Tanomkinotuan sangat berterima kasih terhadap KBR yang banyak berjasa kepada keluarga kerana sejak awal tahun 2014 yang lalu, KBR telah banyak menghasilkan sayur-sayuran untuk keluarga tanomkinotuan sehingga hari ini. Tanomkinotuan jarang membeli sayur di tamu atau pasar sayur cumanya tanomkinotuan membeli sumber protein seperti daging/tulang, ikan, ayam, udang dan lain-lain. Wang tanomkinotuan dapat dijimatkan dan dapat membeli sumber protein dengan banyak. Inilah salah satu kebaikan jika kita berkebun sendiri. Lakukan secara kecil-kecilan terlebih dahulu dan boleh meluaskan kebun atau tanaman anda secara berperingkat-peringkat.
Walaupun tanaman tanomkinotuan masih dalam proses membesar. KBR masih dapat membekalkan sayur untuk dapur seperti sayur tutan dan pucuk cekur manis yang senantiasa mengeluarkan tunas-tunas baharu. Sementara menunggu tanaman membesar untuk dituai, dua jenis sayur yang disebutkan di atas cukup untuk dijadikan sentapan sekeluarga. Namun kadang-kadang tanomkinotuan terpaksa membeli sayur apabila betul-betul tidak ada pengeluaran tanaman di KBR dan KG. Ini selalu berlaku apabila tanomkinotuan dalam proses menyemai semula kerana tanaman penghujung musim akan dicabut dan batas dibersihkan. Cuma cili padi dan halia tidak pernah dibeli kerana pokok cili padi dan halia masih menghasilkan buah yang banyak.
Pada 3 minggu yang lalu tanomkinotuan telah membersihkan segala tanaman di penghujung musim. Tanomkinotuan memulakan beberapa jenis sayur untuk ditanam seperti buncis bulat, buncis ungu, kacang panjang hitam, kacang panjang hijau dan beberapa jenis sayuran daun seperti sawi kerinting, sawi bunga, sawi bunga komatsuna rafido dan sebagainya. Kesemua ini masih dalam keadaan percambahan dan pertumbuhan, masih belum sesuai untuk dituai. Berikut adalah sayuran atau tanaman dalam peringkat tumbuhbesaran seperti:
Kita mulakan dengan kacang buncis bulat. Kacang buncis ini mempunyai biji berwarna hitam dan bentuk buahnya adalah bulat. Percambahannya sudah kelihatan dalan hari ketiga dan sempurna ke permukaan di hari kelima. Maksudnya ia cepat bercambah berbanding dengan buncis manis, buncis ungu dan buncis tanpa memanjat.
Batas tersebut tanomkinotuan gembur menggunakan cangkul dan digaul bersama kompos yang dibeli dikedai sebanyak 12 genggam. Tanomkinotuan juga mencampurkan dengan tinja lembu yang berselerak di kampung. Baja organik percuma hanya kutip tinja tersebut dan masukkan ke dalam baldi atau bekas. Peram hingga 3 minggu seterusnya dibiarkan terdedah kepada cahaya matahari supaya ia menjadi keras. Hancurkan menjadi serpihan kecil secara menual dan tanomkinotuan tabur di atas batas. Selanjutnya abu kayu bakar yang ada di belakang rumah. Ia kaya dengan kalsium untuk tanah anda. Tanomkinotuan biarkan dahulu selama seminggu dan barulah ditanam benih buncis bulat. Setakat ini pertumbuhannya elok dan galak tanpa serangan penyakit.
Tanomkinotuan telah menyediakan junjung atau kayu penyokong untuk memudahkan pokok buncis tersebut memanjat pada masa akan datang. Jangan.lupa tabur baja NPK organik di sekeliling pokok buncis untuk tumbuhbesaran yang baik. Ini menandakan hasil menuai masih jauh digapai tetapi kesabaran dan penjagaan yang betul harus dibuat secara konsisten.
Ini pula adalah buncis ungu. Walaupun buncis ungu lebih dulu disemai langsung pada batas berbanding dengan buncis bulat tetapi buncis bulat pada batas sebelah lebih dulu keluar ke permukaan. Batas ini dahulunya tanomkinotuan semai sawi kerinting tetapi serangan serangga tidak mampu tanomkinotuan kawal jadi penyelesaiannya semai benih lain maka inilah jadinya. Pokok timun yang tumbuh sebenarnya dari kompos yang diproses. Bahan dapur termasuk sisa buah timun dikompos bersama dan tumbuh setelah kompos tersebut ditabur di atas batas. Biji buncis ungu berbentuk bujur bulat dan berwarna putih kelabu.
Pokok timun cina pada gambar di atas sudah berusia 1 minggu. Batas digembur dan digaulkan kompos tinja lembu buatan sendiri serta baja NPK organik. Tanomkinotuan ada mencampurkan sedikit tanah kebun pada batas tersebut bagi membaikpulih tanah liat. Pokok timun cina tanomkinotuan juga dalam proses pertumbuhan. Tanomkinotuan tanam betsama sawi kerinting ditepinya. Sawi kerinting akan dituai selepas 3 minggu.
Anak pokok bendi merah (red okra) ditanam pada minggu lepas yang kini mula tumbuh dengan baik. Batas tersebut adalah bekas menanam sawi kerinting bulan lalu dan tanomkinotuan menanam benih okra bagi tujuan penggiliran tanaman (rotation plant). Tujuan penggiliran tanaman adalah agar serangan penyakit dapat dikurangkan dan memperbaiki struktur tanah khususnya menanam tumbuhan yang menghasilkan nitrogen sendiri.
Tanomkinotuan telah mengembur batas terakhir di KBR dan menambah kompos tinja lembu dan sedikit rumput kering yang dipotong-potong kecil. Tanomkinotuan menanam sawi kerinting sebahagian batas dan sebahagian lagi tanomkinotuan tanam dengan sawi bunga kampung. Uniknya benih sawi bunga kampung yang ditanam adalah benih matang yang dibiarkan pokoknya menjadi tua di KBR dan disemai semula.
Pokok kacang panjang hitam yang sudah berusia 2 minggu galak tumbuh di KBR. Tanomkinotuan sudah menyediakan kayu penyokong untuk pokok kacang panjang memanjat dengan baik. Kacang panjang mudah bercambah dan tumbuh dengan baik. Pembaca boleh mencuba menanam benih kacang panjang di halaman rumah kerana ia boleh tumbuh pada semua jenis tanah. Tanomkinotuan tanam sekali dengan jagung pulut dalam satu batas. Harap kedua-duanya baik-baik saja.
Pokok jagung pulut pun sudah membesar baru berusia 2 minggu. Pertumbuhannya sangat baik walaupun tanah itu adalah jenis tanah liat. Cara tanomkinotuan memperbaiki tanah liat untuk menanam ialah. Gembur tanah tambah kompos dan baja NPK organik lalu semai benih jagung anda. Tanomkinotuan telah mendapatkan benih jagung pulut dari makcik yang menjual barangan tembakau kampung tempoh hari. Tanomkinotuan tanam pokok jagung itu di antara pokok-pokok mulberi yang telang dipangkas dan sudah mula bertunas. Harap pokok jagung sempat membesar sebelum pokok mulberi merimbun.
Pokok cekur manis atau biasa di sini memanggilnya sayur manis Masih hidup subur di KBR. Pokok cekur manis baru saja dipetik minggu lepas dan kini pucuk-pucuk cekur manis mula bertunas kembali. Pokok ini ditanam tahun lepas dan masih elok pertumbuhan. Pokok cekur manis boleh tumbuh sehingga 10 hingga 15 tahun jika dijaga dengan baik.
Inilah pertama kali tanomkinotuan menanam edamame atau kacang soya hijau. Tanomkinotuan membeli benihnya secara online. Terima kasih pada Diana. Banyak kali tanomkinotuan cuba menanamnya. Semaian pertama kali hanya 3 biji sahaja yang tumbuh. Tanomkinotuan tanam semula dengan hanya sekali siram saja. Selepas 7 hari kesemuanya benih edamame bercambah dengan baik. Pokok edamame tidak sesuai sekiranya tanah terlalu basah, ia akan reput dalam tanah.
Pokok zuchini juga ada tanomkinotuan mencuba untuk menanam dari 7 lubang hanya dua lubang saja yang bercambah. Harap pokoknya ini membesar dan mengeluarkan hasilnya. Tanomkinotuan teruja untuk mengetahui lebih lanjut tentang buahnya yang berwarna putih dan berbentuk bulat. Tanomkinotuan meletaklan mulsa aka sungkupan rumput kering agar kelembapan tanah dapat dikekalkan.
Lobak merah dalam besen yang sudah berusia 2 bulan masih tumbuh galak di KBR. Ia mampu menghadapi cuaca panas melampau yang pentingnya anda siram 2 kali sehari. 2 variati lobak merah dalam besen tersebut iaitu lobak mini bulat dan lobak merah berwarna putih. Sebelum ini tanomkinotuan belum pernah melihat lobak merah berwarna putih selalunya berwarna orange seperti mana dijual di supermarket atau kedai sayuran.
Pokok Mulberi ini KBR kini telah berbuah dua kali. Gambar di atas adalah buah musim kedua selepas dicantas awal bulan Mac tahun ini. Dua minggu kemudian pokok mulberi mengeluarkan tunas-tunas bari di batangnya bersama buah yang sangat banyal. Lebih besar saiznya berbanding hasil tahun lalu. Masalahnya pokok mulberi ini ditanam di tengah-tengah di KBR menyebabkan jika pokoknya menjulang dan merimbun segala tumbuhan aka tanaman di sekelilingnya hanya sipi-sipi terkena sinaran matahari mengakibatkan bantut lah jawapnya. Tetapi tanomkinotuan sayang pokok ni, buahnya yang ungu manis dan hancur ke dalam mulut. Satu lagi buah membekal vitamin C secara percuma.
Inilah sayuran yang ditanam oleh tanomkinotuan di KBR. Kesemua sayuran di atas masih untuk membesar dan belum ada yang boleh tuai. Cuma tanomkinotuan tingkatkan penjagaan dan pembajaan berterusan agar sayuran ini mampu hidup baik dan menghasilkan hasil yang memberansangkan akan datang. Dan yang pastinya semuanya ditanam secara organik. Kita seharusnya memakan makanan yang semula jadi bagi kebaikan dan kesihatan tubh badan kita sekeluarga. Apa kata pembaca di luar sana mencuba menanam sedikit sayuran atau herba terlebih dahulu di mana kita boleh mulakan dengan menanam cili padi di dalam bayung dan semai kacang panjang (apa-apa jenis) di halaman rumah. Cuba dua tumbuhan ini terlebih dahulu dan sekiranya anda berjaya, anda boleh menambah sayuran daun seperti sawi bunga dan sawi putih. Lama kelamaan halaman rumah anda semakin dipenuhi dengan sayuran yang segar, sihat dan bersifat organik.
Selamat bertani dan menuai hasil.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar