Tani

Jumat, 06 November 2015

CARA DAN PANDUAN MENANAM BENIH TERUNG HIJAU BULAT



Bulan Oktober 2015 bersamaan dengan pertengahan bulan Muharram 1437 Hijriah adalah bulan yang dikatakan sesuai untuk menyemai benih kerana bulan ini adalah musim hujan turun dengan lebatnya. Bagi area pedalaman Sabah dari kampung-kampung Kota Belud merentas ke daerah Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Nabawan dan sebahagian di daerah-daerah lain tempoh ini adalah masa menanam padi bukit (Parai tidong selain dari padi sawah) yang dilakukan secara sara diri. Namun aktiviti ini semakin terpinggir apabila sudah ramai beralih kepada profesion dan kegiatan lain yang lebih menguntungkan dan terjamin. Cuma aktiviti penanaman padi bukit masih boleh dilihat di kawasan Nabawan - Pensiangan yang dihuni oleh suku kaum Murut (Murut tribe). 

Suhu tidak berapa kering dan juga tidak berapa lembab. Orang kata suhu sederhana mengikut keadaan pagi, tengahari, petang dan malam. Namun musim hujan juga boleh merosakkan sayuran anda jika tidak dipasang teduhan yang sewajarnya. Pengalaman tanomkinotuan tempoh yang lalu, pernah menyemai dua jenis benih sayur iaitu benih sayur brokoli hijau dan benih sawi kerinting. Oleh kerana pertama kali semai benih brokoli maka musim hujan bertandang diletakkan teduhan berupa zink buruk di atas anak pokok brokoli hijau agar tidak dirosakkan oleh curahan hujan yang mengganas sedangkan benih sawi kerinting pula dibiarkan ruang terbuka. Apa yang berlaku ialah, lama kelamaan anak pokok sawi kerinting musnah dan mati akibat curahan hujan manakala anak pokok brokoli hijau pula gagah dan megah hidup dengan baik. Inilah dikatakan menatang minyak yang penuh, lagi pula benih sawi kerinting masih banyak tersimpan dan boleh semai semula, hehe.

Namun bagi mereka yang ingin menanam benih tomato haruslah berhati-hati dan peka akan persekitarannya. Pokok tomato alah dengan air yang banyak dalam tanah. Akar boleh lemas atau mudah terkena serangan fungi pada akarnya sekiranya media terlalu basah. Oleh yang demikian, disyorkan kepada mereka yang ingin menanam pokok tomato semai dulu dalam cup plastik dan simpan cup tersebut ditepi jendela yang terkena sinaran matahari pada waktu pagi atau petang. Buat masa ini juga disarankan menanam pokok tomato dalam pasu dan diletakkan di kawasan terlindung dari hujan untuk mengelak dari pokok jadi layu dan mati. Tanomkinotuan menanam 11 pokok tomato ceri bulat. Semuanya hidup membesar dengan baik, kira-kira sudah mula berbunga dan berbuah. Hujan turun dengan lebatnya menyebabkan seminggu kemudian pokok tomato ceri layu dan mati. Hanya tinggal 2 pokok saja lagi. Namun pokok tomato hidup baik saja jika di tanam pada tanah yang sedikit cerun walaupun musim hujan mencurah-curah.

Tanomkinotuan ingin berkongsi kepada pembaca semua cara dan panduan menanam pokok terung hijau bulat atau Sweets Green Eggplant. Terung hijau bulat adalah jenis variati terung yang wujud di dunia. Terlalu banyak jenis terung yang kita boleh lihat dengan perbezaan dari segi saiz, bentuk dan juga warna. Inilah nikmat yang diberikan oleh Tuhan semesta alam kepada hambanya (manusia) untuk lebih konsisten memuji dan memuliakannya. Ceewaaahhhhh ceramah pula daaaa.

Banyak-banyak jenis terung, terung ini yang disukai oleh tanomkinotuan kerana tidak rasa gatal pada lidah ketika memakannya, rasa yang ringan dan lembut memudahkan kita kunyah dan telan. Tanomkinotuan dari kecil lagi sangat membenci sayur terung ini sebab bila hendak menjamahnya allergic pada lidah dengan rasa gatal-gatal. Hinggalah tanomkinotuan sudah dewasa sayuran terung harus tidak disentuh langsung. 

Hal ini berubah setelah tanomkinotuan membeli buah terung hijau bulat yang dijual di tamu/sunday market tempoh hari, emak tanomkinotuanlah yang memasaknya. Untuk pengetahuan semua, masalah ellergic ini diperturunkan dari DNA emak tanomkinotuan, emak tanomkinotuan langsung rasa gatal-gatal pada lidah jika memakan terung. Tapi allergic emak tanomkinotuan lagi hebat hingga makan makanan gorengan bilis dan ikan kembung (bahasa Sabah: ikan basung bulat) pun terasa gatalnya lidah. Tanomkinotuan bolehlah hadap dua makanan ni, bilis dan ikan kembung, cuma terung sahaja yang perlu dihindari. Biasanya untuk menentukan garam itu seimbang pada masakan haruslah mencubanya. Emak tanomkinotuan mengambil seketul terung tersebut dan memakannya. Wahhh... dengan riak wajah yang sangat teruja mengatakan "terung ni sedap, lembut dan tidak gatal". Apalagi tanomkinotuan pun mencuba memakannya. Memang betul terung bulat rasa manis sahaja dan buat pertama kalinya tanomkinotuan memakan sayur terung dengan banyaknya hingga hampir-hampir menghabiskan bahagian sayur untuk adik-adik yang lain. hehe

Maka dengan itu, apa kata pembaca mencuba menanam terung bulat hijau ini, ia juga sesuai ditanam dalam pasu atau polibag di halaman rumah. 


Pertama sekali dapatkan benih terung bulat hijau. Boleh dibeli di kedai-kedai pertanian atau nusery berhampiran atau meminta sebiji dua dari sahabat atau keluarga lain. Jika membeli benih terung hijau bulat di kedai, pastikan tarikh luputnya masih baik. Jangan terbeli benih terung bulat hijau yang sudah melebihi tarikh luput tertera pada pembungkusnya. Benih tersebut pasti tidak akan bercambah.

Sediakan bekas semaian yang murah untuk save bajet. Gunalah cup plastik, kontena kecil, gelas yang ditebuk di bahagian bawahnya dan sebagainya. Guna media potting soil yang boleh dibeli di kedai pertanian dan nusery menjual bunga-bungaan. Masukkan media ke dalam bekas semaian dan tabur benih terung hijau bulat di permukaannya. Spary atau siram dengan air lalu letakkan bekas semaian tersebut di tempat selamat seperti ditepi jendela yang masih terkena cahaya pada waktu pagi atau petang. Percambahan benih memerlukan suhu sesuai untuk proses percambahan yang baik. Jika bajet cukup gunalah styoroform tray semaian dengan membubuh sebiji benih pada cup styoroform tersebut. Ia sangat-sangat praktikal. 

Sambil menunggu benih terung bulat hijau bercambah, anda boleh menyediakan tapak penanaman sama ada pada batas atau pasu/polibag saiz besar. Namun anda perlu meneliti kawasan atau bahagian laman rumah yang sesuai untuk menanam pokok terung bulat atau meletakkan pasu yang sesuai di tempat-tempat yang strategi terlebih dahulu. Buat pemerhatian secara umum kawasan laman manakah yang boleh menerima cahaya paling banyak dalam satu hari. Pilih tempat strategi seperti hadapan rumah, belakang rumah, kanan atau kiri rumah anda dan juga balkoni rumah bagi yang menanam dalam pasu. Wajib dihindari menanam pokok terung bulat hijau anda berhampiran dengan pokok besar, pokok kayu atau bunga-bungaan yang merimbun kerana pokok terung bulat anda tidak dapat bersaing untuk mendapatkan makanan secukupnya dan mengakibatkan pertumbuhan terbantut. 

Bagi mereka yang ingin menanam pokok terung hijau bulat pada batas, disarankan korek tanah sedalam 1 kaki dan gembur hingga tanah menjadi serpihan-serpihan kecil, tanah berderai. Lakukan pengemburan ketika tanah dalam keadaan lembab dan jangan melakukan pengemburan ketika tanah dalam keadaan basah kecuali tanah tersebut jenis tanah gembur. Sama ada korek hanya buat lubang atau buat batas. Terpulanglah pada membaca kerana kalian lebih tahu keadaan dan situasi laman rumah anda. 

Tabur kapur pertanian setengah genggam pada setiap lubang dan 1 genggam bagi 1x3 kaki persegi dan gaul sebati. Seterusnya bubuh baja kompos dengan 2 genggam kompos bagi setiap lubang yang dibuat dan 1 kilo kompos untuk 1x3 kaki persegi pada batas. Untuk tanah lebih berkualiti tambah sekam padi bakar untuk mengudaraan yang seragam dalam tanah. Jika susah dapat sekam padi maka tidak perlu. Gaul sebati dan rehatkan selama seminggu terlebih dahulu. Biar kapur, kompos dan bahan yang dicampurkan ke dalam tanah benar-benar sebati.

Bagi mereka yang ingin menanam dalam pasu, kerja anda lagi mudah. Beli potting soil yang ada dijual di nusery dan masukkan ke dalam pasu. Disarankan guna saiz pasu atau polibag yang besar. Sekurang-kurangnya 18 inci ke atas untuk akar terung bergerak dengan bebas. 

Jika potting soil tidak ada, anda boleh membuatnya sendiri potting soil iaitu dengan nisbah 2:1:1 di mana 2 bahagian peatmoss atau cocopeat, 1 bahagian pasir sungai atau perlite dan vermiculite dan 1 bahagian lagi ialah kompos/ baja organik. Tidak disarankan menggunakan baja organik NPK, gunalah baja yang seperti serbuk dan bukan pelet atau bebola. 

Jika sukar mendapat bahan-bahan di atas, bolehlah menggunakan tanah kebun, atau tanah dilaman rumah dengan syarat tambah kompos banyak-banyak dan carik-carikkan daun tumbuhan yang dibuang dan campur ke dalamnya. Ia akan mereput dan terkompos lalu membekalkan nutrient yang cukup pada pokok terung anda.

Apabila anak pokok terung sudah berusia 2 minggu atau 3 minggu iaitu lebih kurang sudah mempunyai 4 daun sebenar maka ianya sudah boleh dialihkan ke batas atau pasu. Bagi menanam dalam batas, gemburkan batas atau lubang tersebut, buat lubang sedalam 3 inci atau lebih ikut tinggi anak pokok terung tersebut. Siram bekas semaian yang mempunyai anak pokok terung lalu cabut satu percatu dengan berhati-hati. Tanam sepokok anak terung ke dalam lubang yang disediakan dan timbus semula tanah disekeliling pangkal anak pokok terung. Daun terung harus berada di atas permukaan jangan dibenamkan ke dalam tanah pula. lakukan hingga kerja-kerja menanam selesai. Siram dengan air yang banyak dan buat teduhan menggunakan net jaring hitam atau apa-apa yang sesuai, biarkan selama seminggu barulah dibuka net jaring hitam tersebut untuk pertumbuhan seterusnya. Namun jika musim hujan tidak perlulah disiram, serahkan kepada hujan untuk melakukan tugas penyiraman secara semula jadi.

Selalunya berlaku situasi di mana anak benih terung atau benih lain tumbuh terlalu kurus batangnya dan sangat tinggi, dalam istilah bahasa English dikenali sebagai leggy. Hendak mengerakkannya pun rasa bimbang kalau-kalau patah atau sebagainya. Ini disebabkan benih diletakkan di bawah teduhan 70% kurang sinaran matahari menyebabkan anak benih seolah-olah meninggikan dirinya untuk mendapatkan cukup cahaya bagi proses fotosintesis. Untuk mengelak masalah ini, bekas semaian boleh diletakkan di tempat teduh tetapi apabila benih sudah mula bercambah, cahayakan benih tersebut ditempat terbuka selama 1 hingga 2 jam pada pagi dan waktu petang. Lakukan rutin ini setiap hari selama 1 minggu dengan memanjangkan tempoh pencahayaan pada hari-hari berikutnya agar anak benih tidak terlalu meninggi.

Bagi mereka yang ingin menanam dalam pasu pula, buat lubang ditengah sedalam 2 hingga 3 inci ikut panjang anak pokok terung anda. Tanam sepokok anak terung ke dalam lubang yang dibuat dan timbus semula dengan tanah, bagi padat-padatkan sedikit agar pokok tidak tumbang selepas disiram dengan air. Letakkan pasu-pasu atau polibag-polibag tersebut ditempat teduh terlebih dahulu selama 1 minggu barulah dialihkan ke kawasan terkena sinaran matahari untuk pertumbuhan yang maksimum.

Bagi pembajaan pula, selepas pokok terung berusia 2 minggu selepas dialihkan ke batas atau pasu. Anda sudah boleh membubuh baja organik subur pada tanaman anda di mana bubuh setengah genggam baja NPK organik di sekeliling pokok terung anda dengan syarat gembur-gemburkan tanah terlebih dahulu barulah ditabur. Selepas ditabur baja NPK jangan lupa siram agar penyerapan akar pada baja dapat berjalan dengan lancar. Bagi pokok terung dalam pasu pula bubuh baja NPK organik 2 sudu di sekeliling pokok selepas membuat pengemburan dan siram dengan air. 

Untuk pembuahan yang lebat dan banyak bubuh baja organik untuk pembuahan selepas 3 minggu atau 4 minggu selepas anak pokok terung anda dialihkan ke batas atau pasu. Pembajaan buah dilakukan 3 minggu sekali. Guna baja alfalfa atau baja organik kaya dengan fosforus dan magnesium. Bertanya pada nusery berhampiran untuk baja buah organik yang sesuai. Anda boleh menggunakan booster roti untuk tujuan pembuahan pokok terung.

Anda boleh membubuh baja organik sekali dalam 2 minggu secara berterusan sehingga pokok anda berbuah dengan diselang selikan dengan semburan kompos teh, baja cecair ikan, serum EM1, booster roti buatan sendiri dan juga baja NPK sendiri. pastikan setiap baja organik dan booster diselang selikan sekali dalam 2 minggu agar pokok terung tumbuh dengan baik. 

Aktiviti merumput adalah aktiviti rutin yang perlu dilakukan oleh setiap pekebun. Rumput pada batas harus dibuang dan dicabut. Kumpulkan di satu tempat dan ia akan menjadi kompos semula yang berguna untuk ditabur pada pokok terung anda semula atau boleh dijadikan mulsa/sungkupan tanah untuk kelembapan dan dapat mengekang rumput tumbuh semula. Guna rumput tersebut yang sudah kering. Siraman boleh dilakukan 2 kali sehari pagi dan petang sekiranya musim kemarau dan tidak perlu ketika hujan.

Masalah pokok terung biasanya adalah serangan ulat pengorek pucuk, ulat pengorek buah, seranagn fungi dan bakteria pada akar dan bena putih/kulapuk berbenang putih. Serangan ulat pengorek pucuk pokok terung menyebabkan pucuk layu walaupun daun lain segar bugar. terdapat lelehan atau tahi dan lubang kecil pada batang muda/pucuk daun pokok terung menandakan serangan ulat pengorek ini. Cara mengatasi ialah potong pucuk muda yang layu itu dan musnahkan ulat pengorek di dalamnya. 

Ulat pengorek buah berlaku apabila induknya menyuntik benihnya pada buah yang masih muda/kecil. Dan telur tersebut menetas di dalamnya dan memakan buah tersebut dari dalam. Cari racun organik di pasaran yang sesuai dan sembur pokok terung hijau bulat anda ketika pokok sudah mula berbunga dan berbuah. Pastikan media harus lembab dan cukup nutrient untuk mengelak dari serangan makhluk perosak ini. Semburan racun organik tidak berkesan lagi sekiranya buah lainnya sudah pun besar.

Kadang-kadang bena putih juga bertenggek di belakang daun-daun pokok terung. Apabila kita tergoyangkan daunnya maka nampak benda putih berterbangan. Pokok terung boleh terenjat pertumbuhan akibat serangan bena putih di mana mereka menghisap sap/cecair pada daun untuk makanan. Oleh yang demikian, guna racun organik yang banyak dijual dipasaran yang boleh membunuh bena putih. Cuba guna racun serangga organik jenama Bioguard insect repellent yang boleh dibeli di kedai/nusery. Buat semburan sekali dalam sehari hingga bena putih hilang dari pokok.

Pokok terung hijau bulat sudah mula berbunga setelah 1 bulan lebih dan akan menghasilkan buah yang banyak sehingga pokoknya menjadi tua/tidak produktiviti dalam pembuahan. Buah terung hijau bulat sudah boleh dituai pada saiz lebih besar dari bola ping pong. Pilih buah yang muda dengan bijinya masih lembut, rasa manis dan rasa yang sangat mengujakan. Anda boleh menuai kesemua buahnya dan simpan di dalam peti sejuk, ia bertahan 2 hingga 3 minggu di dalamnya. 

Setelah menunggu beberapa bulan hasilnya anda sudah boleh menuai dan memasak mengikut resepi kegemaran sendiri. Terung hijau bulat masak kari, bahan campuran dalam kari kambing atau ayam, buat campuran salad, terung hijau bulat masak merah, dipanggang, terung tepung tempura, sambal terung dan sebagainya. Buah terung cukup berkhasiat dan sedap. Apa tunggu lagi jom menanam pokok terung hijau bulat di halaman rumah untuk bekalan sayuran yang berpanjangan. Nikmati buah terung hijau bulat yang organik dan segar dari laman rumah. Berminat menanam benih terung hijau bulat, tanomkinotuan.blogspot.com ada menjualnya dengan 1 pek hanya RM2.90 sahaja. Email ke borosmomogun@gmail.com untuk info selanjutnya.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar