Tani

Sabtu, 14 November 2015

TUAIAN HEIRLOOM BUAH JAGUNG PULUT

Jagung pulut merupakan jagung yang lazim ditanam oleh pekebun-pekebun kecil di kampung-kampung. Jagung ini dikategorikan sebagai jagung kampung dan jagung kampung mempunyai pelbagai jenis dari segi warna kelopak buah dan batang, saiz dan juga rasa. Umumnya jagung kampung mempunyai 3 jenis warna seperti perang, kuning dan putih. Jagung pulut kampung tergolong dalam warna putih dan rasa sedikit meleket dan aroma cukup memikat, selain itu jagung pulut juga ada yang berwarna kuning yang dikenali sebagai jagung pulut pandan kerana aromanya sama seperti pandan.

Jagung pulut kelopak hijau

Tanomkinotuan adalah peminat jagung khususnya jagung kampung. Jagung manis menjadi sentapan sekiranya jagung pulut ini sukar diperolehi. Oleh yang demikian, tanomkinotuan berusaha mendapatkan benih jagung pulut dengan apa cara sekalipun kerana variati jagung pulut sudah semakin pupus dan terpinggir disebabkan oleh kehadiran jagung-jagung hibrid dari Thailand, Taiwan, China dan USA yang kini memenuhi ruang pasaran tempatan.

Jagung pulut kelopak ungu

Pada ketika itu tanomkinotuan sempat ke tamu di Keningau yang beroperasi pada Khamis dan Ahad setiap minggu bermula jam 6.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk mencari benda yang berkenan di hati. Ternampak nenek tua di hujung dengan menjual pelbagai jenis sayuran serta benih jagung pulut. Gembira bukan kepalang di mana benih yang dicari-cari sudah ada dalam genggaman. Petang itu juga selepas kembali ke rumah langsung ke KBR untuk menyediakan batas.

Bagi tanomkinotuan, pembatasan haruslah dilakukan dengan sebaiknya. Gembur tanah dan tinggikan batas kira-kira 1 kaki tinggi dengan 2X8 kaki persegi. Tanomkinotuan tabur kompos sebanyak 10 kilo, ini kompos percuma sahaja kompos kelapa sawit yang diambil berhampiran kilang dan ditabur 5 genggam kapur pertanian. Gaul sebati dan bolehlah menyemai benih dengan membuat lubang sedalam 2 inci dengan jarak 2 kaki atau 3 kaki. Maka tumbuhlah pokok jagung tersebut dengan baik.

Selepas ditanam tanomkinotuan hanya siram pagi petang dan bubuh baja sekali sekala. Tidak susah untuk menjaganya, mudah dan sangat santai. Tanomkinotuan tanam pokok jagung dengan kacang tanah. Kacang tanah masih lagi di batas mungkin 2 atau 3 minggu lagi bolehlah dituai.

Terdapat dua jenis pokok jagung pulut yang ditanam iaitu jagung pulut kelopak hijau dan jagung pulut kelopak ungu. Kedua-duanya mempamerkan rasa yang cukup memikat. Ia tumbuh dengan baik tanpa serangan makhluk perosak. Pokok jagung jarang diserang penyakit jika media berada dalam keadaan lembab dan cukup baja.

Selepas 3 minggu jagung pulut sudah mula berbunga dan mengeluarkan bunga betinanya. Dua minggu kemudian buah jagung sudah kelihatan. Hampir 3 bulan menunggu sehingga buah jagung matang maka ia sudah boleh dituai. 

Sekembali tanomkinotuan ke rumah langsung ke KBR, pertama yang dilihat ialah buah jagung. Dengan mengopek sedikit kelopak jagung tersebut untuk melihat sama ada isinya sesuai dituai atau tidak. Cukup sifat buahnya cantik tersusun. Dengan tidak sabar tanomkinotuan tuai buah-buah jagung yang matang. Malam ini makan rebusan jagung sambil menonton TV.





Jagung pulut tanam sendiri sesuai dituai apabila isinya masih diselaputi 70% air. Ia masih lembut dan tidak keras. Sekiranya dituai buah jagung yang kurang air dari itu buah jagung sudah jadi keras sedikit dan anda tidak merasa kelazatan jagung yang sebenar kerana anda terpaksa tingkatkan kunyahan.

Dengan kutipan hasil jagung pulut ini cukup menampung sekeluarga untuk makan.


Bagi pembaca yang berminat untuk menanam jagung pulut ini bolehlah menghantar pesanan ke borosmomogun@gmail.com. 1 pek benih jagung pulut hanya RM2.90 sahaja dengan anggaran benih sebanyak 25 biji. Pokok jagung juga boleh ditanam dalam pasu saiz besar atau polibag.

Selamat bertani dan menuai hasil.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar