya masukkan benih epal tersebut ke dalam plastik dan simpan dalam peti sejuk hinggalah benih epal tersebut bercambah.


Tanomkinotuan hanya menunggu 1 minggu untuk benih epal bercambah dan kemudian dialihkan ke dalam polibag hinggalah kini. Secara umumnya pokok epal tanomkinotuan yang ada sekarang ialah rata-ratanya sudah berusia 5 hingga 9 bulan. Tinggi lebih satu kaki lebih. Dan semakin tinggi malah pertumbuhannya galak di KBR.

Pada awalnya tanomkinotuan mengalami masalah pengalihan anak pokok ke dalam polibag. 10 anak pokok yang dialihkan hanya 2 yang berjaya dan semaian benih epal pada gambar-gambar tertera adalah sebanyak 3 kali dan keempat pula masih dalam peti sejuk, baru berusia 4 hari semasa entry ini ditulis iaitu dari jenis Washington Red Apple. Oleh itu saiz dan tumbuhbesaran berbeza. Tetapi menghairankan di mana pokok pertama disemai pertumbuhannya terbantut untuk beberapa bulan hingga luluh daunnya, ingatkan sudah mati nasib tanomkinotuan tak cabut. Tidak lama kemudian, pokok tersebut mula berdaun dengan baik.


Manakala bagi semaian kedua pula pokoknya sudah tinggi berbanding dengan pokok epal semaian pertama malah daun dan batang cantik. Pada usia pokok ini masih kecil, daunnya telah diserang apid hingga mengerekot dan keriting daunnya. Pertumbuhan sedikit terjejas, selepas dispray dengan racun serangga bawang putih barulah pokok epal ini tumbuh seperti biasa.

Cara penjagaan pokok epal tidaklah cerewet sangat. Asal akarnya sudah kuat ia susah hendak mati kecuali serangan dari fungi, bakteria mahupun virus. Tanomkinotuan belum ada pengalaman lagi mengenai pokok epal yang diserang oleh mikroorganisma di atas jadi tanomkinotuan tidak dapat memberikan sebarang pendapat. 

Hanya saja 2 minggu sekali bubuh baja NPK organik dan tidak pernah dibubuh menggunakan baja kimia. Khuatir juga jika baja kimia menjejaskan batang dan akar menyebabkan pokok mati. Siram apabila tanah sudah mula kering jangan pula media terlalu basah. Ia boleh mengundang fungi dan bakteria yang boleh menjangkiti akar pokok. 

Pada masa akan datang pokok-pokok ini akan dialihkan ke tanah. Tetapi hendak mengumpulkan seberapa banyak ilmu mengenau pemindahan ke tanah. Tanomkinotuan juga biasa menanam anak pokok seperti mangga, asam jawa, pokok jambu air dan limau manis tetapi mungkin ada bezanya cara menanam dengan pokok epal ini. 

Tanomkinotuan akan update dari semasa mengenai pokok epal ini untuk perkongsian para pembaca. Adakah anda berminat menanam pokok epal? Mulakan dengan biji-biji epal yang dibeli dari kedai dan semai untuk reward di masa akan datang, ia berbaloi untuk anda. 

Selamat bertani dan menuai hasil. 

Selasa, 10 November 2015

TUAIAN SAYURAN DI KBR AWAL BULAN OKTOBER


Hari ini tanomkinotuan ingin berkongsi kepada pembaca mengenai beberapa tuaian sayuran yang dituai di KBR untuk beberapa minggu yang lepas.

Musim hujan adalah musim sesuai untuk menyemai benih. Bagi benih-benih bersaiz kecil kenalah semai pada bekas semaian terlebih dahulu seperti benih sawi, kailan, kobis, brokoli dan kobis bunga. Bagi benih seperti kacang panjang, buncis, bendi, edamame boleh langsung semai pada tanah/batas atau pasu saiz besar. Jom lihat antara tuaian yang dapat diambil gambar;



Ini adalah sayur sawi yang dipetik di KBR, tanomkinotuan sudah cerai-ceraikan daunnya untuk memudahkan dicuci bersih dari tanah yang melekat pada daunnya. Maklumlah musim hujan. 

Antara sayuran tersebut ialah sawi bunga jepun, sawi kerinting dan sawi putih taiwan. Sudah tidak kelihatan bentuknya kerana diceraikan bagi tujuan pembersihan.


Terung bulat hijau masih menghasilkan buahnya di KBR. Malah semakin banyak pula semasa musim hujan ini. Namun sedikit masalah dengan serangan ulat pengorek buah. 


Tuaian daun okinawan spinach untuk dijadikan salad.


Tuaian zucchini crockneck kuning. Pokok zucchini crockneck kuning ini adalah tanaman musim ketiga.


Sawi putih dapatlah tuai 2 batang yang besar.



Sawi kerinting ini pula dituai di KBR yang ditanam dalam polibag menggunakan media potting soil. Memang cantik daunnya.



Jagung pulut putih kelopak hijau dan jagung pulut putih kelopak ungu. Kedua-duanya merupakan jagung jenis meleket ketika dimakan. Sedap...



Ini adalah tunas asparagus. Pokok asparagus tanomkinotuan sudah boleh dituai walaupun belum cukup usia 3 tahun. Tuai sikit-sikit dulu. 



Tutan hitam atau sayur pucuk meranti yang ditanam menggunakan biji benih kini sudah boleh dituai. Masak sup dengan hirisan halia saja.


Akhir sekali tuaian tutan hijau pula. Pucuk tutan memang sedap dimasak tumis ikan bilis dan lada putih borneo.

Inilah sayuran yang ditanam di KBR dan sudah mula dituai. Sayuran organik bebas racun serangga. Masa ini KBR sarat dengan tanaman, terpaksa menanam sayur yang baru disemai dalam pasu atau polibag. Menanam sayuran di halaman rumah sangat menyeronokkan juga mampu mengurangkan kalori dengan banyak. Jom menanam sayuran di laman rumah.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Senin, 09 November 2015

TUAIAN KEDUA TOMBAK ASPARAGUS DI KBR



Musim hujan telah memberikan harapan baru pada kebun KBR dengan tanaman semakin pulih pertumbuhannya, tanah semakin baik dengan kelihatan tinja-tinja cacing tanah terselit keluar dipermukaan tanah yang lembab. Tanah gersang, kering dan merekah kini lembut, lembab dan berkualiti. Tetapi masalah boleh berlaku jika hujan berterusan pada pokok sayuran boleh lemas dan mati.

Hari ini tanomkinotuan menuai tombak/tunas pokok asparagus di kebun belakang rumah. Selepas dipindahkan dari polibag bersaiz besar dan sudah kali ketiga dicantas pokok tuanya dan membiarkan pokok bertunas semula dan membesar, maka kali ini tunas yang muncul dituai dengan senang hati. Untuk makluman pembaca, usia pokok asparagus kini berusia hampir setahun dari mula bercambah dari benihnya. Jika mengikuti peraturan penuaian. Pokok asparagus sudah boleh dituai setelah usia 3 tahun ke atas sebab ketika ini pokok dan akarnya sudah kuat dan tombaknya bersaiz besar. Namun kerana inginkan sayur tombak asparagus, tanomkinotuan tuai beberapa tunas yang boleh dituai. Merasalah tombak asparagus panggang dengan butter dan bawang putih. Cukup mengujakan. 

Di pekan Kundasang Ranau, harga seeikat tombak asparagus ialah RM20.00 hingga RM25.00. Agak mahal harganya. Tetapi itulah realitinya jika ingin membeli asparagus. Ada beberapa sebab mengapa tombak asparagus sangat mahal. Pertama, penanam asparagus sangat jarang apatahlagi menanam secara sekala besar. Di Kundasang sendiri jika tidak silap hanya seorang sahaja mengusaha penanaman asparagus dalam jumlah yang besar selain mereka yang menanam secara kecil-kecilan. Oleh itu permintaan melebihi penawaran menyebabkan harga naik mendadak. Kedua pula ialah melihat aspek asparagus ini sebagai makanan mewah yang harganya kekal sebegitu dan diterima oleh orang ramai.


Apa-apapun pandangan pokok asparagus belum lagi meluas ditanam khususnya di Sabah. Para petani tidak sanggup mencuba menanam pokok ini kerana mereka tahu hanya boleh ditanam di kawasan tanah tinggi dan bersuhu sejuk, leceh dan cerewet serta penggunaan kos yang tinggi. Apa pun alasan individu mengenai penanaman pokok asparagus harus disandarkan kajian yang terperinci. Jika kena cara yang betul pokok asparagus boleh tumbuh di kawasa tanah rendah malah hidup sihat. Sudah ramai diluar sana telah membuktikan kejayaan menanam pokok asparagus dihalaman rumah.

Anak pokok yang dibeli awal tahun ini kini merasa hasilnya. Walaupun belum cukup umur untuk tuaian, tidak kesah kerana pokok sendiri dan paling penting ialah organik. Hendak menuai atau tunggu dulu sehingga tunas-tunas bersaiz besar adalah ikut penanamnya, pokok sendiri kan lainlah kalau pokok orang lain, itu cerita lain.

Pada hemat tanomkinotuan, tombak asparagus akan bersaiz besar mengikut usia pokok. Ini kerana apabila akar-akarnya mula banyak, batang pokoknya juga akan bersaiz besar hingga ada tombak asparagus yang boleh menyamai ibu jari orang dewasa. Semua ini bergantung kepada kelembapan tanah, pembajaan dan trimming pada pokok. 

Tanomkinotuan 2 minggu sekali akan membubuh baja dalam polibag dalam jumlah yang banyak. Kerana pokok asparagus tersebut ditanam dalam polibag yang sememangnya ruang sempit untuk akar asparagus bergerak. Oleh itu kekerapan membubuh baja pada pokok membolehkan pokok mendapat makanan berterusan tanpa menjejaskan pertumbuhannya.

Tahukah anda terdapat banyak jenis pokok asparagus? Ada yang berwarna hijau dan juga ungu. Dimasa akan datang tanomkinotuan ingin mendapatkan jenis asparagus yang lain pula untuk menambah koleksi di KBR. Lebih banyak tanaman yang pelbagai khususnya jenis pokok asparagus ini, lebih vesertile kebun kita. 


Asal anak pokok asparagus tumbuh selepas dialihkan ke batas atau polibag, ia tidak mudah mati malah tahan sekiranya tidak disiram seminggu pada cuaca panas.

Tombak asparagus tanomkinotuan selamat dimasak dan dimakan dengan jayanya. Rasa cukup memikat dan sedap. Olesan butter dan bayang putih harum semerbak dalam mulut. Mengenyangkan dan tunggu masa lagi untuk menuai tombak pokok asparagus pada masa terdekat ini.


Pokok buah lemak masih dalam polibag. Belum lagi dialihkan. Tunggu pokok besar sikit barulah dialihkan ke tanah nanti. Pokok buah lemak atau avakado ini sangat digemari oleh tanomkinotuan sendiri. Selalunya makan begitu sahaja. 

Tanomkinotuan berhasrat ingin memenuhkan ruang belakang rumah pada pokok-pokok buah. Sekarang ini sudah ada beberapa jenis pokok mangga seperti mangga kuini, mangga udang, mangga manila, mangga harum manis dan mangga apple, pokok limau manis (sedang berbuah), pokok kelapa, pokok buah cristal/mata kucing brazil, pokok bambangan (manggifera pajang), pokok cempedak, pokok asam jawa, pokok delima, pokok durian belanda dan terbaru ialah pokok buah lemak inilah. Pada masa akan datang tidak perlulah membeli buah jika sudah ada pokok sendiri, cuma jaga dan baja sahaja untuk pokok sihat berbuah.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Sabtu, 07 November 2015

PAKEJ PROMOSI JUALAN BENIH ONLINE


Hello dan selamat datang...


Kini tanomkinotuan ingin war-warkan pakej promosi pembelian benih sayuran yang anda boleh perolehi di sini dengan harga berpatutan dan murah. 

Pakej promosi ini akan tamat pada 30 NOVEMBER 2015.

Terdapat sebanyak 15 jenis benih yang boleh diperolehi dalam pakej promosi benih kali ini dengan hanya RM29.00 sahaja. Betul hanya RM29.00 dan anda boleh perolehi 15 jenis benih yang diambil dari kebun KBR sendiri dan ditempat lain. 

Anda hanya perlu membayar RM29.00 untuk benih ini dan sudah termasuk postage. Maksudnya bayar sekali sahaja.

Berikut ialah jenis-jenis benih dalam pakej promosi kali ini:

1. Salad Amerika (American lettuce)  - 1 pek

2. Kacang panjang hijau - 1 pek

3. Zucchini scallop kuning - 1 pek

4. Roselle hitam - 1 pek

5. Kacang panjang hitam - 1 pek

6. Sawi bunga jepun - 1 pek

7. Bayam merah - 1 pek

8. Basil itali - 1 pek

9. Bunga kantan

10. Kobis

11. Jagung pulut

12. Buncis bulat

13. Terung hijau bulat

14. Acerola/ceri barbados

15. Tomato ceri bulat

Berbaloi bukan? Anda boleh menanam benih sayuran anda di laman dengan banyak dengan pembelian pakej promosi benih ini. 

CARA PEMBAYARAN

Bank in sejumlah RM29.00 ke akaun yang tertera di bawah;

Jusery bin Jausin
Maybank
160090411250

Jusery Bin Jausin
Cimb bank
100300-45045-528

Emailkan bukti pembayaran tersebut ke email borosmomogun@gmail.com untuk tindakan selanjutnya bersama-sama nama penuh, alamat rumah dan no. Telepon. Apabila bukti pembayaran diterima barangan tempahan akan diposkan dengan kadar segera.

Atau anda boleh bershopping di SINI secara biasa. 

Selamat bertani dan menuai hasil.

Jusery Bin Jausin
Tanomkinotuan.blogspot.com

Jumat, 06 November 2015

CARA DAN PANDUAN MENANAM BENIH TERUNG HIJAU BULAT



Bulan Oktober 2015 bersamaan dengan pertengahan bulan Muharram 1437 Hijriah adalah bulan yang dikatakan sesuai untuk menyemai benih kerana bulan ini adalah musim hujan turun dengan lebatnya. Bagi area pedalaman Sabah dari kampung-kampung Kota Belud merentas ke daerah Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Nabawan dan sebahagian di daerah-daerah lain tempoh ini adalah masa menanam padi bukit (Parai tidong selain dari padi sawah) yang dilakukan secara sara diri. Namun aktiviti ini semakin terpinggir apabila sudah ramai beralih kepada profesion dan kegiatan lain yang lebih menguntungkan dan terjamin. Cuma aktiviti penanaman padi bukit masih boleh dilihat di kawasan Nabawan - Pensiangan yang dihuni oleh suku kaum Murut (Murut tribe). 

Suhu tidak berapa kering dan juga tidak berapa lembab. Orang kata suhu sederhana mengikut keadaan pagi, tengahari, petang dan malam. Namun musim hujan juga boleh merosakkan sayuran anda jika tidak dipasang teduhan yang sewajarnya. Pengalaman tanomkinotuan tempoh yang lalu, pernah menyemai dua jenis benih sayur iaitu benih sayur brokoli hijau dan benih sawi kerinting. Oleh kerana pertama kali semai benih brokoli maka musim hujan bertandang diletakkan teduhan berupa zink buruk di atas anak pokok brokoli hijau agar tidak dirosakkan oleh curahan hujan yang mengganas sedangkan benih sawi kerinting pula dibiarkan ruang terbuka. Apa yang berlaku ialah, lama kelamaan anak pokok sawi kerinting musnah dan mati akibat curahan hujan manakala anak pokok brokoli hijau pula gagah dan megah hidup dengan baik. Inilah dikatakan menatang minyak yang penuh, lagi pula benih sawi kerinting masih banyak tersimpan dan boleh semai semula, hehe.

Namun bagi mereka yang ingin menanam benih tomato haruslah berhati-hati dan peka akan persekitarannya. Pokok tomato alah dengan air yang banyak dalam tanah. Akar boleh lemas atau mudah terkena serangan fungi pada akarnya sekiranya media terlalu basah. Oleh yang demikian, disyorkan kepada mereka yang ingin menanam pokok tomato semai dulu dalam cup plastik dan simpan cup tersebut ditepi jendela yang terkena sinaran matahari pada waktu pagi atau petang. Buat masa ini juga disarankan menanam pokok tomato dalam pasu dan diletakkan di kawasan terlindung dari hujan untuk mengelak dari pokok jadi layu dan mati. Tanomkinotuan menanam 11 pokok tomato ceri bulat. Semuanya hidup membesar dengan baik, kira-kira sudah mula berbunga dan berbuah. Hujan turun dengan lebatnya menyebabkan seminggu kemudian pokok tomato ceri layu dan mati. Hanya tinggal 2 pokok saja lagi. Namun pokok tomato hidup baik saja jika di tanam pada tanah yang sedikit cerun walaupun musim hujan mencurah-curah.

Tanomkinotuan ingin berkongsi kepada pembaca semua cara dan panduan menanam pokok terung hijau bulat atau Sweets Green Eggplant. Terung hijau bulat adalah jenis variati terung yang wujud di dunia. Terlalu banyak jenis terung yang kita boleh lihat dengan perbezaan dari segi saiz, bentuk dan juga warna. Inilah nikmat yang diberikan oleh Tuhan semesta alam kepada hambanya (manusia) untuk lebih konsisten memuji dan memuliakannya. Ceewaaahhhhh ceramah pula daaaa.

Banyak-banyak jenis terung, terung ini yang disukai oleh tanomkinotuan kerana tidak rasa gatal pada lidah ketika memakannya, rasa yang ringan dan lembut memudahkan kita kunyah dan telan. Tanomkinotuan dari kecil lagi sangat membenci sayur terung ini sebab bila hendak menjamahnya allergic pada lidah dengan rasa gatal-gatal. Hinggalah tanomkinotuan sudah dewasa sayuran terung harus tidak disentuh langsung. 

Hal ini berubah setelah tanomkinotuan membeli buah terung hijau bulat yang dijual di tamu/sunday market tempoh hari, emak tanomkinotuanlah yang memasaknya. Untuk pengetahuan semua, masalah ellergic ini diperturunkan dari DNA emak tanomkinotuan, emak tanomkinotuan langsung rasa gatal-gatal pada lidah jika memakan terung. Tapi allergic emak tanomkinotuan lagi hebat hingga makan makanan gorengan bilis dan ikan kembung (bahasa Sabah: ikan basung bulat) pun terasa gatalnya lidah. Tanomkinotuan bolehlah hadap dua makanan ni, bilis dan ikan kembung, cuma terung sahaja yang perlu dihindari. Biasanya untuk menentukan garam itu seimbang pada masakan haruslah mencubanya. Emak tanomkinotuan mengambil seketul terung tersebut dan memakannya. Wahhh... dengan riak wajah yang sangat teruja mengatakan "terung ni sedap, lembut dan tidak gatal". Apalagi tanomkinotuan pun mencuba memakannya. Memang betul terung bulat rasa manis sahaja dan buat pertama kalinya tanomkinotuan memakan sayur terung dengan banyaknya hingga hampir-hampir menghabiskan bahagian sayur untuk adik-adik yang lain. hehe

Maka dengan itu, apa kata pembaca mencuba menanam terung bulat hijau ini, ia juga sesuai ditanam dalam pasu atau polibag di halaman rumah. 


Pertama sekali dapatkan benih terung bulat hijau. Boleh dibeli di kedai-kedai pertanian atau nusery berhampiran atau meminta sebiji dua dari sahabat atau keluarga lain. Jika membeli benih terung hijau bulat di kedai, pastikan tarikh luputnya masih baik. Jangan terbeli benih terung bulat hijau yang sudah melebihi tarikh luput tertera pada pembungkusnya. Benih tersebut pasti tidak akan bercambah.

Sediakan bekas semaian yang murah untuk save bajet. Gunalah cup plastik, kontena kecil, gelas yang ditebuk di bahagian bawahnya dan sebagainya. Guna media potting soil yang boleh dibeli di kedai pertanian dan nusery menjual bunga-bungaan. Masukkan media ke dalam bekas semaian dan tabur benih terung hijau bulat di permukaannya. Spary atau siram dengan air lalu letakkan bekas semaian tersebut di tempat selamat seperti ditepi jendela yang masih terkena cahaya pada waktu pagi atau petang. Percambahan benih memerlukan suhu sesuai untuk proses percambahan yang baik. Jika bajet cukup gunalah styoroform tray semaian dengan membubuh sebiji benih pada cup styoroform tersebut. Ia sangat-sangat praktikal. 

Sambil menunggu benih terung bulat hijau bercambah, anda boleh menyediakan tapak penanaman sama ada pada batas atau pasu/polibag saiz besar. Namun anda perlu meneliti kawasan atau bahagian laman rumah yang sesuai untuk menanam pokok terung bulat atau meletakkan pasu yang sesuai di tempat-tempat yang strategi terlebih dahulu. Buat pemerhatian secara umum kawasan laman manakah yang boleh menerima cahaya paling banyak dalam satu hari. Pilih tempat strategi seperti hadapan rumah, belakang rumah, kanan atau kiri rumah anda dan juga balkoni rumah bagi yang menanam dalam pasu. Wajib dihindari menanam pokok terung bulat hijau anda berhampiran dengan pokok besar, pokok kayu atau bunga-bungaan yang merimbun kerana pokok terung bulat anda tidak dapat bersaing untuk mendapatkan makanan secukupnya dan mengakibatkan pertumbuhan terbantut. 

Bagi mereka yang ingin menanam pokok terung hijau bulat pada batas, disarankan korek tanah sedalam 1 kaki dan gembur hingga tanah menjadi serpihan-serpihan kecil, tanah berderai. Lakukan pengemburan ketika tanah dalam keadaan lembab dan jangan melakukan pengemburan ketika tanah dalam keadaan basah kecuali tanah tersebut jenis tanah gembur. Sama ada korek hanya buat lubang atau buat batas. Terpulanglah pada membaca kerana kalian lebih tahu keadaan dan situasi laman rumah anda. 

Tabur kapur pertanian setengah genggam pada setiap lubang dan 1 genggam bagi 1x3 kaki persegi dan gaul sebati. Seterusnya bubuh baja kompos dengan 2 genggam kompos bagi setiap lubang yang dibuat dan 1 kilo kompos untuk 1x3 kaki persegi pada batas. Untuk tanah lebih berkualiti tambah sekam padi bakar untuk mengudaraan yang seragam dalam tanah. Jika susah dapat sekam padi maka tidak perlu. Gaul sebati dan rehatkan selama seminggu terlebih dahulu. Biar kapur, kompos dan bahan yang dicampurkan ke dalam tanah benar-benar sebati.

Bagi mereka yang ingin menanam dalam pasu, kerja anda lagi mudah. Beli potting soil yang ada dijual di nusery dan masukkan ke dalam pasu. Disarankan guna saiz pasu atau polibag yang besar. Sekurang-kurangnya 18 inci ke atas untuk akar terung bergerak dengan bebas. 

Jika potting soil tidak ada, anda boleh membuatnya sendiri potting soil iaitu dengan nisbah 2:1:1 di mana 2 bahagian peatmoss atau cocopeat, 1 bahagian pasir sungai atau perlite dan vermiculite dan 1 bahagian lagi ialah kompos/ baja organik. Tidak disarankan menggunakan baja organik NPK, gunalah baja yang seperti serbuk dan bukan pelet atau bebola. 

Jika sukar mendapat bahan-bahan di atas, bolehlah menggunakan tanah kebun, atau tanah dilaman rumah dengan syarat tambah kompos banyak-banyak dan carik-carikkan daun tumbuhan yang dibuang dan campur ke dalamnya. Ia akan mereput dan terkompos lalu membekalkan nutrient yang cukup pada pokok terung anda.

Apabila anak pokok terung sudah berusia 2 minggu atau 3 minggu iaitu lebih kurang sudah mempunyai 4 daun sebenar maka ianya sudah boleh dialihkan ke batas atau pasu. Bagi menanam dalam batas, gemburkan batas atau lubang tersebut, buat lubang sedalam 3 inci atau lebih ikut tinggi anak pokok terung tersebut. Siram bekas semaian yang mempunyai anak pokok terung lalu cabut satu percatu dengan berhati-hati. Tanam sepokok anak terung ke dalam lubang yang disediakan dan timbus semula tanah disekeliling pangkal anak pokok terung. Daun terung harus berada di atas permukaan jangan dibenamkan ke dalam tanah pula. lakukan hingga kerja-kerja menanam selesai. Siram dengan air yang banyak dan buat teduhan menggunakan net jaring hitam atau apa-apa yang sesuai, biarkan selama seminggu barulah dibuka net jaring hitam tersebut untuk pertumbuhan seterusnya. Namun jika musim hujan tidak perlulah disiram, serahkan kepada hujan untuk melakukan tugas penyiraman secara semula jadi.

Selalunya berlaku situasi di mana anak benih terung atau benih lain tumbuh terlalu kurus batangnya dan sangat tinggi, dalam istilah bahasa English dikenali sebagai leggy. Hendak mengerakkannya pun rasa bimbang kalau-kalau patah atau sebagainya. Ini disebabkan benih diletakkan di bawah teduhan 70% kurang sinaran matahari menyebabkan anak benih seolah-olah meninggikan dirinya untuk mendapatkan cukup cahaya bagi proses fotosintesis. Untuk mengelak masalah ini, bekas semaian boleh diletakkan di tempat teduh tetapi apabila benih sudah mula bercambah, cahayakan benih tersebut ditempat terbuka selama 1 hingga 2 jam pada pagi dan waktu petang. Lakukan rutin ini setiap hari selama 1 minggu dengan memanjangkan tempoh pencahayaan pada hari-hari berikutnya agar anak benih tidak terlalu meninggi.

Bagi mereka yang ingin menanam dalam pasu pula, buat lubang ditengah sedalam 2 hingga 3 inci ikut panjang anak pokok terung anda. Tanam sepokok anak terung ke dalam lubang yang dibuat dan timbus semula dengan tanah, bagi padat-padatkan sedikit agar pokok tidak tumbang selepas disiram dengan air. Letakkan pasu-pasu atau polibag-polibag tersebut ditempat teduh terlebih dahulu selama 1 minggu barulah dialihkan ke kawasan terkena sinaran matahari untuk pertumbuhan yang maksimum.

Bagi pembajaan pula, selepas pokok terung berusia 2 minggu selepas dialihkan ke batas atau pasu. Anda sudah boleh membubuh baja organik subur pada tanaman anda di mana bubuh setengah genggam baja NPK organik di sekeliling pokok terung anda dengan syarat gembur-gemburkan tanah terlebih dahulu barulah ditabur. Selepas ditabur baja NPK jangan lupa siram agar penyerapan akar pada baja dapat berjalan dengan lancar. Bagi pokok terung dalam pasu pula bubuh baja NPK organik 2 sudu di sekeliling pokok selepas membuat pengemburan dan siram dengan air. 

Untuk pembuahan yang lebat dan banyak bubuh baja organik untuk pembuahan selepas 3 minggu atau 4 minggu selepas anak pokok terung anda dialihkan ke batas atau pasu. Pembajaan buah dilakukan 3 minggu sekali. Guna baja alfalfa atau baja organik kaya dengan fosforus dan magnesium. Bertanya pada nusery berhampiran untuk baja buah organik yang sesuai. Anda boleh menggunakan booster roti untuk tujuan pembuahan pokok terung.

Anda boleh membubuh baja organik sekali dalam 2 minggu secara berterusan sehingga pokok anda berbuah dengan diselang selikan dengan semburan kompos teh, baja cecair ikan, serum EM1, booster roti buatan sendiri dan juga baja NPK sendiri. pastikan setiap baja organik dan booster diselang selikan sekali dalam 2 minggu agar pokok terung tumbuh dengan baik. 

Aktiviti merumput adalah aktiviti rutin yang perlu dilakukan oleh setiap pekebun. Rumput pada batas harus dibuang dan dicabut. Kumpulkan di satu tempat dan ia akan menjadi kompos semula yang berguna untuk ditabur pada pokok terung anda semula atau boleh dijadikan mulsa/sungkupan tanah untuk kelembapan dan dapat mengekang rumput tumbuh semula. Guna rumput tersebut yang sudah kering. Siraman boleh dilakukan 2 kali sehari pagi dan petang sekiranya musim kemarau dan tidak perlu ketika hujan.

Masalah pokok terung biasanya adalah serangan ulat pengorek pucuk, ulat pengorek buah, seranagn fungi dan bakteria pada akar dan bena putih/kulapuk berbenang putih. Serangan ulat pengorek pucuk pokok terung menyebabkan pucuk layu walaupun daun lain segar bugar. terdapat lelehan atau tahi dan lubang kecil pada batang muda/pucuk daun pokok terung menandakan serangan ulat pengorek ini. Cara mengatasi ialah potong pucuk muda yang layu itu dan musnahkan ulat pengorek di dalamnya. 

Ulat pengorek buah berlaku apabila induknya menyuntik benihnya pada buah yang masih muda/kecil. Dan telur tersebut menetas di dalamnya dan memakan buah tersebut dari dalam. Cari racun organik di pasaran yang sesuai dan sembur pokok terung hijau bulat anda ketika pokok sudah mula berbunga dan berbuah. Pastikan media harus lembab dan cukup nutrient untuk mengelak dari serangan makhluk perosak ini. Semburan racun organik tidak berkesan lagi sekiranya buah lainnya sudah pun besar.

Kadang-kadang bena putih juga bertenggek di belakang daun-daun pokok terung. Apabila kita tergoyangkan daunnya maka nampak benda putih berterbangan. Pokok terung boleh terenjat pertumbuhan akibat serangan bena putih di mana mereka menghisap sap/cecair pada daun untuk makanan. Oleh yang demikian, guna racun organik yang banyak dijual dipasaran yang boleh membunuh bena putih. Cuba guna racun serangga organik jenama Bioguard insect repellent yang boleh dibeli di kedai/nusery. Buat semburan sekali dalam sehari hingga bena putih hilang dari pokok.

Pokok terung hijau bulat sudah mula berbunga setelah 1 bulan lebih dan akan menghasilkan buah yang banyak sehingga pokoknya menjadi tua/tidak produktiviti dalam pembuahan. Buah terung hijau bulat sudah boleh dituai pada saiz lebih besar dari bola ping pong. Pilih buah yang muda dengan bijinya masih lembut, rasa manis dan rasa yang sangat mengujakan. Anda boleh menuai kesemua buahnya dan simpan di dalam peti sejuk, ia bertahan 2 hingga 3 minggu di dalamnya. 

Setelah menunggu beberapa bulan hasilnya anda sudah boleh menuai dan memasak mengikut resepi kegemaran sendiri. Terung hijau bulat masak kari, bahan campuran dalam kari kambing atau ayam, buat campuran salad, terung hijau bulat masak merah, dipanggang, terung tepung tempura, sambal terung dan sebagainya. Buah terung cukup berkhasiat dan sedap. Apa tunggu lagi jom menanam pokok terung hijau bulat di halaman rumah untuk bekalan sayuran yang berpanjangan. Nikmati buah terung hijau bulat yang organik dan segar dari laman rumah. Berminat menanam benih terung hijau bulat, tanomkinotuan.blogspot.com ada menjualnya dengan 1 pek hanya RM2.90 sahaja. Email ke borosmomogun@gmail.com untuk info selanjutnya.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Minggu, 01 November 2015

Olahraga Untuk Perkembangan Otak Anak


Tenyata olahraga tidak hanya menyehatkan tubuh bagi si anak saja. Sebuah studi yang dilakukan oleh American College of Sports Medicine menyimpulkan bahwa anak-anak yang banyak melakukan aktivitas fisik mempunyai prestasi akademik yang lebih baik di sekolah.

Hasil penelitian menunjukkan anak-anak yang berpartisipasi dalam olahraga seperti sepakbola, basket, dan softball mempunyai kemampuan berkonsentrasi yang lebih baik serta lebih kecil kecenderungannya mempunyai masalah perilaku.

Aktivitas fisik membuat tubuh mengeluarkan sejenis protein yang disebut IGF-1 yang membantu menstimulasi sel-sel otak untuk terus bercabang dan menyambung. Proses ini berarti kemampuan dan ketrampilan baru telah dipelajari oleh otak dan disimpan untuk penggunaan di masa depan.

Berikut beberapa manfaat penting olahraga bagi perkembangan anak

1. Kemampuan kognitif anak meningkat pesat
Sebuah survei terbaru menyatakan bahwa anak-anak yang aktif mampu mengembangkan keterampilan kognitif mereka lebih cepat. Mereka mempunyai daya fokus yang lebih baik dan menggunakan otak mereka dengan cara yang lebih baik dibandingkan dengan anak yang tidak aktif.

2. Keterampilan sosial anak akan terasah
Keterampilan sosial memang seharusnya dikembangkan kepada anak sejak dini. Dengan membiarkan buah hati anda terlibat dalam kegiatan olahraga, ia akan berinteraksi dengan anak-anak lain selama kegiatan. Hal ini akan membantu dalam pengembangan keterampilan sosialnya.

3. Anak anda akan belajar keterampilan kerja tim
Olahraga sudah terbukti sebagai kegiatan yang mengajarkan arti sportivitas dan kerja tim. Dengan terlibat dalam kegiatan olahraga, anak anda akan belajar bagaimana memberikan kontribusi untuk kemenangan tim. Keterampilan inilah yang akan membantu dia ketika mereka tumbuh dewasa dan masuk ke dunia kerja.

4. Otak anak semakin berkembang
Otak atau organ fisik lainnya akan mengalami perkembangan ketika dibarengi aktivitas fisik. Semakin sering anak mengikuti kegiatan fisik, maka semakin bagus pula untuk perkembangan otaknya. Dengan otak yang aktif dan sehat, buah hati anda akan menerima informasi baru dengan efisien.

5. Olahraga baik untuk pembentukan fisik anak
Tak usah diragukan lagi bahwa olahraga dan kegiatan fisik lainnya bermanfaat untuk pertumbuhan otot anak anda. Agar kesehatan tulang dan perkembangan otot buah hati anda baik, motivasi anak untuk rajin berolahraga.
 

SEMAIAN KERATAN BATANG POKOK MULBERRI



Siapa tidak mengenali pokok mulberi atau nama botaninya ialah Morus L. Pokok ini dikatakan berasal dari Amerika Latin dan tersebar ke seluruh belahan dunia tidak terkecuali di negara kita. Dengan pelbagai warna seperti Merah, hitam dan putih sama ada bentuk bujur dan juga panjang. Tanomkinotuan telah menanam jenis pokok mulberri hitam bujur yang sekian lama memberikan bekalan buahnya yang enak dan segar. Warna hitam maksudnya dah masa dan rasanya manis manakala buah berwarna merah agak masam tetapi sesuai dimakan dengan dibubuh sedikit garam, cili, kicap dan belacan. hua hua hua. Tanomkinotuan juga ada menanam sepokok mulberri putih panjang. Masih dalam proses pertumbuhan dan belum merasa buahnya lagi.

Jadi pada masa tersebut, tanomkinotuan ke KBR untuk menjalankan rutin di sana, terlihat pokok mulberri hitam yang dah tinggi melangit dengan liuk lentuknya ke kiri dan ke kanan apabila ditup angin. Pokok mulberri ini sudah lama membekalkan buah yang kaya dengan vitamin C kepada tanomkinotuan sekeluarga. Asal ada sahaja buah berwarna hitam memang dipetik sesiapa sahaja yang pertama nampak. Namun apabila dibiarkan pula tinggi mencecah awan pokok ini, buah tak muncul-muncul pula. Teknik membuahkan pokok mulberi ialah melakukan cantasan dengan kerap apabila pokok selesai berbuah untuk pokok bertunas semula dan menghasilkan kuntum-kuntum bunga seterusnya menjadi buah yang cantik. 

Oleh itu tanomkinotuan telah mencantas batang-batang pokok mulberi semuanya. Nampak tunggul panjang dan kelihatan tidak cantik. Tetapi inilah cara untuk membuahkan kembali pokok ini. Selepas 2 minggu kelihatan tunas-tunas mula bermunculan di celah-celah batangnya malah semakin banyak. Oleh kerana tanomkinotuan inginkan pokok mulberri ini nampak versatile dan berkualiti, tanomkinotuan buang tunas-tunas yang kecil dan nampak tidak sihat. Tinggalkan tunas-tunas yang diperlukan untuk membesar dengan buahnya sekali.

3 minggu lebih sudah kelihatan buah pokok mulberi tanomkinotuan yang sudah bertukar dari warna putih ke warna hijau muda. Bergayutan sesama sendiri dengan cantik dan strategiknya di celah dedaunan. Tidak lama lagi akan berubah wajah kepada merah dan seterusnya warna hitam. Buahnya tidak serentak bila masak jadi setiap harilah kita merasa buahnya.

Jadi keratan batang yang dicantas itu tanomkinotuan telah potong kira-kira 8 inci setiap satu dan disemai dalam polibag. Tanomkinotuan menggunakan potting soil sebagai media semaian untuk memudahkan pengakaran keratan batang pokok mulberri tersebut. Tanomkinotuan tidak meletakkan serbuk pengalak akar pun sebab keratan batang pokok mulberri mudah tumbuh apabila media dalam keadaan lembab dan diletakkan ditempat teduh terlebih dahulu. Selepas 2 minggu keratan batang pokok mulberri tersebut mula mengeluarkan tunas yang pertama.







Inilah antara pokok mulberri yang ditanam menggunakan keratan batang tempoh hari. Sudah tumbuh dengan baik sekali. Tanomkinotuan sembur menggunakan booster roti dan EM1 sahaja sekali dalam 2 hari. Sebelum disembur dengan booster roti dan EM1, daunnya eloknya kuning seperti tidak cukup makan, kini daunnya sudah berupa hijau cantik setelah semburan booster secara konsisten.


Anak pokok mulberri di atas sudah boleh dipindahkan ke batas atau ditanam dalam pasu. Untuk cara menanam dalam batas mudah sahaja. Korek dan buat lubang ikut saiz tinggi polibag pokok mulberi. tabur baja subur dalam lubang dan lapisi dengan sedikit tanah, cukup menutupi baja tersebut. Buka polibag secara berhati-hati dengan menghirisnya menggunakan sebila pisau tajam. Tanam polibag itu ke dalam lubang yang disediakan dan timbus semula tanah disekelilingnya hingga lubang tertutup secara keseluruhan. Padat-padatkan tanah dan akhir sekali siram dengan air yang banyak. 


Manakala bagi dalam pasu pula ialah masukkan potting soil ke dalam pasu besar. Guna pasu bersaiz 18 inci ke atas, Buat lubang ditengah pasu ikut saiz polibag dan tanggalkan polibag secara berhati-hati dan masukkan tanah pokok mulberri ke dalam lubang dan timbus semula dengan tanah di sekelilingnya. Siram menggunakan air banyak dan letakkan ditempat teduh selama dua tiga hari barulah dipindahkan ke tempat yang terkena cahaya matahari yang banyak. 


Pokok mulberri merupakan pokok yang menghasilkan buah tinggi vitamin C, pokok mulberi akan berbuah sepanjang tahun dengan melakukan cantasan pada pokoknya selepas tempoh berbuah. Kepada mereka yang ingin memiliki sepokok pokok mulberri tanomkinotuan ada menjualnya dengan harga RM10.00 1 pot sahaja, tidak termasuk postage. Berminat email ke borosmomogun@gmail.com untuk tempahan.


Selamat bertani dan menuai hasil.